Followers

Sunday, February 15, 2015

Latest: Nurul Izzah Dedah Tawaran Antara BN dan Anwar



BN pernah tawar Anwar jawatan TPM jika tinggal Pakatan, kata Nurul Izzah

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berucap semasa kempen ‘March 2 Freedom’ di Seberang Jaya ,semalam.

Barisan Nasional (BN) pernah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) yang memenangi 52% undi popular pada 2013, kata anaknya malam tadi.

Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memberitahu satu ceramah di Pulau Pinang yang tawaran itu dibuat semasa rundingan pendamaian pasca pilihan raya.

"Dia disuruh mengabaikan sekutu PKR, PAS dan DAP; menerima tawaran itu, membentuk kerajaan... 'que sera sera' (apa yang terjadi, akan terjadi), kita bergembira bersama-sama.

"Apa keputusan beliau? Beliau menolak tawaran itu sama sekali kerana ia berkaitan hidup dan mati perjuangan kami. Sebagai sebuah gabungan, kita hanya boleh bekerja bersama-sama selagi kita berpegang kepada prinsip," katanya pada ceramah di tapak ekspo Seberang Jaya di Permatang Pauh, kawasan Parlimen Anwar.

Ceramah itu diadakan bagi memberi penghormatan kepada Anwar yang dipenjarakan di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan ketua umum PKR itu terhadap sabitan liwatnya dan mengekalkan hukuman 5 tahun hukuman penjara terhadapnya Selasa lepas.

Nurul Izzah memberitahu hadirin seramai kira-kira 1,000 orang itu, Anwar bersetuju berunding apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak supaya satu pendamaian diadakan selepas pilihan raya.

Beliau berkata, bapanya menetapkan syarat, antara lain, mesti wujud usaha menangani rasuah dalam kerajaan persekutuan dan dalam menangani isu ekonomi, tetapi rundingan itu akhirnya tidak berjaya.

Nurul Izzah terdahulu berkata, ayahnya terpaksa dipenjara kerana beliau merupakan cabaran utama kepada pemimpin BN selepas beliau mengetuai PR mencapai kemenangan yang lebih besar pada 52% undi popular dalam pilihan raya 2013.

Katanya, beliau dan adik-beradiknya bangga menjadi anak-anak Anwar kerana mereka tahu sekurang-kurangnya beliau tidak rasuah, tidak menyalahguna kuasa atau menindas rakyat, dan akan berdiri dan berjuang bersama rakyat.

Beliau juga menyifatkan bapanya sebagai seorang pejuang yang tidak akan menyerah kepada ugutan politik.

Ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memberitahu hadirin tentang keadaan Anwar sejak dimasukkan ke penjara pada Selasa.

"Saya amat kecewa melihat keadaannya begitu ketika lawatan kami selama 45 minit. Dia cuba menggembirakan kami, katanya dia baik-baik saja.

"Dia dimasukkan ke dalam sel yang tidak mempunyai katil, hanya tilam setebal satu inci. Tiada kerusi, tiada meja. Dia tidak mengeluh tetapi dia mengalami sakit belakang, jadi memang susahlah untuknya.

"Kalau boleh, demi kesihatannya, berilah dia katil. Kami bukan meminta layanan VIP... beliau seorang tahanan politik. Kerana politik, beliau menderita begitu teruk. Sedih saya," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut berucap pada ceramah itu menawarkan sokongannya untuk Anwar dan Dr Wan Azizah; menggesa rakyat membantu PR mengekalkan kerusi persekutuan Permatang Pauh ketika pilihan raya kecil kelak.

Anwar akan kehilangan kerusi itu dalam masa 2 minggu melainkan beliau mendapat pengampunan diraja.

Beliau berkata, PR masih percaya Anwar bakal perdana menteri Malaysia, dan meminta orang ramai menjadi "mahkamah yang akan memberi keadilan kepada Anwar".

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, BN dan Umno hanya cuba menggunakan isu lain bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah berkaitan ekonomi.

"Sekiranya Anwar masih bersama kita di sini, beliau pasti akan berdiri di barisan hadapan melawan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)," katanya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memberikan penghormatan kepada Anwar, menyifatkan beliau sebagai satu spesimen yang jarang ditemui kerana keberaniannya.

Anwar, katanya, dikenali kerana keberaniannya sejak zaman beliau sebagai pemimpin pelajar sehingga beliau meningkat naik menjadi menteri, jatuh pula kemudiannya dan akhirnya berperanan sebagai ketua pembangkang.

"Walaupun pernah menikmati kekuasaan, dia masih boleh kembali dan berjuang bersama-sama dengan orang biasa.

"Beliau boleh sahaja meninggalkan negara ini, tetapi beliau memilih tinggal di sini dan berdepan dengan sistem dan kini beliau di penjara. Jarang kita jumpa lelaki seperti ini," katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Ceramah itu juga mendengar pemimpin memberi penghormatan kepada Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis malam baru-baru ini.

Lim berkata semangat Nik Aziz mesti terus dihidupkan dalam perjuangan PR, manakala Mohamad berkata bekas menteri besar Kelantan itu dihormati kerana beliau memimpin melalui teladan dan sentiasa merendah diri.

Mat Sabu berkata, Nik Aziz tidak terkenal kerana berjaya menarik orang ramai mendengar ceramahnya, tetapi kerana beliau seorang ulama yang mengamalkan apa yang diajarnya.

"Almarhum juga bukan terkenal kerana ilmu pengetahuannya. Beliau tiada PhD seperti orang lain tetapi beliau dikenali kerana kebaikannya dan contoh baik yang ditunjukkannya.

"Apabila beliau menjadi menteri besar Kelantan, beliau terus tinggal di rumah lamanya, dengan kehidupan yang serba sederhana. Inilah yang sepatutnya kita buat bila kita ada kuasa," katanya.

Walaupun PR kehilangan kedua-dua pemimpin, Mat Sabu berikrar memastikan pakatan pembangkang akan kekal bersama dan berjuang sehingga mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin juga mengumumkan poskad "March to Freedom" parti itu di ceramah malam tadi.

Orang ramai yang ingin menghantar kata-kata semangat kepada Anwar boleh menulis di poskad itu yang akan dihantar ke penjara Sungai Buloh.


sumber...TMI

Friday, February 13, 2015

Inilah Kata Lim Guan Eng Terhadap Tok Guru Nik Aziz



Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata imej sederhana Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan diingati semua pihak sampai bila-bila. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Februari, 2015.

Nik Aziz disanjung semua kaum tanpa mengira agama, kata Guan Eng

DAP menyifatkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh yang bukan saja disanjung oleh umat Islam dalam negara dan luar negara tetapi juga disanjung orang bukan Islam, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu ketika memberikan ucapan di majlis pengebumian Nik Aziz berkata, kehidupan "sempoi dan bersih" mursyidul am PAS itu akan diingati semua pihak sampai bila-bila.

Beliau juga berkata, Nik Aziz yang menjadi menteri besar selama 18 tahun ketika beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) lain dilantik menjadi ketua menteri dan menteri besar.

"Saya masih ingat, ketika kita tawan lima negeri dalam pilihan raya 2008, kami semua memandang kepada Tok Guru Nik Aziz untuk meminta panduan dan nasihat," kata Guan Eng sebak.

Turut serta bersama Guan Eng adalah bapanya Lim Kit Siang yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi di rumah Nik Aziz.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, memang benar yang hilang akan berganti.

"Tetapi kehilangan Tok Guru Nik Aziz tidak akan ada yang boleh menggantikannya," kata Mustafa.

Menurut Mustafa, PAS kehilangan pemimpin yang paling disayangi semua.

Mustafa meminta perjuangan Nik Aziz diteruskan semua ahli PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di antara pemimpin tertinggi kerajaan yang turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Nik Aziz.


Oleh: ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

Tuesday, February 10, 2015

Anwar di Penjara: Betul Apa Yang Azmin Ali Kata



Penahanan Anwar kuatkan Pakatan menentang BN, kata Azmin

Keputusan rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pembakar semangat Pakatan Rakyat (PR) menentang salah laku regim Barisan Nasional (BN), kata Mohamed Azmin Ali (gambar, kanan).

Menteri besar Selangor itu berkata, PR akan mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi menentukan siapakah ketua pembangkang yang baru.

"Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan PR bagi meneruskan perjuangan," katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

"Kita akan bermesyuarat secepat mungkin. Kita akan tentukannya nanti".

Anwar hari ini gagal dalam rayuan kes Liwat II dan Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman lima tahun penjara sebagaimana yang ditetapkam Mahkamah Rayuan pada Mac 2014.

Mahkamah juga mengenepikan permohonan pihak pembela yang meminta hukuman lebih ringan dari yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum ini, pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan.



Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Anwar menyerang panel lima hakim yang mensabitkan beliau bersalah hari ini, menuduh mereka "tunduk kepada tuan politik dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman".

Azmin berkata Anwar mengingatkan pimpinan dan anggota pembangkang supaya meneruskan perjuangan membawa perubahan.

Katanya, reformasi total mesti dilakukan dalam negara untuk maju ke tahap lebih cemerlang.
Mengulas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebaik sahaja keputusan mahkamah pagi tadi, Azmin berkata ia menunjukkan perancangan rapi di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan badan kehakiman.

Saya percaya rakyat akan melihat adakah keadilan sudah diberikan dalam kes Anwar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Elizabeth Wong berkata keputusan hari ini adalah keputusan politik yang sudah dijangkakan.

Katanya, mesyuarat pimpinan PR minggu lalu juga ada membincangkan bagaimana jika Anwar dipenjara dan perincian lebih lanjut akan dimaklumkan kemudian. .

Semua orang amat sedih tetapi ini kes politik yang membuatkan kita lagi marah. Saya yakin rakyat bijak melihat ini satu sandiwara. Mereka akan memperkukuh azam untuk menjatuhkan Umno BN,” katanya.


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Friday, February 6, 2015

Anwar Ibrahim 'Terlibat' Pertembungan Dalam UMNO ?



Sejauh manakah kebenaran dakwaan mengenai keterlibatan Anwar dalam Umno

Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pertembungan dalaman Umno ekoran daripada kesediaannya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan salah guna kuasa terhadap Tun Daim Zainuddin.

Menjelaskan situasi itu, Ketua Umum PKR itu berkata, dakwaan salah guna kuasa terhadap bekas menteri kewangan itu sudah lama dibuat iaitu sejak tahun 1999.

"Saya tak terlibat dalam pertembungan dalaman Umno. Saya bukan lagi ahli Umno. Kenyataan saya ketika itu merujuk kepada Daim.

"Ia sudah lama, sejak tahun 1999, saya pernah membuat laporan polis, saya keluar dokumen sebagainya, malah saya pernah serahkan dokumen ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas merasmikan peluncuran buku Dr Syed Husin Ali, di Shah Alam hari ini.

Bulan lalu, berlakunya serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana Daim terlibat dalam kontroversi apabila dikaitkan dengan tuduhan salah guna kuasa dan berita itu mendapat liputan meluas daripada media arus perdana TV3.

Liputan sebegitu media yang dikawal Umno itu mengejutkan ramai sehingga wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin memberi amaran yang tindakan itu hanya akan menyebabkan pendedahan “menggiurkan” mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

SPRM kemudiannya berkata akan menyiasat Daim dan Anwar pula menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama sekiranya dipanggil badan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar berkata hari ini, beliau kemungkinan akan menangguhkan urusannya dengan SPRM kerana terlalu sibuk dengan halnya sendiri memandangkan kurang lima hari lagi penentuan nasibnya berhubung kes liwat II akan dibuat.

"SPRM turut dimaklumkan mengenai penangguhan ini. Jika saya bebas daripada hukuman mahkamah, saya akan beri ruang kepada SPRM, sebab perjumpaan itu akan mengambil masa yang panjang.

"Jika takdir buruk berlaku kepada saya, saya persilakan SPRM ke penjara Sungai Buloh atau Kajang. Tapi saya rasa mereka tak banyak masalah, SPRM boleh rujuk rekod Perbendaharaan Negara," katanya.

Sebelum ini, Anwar mendakwa mempunyai "bukti" salah guna kuasa Daim selain berharap SPRM tidak hanya menumpukan siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

15 tahun lepas, Anwar penah membuat laporan yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.


sumber...TMI

Thursday, February 5, 2015

Barbaric: ISIS Bakar Pilot Jordan Hidup Hidup


Imej yang memaparkan juruterbang Jordan Leftenan Muath Al- Kaseasbeh dibakar hidup-hidup oleh Kumpulan Militan Negara Islam (IS).
  
AMMAN JORDAN: Kumpulan militan negara Islam (IS) memuat naik rakaman video seorang juruterbang Jordan dibakar hidup-hidup dalam sebuah sangkar besi pada Selasa.

Penyebaran video berkenaan menimbulkan kemarahan masyarakat dunia yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'sangat kejam dan dilakukan oleh masyarakat yang tidak bertamadun'.

Pihak tentera turut mengesahkan kematian Leftenan Muath Al- Kaseasbeh, yang telah ditahan oleh puak ekstremis berkenaan selepas pesawat tempur F-16 yang dipandunya terhempas semasa menyertai misi bersama Amerika Syarikat untuk menghapuskan IS.

TV Jordan mendedahkan, juruterbang berkenaan mungkin telah dibunuh pada 3 Januari.

Minggu lalu, kumpulan militan IS enggan memberikan sebarang maklum balas kepada pihak berkuasa Jordan yang ingin mengetahui sama ada juruterbang berkenan masih hidup agar tawaran untuk menukarkan pejuang wanita IS yang ditahan dapat dilakukan.

Pembunuhan juruterbang berusia 26 tahun itu dilihat sengaja dilakukan bagi memberikan tekanan kepada kerajaan Jordan yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat agar meninggalkan gabungan berkenaan, kerana mereka terlibat dalam siri serangan udara untuk memusnahkan kubu IS di Syria dan Iraq.

Bagaimanapun kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan ekstremis tersebut dijangka memberikan kesan kepada masyarakat Islam sendiri terutamanya puak Sunni yang menyokong kumpulan tersebut.

Raja Abdullah II yang telah melancarkan kempen menentang puak ekstremis, kini berada di Washington untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden, Barack Obama.

Dalam satu perutusan yang disiarkan di televisyen Jordan pada petang Selasa, Baginda melahirkan 'rasa sedih dan marah' dengan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kumpulan IS terhadap juruterbang berkenaan.

"Justeru, semua rakyat Jordan digesa bersatu dalam menghadapi kesedihan ini bersama-sama," kata Abdullah.

Sementara itu, Obama menyifatkan tindakan kumpulan IS itu sebagai 'kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan yang tidak mempunyai sifat perikemanusiaan'.

"Saya fikir, kita perlu berusaha menentang kezaliman yang dilakukan oleh puak IS ini diperingkat global dan apabila semua masyarakat dunia bersatu sudah pasti kita dapat mengalahkan mereka," kata kepada pemberita dalam satu majlis di White House.

Rakaman video berdurasi 20 minit yang menunjukkan insiden juruterbang malang itu dimuat naik di laman web kumpulan militan berkenaan.

Wajah juruterbang malang itu juga dilihat mempunyai kesan hitam di bawah mata dipercayai akibat dipukul. Ketika kejadian mangsa memakai 'jumpsut' berwarna oren.

Dia dibakar dalam sebuah sangkar besi sementara beberapa anggota IS yang memakai topeng dilihat berdiri berhampiran dengannya.

Kejadian malang itu berlaku hanya selepas tiga hari wartawan Jepun, Kenji Goto dilaporkan dipancung oleh kumpulan militan bereknaan.

Ribuan rakyat Jordan turut melahirkan rasa marah mereka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh
IS.

Mereka berarak dengan membawa bendera Jordan menuju ke istana dengan melaungkan slogan menentang IS.

"Jahanam IS! dan 'Kami akan menuntut bela, atas kematian anak kami!."

Sebelum juruterbang berkenaan dibunuh, Kumpulan IS telah membuat tawaran agar kerajaan Jordan membebaskan pejuang Al-Qaeda, Sajida al-Rishai yang dikenakan hukuman gantung kerana terlibat dengan tiga kejadian pengeboman di negara tersebut.

Al-Rishawi berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati kerana menjadi perancang utama dalam mengebom tiga hotel di Amman pada 2005.

Sehubungan itu juga, Jordan menetapkan untuk melaksanakan hukuman mati terhadap wanita berkenaan secepat mungkin sebagai usaha membalas dendam terhadap IS.

Respon dari Syeikhul Azhar Mesir

Syeikh Azhar: IS itu 'syaitan', harus disalib

Syeikhul Azhar di Mesir menggesa pemberontak-pemberontak Negara Islam (IS) dihukum bunuh, termasuk disalib, selepas membakar hidup-hidup juruterbang Jordan.

Ahmed al-Tayeb berkata kumpulan pejuang di Syria dan Iraq itu sebagai pertubuhan "syaitan" yang merosakkan alam dan melancarkan perang terhadap Tuhan, lapor agensi berita dpa hari ini.

Pemimpin besar Universiti Al-Azhar yang berpengaruh dan disegani itu juga menggesa hukuman keras terhadap anggota-anggota IS dengan memotong kaki atau tangan mereka.

Juruterbang Muath Al-Kaseasbeh ditangkap pada Disember apabila jetnya F-16 terhempas ketika melancarkan serangan terhadap kumpulan pemberontak itu.

sumber...Mstar dan mkini

Wednesday, February 4, 2015

Terbongkar Siapa Blogger Pro Jho Low ?


TERBONGKAR! Blogger pro-Jho Low di belakang serangan terhadap Dr M, Nazir dan pemilik The Edge 

Blogger tidak dikenali yang mengendalikan malaysianexpose.wordpress.com dan membuat serangan tidak berasas terhadap Datuk Tong Kooi Ong dan The Edge Media Group merupakan pihak yang sama di sebalik serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazir Razak.

Pada masa sama, siasatan menunjukkan, ia juga menulis blog lain yang mengandungi artikel memuji ahli perniagaan Jho Low.

Seperkara yang sama di sebalik serangan tersebut ialah The Edge banyak menulis pendedahan tentang syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sementara bekas perdana menteri itu juga terang-terangan mengkritik dana pelaburan negara tersebut, mengatakan ia tidak diperlukan dan patut ditutup.

Nazir, pengerusi CIMB Group, pernah dalam perbualan peribadinya melahirkan kebimbangan tentang hutang RM48 bilion 1MDB yang akan memberi risiko kepada sistem ekonomi dan perbankan sekiranya ia gagal.

Dalam satu temuramah bersama The Star pada Disember 2013, Nazir juga berkata beliau bimbang bagaimana 1MDB boleh membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) memandangkan sudah terdapat lebihan bekalan ruang pejabat sedia ada.

Blogger tersebut bukan sahaja menyerang Dr Mahathir, tetapi juga anaknya, ahli perniagaan Tan Sri Mokhzani dan Datuk Mirzan serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz.

Blogger tersebut juga menyerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang turut menyuarakan kebimbangannya mengenai 1MDB.

Dalam kes Nazir, isteri dan anak-anaknya juga terpalit dengan fitnah.


Snapshot cache Google blog kronismemahathir.wordpress.com seperti yang dilihat pada 16 Januari, 2015 yang menerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.


Snapshot cache Google blog kronismemahathir.wordpress.com seperti yang dilihat pada 16 Januari, 2015 yang menerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.

Sementara itu, Low Taek Jho, 30-an, yang berasal dari Pulau Pinang, juga dikenali sebagai Jho Low, terlibat dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (nama 1MDB sebelum ini).

Beliau masih lagi berpengaruh luas di 1MDB kerana hubungan rapatnya dengan pihak Abu Dhabi yang mempunyai urusan bernilai berbilion ringgit dengan syarikat kontroversi yang sarat menanggung hutang itu, yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Low yang sering dilihat di parti mewah dengan selebriti Hollywood seperti Paris Hilton dan Leonardo Di Caprio, mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB, termasuk tawaran £1 billion (RM5.6 bilion) untuk kumpulan hotel UK Coroin Ltd yang gagal pada 2011.

1MDB memberi surat sokongan kepada Kumpulan Wynton milik Low untuk membeli Coroin yang memiliki beberapa hotel, termasuk Claridge's.

Low membuat bidaan tersebut bersama rakannya Sheikh Mansour Zayed of Abu Dhabi, yang juga pemilik kelab English Premier League Manchester City.

Namun mereka gagal kerana sesetengah pemegang saham Coroin merasakan, perjanjian yang dicadangkan dengan hutang yang tinggi (seperti kebiasaan perjanjian dibuat 1MDB) tidak dapat berfungsi.

Namun Low dan Sheikh Mansour, yang membeli saham kecil dari Coroin sebelum cuba membeli semua sahamnya, dipercayai mengaut keuntungan besar selepas menjual saham mereka kepada pembeli berikutnya.

1MDB tidak pernah menjelaskan mengapa ia mengeluarkan surat sokongan tersebut, yang timbul semasa kes mahkamah di London melibatkan pemegang saham Coroin yang bertelagah, bagi membantu Low.

Tahun lepas, The Edge Media Group menyiarkan beberapa pendedahan tentang hal ehwal 1MDB, termasuk sokongan 1MDB bagi Low untuk membeli Coroin serta pembelian tanah RM1.38 bilion di Pulau Pinang seminggu sebelum Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), daripada ahli perniagaan yang rapat dengan Low dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng.

The Edge melaporkan yang 1MDB terlebih bayar bagi bidang-bidang tanah yang bermasalah, dan ia akan kehilangan banyak wang untuk membina 9,999 perumahan mampu-milik, disebabkan kos tanah yang tinggi serta kos mengosongkan beberapa ribu rumah yang berada di sana sejak 1950-an.

Blogger yang tidak dikenali itu menggunakan nama 'ahrily90' dan menulis di blog berikut sejak pertengahan tahun 2014:

kronismemahathir.wordpress.com

politikukus.wordpress.com

Dua blog ini menyerang Dr Mahathir sejak Julai tahun lepas.

ahrily90 juga menulis 2 blog yang menyerang Nazir:

Snapshot cache Google blog kamibukanbodohtau.wordpress.com seperti yang dilihat pada 30 Januari, 2015. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.

Snapshot cache Google blog kamibukanbodohtau.wordpress.com seperti yang dilihat pada 30 Januari, 2015. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.


kamibukanbodohtau.wordpress.com

corruptednazirrazak.wordpress.com

Serta 3 blog yang memuji 1MDB serta Jho Low:

bisnes2malaysia.wordpress.com

todayinbusiness.wordpress.com

worldofcorporate.wordpress.com

Kebanyakan artikel yang ditulis menggambarkan beliau sebagai pelabur global dan dermawan melalui firma Hong Kong miliknya Jynwel Capital Limited. Ini termasuk menghulurkan AS$20 juta bagi kemandirian kucing hutan dan AS$50 juta kepada pusat penyelidikan kanser universiti.

Beberapa artikel menyentuh tentang kejayaannya, termasuk dalam membantu Kuwait Finance House membeli apartmen mewah Oval di Kuala Lumpur, yang kemudiannya dijual dengan keuntungan AS$20 juta.

Dia juga dilaporkan membeli Hotel L'Ermitage Beverly Hills serta membuat tawaran membeli Reebok tahun lepas untuk AS$2.2 bilion.

Satu artikel bertajuk "Jynwel Capital: Rooted in the Past, Invested in the Future" dan satu lagi bertajuk "Entrepreneur and Philanthropist's Generosity Inspires at Children's Ball".

Blog todayinbusiness.wordpress.com dan worldofcorporate.wordpress.com ditutup minggu lepas, namun segala yang ditulis ahrily90 boleh dijumpai di cache Google blog tersebut.

ahrily90 menukar nama WordPressnya untuk blog-blog berbeza minggu lepas kepada  julijulipeh, Pen Jingga, saberarturia18, dan rahmanirwan74.

ahrily90 juga ada menulis artikel di laman lowtaekjho.wordpress.com, yang juga kini ditutup oleh penulisnya.

Pihak yang berada di sebalik blog-blog ini menyedari dirinya sudahpun terdedah, dan kini sedang cuba memadamkan jejaknya dengan menukar 'username' yang digunakan.

Dia juga sedang cuba memisahkan blog-blog tersebut.

Namun sesiapa yang menaip 'ahrily90' ke dalam carian Google akan mendapat bukti yang mengaitkan kesemuanya dan menunjukkan beliau sebagai pihak yang di sebalik serangan terhadap Dr Mahathir dan Nazir sejak pertengahan tahun 2014, dan terbaru, terhadap Tong dan The Edge Media Group serta The Malaysian Insider.

Dan semuanya berkaitan kritikan terhadap 1MDB.

Jadi, siapa yang mengupahnya melakukan semua ini?


oleh The EDGE

Monday, February 2, 2015

Anwar Nak Lari Keluar Negara, Biar Betul ?




'Ada tawaran, tapi Anwar enggan lari keluar'

Menjelang keputusan kes Liwat II minggu depan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau ada dinasihatkan untuk tinggal dan berkhidmat di luar negara

Nasihat itu, katanya, termasuk daripada sarjana terkenal dunia Islam Sheikh Yusof Al-Qardawi.

“Saya yakin saya boleh bebas kalau ikut undang-undang.

“Sheikh Yusof Al-Qardawi menasihatkan saya duduk di luar. Ada pemimpin Turki tawar jawatan penasihat agama dan ajak saya duduk sana.

“Ini tempat lahir saya, ini negara saya, walau apa pun keputusannya nanti, saya tetap akan teruskan perjuangan dan tidak takut masuk penjara sebab dah pernah masuk penjara lapan tahun,” katanya.

Beliau bercakap di hadapan 3,000 orang di Seremban malam tadi,  ceramah sulungnya dalam siri bertemakan “Rakyat Hakim Negara”.

Beliau selepas ini dijadual berceramah setiap malam di sepuluh tempat menjelang keputusan kesnya pada 10 Februari.

“Mudah-mudahan saya bebas.

“Tapi kawan-kawan kata, manalah tahu,” katanya.

Tak banyak ulas kes

Dalam ceramahnya malam tadi Anwar tidak banyak mengulas tentang kesnya sebaliknya menyentuh pelbagai isu semasa.

Ini termasuk sekatan memasuki Universiti Malaya untuk majlis pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) hujung tahun lepas.

“Saya bekas mahasiswa Universiti Malaya tapi tidak boleh masuk beri ucapan walaupun dijemput mahasiswa.

“Saya dijemput oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.
“Akhirnya Fahmi Zainol, Presiden PMUM digantung pengajian (dua semester).

“Jangan hina orang. Jangan amalkan rasuah. Seperti kata Mat Sabu tadi, inilah masa untuk berubah (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya.

Di akhir ucapan, Anwar merakamkan penghargaan kepada pendukung reformasi sejak 16 tahun lepas.

Gerakan reformasi bermula pada tahun 1998 selepas Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dipecat oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir dan berceramah malam tadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu); Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

sumber...mkini

Sunday, February 1, 2015

Review Isu Belanja Kahwin Sampai $10,000.00

Pasangan Nur Atiqah Jamaluddin dan Wan Hazme Danial bakal mendirikan rumah tangga bulan depan, dan berhasrat mengadakan kenduri kahwin yang serba sederhana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2015.


Belanja kahwin RM10,000 tidak mustahil, kata pasangan Melayu

Ramai merasakan mustahil bagi pasangan pengantin dalam masyarakat Melayu hari ini melangsungkan perkahwinan dengan belanja serendah RM10,000.

Namun, tinjauan The Malaysian Insider mendapati, ia tidak mustahil sekiranya majlis itu dirancang dengan rapi dan pengantin baru serta keluarga mengambil pendekatan bersederhana dan tidak berlebih-lebihan serta membazir.

Bagi pasangan Wan Hazme Danial dan Nur Atiqah Jamaluddin yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada Mac, keseluruhan perbelanjaan mereka untuk majlis itu tidak sampai RM10,000.

Atiqah, 24, berkata, kenduri dengan bajet rendah tidak mustahil sekiranya kedua-dua pasangan berbelanja mengikut kemampuan masing-masing tanpa menghiraukan pandangan negatif orang sekeliling.

"Bagi saya, ukur baju biar di badan sendiri. Bukan biar papa asal bergaya. Saya bersyukur buat masa ini belum ada saudara-mara atau jiran tetangga yang mempersoalkan persiapan perkahwinan kami dengan peruntukan yang rendah.

"Malah, mereka saling bantu-membantu untuk persiapan kahwin kami, dari segi makanan. Kami menjemput sekitar 400 orang tetamu, tetapi kami menganggarkan 700 orang yang akan datang," kata Atiqah ketika ditemubual The Malaysian Insider.

Hazme, 26, yang bekerja sebagai penolong jurujual itu berkata, beliau mengumpul wangnya sendiri tanpa pertolongan kedua ibu bapanya dan berhasrat mendirikan rumahtangga secepat mungkin kerana sudah mengenali bakal isterinya itu selama tiga tahun.

Atiqah yang juga seorang penolong jualan mengaku, beliau seorang yang sederhana dan hanya akan menggunakan pelamin mini dengan kos RM500 pada majlis itu nanti, serta melangsungkan akad nikah dan persandingan pada hari yang sama bagi menjimatkan kos.

"Saya memang mahukan majlis nikah dan sanding pada hari yang sama, dan kalau boleh tidak mahu bersanding kerana saya seorang yang pemalu. Dan kalau boleh, kad jemputan pun saya nak buat salinan sahaja sebab ia akan dibuang juga akhirnya," katanya.

Malah, Atiqah juga berkata mereka hanya akan memakai sepasang baju yang berharga kurang RM1,000 untuk majlis itu nanti yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Beliau juga memastikan pakaian pengantin yang dipilihnya itu boleh dipakai pada hari lain juga, bukan hanya sesuai untuk majlis pada hari istimewa itu sahaja.

Menyentuh mengenai jumlah RM10,000 itu, mereka berkata ia termasuk perbelanjaan makanan, pelamin, baju pengantin, kad jemputan, cenderamata buah tangan untuk tetamu, fotografi, solekan dan pengacara majlis.

"Bagi barang-barang 'door gift', kami hanya mencari di sekitar kawasan Kuala Lumpur seperti di Chow Kit," katanya yang memberitahu mereka memutuskan menyediakan tasbih sebagai cenderamata untuk tetamu.

Atiqah menambah, perbelanjaan mereka paling banyak dihabiskan untuk makanan, iaitu RM5,000, walaupun ia akan disediakan secara gotong-royong atau "rewang" sesama keluarga dan jiran tetangga.

Pasangan ini juga berpendapat simpanan mereka lebih baik digunakan selepas majlis perkahwinan di mana mereka perlu bijak merancang perbelanjaan dan menguruskan kewangan demi kesenangan bersama pada masa depan.

Atiqah berkata, mereka akan menyimpan wang untuk menunaikan umrah dan akan menggunakan simpanan yang ada bagi menjayakan rancangan mereka memulakan perusahaan "homestay" sendiri.

"Saya sudah ada sebuah rumah di Batang Kali yang dibeli pada awal perkenalan kami. Kami bercadang untuk menjadikannya 'homestay.' Bakal suami pula akan membeli rumah di sekitar Kuala Lumpur supaya dekat dengan tempat kerja," katanya.

Bagi pasangan Nordiana Nuzuin Akma Nordin dan suaminya Amir Azfar Aznan, yang juga melangsungkan perkahwinan mereka dengan perbelanjaan kurang RM10,000 pada Januari tahun lalu, sesebuah kenduri kahwin tidak perlu menelan belanja besar sekiranya perancangan dibuat sendiri dan tidak mengupah perancang perkahwinan.

Menurut Nordiana, 26, jika hendak berjimat, yang penting, pasangan pengantin perlu rajin membuat persiapan kahwin sendiri.

"Kami hanya mengambil masa empat bulan menyiapkan majlis tersebut. Kami menggunakan khidmat perancang perkahwinan hanya untuk pelamin mini," kata mereka.

Nordiana yang mesra dipanggil Awin berkata, banyak persiapan yang lain seperti kad jemputan, solekan, cenderamata dan baju pengantin disediakannya sendiri.

"Bagi saya, membuat persiapan sendiri lebih puas hati.

"Contohnya seperti 'door gift', kami menyediakan sejadah mini untuk tetamu beragama Islam dan tuala kecil untuk yang bukan Islam.

"Semuanya kami cari di sekitar Kuala Lumpur, cuma pasangan perlu rajin 'survey'," kata Awin.

Beliau dan pasangannya juga mengadakan majlis jamuan dan akad nikah serentak pada hari sama, supaya majlis itu memakan belanja yang rendah.

Ditanya kenapa mereka mahukan majlis perkahwinan pada bajet yang rendah ketika ramai yang memilih mengadakan majlis gilang gemilang bagi upacara yang dikatakan hanya "sekali seumur hidup" itu, Awin menjelaskan mereka tidak mahu berbelanja di luar kemampuan dan merana di kemudian hari.

"Kami berdua cuba seboleh-bolehnya untuk tidak berhutang dengan meminjam dari bank (untuk belanja majlis perkahwinan) dan sebagainya.

"Ini kerana, antaranya, selepas menamatkan pengajian, saya perlu membayar balik pinjaman yang diperolehi dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Kami memilih untuk menumpukan kepada apa yang wajib sahaja," kata Awin yang memiliki ijazah sarjana muda kewartawanan.

Bagi mengumpul wang perbelanjaan perkahwinan, beliau melakukan kerja sambilan sebagai pereka grafik.

Pada masa sama, suaminya yang bekerja sebagai pegawai pentadbir juga membantu dari segi kewangan pada ketika itu.

"Memang ramai yang persoalkan bajet kami yang rendah ini, terutamanya sesetengah jiran di kawasan perumahan kami. Ada yang menuduh saya mengandung sebelum kahwin, ada juga yang mengatakan baju kahwin saya tak cantik seperti pengantin," katanya yang memberitahu pakaian pengantinnya dijahit sendiri ibunya.

Amir, 25, memberitahu The Malaysian Insider, selain mengeluarkan RM10,000 sebagai wang hantaran untuk isterinya, perbelanjaan majlis perkahwinan di sebelah pihak lelaki ditanggung keluarganya.

Awin memberitahu walaupun mereka menggunakan khidmat katering bagi majlis perkahwinan itu, sanak saudara dan jiran tetanggu turut membantu menjayakan majlis "raja sehari" mereka yang dihadiri kira-kira 800 tetamu.

"Bagi saya, ketika melakukan persiapan itulah waktu mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan rakan-rakan," katanya.

Beliau menasihatkan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga supaya berbelanja  mengikut kemampuan dan tidak mengendahkan cemuhan atau kutukan tidak berasas dibuat masyarakat sekitar.

oleh: YASMIN RAMLAN