Followers

Wednesday, August 31, 2011

Pengakuan; Siang berpuasa, malam jual tubuh


KUALA LUMPUR: “Sewaktu menjejakkan kaki ke sini, setahun lalu saya bersama-sama 20 rakan yang juga dari Indonesia ditempatkan di sebuah rumah di Brickfields beramai-ramai.

“Majikan memberitahu siang kami perlu berehat dan malam perlu ‘bekerja’ , hanya segelintir saja diminta ‘bekerja’ di siang hari,” kata Nadirah, 19, seorang pelacur warga Indonesia yang ditemui di sebuah rumah tumpangan di Brickfields.


Menceritakan saat-saat mula menjejakkan kaki ke negara ini, dia memberitahu pada awalnya ejen di Indonesia menawarkan pekerjaan kepadanya sebagai pelacur di Malaysia dan mereka dikehendaki memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kerana keluarga kesempitan wang, akhirnya saya bertekad datang ke Kuala Lumpur dan kini sudah setahun bekerja sebagai pelacur. Sekarang ini pun pas lawatan sosial sudah tamat tempoh dan majikan tidak memperbaharuinya lagi.


“Siang kami berpuasa, tetapi malam kami melacur kerana kami dibayar gaji tetap RM800 sebulan. “Dan dengan duit itulah kami akan menghantar sebahagiannya kepada ibu bapa kami di Indonesia sebagai persediaan sambutan Aidilfitri,” katanya ketika menunggu pelanggan.


Nadirah mengakui terpaksa bekerja sebagai pelacur berikutan tiada pekerjaan di kampung asalnya di Bandung, Indonesia selain gaji yang diperoleh bertujuan membantu ibu bapanya yang kesempitan.

Menurutnya, walaupun dia tahu perbuatannya itu berdosa tambahan pula di bulan Ramadan, tetapi dia tiada pilihan kerana memerlukan wang untuk membantu ibu bapanya.


Katanya, walaupun bergelar pelacur dia memberitahu masih ada segelintir antara mereka masih berkesempatan berpuasa sebelum berbuka bersama.

“Selalunya waktu operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehinggalah jam 4 pagi. Sesudah habis bekerja saya akan mandi wajib sebelum berpuasa keesokan harinya,” katanya.


Nadirah memberitahu majikannya mengaut keuntungan puluhan ribu semalaman dengan mengenakan bayaran antara RM30 dan RM60 bergantung kepada kualiti pelacur, tetapi hanya membayar gaji tetap RM800 sebulan kepadanya.


“Kami tidak diberikan komisen ataupun bonus sedangkan majikan untung ribuan ringgit satu malam,” katanya.


Wartawan Harian Metro yang menyamar pada malam itu ‘celik mata’ sejurus mendapati seorang pelacur warga Indonesia berumur 15 tahun sudah pun terjebak dengan pekerjaan itu.


Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ani memberitahu terpaksa meninggalkan alam persekolahannya di Sumatera Barat kerana mahu membantu ibu bapanya mendapatkan wang tambahan “Sebulan saya dapat RM800, kadang-kadang RM850. Untuk ibu bapa, saya beri RM400 sebulan setakat berkemampuan membantu. Majikan kami ada bagi tahu kalau pelanggan tanya kami dari mana, jangan cakap kami orang Indon tapi bagi tau kami orang Filipina atau Vietnam,” katanya.


Ketika asyik menemubual, wartawan mendapati ramai rakyat tempatan yang sepatutnya memanfaatkan bulan Ramadan dengan amal ibadat tidak menghiraukannya, sebaliknya terbabit sama melanggan pelacur.

sumber...mymetro

Betul ke Najib diterima majoriti rakyat?


Rais ; kajian Merdeka Center tak berasas ,Najib diterima majoriti rakyat

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau (gambar) menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais dipetik Bernama Online, meragui kajian Merdeka Research Centre dan menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

“Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya,” katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara.

sumber...TMI

p/s...apa hal BN merosot terlampau teruk dalam pilihanraya negeri Sarawak. fakta dari kaca mata penganalisa politik mengatakan 8 hingga 9 % itu amat merunsingkan kedudukan BN .


Tuesday, August 30, 2011

Pantang maut: Budak selamat dilanggar kereta api

menunjukkan budak lelaki (dalam bulatan) dihimpit sebuah kereta api ekspres.

Kata orang pantang maut sebelum ajal

SYDNEY, Australia – Seorang budak lelaki berusia 12 tahun selamat selepas dia dilanggar tren ekspres dalam insiden yang dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen kereta api di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak lelaki berkenaan dirakam berada cuma beberapa sentimeter dari tren itu ketika dia cuba melintas landasan di stesen berkenaan baru-baru ini.

Ketika tren tersebut tiba, mangsa hilang daripada lensa CCTV. Dia dipercayai terjatuh akibat berlanggar dengan gerabak tren tersebut.

Namun, tidak lama kemudian, dia muncul semula dalam skrin CCTV dan dilihat cuba memanjat platform stesen.

Mangsa mengalami patah kaki dan siku dengan banyak bahagian di tubuhnya calar, tetapi bernasib baik kerana masih hidup.

sumber...Agensi

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dari team Greenblacks

Monday, August 29, 2011

Rita Sosilawati akan akhiri zaman bujang selepas Aidil Fitri


Rita nikah lepas raya

BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, dikatakan bakal mengakhiri zaman bujang dengan jejaka pilihannya selepas Aidilfitri ini.

Perkara itu sekali gus menghentikan semua spekulasi berkaitan dirinya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan beberapa individu. Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) yang lebih mesra dipanggil Rita itu dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan jejak pilihannya yang berjawatan penting dalam satu kementerian di Putrajaya.


“Rita sudah mendapatkan restu daripada keluarga berkaitan hubungan istimewanya itu dan setakat ini, masing-masing tidak membantah pilihannya.

“Keluarga hanya mahukan yang terbaik untuk Rita dan semuanya mendoakan semoga dia menemui lelaki yang mampu menjadi suami yang baik,” katanya.


Sementara itu, kehadiran Syawal kali ini menggamit kembali kenangan peristiwa kehilangan misteri Sosilawati hampir setahun lalu sebelum beliau disahkan mati dibunuh di Ladang Gadong, Banting, Selangor.


Harian Metro semalam sempat berkunjung ke kediaman ibu Sosilawati, Yatmah Abdul Rahman, 80, bagi menyaksikan sendiri suasana sambutan di kampung halaman jutawan itu di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini.

Sejurus memasuki pekarangan rumahnya, Yatmah dan beberapa ahli keluarga lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.


Adik pengasas kosmetik itu, Rosnani Lawiya, 45, berkata, persiapan raya keluarganya tahun ini sangat dirasai apabila ketiadaan Sosilawati.

“Jika sebelum ini, dialah (Sosilawati) yang kerap ke dapur dan menguruskan segala persiapan raya malah tidak lupa memasak pelbagai jenis juadah termasuk londeh juga rendang.


“Namun sambutan Aidilfitri kali ini sedikit terubat selepas anak arwah termasuk Rita pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama kami,” katanya.


Keluarga itu bakal mengadakan majlis tahlil pada hari raya pertama dan kedua selain turut mengadakan rumah terbuka seperti tahun sebelumnya.


Sosilawati, pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, Perunding Kewangan CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh sebelum dibakar manakala abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchu, pada 30 Ogos 2010.

sumber...mymetro

Aku sokong Mat Sabu Hina 'Pejuang Negara'

Mula-mula sekali aku nak minta maaf kalau ada yang ada ahli keluarga yang pernah berkhidmat dengan tentera british melawan komunis, terutama sekali yang terkorban. Tentu ada yang paling kurang pun terasa kecik hati dengan kenyataan Mat Sabu tu.

Aku sebenarnya sangat-sangat bersetuju dengan pandangan Mat Sabu tu. Aku memang bersimpati dengan perjuangan tokoh-tokoh macam Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan yang sewaktu dengan depa-depa ni, malah termasuk Chin Peng.

Kalau ada yang faham statement aku tu sebagai sokong pengganas komunis, aku nak jelaskan aku tak pernah sokong keganasan. Tapi kalau tokoh macam Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela dan yang sewaktu dengan depa tu digelar pengganas aku anggap gelaran tu sebagai satu penghormatan, pasai depa mengganas kepada penjajah.

Sama jugak dengan yang dikatakan 'pengganas' komunis tu, gelaran propaganda ciptaan British yang boleh dianggap sebagai satu penghormatan pasai British 'mengiktiraf' perjuangan depa nak menghalau penjajah tu.

Mungkin niat askar melayu di bawah British tu betul, berniat nak pertahankan negara. Tapi masalahnya depa tersalah faham, depa-depa tu berada di pihak yang salah. Depa mempertahankan penjajah British, malah berkhidmat di bawah arahan penjajah British. Kalau yang berjuang menentang penjajah British digelar penganas, orang yang bersekongkol dengan penjajah British dan mempertahankan penjajah British mungkin sesuai digelar pengkhianat tanahair.

Pasai apa Tok Janggut, Tok Bahaman, Tok Maharaja Lela dan yang sewaktu dengan depa tu yang menentang British kita boleh mengiktiraf sebagai pejuang, tapi Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan yang sewaktu dengan depa-depa ni yang jugak menentang penjajah British dianggap sebagai pengganas?

Bila Jepun menjajah, depa-depa yang dianggap pengganas ni berjuang pulak menentang penjajah Jepun dan British pulak iktiraf depa, siap bagi senjata lagi, tapi bila Jepun menyerah kalah depa-depa ni kembali dianggap pengganas.

Aku tak kata aku sokong semua fahaman dan tindakan depa, memang ada fahaman dan tindakan depa yang salah dan aku tak setuju. Tapi perjuangan depa aku sokong, perjuangan menentang penjajah dan yang bersekongkol dengan penjajah, yang khianat kepada tanahair.

Satu soalan yang patut kita tanya diri kita sendiri, Kita suka dijajah atau kita tak suka dijajah. Kita sokong penjajah atau kita sokong orang yang menentang penjajah.

Meloya

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi baru apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut mendakwa Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar selain hanya memihak kepada UMNO.

“Semua sejarah negara kita bohong, pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi penjahat. Siapa pegawai British? Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman itulah pegawai British. Tapi bila tiba bulan merdeka hanya mereka yang ditonjolkan. Kalau begitu UMNO seorang sajalah yang merdeka, betul tidak,” tuduhnya. - Utusan (27/6/2011)


Sunday, August 28, 2011

San Miguel Sah Telan Esso


ExxonMobil: Tawaran San Miguel beli Esso terbaik, Putrajaya sudah dimaklumkan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Cadangan penjualan pegangan kepentingan 65 peratus Exxon Mobil Corporation dalam Esso Malaysia Bhd dan perniagaan lain dalam sektor petroleum hiliran Malaysia kepada San Miguel Corporation dari Filipina adalah adil dan wajar, kata Naib Presiden ExxonMobil Stafford T. Kelly.

Beliau berkata bida berkenaan pada dasar persaingan dengan 20 syarikat, termasuk tujuh firma tempatan, yang pada mulanya berminat dan tawaran SMC merupakan yang terbaik ditawarkan.

San Miguel, selain memberikan nilai terbaik bagi ketiga-tiga entiti dalam Esso Group, merupakan satu-satunya syarikat yang melibatkan rancangan untuk mengambil alih dan memperluaskan loji penapis minyak berusia 48 tahun di Port Dickson, katanya dipetik Bernama Online hari ini.

“Pembina yang lain (termasuk dari Malaysia) tidak berminat dalam loji penapis dan mahu menutupnya,” kata beliau.

Kelly berkata langkah berkenaan menunjukkan komitmen ExxonMobil untuk tidak membiarkan tenaga kerja di loji penapis itu begitu sahaja.

ExxonMobil International Holdings memeterai perjanjian dengan San Miguel Corporation bagi ExxonMobil menjual 65 peratus pegangan dalam syarikat dagangan petroleum tersenarai, Esso Malaysia Bhd dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd pada AS$610 juta atau RM3.50 sesaham EMB.

Semasa ditanya sama ada Boustead Holdings Bhd atau subsidiarinya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan antara syarikat yang membuat tawaran, beliau mengiakannya tetapi menjelaskan bahawa bukan pada RM5.20 sebagaimana yang dinyatakan dalam media.

Beliau mengulangi yang tawaran San Miguel Corporation merupakan yang terbaik dan syarikat itu merupakan satu-satunya syarikat di kalangan 20 yang mahu membeli juga loji penapis Port Dickson.

Kelly berkata, San Miguel Corporation menawarkan 25 peratus premium terhadap harga purata saham Esso Malaysia selama enam bulan lepas pada RM2.80.

Hanya selepas spekulasi mengenai perjanjian jual beli yang menjadikan harga naik kepada RM4.95 daripada masa sebelum rehat tengah hari pada RM4.33 pada 17 Ogos lalu.

Beliau berkata ExxonMobil bersetuju dengan San Miguel Corporation bahawa syarikat Filipina itu tidak akan memberhentikan pekerja tetapi sebaliknya memperluaskan modal insannya dengan memberi keutamaan kepada warga tempatan.

Semasa proses pembidaan, beliau berkata, setiap pihak diberikan ruang yang mencukupi untuk mengadakan perbincangan dan penilaian terhadap ExxonMobil, dan akhirnya tiga pihak yang kukuh diperakui dan dimuktamadkan.

“Hanya San Miguel syarikat asing,” katanya.

Penjualan berkenaan yang dijangka selesai dalam masa enam bulan, tertakluk kepada kelulusan tiga kementerian utama.

Kelly berkata beliau telah bercakap dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung perkara itu.

“Bos saya (Pengerusi dan Ketua Eksekutif ExxonMobil Corp Rex Tillerson) telah berbincang dengan Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai penjualan itu,” katanya.

Sehingga kini, respons daripada menteri-menteri dan pihak berkuasa menggalakkan, memandangkan urusniaga adalah daripada syarikat asing kepada entiti asing yang lain, dan diharapkan proses penjualan dapat dijalankan dengan lancar.

“Kami kini dalam proses memuktamadkan dokumen untuk dikemukakan kepada ketiga-tiga kementerian,” katanya.

Kelly menolak dakwaan bahawa ExxonMobil akan membuka semula proses bida disebakan oleh tekanan daripada kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan.

“Pertimbangan yang adil dan sewajarnya telah dilaksanakan dan San Miguel muncul sebagai pemenang,” kata beliau dan menambah yag kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jual beli.

Mengenai isu yang syarikat Malaysia akan jatuh ke tangan syarikat yang mengeluarkan bir, Kelly berkata situasi berkenaan benar beberapa tahun lepas.

“Syarikat itu kini merupakan sebuah konglomerat dan perniagaan mereka pelbagai ke dalam banyak segmen.

“Pada masa ini, syarikat memperoleh hasil kebanyakannya daripada perniagaan bukan makanan dan minuman yang jelas mencerminkan hasrat syarikat membersihkan imejnya sebagai syarikat pengeluar bir,” katanya.

sumber...TMI

Saturday, August 27, 2011

RPK dakwa Gani Patail makan suap dari Ho Hup


Gani Patail nafi dakwaan RPK disogok Ho Hup baiki rumah isteri

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) menafikan dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau disogok oleh bekas timbalan pengerusi eksekutif Ho Hup Bhd, Datuk Vincent Lye, atas sokonganya dalam pertikaian lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam tulisan menerusi blognya Malaysia Today pada 23 Ogos lalu, Raja Petra mendakwa bahawa Lye telah memberi sogokan kepada Gani dan menggunakan dana Ho Hup untuk membayar kerja-kerja pengubahsuaian rumah isteri kedua ketua pendakwa raya itu di Negeri Sembilan.

Dalam respons pertama berhubung dakwaan Raja Petra, Gani memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada syarikat pembinaan tersebut.

“Saya tidak menerima satu sen pun daripada Ho Hup. Saya ada satu peraturan, saya tidak ambil duit,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau memiliki rumah di Seremban, Gani berkata: “Saya tiada rumah di Seremban ataupun di mana-mana di Negeri Sembilan.”

“Saya tidak tahu apa nak kata. Semua ini berlaku pada 2009 tetapi kes itu dibawa sejak 2010, jadi tidak masuk akal,” kata beliau merujuk kepada kes yang difailkan ke atas Datuk TC Low.

Raja Petra mendakwa Peguam Negara telah menggunakan pengaruhnya bagi pihak Lye untuk mendakwa Low di mahkamah tahun ini berhubung isu pendedahan kepentingannya dalam syarikat tersebut.

Editor Malaysia Today itu juga menyiarkan foto di blognya invois-invois yang dijana daripada komputer, bertarikh 13 Julai 2009, daripada sebuah syarikat di Petaling Jaya kepada Ho Hup berkaitan kerja-kerja pemasangan lampu atas nama “AG's Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa”, satu invois tulisan tangan juga bertarikh 13 Julai kepada Lye untuk kerja-kerja pengubahsaian bagi Sri Carcosa di Seremban 2, baucar daripada Ho Hup bertarikh 12 Ogos bagi kerja-kerja yang telah dijalankan bagi rumah “AG Tan Sri Ghani Patail Bangalow at Seremban 2 — Sri Carcosa” bernilai RM18,000 dan satu cek RM18,000 yang dikeluarkan kepada pihak yang menjalankan kerja-kerja pengubahsaian.

Lye dan Low yang masing-masing mempunyai pegangan 28 dan 26 peratus ketika itu terlibat dalam pertikaian menguasai lembaga pengarah Ho Hup.

Bagaimanapun Lye telah diundi keluar pada mesyuarat tergempar Ho Hup pada Mac ini.

Pada Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membersihkan Gani daripada tuduhan rasuah berkaitan dengan urusan menunaikan haji tahun lalu.

sumber...TMI

Jamal Abdillah derma beras 1 Treller

JAMAL menyampaikan sumbangan beras kepada anak-anak yatim dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh semalam.


IPOH – Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah menyumbang satu treler beras kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal seluruh Perak semalam.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 52, berkata, sumbangan 1,520 kampit beras bernilai RM20,000 itu bertujuan untuk membantu golongan terbabit menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi.

“Saya bersyukur menerima rahmat dan hidayah oleh Allah untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini dan diberi anugerah (menyanyi) untuk memperoleh rezeki.

“Saya pulangkan semula sebahagian daripada rezeki itu kepada golongan memerlukan. Saya niat untuk sedekah pahalanya kepada roh arwah ayah dan ibu saya,” katanya.

sumber...kosmoonline

Friday, August 26, 2011

DAP: Calon Melayu satu kepastian


Bagaimanapun calon dan kerusi yang ditanding hanya akan diputuskan selepas rundingan pembahagian kerusi

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa parti itu akan meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya umum ke 13.
“Kita pasti mempunyai calon Melayu untuk pilihan raya umum,” kata Lim ketika ditemui di dalam majlis iftar DAP yang diadakan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam.
Walau bagaimanapun, jumlah calon Melayu tidak didedahkan.

Mengulas lanjut perkara ini hari ini, setiausaha publisiti DAP dan ahli parlimen Petaling Jaya (Utara) Tony Pua berkata, “Calon Melayu akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehan individu.”
Tony turut ditanya samada calon Melayu akan dicalonkan di negeri pimpinan Pakatan Rakyat – Selangor dan Pulau Pinang “Perkara ini belum diputuskan kerana rundingan pembahagian kerusi belum dimulakan.”

Bertukar kerusi

Sementara itu dalam perkembangan lain, pemimpin DAP veteran, Lim Kit Siang mengaku tidak tahu-menahu berkenaan ura-ura bahawa DAP akan bertukaran kerusi untuk membolehkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bertanding di Kuala Lumpur.

“Ini kali pertama saya dengar ura-ura ini,” kata Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timor.
Timbul ura-ura bahawa DAP mahu menawarkan kerusinya kepada tokoh popular PAS itu.
Peningkatan sokongan orang Melayu untuk DAP turut disambut baik PAS.

Mohamad dipetik berkata oleh Harakah Daily pada hari Selasa bahawa sokongan masyarakat Melayu kepada DAP akan menamatkan kempen perkauman yang didalangi Umno.

sumber...FMT

Harussani: Politik kotor Umno punca Melayu pecah, bukan kerana Anwar atau Pakatan


PKR: Politik kotor Umno punca Melayu pecah, bukan kerana Anwar atau Pakatan


KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai perpecahan Melayu membuktikan ia berlaku disebabkan “politik kotor” Umno, bukannya disebabkan faktor-faktor lain.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata, pendedahan Harussani juga membuktikan perpecahan Melayu bukan berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

“Beliau (Harussani) juga menyatakan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, pernah menasihati (Tun) Dr Mahathir Mohamad agar tidak memecat timbalanya ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.

“Dengan kenyataan di atas, jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin Umno sendiri bermula dari Dr Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pendedahan yang dibuat Harussani itu juga membuktikan tuduhan liwat terhadap Anwar pada 1998 adalah fitnah dan konspirasi Dr Mahathir.

“Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam.

“Adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir dan para pengikutnya,” katanya.

Harussani dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti di Shah Alam kelmarin berkata, beliau pernah cuba untuk bertemu dengan Dr Mahathir agar tidak memecat dan juga tidak mengenakan tuduhan liwat ke atas Anwar.

Beliau berkata pemecatan Anwar akan mengakibatkan perpecahan orang Melayu kerana Anwar mempunyai pengaruh yang besar.

Kata Muhammad, ekoran pendedahan Harussani itu rakyat perlu sedar dan menolak fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar.

“Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu.

“Kita menyeru pemimpin Umno supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim demi perpaduan seluruh masyarakat Malaysia. Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.

Kemudian beliau berhadapan dengan kes salah guna kuasa dan liwat.

Anwar, Ketua Umum PKR, menghadapi tuduhan liwat kali pertama pada 1998 yang dikaitkan dengan beberapa individu yang rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan.

Anwar kini berdepan dengan satu lagi tuduhan liwat yang melibatkan pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan - kes masih dalam perbicaraan.

sumber...TMI


Thursday, August 25, 2011

Ketua Wanita Keadilan Bukit Gelugor (Cheryl Chew) Masuk Islam

Hidayah Allah ada dimana mana sahaja, carilah semuga anda berjumpa.
Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Sheryl Chew Hong Wah atau nama barunya Huda Chew Hong Wah nekad mendalami ajaran Islam sepenuh masa.

Bercakap kepada Suara Keadilan, beliau kini merasa lebih tenang selepas memeluk Islam, yang disifatkan beliau sebagai agama yang bersifat universal.
“Saya merasa amat tenang selepas saya memeluk Islam dan amat meyakini agama ini adalah agama yang benar.

“Ia bukan hanya milik orang Melayu atau bangsa Arab tetapi ia milik semua manusia,” katanya.
Menurut Huda, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan berterusan semua pihak terutama guru dan sahabat karibnya, Faridah Abdul Karim yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Gombak.

“Sejak berita saya memeluk Islam tersebar, rakan-rakan Facebook saya semakin bertambah.
“Tetapi yang lebih buat saya terharu ialah dokongan berterusan dan kata-kata semangat dari semua pihak terutamanya kak Faridah,” katanya.

Sementara itu, di Facebook, beliau kini menggunakan nama Huda Chew Hong Wah (Cheryl).
Huda sah bergelar muslim kira-kira 3 petang semalam di pejabat Jemaah Islam Malaysia (JIM) Taman Melawati, Gombak dan disaksikan rakan-rakan terdekatnya yang turut menitiskan air mata menyaksikan majlis itu.

Huda yang bermaksud ‘petunjuk’ dalam bahasa Arab sebelum ini banyak mendalami Islam menerusi kenalan yang menghadiahkan tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.
Difahamkan, sebelum ini Huda Cheryl sudah mula berpuasa dan mendalami Islam berperingkat-peringkat sebelum mengambil keputusan memeluk Islam ketika hari ke 24 umat Islam menunaikan ibadah Ramadhan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19557

Raja Azmi akan heret tiga individu ke mahkamah



Penerbit filem mahu bersih nama daripada tuduhan khalwat bersama Roslin

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Roslin Hashim, Norhayati Othman, 39, adalah antara tiga individu yang akan diheret ke mahkamah oleh penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, bagi membersihkan namanya daripada tuduhan khalwat yang dibuat ke atasnya dan bekas jaguh badminton negara itu pada 7 Ogos 2010.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti mengaitkan ketiga-tiga individu terbabit termasuk saudara terdekat dan seorang kenalan suaminya, Jalani Sidek, bersekongkol merancang konspirasi memfitnahnya dengan Roslin.
“Saya perlu mengambil tindakan undang-undang demi maruah keluarga terutama anak dan cucu saya memandangkan kisah khalwat yang sengaja diada-adakan ini sudah tersebar luas di laman sosial.
“Saya tidak mahu satu hari nanti cucu saya membuka internet dan mendapati neneknya pernah ditangkap khalwat, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“ Selepas mengemukakan saman, saya akan mendapatkan perintah mahkamah supaya artikel isu khalwat saya dengan Roslin dipadamkan di internet,” katanya pada sidang media khas dan majlis doa selamat di Hotel Concorde yang turut dihadiri Jalani, Roslin dan peguam mereka, Roslizam Rahim, di sini, semalam.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Raja Azmi, 52, dituduh berkhalwat dengan Roslin, 36, ketika serbuan dilakukan Norhayati bersama dua adik dan ibunya serta Jalani pada jam 8.30 malam di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Dakwaan khalwat dikemukakan Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 18 Ogos 2010, tetapi selepas setahun proses siasatan berlangsung, mereka dibebaskan daripada tuduhan itu Isnin lalu.
Raja Azmi yang juga ibu tiga anak hasil perkahwinan 29 tahun dengan Jalani mendakwa, pada asalnya enggan memanjangkan isu itu tetapi tohmahan tanpa henti berserta bukti menunjukkan pihak berkaitan cuba menghancurkan keluarganya.

sumber...BH

Azmil Mustafa Tampil Beri Keterangan Pada Polis

Azmil tampil kepada Polis

PETALING JAYA: Bekas pelakon popular yang kini bertukar menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustafa, pada Rabu tampil memberi keterangan kepada pihak polis selepas didakwa mengkafirkan kerajaan dan mengecam sistem pemerintahan sekarang dalam satu ceramah yang diadakannya di sebuah masjid di Subang baru-baru ini.

"Semuanya sudah selesai. Saya sudah beri keterangan seperti yang diminta. Tiga, empat jam juga saya di sana.

"Sekarang ini kita cuma tunggu keputusan polis sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Azmil berkata, dia telah ke Ibu pejabat Polis Daerah Petaling pagi ini setelah dihubungi pihak polis untuk memberi keterangan berhubung ceramahnya di Masjid An Nur, Kampung melayu Subang, minggu lalu.

Pihak polis telah menghubungi Azmil pada Isnin selepas Bilal Masjid An Nur, Mohd Sani Nasib membuat laporan polis terhadap Azmil berhubung kandungan ceramahnya itu yang dikatakan menghina orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan juga sistem pemerintahan sekarang.

Dia bagaimanapun tidak dapat hadir memberi keterangan pada hari tersebut kerana berada di Kedah.

Bagaimanapun, bekas pelakon filem "Ali Setan" itu berkata, beliau akan terus menyampaikan ceramah di masjid-masjid sekiranya dijemput.

"Setiap malam saya dijemput memberi ceramah dan saya akan terus memberi ceramah di masjid-masjid seperti biasa," katanya.

sumber...Mstaronline

Wednesday, August 24, 2011

DAP Ketua Menteri Melaka Baru?


DAP KM Melaka? BN bermain api

Kita minta Umno-BN menghentikan segera fitnah tersebut, kata pemimpin PAS negeri.

PAS Melaka mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) mula bermain api dan menyebarkan dakyah dengan mengatakan DAP akan menjadi Ketua Menteri Melaka jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Pemimpin Umno masuk ke kampung-kampung berkempen mengatakan DAP akan jadi Ketua Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah Melaka.

“Ini fitnah kerana Pakatan Rakyat tidak pernah memutuskan akan melantik pemimpin DAP sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pilihan raya umum, kata Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.

Ujar beliau, “kita minta Umno jangan memainkan isu ini kerana ia sensitif, kita minta mereka menghentikan segera fitnah tersebut.”

Beliau berkata, BN membuat dakyah itu bagi menjauhkan pengundi Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

“Fakta bahawa jika Pakatan menang majoriti di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, wakil rakyat DAP menjadi Ketua Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat negeri Melaka.

Perang saraf

“Ini semua adalah perang saraf Umno-BN,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dun dan ketika ini BN menguasai 23 kerusi manakala Pakatan Rakyat lima semuanya oleh DAP. Pakatan

Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi Dun untuk memerintah negeri Melaka.

Pada PRU 2008, DAP bertanding lapan kerusi, PAS 12 dan PKR tujuh kerusi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Melaka, Mohamad Yusof Abdullah menegaskan tidak mungkin wakil rakyat DAP menjadi Ketua Menteri Melaka kerana mereka bukan majoriti di kalangan pembangkang.

“Majoriti kerusi adalah Melayu dan sekaligus bermakna Ketua Menteri merupakan orang Melayu walaupun Pakatan Rakyat yang memerintah,” katanya.

sumber...FMT

Tunjuk Lancau Kena penjara 20 bulan

Tunjuk kemaluan peniaga dipenjara 20 bulan

Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang gadis dan sekumpulan pelajar sekolah Julai lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Jin Yoong, 32, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim didakwa menunjukkan kemaluannya kepada seorang gadis berusia 15 tahun di hentian bas di hadapan Sekolah Menengah St Mary, Sentul, di Kuala Lumpur pada 4 petang 28 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menunjukkan kemaluannya kepada sekumpulan pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Sentul di hentian bas di hadapan sebuah restoran di Sentul Raya antara 5 dan 6 petang pada 15 Ogos lalu.

Terdahulu dalam rayuannya Lim yang bekerja sendiri memohon agar dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa menanggung ibu bapa yang sudah berusia.

sumber...Bernama

Benji Suka curi seluar dalam wanita

ini bukan benji pelakon filem tuu laaah.....
benji tu dah kena hukum denda 5,000 ringgit pun.

Kanggaru curi seluar dalam wanita dari ampaian


PRAGUE, Republik Czech - Seekor kanggaru yang terlepas daripada jagaan seorang pemiliknya ditangkap kerana mencuri beberapa helai seluar dalam wanita di ampaian di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan jantan itu yang diberi nama Benji dan berusia dua tahun ditangkap polis selepas seorang wanita melihat ke arah tingkap dan mendapati ia mencuri seluar dalam miliknya yang disidai.

Sebelum ditangkap, polis mendapat panggilan daripada penduduk yang mengadu mengenai kehilangan seluar dalam di ampaian baru-baru ini.

Seorang jurucakap polis menjelaskan bahawa pihaknya juga menerima aduan daripada pemilik kanggaru itu bahawa haiwan tersebut telah melarikan diri.

Menurutnya, ketika itu, polis tidak berpendapat bahawa kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan.

Pemilik haiwan itu, Petr Hlabovic, 35, berkata: "Saya berasa amat lega kerana mendapat semula haiwan itu.

"Pastinya, haiwan itu tidak mendapat tabiat tersebut daripada saya."

sumber... Agensi

Tuesday, August 23, 2011

Gambar 4 Ekor lelaki Rusia didapati bersalah Rakam dan Rogol Pelajar Malaysia

Empat pemuda Rusia daripada keluarga kaya menggunakan iPhone untuk merakam aksi mereka merogol seorang pelajar kolej swasta eksklusif berusia 18 tahun di selatan London.

Keempat-empat pemuda Rusia yang baru berada di Britain selama dua minggu itu telah melakukan serangan seksual kepada pelajar Malaysia selama dua jam dan setengah. Pelajar Malaysia itu menuntut di sebuah kolej esklusif yang mengenakan bayaran £30,000 setahun.

Kesemua tertuduh berusia antara 19 dan 23 tahun, memberikan komentar menjijikkan - malah merakamkan pengakuan tentang rancangan untuk melakukan serangan seksual itu sehari sebelum kejadian.

Oleg Ivanov, 23, Norayr Davtyan, 22, Armen Simonyan, 19, dan Gregory Melnikov, 23, menafikan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka, namun juri di Mahkamah Woolwich Crown sebulat suara mendapati mereka bersalah.

Davtyan menyifatkan gadis itu sebagai 'mesin' dan di dalam kotak saksi memanggilnya sebagai 'sl **'. Mahkamah diberitahu bahawa Ivanov berasa 'kasihan' terhadap mangsa, apabila melihat dia menangis tetapi dipujuk oleh rakannya Davtyan.

Pendakwa Peter Clement, berkata: "Ahli geng ini melihat aksi antara satu dengan yang lain, memberikan kata-kata semangat antara satu dengan yang lain, dan melontarkan kata-kata komentar tentang perkara yang telah dan akan mereka lakukan terhadap mangsa."

Menurut keterangan mahkamah, pelajar Malaysia itu menghadiri sebuah parti dan meneguk segelas wiski sebelum ke disko.Walaupun tidak ada bukti kukuh yang menyatakan bahawa minumannya itu diletakkan bahan tertentu namun pelajar itu dilaporkan mabuk sebelum kembali kepada parti, muntah-muntah lalu tertidur.

Pada keesokan paginya, mangsa bangun yang menyedari seorang lelaki sedang melakukan seks dengan dirinya. Dia tidak dapat bergerak.

Mangsa memberitahu polis: "Saya hanya mahu dia berhenti, saya tidak dapat bangun, saya tidak dapat berdiri, saya berasa benar-benar, benar-benar, benar-benar letih, saya tidak dapat berbuat apa-apa saya tidak boleh menggerakkan tangan saya .. .

"Saya hanya mahu menutup mata saya, saya hanya ingin mati, saya tidak rela akan perlakuan mereka."

Davtyan telah disabitkan atas dua tuduhan rogol, Melnikov disabitkan dengan satu tuduhan rogol dan cubaan rogol manakala Ivanov dan Simonyan kedua-duanya disabitkan atas satu tuduhan rogol.

Mereka masih ditahan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman esok.

sumber... dailymail/DCM / greenboc

Oleg Ivanov, 23Norayr Davtyan, 22
Armen Simonyan, 19Gregory Melnikov, 23

September: Makna bulan 'Besar' bagi Najib

September semakin hampir,siasatan Scorpene merisaukan Najib

Sembilan tahun yang lalu pada tahun 2002, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Menteri Pertahanan, Malaysia telah membeli dua kapal selam serang diesel-elektrik Scorpene dari syarikat Perancis DCNS. Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk menaik taraf angkatan tentera laut Malaysia. Ini telah mencetuskan rantaian peristiwa termasuk rasuah, pembunuhan dan seks persis plot sebuah novel terlaris dipasaran.

Suatu penyiasatan dijalankan ke atas perjanjian yang berlaku pada tahun 2002 oleh seorang hakim penyiasatan yang dilantik oleh Perancis bertujuan untuk "mendapatkan kebenaran sekitar komisen", mengikut kata ahli kumpulan hak asasi manusia Suara aktivis Rakyat Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong.

Masa sudah semakin hampir untuk pembongkaran kes melalui penyiasatan pihak Perancis. Pada bulan September, Najib dan kerajaan akan berada di bawah penelitian terperinci bukan sahaja untuk rasuah yang dikatakan yang telah dibayar sebagai "komisen" kepada pegawai kerajaan semasa jualan tetapi lebih sensasi lagi kerana pembabitan beliau dalam pembunuhan penterjemah Mongolia, Altantuya Sharibuu pada tahun 2006.

Semasa penjualan dua kapal selam, sebanyak 114 juta euro telah dibayar sebagai "yuran" oleh DCNS kepada syarikat perunding Perimekar Sdn. Bhd, di mana pemegang saham utama syarikat itu adalah isteri rakan rapat Najib, penganalisa politik Abdul Razak Baginda. Altantuya, yang mempunyai hubungan sulit dengan Baginda, telah mendapat tahu tentang perkara ini dan menuntut 500,000 euro dari Baginda, satu tindakan yang membawa kepada kematian beliau. Yang lain, seperti yang kita tahu, masih lagi diselubungi misteri.

Garis masa

Berikut adalah garis masa ringkas untuk kejadian yang berlaku melibatkan jual beli Scorpene:

Pada bulan Oktober 2006, warganegara Mongolia Altantuya Sharibuu telah ditembak di kepala dan diletupkan dengan bahan letupan C4 di Shah Alam. Ini telah mencetuskan perbicaraan sensasi dan siasatan ke atas pemimpin-pemimpin atasan Malaysia dan pegawai-pegawai kerajaan. Baginda dan dua pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, Polis Tindakan Khas Malaysia dan pengawal peribadi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah ditangkap kerana membunuh.

Pada bulan Jun 2008, Raja Petra Kamarudin dalam akuan bersumpah telah mengimplikasikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansur dalam pembunuhan Altantuya.

Pada bulan Julai 2008, penyiasat persendirian P. Balasubramaniam hilang sehari selepas beliau memfailkan akuan bersumpah yang mendedahkan kaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya dan penglibatannya secara langsung dalam penyiasatan pembunuhan Altantuya. Bala juga mendakwa bahawa Najib pernah mempunyai hubungan seks dengan mangsa, dan Baginda telah mendapatkan Altantuya sebagai kekasih dari Najib.

Pada 31 Oktober 2008, Baginda telah dibebaskan daripada dakwaan bersubahat untuk membunuh penterjemah Mongolia, yang telah mempunyai hubungan sulit dengannya.

Pada 3 Februari 2009, Sirul merayu kepada mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman mati ke atasnya kerana dia adalah "kambing hitam yang dikorbankan" untuk melindungi orang-orang yang tidak boleh dinamakan.

Pada bulan April 2009, dua anggota polis tindakan khas menerima hukuman mati kerana didapati bersalah membunuh jelitawan Mongolia.

Pada bulan Mac 2010, pegawai-pegawai undang-undang Perancis melancarkan siasatan terhadap penjualan kapal selam Scorpene pada2002 atas permintaan Suaram.

Bulan lalu, peguam Perancis William Bourdon yang diupah oleh Suaram, dihantar pulang dari Kuala Lumpur selepas memberi ucapan pada majlis makan malam Suaram di Pulau Pinang pada hari Khamis.

Gajah di dalam bilik

Dengan penyiasatan semakin hampir, siri peristiwa dan tindakan yang meragukan oleh kerajaan Malaysia, kes ini tidak lagi boleh diketepikan atau dikatakan sebagai kebetulan semata-mata. Saling pertindihan antara kematian dan Altantuyadan skandal Scorpene tidak mudah untuk dilepas pandang.

Dengan banyaknya misteri yang masih menyelubungi kes ini, penting digariskan hubungan antara pembunuhan Altantuya dan skandal Scorpene, serta penglibatan Najib dan Razak dalam kedua-dua peristiwa di atas tidak kekal sebagai ‘gajah di dalam bilik’.

Mungkin dengan bermulanya penyiasatan ke atas " Operasi Scorpene" pada bulan September, kebenaran di sebalik pembunuhan Altantuya dan sejauh mana amalan rasuah dalam kerajaan kita akhirnya akan diketahui orang ramai.

sumber...Malaysia Chronicle

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

SEJUMLAH penduduk berhimpun di Benghazi, Libya semalam untuk meraikan kejayaan para pemberontak memasuki bandar Tripoli.


TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.


Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang.

sumber... AP

Akta Murtad: Pemuda Pas Perak sokong Harussani

IPOH, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan sokongan terhadap cadangan mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) agar menyegerakan Akta Murtad baru-baru ini.

“Kami yakin usaha untuk memelihara akidah umat Islam perlu kepada penegasan agar tindakan untuk memesongkan umat Islam terjebak kepada gejala murtad dapat diatasi,” ujar setiausahanya, Salman Saleh dalam surat yang diemelkan kepada Harussani, hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS negeri berharap cadangan tersebut dapat dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Perak dan mereka juga mencadangkan agar semua parti politik menyatakan sokongan secara terbuka demi memelihara akidah umat Islam.

Tambahnya, adalah menjadi harapan Pemuda PAS negeri juga untuk membincangkan dengan lebih lanjut lagi perkara tersebut dan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Harussani dalam tempoh yang terdekat ini.

“Kami bersedia membincangkan isu yang semakin parah buat umat Islam ini dan berharap ianya dapat dijayakan dengan kadar segera,” ujarnya.

sumber...harakahdaily

Monday, August 22, 2011

Selangor tubuh Majlis Syura selesai kemelut Jais-DUMC

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan majlis penasihat Syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.

Majlis tersebut akan dianggotai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar.

Menurut Abdul Khalid, idea penubuhan majlis syura tersebut dicadangkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika mereka mengadakan perbincangan minggu lalu.

“Saya menghargai nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan.

“Saya juga telah berjumpa dengan mufti negeri Selangor dan kami telah merumuskan formula untuk dirujuk oleh Majlis Syura,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Khalid berkata, majlis tersebut akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk dibangunkan garispanduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagi kaum dan agama terus terpelihara.

Harapan Komuniti

Beliau juga berkata majlis ini akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam itu, Harapan Komuniti.

“Sekiranya perlu. majlis Syura juga akan memanggil DUMC dan 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam di gereja berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan,” tambahnya.

Jelasnya, majlis ini juga akan mendengar dan meneliti sepenuhnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

“Keutamaan Kerajaan Selangor ialah memastikan setiap aspek pentadbiran mematuhi prinsip keadilan, telus, amalan pentadbiran yang baik dan berintegriti,” kata menteri besar.

Kerajaan Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

sumber...FMT