Followers

Tuesday, February 12, 2019

Kenapa Perbicaraan Kes Najib Ditangguh ?




Peguam: Kesilapan AGC punca bicara Najib Tangguh

Peguam Haniff Khatri Abdulla mengkritik apa yang menurutnya langkah silap oleh pihak pendakwaan dari Pejabat Peguam Negara yang menyebabkan penangguhan perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Beliau yang sebelum ini menjadi penasihat undang-undang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan langkah pihak pendakwaan sebagai "tahan jerat sorong kepala".

Katanya, jelas bahawa pasukan peguam Najib akan cuba menangguhkan perbicaraan dan beberapa langkah yang diambil pendakwa sebagai "aneh dan pelik".

Kesilapan pertama, katanya, adalah keputusan pendakwa untuk menambah tiga lagi pertuduhan berkaitan SRC International 15 hari sebelum perbicaraan.

"Kenapa perlu ditambah pertuduhan lanjutan berkaitan SRC, sedangkan apa yang penting dari segi keadilan adalah agar sekurang-kurangnya satu pertuduhan dapat dibicarakan mengiku jadual iaitu 12 Februari, seperti yang didahaga semua pihak yang sudah lama menantinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 28 Jan lalu, pihak pendakwaan mengenakan tiga lagi pertuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hanya untuk meminta Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan pembebasan tanpa dilepaskan pada 7 Februari.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata ada hujah berhubung sama ada tiga tuduhan itu perlu bertindak sebagai pencantuman (joinder) dengan tujuh lagi kes.

Katanya lagi, tiga pertuduhan kemudian akan dikenakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen kemudian.

Najib kemudian didakwa semula di Mahkamah Sesyen pada 8 Februari. Pihak pendakwa juga memaklumkan mereka mahu memindahkan tiga pertuduhan itu ke mahkamah tinggi.

Satu lagi langkah silap menurut Hanif adalah keputusan pendakwa untuk menarik balik sijil pindah kes untuk tujuh pertuduhan SRC International yang menjadi asas perpindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurut Kanun Tatacara Jenayah, pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi boleh dibuat melalui sijil itu atau budi bicara hakim.

Ketika menarik balik sijil itu dan meminta budi bicara hakim untuk pemindahan kes, Thomas berkata ia bagi mengelakkan sebarang hujah bahawa pemindahan itu adalah satu pembatalan.

Haniff bagaimanapun berkata, tindakan menarik balik itu sendiri membuka ruang pertikaian, yang menjadi asass kepada permohonan penangguhan Najib yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

"Ia membuka ruang untuk pihak pembelaan menghujahkan tiada mana-mana prosiding yang wujud pada masa itu untuk Mahkamah Tinggi memindahkan tujuh pertuduhan, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah, dan bahawa ia perlu disebut semula di Mahkamah Sesyen terlebih dulu," katanya lagi.

Haniff juga mempersoalkan mengapa pihak pendakwa mengambil masa enam bulan untuk mengubah kaedah kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, yang bermula pada 10 Ogos 2018.

Katanya, langkah untuk menarik balik sijil pindah kes pada 7 Februari dibuat hanya lima hari sebelum tarikh perbicaraan.

"Sejujurnya, rakyat Malaysia berhak menuntutk pihak pendakwa memberi penjelasan munasabah ke atas kealpaan dan kecuaian (mereka).

"Sudahlah pihak pembelaan pasti mencari jalan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi amat sedih apabila pihak pendakwa yang diharapkan gagal bertindak profesional, dan menyumbang besar kepada penangguhan perbicaraan yang dinantikan ini," katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membenarkan permohonan penangguhan Najib sementara mendengar dan memutuskan rayuannya berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes berhubung kes berkenaan.

sumber...mKini