Followers

Sunday, December 7, 2014

Bekas Pengarah Urusan MAS Tibai Perlantikan Mueller


Lantikan Mueller satu pembaziran, kata bekas pengarah urusan MAS

Ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Khazanah Nasional Berhad melantik Christoph R Mueller sebagai CEO Malaysia Airlines bermula Januari ini.

Tindakan Khazanah Nasional Berhad melantik Christoph R Mueller sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS Newco) membazir wang negara, kata Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Bekas pengarah urusan MAS itu turut menyindir kerajaan yang tidak membela kebajikan pekerja syarikat itu, tetapi sebaliknya mengambil warga asing bekerja dan membayar gaji besar kepada Mueller.

"Mereka mahu kurang perbelanjaan, tidak mahu bayar gaji begitu ramai tapi boleh ambil CEO dari luar negara," katanya dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

Aziz berkata, sebagai negara yang lama menerajui dunia penerbangan, Malaysia sebenarnya memiliki calon tempatan yang lebih sesuai dilantik sebagai CEO berbanding Mueller.

Katanya, beliau dapat mengenal pasti beberapa calon tempatan yang layak berdasarkan pengalaman puluhan tahun dalam industri, namun enggan memberi nama sesiapa.

"Kalau tanya saya, saya ada nama yang sesuai untuk dicadangkan tetapi mereka tidak tanya pun, ambil jalan mudah pilih orang luar," katanya.

Menurut Sinar Harian, Aziz merupakan individu yang dipertanggungjawabkan kerajaan menubuhkan MAS pada 1972.

Katanya, sebagai rakyat asing, Mueller tidak akan mampu memahami masalah yang berlaku di negara ini sebaiknya kerana tidak memahami budaya masyarakat Malaysia.

Mueller dijadualkan menerajui MAS Newco berkuatkuasa 1 Januari, 2015.

Menyentuh jumlah ahli lembaga pengarah MAS yang baru, iaitu seramai 13 orang, Aziz menganggapnya terlalu ramai.

"Cukup enam ke tujuh orang saja (lembaga pengarah), ditambah pula 6,000 kakitangan MAS dibuang.

"Itu bermakna syarikat ini semakin mengecil, bukan syarikat besar lagi," katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, MAS rugi kerana rakyat Malaysia tidak pandai menguruskannya.

"Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangan, sebab itu MAS rugi," katanya.

Katanya, tidak hairan jika orang luar diberikan kepercayaan mengurus dan memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.

Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) juga mahu rakyat tempatan menguruskan MAS kerana melibatkan soal maruah dan keselamatan negara.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, tindakan kerajaan melantik CEO Aer Lingus itu membuktikan kerajaan tidak mempercayai rakyat sendiri menguruskan syarikat penerbangan negara.

"MAS bukanlah sebuah syarikat penerbangan komersial biasa, lebih daripada itu, MAS adalah ‘syarikat penerbangan negara’.

"Operasi harian MAS termasuk dalam sektor strategik terpenting Malaysia kerana membabitkan soal maruah dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.


sumber...TMI