Followers

Monday, February 24, 2020

‘Hari Ini Suatu Pengkhianatan, Perubahan dalam Masa Terdekat’




Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan politik tanah air hari ini sebagai satu “pengkhianatan”.

“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.

“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, walaupun tidak ada pengumuman malam ini, daripada maklumat yang beliau terima memang ada usaha sedemikian.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik bermesyuarat pada hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu, pemimpin tertingginya terbahagi kepada dua pendapat.

Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat PH itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir."
 
Bagaimanapun, sekitar tengah hari tadi, para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali disahkan berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya, manakala Majlis Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti mereka, yang tidak jauh dari hotel itu.

Selepas Bersatu bermesyuarat selama empat jam, Dr Mahathir keluar tanpa menjawab soalan pemberita, dan sekadar melambaikan tangan sahaja.

Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur. Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Kemudian, pada sebelah petang, sumber yang dekat dengan istana mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa enam parti berada di Istana Negara iaitu Bersatu, Umno, PKR (kem Azmin), GPS, PAS dan Warisan.

Pemimpin yang hadir ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden GPS Abang Johari Openg, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekitar jam 8 malam tadi, disahkan telah meninggalkan Istana Negara.

Perkara itu dimaklumkan pengawal keselamatan Istana Negara, tidak lama selepas lebih 20 kenderaan kenamaan dilihat meninggalkan perkarangan istana sekitar 7.30 petang tadi.

Difahamkan baginda meninggalkan istana selepas "tamat perjumpaan".

Majlis makan-makan saja

Sementara itu, di Hotel Sheraton, Abdul Hadi, Ahmad Zahid dan Azmin serta pelbagai anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan sekitar jam 8 malam tadi.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof kemudian tiba di situ untuk hadir majlis makan malam.

Mereka disusuli Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu beberapa minit kemudian.

Menghampiri jam 10 malam, kebanyakan anggota parlimen Umno, Bersatu dan juga Azmin telah dilihat keluar dari dewan, di mana majlis makan malam berlangsung.

Rata-ratanya enggan menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan penubuhan kerajaan baru.

"Makan-makan saja," kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri yang turut hadir di majlis itu.

Antara yang dilihat di hotel itu ialah:

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)

Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Khairy Jamaluddin (MP Rembau)

Presiden MIC SA Vigneswaran

Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)

Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong

sumber...mKini

Saturday, February 22, 2020

'Kali ini Mahathir Tidak Akan Berdalih Lagi'



Keputusan sebulat suara Majlis Presiden PH untuk memberi mandat kepada Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan sendiri tarikh untuk melepaskan jawatan perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini, ada kesan positif dan kebijaksanaannya.

Secara peribadi, sebagai anggota parlimen PKR yang setia kepada presidennya, saya pada mulanya agak terkilan dengan keputusan itu.

Saya tiada masalah sangat dengan Dr Mahathir melepaskan jawatannya selepas Apec, tetapi jauh di hati saya masih berharap satu tarikh yang pasti. Selepas Apec itu bila? Apa tarikhnya? Bulan apa? Berapa hari bulan?

Persoalan ini tidak dijawab, kekaburan berterusan. Sebab itulah dalam hal undang-undang, apabila kita buat perjanjian soal tarikh mesti ditulis dengan terang, nyata dan tepat. Masa adalah inti pati (time is the essence) dalam apa juga perjanjian, termasuklah perjanjian politik.

Tetapi apa yang positif daripada keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH yang berakhir hingga lewat malam semalam?

Pertama, nampaknya PAS dan Umno terus kempunan untuk merosakkan keutuhan kerajaan campuran PH. Dua parti pembangkang itu sangat ingin melihat parti dalam PH bergaduh dan bercakaran sehingga pecah. Kemudian mereka datang menangguk di air keruh dengan idea pembentukan kerajaan pintu belakang.

Mimpi di siang hari PAS dan Umno tak kesampaian dan mereka kini terpaksa menggigit jari. Undi percaya atau undi tak percaya yang kononnya hendak dibawa PAS di sidang Parlimen pada Mac ini dan disokong oleh UMNO sudah tidak relevan lagi. Isu itu sudah antiklimaks sekarang.

Di sinilah kebijaksanaan yang tersembunyi di sebalik keputusan para pemimpin tertinggi PH lewat malam tadi.

Selain itu, tidak boleh dilupakan sikap kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang tenang dan sabar dalam membantu merumuskan keputusan sebulat suara memberi mandat kepada Dr Mahathir untuk menentukan sendiri tarikh berundur. Sikapnya yang tidak menekan atau mendesak Dr Mahathir dan menunjukkan tingkat kesabaran yang tinggi mencerminkan pekerti seorang pemimpin politik yang berhemah tinggi.

Rakyat kini melihat tingkah laku Mahathir dan Anwar. Pujian dan penghargaan perlu diberi kepada Anwar kerana atas kesabarannya PH terus kukuh dan kerajaan campuran PH dapat diselamatkan.

Bayangkan jika dalam mesyuarat tersebut Anwar membawa sikap dan pendirian yang keras dan enggan bertolak ansur. PH boleh pecah malam tadi juga dan pagi ini kerajaan campuran PH berkubur.

Sekarang pandangan rakyat ke arah Dr Mahathir. Adakah beliau akan berundur selepas sidang Apec? 2023 juga "selepas Apec".

Tetapi rakyat Malaysia bukan bodoh. Saya percaya Dr Mahathir menghargai sikap pimpinan PH terutama Anwar yang sanggup menunggu dan bersabar. Saya percaya Dr Mahathir akan betul-betul berundur selepas sidang itu. Mungkin pada 30 November atau paling lewat 31 Disember 2020.

Mahathir tidak akan berdalih lagi kali ini. Jika beliau terus berdalih, bukan Anwar yang rugi tetapi beliau sendiri. Saya percaya dan terus berharap Dr Mahathir tidak mungkir janji.

Saya adalah salah seorang anggota Parlimen PKR yang patuh pada janji dan arahan parti yang setia berpegang dengan janji PH untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika PH menang pada PRU ke-14.

Sebaik saja diisytihar sebagai anggota parlimen pasir Gudang, pada malam 9 Mei itu, saya ke Petaling Jaya untuk menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, anggota parlimen Langkawi, untuk diangkat menjadi perdana menteri. Sebagai anggota parlimen PH dari PKR, saya telah menunaikan janji saya dan janji parti saya.

Sekarang saya berhak menuntut janji dari Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas sidang Apec, sebelum berakhirnya 2020 ini.

oleh: Hassan Karim

Thursday, February 20, 2020

Kisah Penyusupan ke Dalam Parti BERSATU




Bukan rahsia besar ada bekas warlord Umno terbabit secara langsung atau sebaliknya dalam pemilihan parti Bersatu yang sedang berlangsung sekarang. Cuma bilangannya yang tidak dapat dipastikan. Namun hakikatnya mereka sedang bergerak aktif .

Saya difahmamkan ada antara mereka yang tidak bertanding secara langsung (mungkin atas faktor usia lanjut) sudah menyusun barisan untuk merebut jawatan pada peringkat cawangan mahupun bahagian. Maknanya bekas warlord Umno meletakkan calon pilihannya untuk cuba menguasai cawangan dan bahagian Bersatu.

Calon yang direstui warlord, seperti warlord itu sendiri, sebelum PRU14 kerap mempersenda pengasas Bersatu Dr Mahathir Mohamad, mengkritik keras Pakatan Harapan pimpinannya dan menyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam erti kata lain mereka adalah Umno totok ketika BN berkuasa dan aktif memperjuangkan Umno sehingga detik PRU14. Sebaik sahaja BN/Umno tumbang, seperti kilat semua posting di platform media sosial mereka yang melaungkan kebaikan Umno dipadam.

Untuk memendekkan cerita mereka terus berpaling tadah. Akaun media sosial mereka dipenuhi catatan pro-PH dan gambar mereka bersama pemimpin PH khususnya Bersatu. Saya pernah tengok gambar orang yang kuat Umno bersama bekas menteri pelajaran Dr Maszlee Malek beberapa minggu PH menang pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Lantas mereka menjadi ahli Bersatu dan kini direstui bekas warlod Umno yang juga sudah jadi ahli Bersatu untuk cuba mendapat jawatan di peringkat cawangan dan bahagian .

Tidak ada salahnya mereka berubah angin dengan menyertai Bersatu. Namun mereka datang dengan membawa budaya Umno. Tidak dinafikan ada budaya baik dalam Umno, ada budaya tidak baik.

Yang membimbangkan jika mereka ini datang berbekalkan budaya buruk parti lama mereka. Tidak perlu dihuraikan, ini boleh mendatangkan mudarat kepada Bersatu – sesuatu yang ibu pejabat Bersatu sendiri akui.

Persoalannya bagaimana golongan ini diterima sebagai ahli Bersatu, malah boleh bertanding. Perlu diingat sekali lagi mereka pernah bergerak aktif menyerang Bersatu dan PH dan hanya masuk Bersatu selepas PH menang PRU14 .

Saringan longgar

Imbas kembali perbualan saya beberapa ketika dahulu dengan seorang ahli majlis tertinggi Bersatu. Ketika itu beberapa ahli parlimen Umno keluar parti untuk menyertai Bersatu. Ura-ura ketika itu ramai lagi YB Umno yang akan menyusul. Rata-rata rakyat Malaysia khusus yang mengundi PH tidak setuju Bersatu menerima golongan itu.

Namun kata ahli majlis tertinggi Bersatu itu, partinya mahu menjadi parti Melayu besar yang memperjuangan kepentingan orang Melayu. Lantas Bersatu mesti membuka pintunya kepada semua orang Melayu tanpa memilih bulu.

Itu kata beliau. Tapi kata beliau lagi, Bersatu akan terlebih dahulu meneliti dan menyaring atau “vet” setiap orang Umno yang mahu menyertai Bersatu sebelum menerima mereka. Sebenarnya ahli majlis tertinggi berkenaan sekadar mengulangi apa yang telah diumum Mahathir sendiri.

Bedasarkan itu semua, persoalannya sekarang ialah adakah golongan warlord dan proksi mereka sudah disaring?

Sumber dalaman Bersatu memberitahu saya proses “vetting” yang dijalankan lebih terhadap ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri dan nama nama terkenal Umno yang mahu menyertai Bersatu.
Dalam erti kata lain proses berkenaan tidak dilaksanakan ke atas khalayak termasuk ahli biasa Umno.

“Bersatu mengalu-alukan ahli baru. Oleh itu proses saringan atau vetting dijalankan agak loose ke atas orang yang mahu menyertai parti kecuali ke atas golongan YB dan mereka yang ada nama besar”, kata beliau.

Sumber berkenaan mengaku ada benarnya dakwaan percaturan atau penyusunan dan apa yang dipanggil “papan” wujud pada pemilihan peringkat cawangan dan bahagian.

Jika di teliti katanya pemilihan Bersatu “ tidak bezanya dengan pemilihan Umno”dan menyulitkan keadaan ialah “kekalutan” pentadbiran keahlian yang menyaksikan ramai ahli dipindah antara cawangan dan bahagian tanpa pengetahuan mereka .

Baru-baru ini jawatankuasa pemilihan Bersatu mengisytiharkan mesyuarat cawangan dalam bahagian Kuala Terengganu dan Teluk Intan batal dan tidak sah. Ini berikutan protes ahli.

Kata pengerusi jawatankuasa pemilihan Bersatu Syed Hamid Albar, cawangan berkenaan mesti mengadakan mesyuarat masing masing sebelum 29 Mac.

Bersatu mahu ahlinya menggunakan saluran dalaman atau proper channel jika ada aduan berhubung proses pemilihan dan bukannya membuat aduan luaran seperti laporan polis dan sebagainya.

Namun kata sumber ibu pejabat Bersatu, tidak memeranjatkan malah boleh dijangka beberapa aduan dibuat kepada ROS atau pendaftar pertubuhan – apabila pemilihan parti selesai kelak.

Berbalik kepada soal bekas warlord Umno dan barisan atau ‘papan’ susunan mereka. Tentunya terpulang kepada ahli Bersatu samada mahu menerima atau menolak mereka.

oleh: Mohsin Abdullah

Tuesday, February 18, 2020

Saman Bil Tertunggak Kini Sasar 4 Anak Azmin Ali




Empat anak Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali kini digabungkan bersama bapanya sebagai defendan dalam kes saman agensi pelancongan yang memohon mahkamah untuk mendapatkan tuntutan bil tertunggak tiket penerbangan dan penginapan hotel yang tidak dibayar.

Pada 23 Januari, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan plaintif agensi pelancongan, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd untuk menambah Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin sebagai defendan.

Menurut salinan pindaan Writ Saman yang dilihat oleh Malaysiakini, Azmin, 55, kini disenaraikan sebagai defendan pertama; manakala anaknya, Farah Shazliyana, 29, Farah Afifah, 24, Farah Amira, 26, dan Mohamed Ameer Shazrin, 28, disenaraikan sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Writ yang dipinda itu difailkan oleh firma guaman Tetuan Fong Yap & Gan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Feb lepas mengandungi perkataan "dipinda selaras dengan Perintah Mahkamah bertarikh 23 Januari 2020."

Menurut senarai kausa (No kes WA-B52NCvC-505-11/2019) di laman kehakiman, tindakan undang-undang itu ditetapkan untuk pengurusan kes di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok, 18 Feb.

Saman YHA tuntut hampir RM329,000

Pada 30 Disember tahun lalu, dilaporkan YHA telah memfailkan permohonan untuk memasukkan empat anak Azmin sebagai defendan dalam tindakan undang-undang tersebut.

Writ saman yang dipinda itu menyatakan plaintif YHA berhasrat mendapatkan bayaran RM328,901 daripada defendan pertama Azmin.

Kertas kausa menyatakan sebagai alternatifnya, YHA memohon mahkamah mendapatkan perintah untuk Azmin membayar RM167,332, Farah Syazliyana membayar RM8,510, Farah Afifah membayar RM3,880, Farah Amira membayar RM6,400, dan Mohamed Ameer Shazrin membayar RM92,280, serta faedah daripada kesemua lima defendan.

Pada 5 Nov tahun lalu, dilaporkan YHA memfailkan saman terhadap Azmin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.

Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Pada 14 Disember tahun lalu, Azmin memfailkan tuntutan balas melalui firma guaman, Tetuan Daim & Gamani, menyifatkan saman oleh agensi pelancongan itu mempunyai motif tersembunyi.
Tuntutan balas Azmin itu menyatakan saman oleh agensi pelancongan YHA Travels & Tours (M) Sdn Bhd itu mempunyai kaitan dengan "konspirasi" klip video seks yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz (gambar, atas).

Pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini itu merujuk klip video seks berkenaan sebagai "video fitnah".

Pemfailan yang dibuat itu menyatakan bahawa pemegang saham majoriti YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd adalah Yasmin Hanim Arbee dan suaminya Mohd Ayub Hassan merupakan pengerusi.

Pasangan suami isteri itu disebut sebagai ibu bapa kepada seseorang bernama Mohd Haziq Hassan Mohd Ayub. Mohd Haziq dikatakan merupakan individu yang ditahan dalam siasatan polis berhubung klip video seks.

Tuntutan balas itu juga menyatakan bahawa Yasmin dan Mohd Ayub mempunyai "hubungan yang sangat rapat" dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Dalam penyataan pembelaannya, Azmin juga berkata beliau mempunyai hubungan perniagaan bersahabat selama 20 tahun dengan agensi pelancongan itu yang memberikannya "kebebasan yang meluas untuk menyelesaikan sebarang jumlah yang terhutang".

Azmin juga menyatakan jumlah yang dituntut oleh YHA adalah "tidak betul"

"Jumlah yang terhutang oleh defendan dan di mana plaintif adalah berhak kepada adalah jumlah sebanyak RM162,272," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak-anaknya yang berumur lebih daripada 20 tahun akan membayar jumlah yang dihutang sendiri.

Azmin juga melalui peguamnya memaklumkan bahawa beliau juga tidak bertanggungjawab untuk apa-apa jumlah yang perlu dibayar di bawah akaun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

oleh:  Hidir Reduan Abdul Rashid
[Baca berita asal]

Monday, February 17, 2020

Lawak roti John: ‘Kalau Sebut Nama, Kami dah Saman dah’




Bukan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang membuat jenaka berkaitan nama diplomat asing, kata setiausaha akhbarnya, Amin Iskandar.

Amin berkata demikian sebagai maklum balas berhubung spekulasi bahawa presiden Amanah itu berkata demikian semasa mesyuarat keselamatan baru-baru ini dengan seorang pegawai bernama John.

Selain itu, Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, terkenal kegemarannya memasak.
"Bukan menteri pertahanan," kata Amin.

"Sekiranya penulis sebut nama menteri, kami akan saman mereka, tetapi mereka tidak namakan menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Sebuah artikel yang disiarkan The Star sebelum ini mendakwa seorang menteri kerajaan PH bertemu dengan seorang yang berkedudukan tinggi dari kerajaan negara luar bernama 'John' berbincang mengenai hal ehwal keselamatan.

Penulis artikel itu berkata, menteri PH berkenaan mengeluarkan kata-kata: “Nama anda John. Di negara saya ada roti John. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masakkan roti John untuk anda.”

Ekoran daripada itu, bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mempersoalkan siapa menteri yang dimaksudkan dalam artikel itu.

Hishammuddin juga mempertikaikan kualiti menteri PH yang dilaporkan memberi kenyataan yang menurutnya tidak wajar dikatakan bagi mesyuarat yang membincangkan perkara serius.

Menulis di hantaran Facebook beliau, ahli parlimen Sembrong itu menasihatkan kepada menteri PH berkenaan supaya tidak mencalarkan maruah negara jika tidak mampu menggalas tugas sebagai seorang menteri.

“Satu sahaja nasihat saya kepada mana-mana menteri PH, kalau rasa tak mampu banggakan negara, janganlah pula melakukan tindakan yang berupaya mencalarkan maruah Malaysia di mata dunia,” tulisnya.

Bagaimanapun, Amin berkata tindakan bekas menteri Umno membangkitkan berita palsu mengenai Roti John itu mengejutkan.

“Segala cerita tentang Roti John ni semuanya fake news’. Kita dah berkali-kali cakap ini semua berita tidak benar. 

“Kita tidak terkejut dengan tulisan daripada akhbar pembangkang baru-baru ini.

“Yang kita terkejut apabila dua bekas menteri membangkitkan tentang ‘fake news’ ini," jelasnya lagi.

 sumber...mKini

Opppsss The Star masih dikuasai oleh pembangkang

Sunday, February 16, 2020

Kemenangan Berpihak kepada Saya-Dr Maszlee



AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dipilih sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Simpang Renggam.

Kejayaan itu selepas berjaya memperolehi 211 undi berbanding pencabarnya yang juga bekas Ketua Penaja Bersatu Bahagian Simpang Renggam sebelum ini, Ahmad Ahem dengan hanya 79 undi daripada keseluruhan 997 ahli parti.

Maszlee dalam pada itu melahirkan rasa syukur kerana dengan izin Allah kemenangan itu berpihak kepadanya.

“Saya berterima kasih kepada pihak yang sentiasa bersama dalam perjuangan ini serta membantu ketika dalam keadaan senang mahupun susah.

“Rakan-rakan dari Parlimen yang mendokong tidak akan dilupakan termasuk rakan-rakan seperjuangan dalam parti,” katanya.

Maszlee turut melahirkan ucapan terima kasih kerana mengundi dan memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui parti BERSATU Bahagian Simpang Renggam.

“Amanah dan tanggungjawab ini akan kita galas sebaik dan semampu yang mungkin.

Bersama kita merahkan Simpang Renggam, kuatkan parti dan sama-sama jadikan Johor sebagai kubu kuat BERSATU.

Kemenangan itu dimuat naik melalui akaun Facebook dan ciapan di Twitter miliknya pagi ini.

sumber...Hmetro

Friday, February 14, 2020

138 Tanda Tangan SD Sokong Tun M ?




Tak lama lagi dah 95 tahun ,mana boleh tahan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan beliau akan berundur selepas November tahun ini.

“Saya dengar cerita macam-macam, nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.
"Saya sudah 94 tahun.


“Tak lama lagi 95. Mana boleh tahan.

"Saya janji akan letak jawatan selepas Apec, itu saya pegang kepada janji saya.

"Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan," katanya.

Mahathir juga menjawab soalan pemberita berkaitan dakwaan terdapat 138 anggota parlimen menyokongnya untuk menghabiskan penggal berkhidmat sebagai perdana menteri.

"Hari ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti (dalam Parlimen), macam mana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu (bagaimana) mereka boleh buat macam itu.

"Maknanya PH mesti sokong lah (baru boleh) dapat angka macam itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat ke tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka, di Langkawi, hari ini.

Pakatan Harapan bersetuju memilih Anwar sebagai pengganti Mahathir tetapi tarikh tepatnya tidak ditetapkan.

Semalam, Anwar selepas bertemu perdana menteri berkata Dr Mahathir tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal.

Sarawak Report minggu ini mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.


Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Bagaimanapun, menteri kabinet Zuraida Kamaruddin, yang juga penyokong kuat Azmin dalam PKR, menafikan laporan itu.

Dalam kenyataan petang semalam, Anwar juga berkata beliau cenderung agar Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah berulang kali berkata beliau akan menunaikan janjinya, pada Disember lalu, perdana menteri membayangkan ia akan berlaku selepas sidang kemuncak Apec pada November tahun ini.

Dalam satu wawancara pada 9 Februari lalu, Mahathir sekali lagi berkata akan menunaikan janjinya tetapi pada masa sama menegaskan keputusan muktamad terletak pada sokongan anggota Dewan Rakyat.

sumber...mKini

Wednesday, February 12, 2020

Kelantan Disaran Anjur Perarakan Mercedes Berhias




Rasa tidak puas hati orang ramai terhadap cara kerajaan negeri menguruskan acara perarakan kereta berhias sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 baru-baru ini mendapat perhatian Pemuda Amanah negeri itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan, berkata ada cara untuk kerajaan Kelantan 'menebus' semula rasa tidak senang penduduk negeri terbabit dengan mengadakan perarakan khas.

Secara sinis, Hazmi berkata, kerajaan negeri boleh saja mengadakan perarakan kereta Mercedes Benz berhias dengan membariskan kenderaan rasmi yang digunakan menteri besar, timbalan menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri.

"Saya membaca laporan media mengenai permohonan maaf oleh exco pelancongan Kelantan berhubung salah faham yang berlaku pada penganjuran perarakan kereta berhias sempena pelancaraan Tahun Melawat Kelantan 2020 baru-baru ini.

"Beliau juga menyatakan satu acara khas bagi perarakan kereta berhias itu boleh diadakan sekiranya menjadi kehendak rakyat.

"Jadi saya mencadangan supaya acara itu dibuat dan ditambah baik dengan perarakan kereta Mercedes Benz berhias," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Hazmi, memandangkan kereta rasmi itu masih lagi baru, kerajaan negeri boleh membuka peluang kepada rakyat Kelantan untuk lihat dengan lebih dekat kenderaan tersebut.

Kos pun tak besar
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kerajaan Kelantan memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung 'kekeliruan' yang berlaku kepada orang ramai yang menghadiri pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020, pada Jumaat lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, berkata perarakan 10 kereta berhias yang mewakili setiap daerah itu diadakan sempena majlis pelancaran pada malam itu sahaja dan bukannya penganjuran besar-besaran untuk pertunjukan kereta berhias.

Ia selepas isu pertunjukan kereta berhias menjadi rungutan rakyat Kelantan di media sosial dengan pelbagai reaksi dalam kalangan pengunjung yang tidak berpuas hati.


Ramai antara mereka menyifatkan ia cuma membuang masa apabila tiada perarakan kereta berhias di beberapa lokasi jalan yang ditutup seperti yang tular dalam media sosial sebelum itu.

Sementara itu Hazmi berkata, cadangannya itu sebenarnya relevan dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah yang mempertahankan pembelian Mercedes Benz itu atas alasan agar pemimpin Islam 'kelihatan hebat'.

"Jadi saya berharap kerajaan negeri dapat merealisasikan pertunjukkan itu, dan rakyat pasti akan menggunakan kesempatan yang ada untuk melihat dengan lebih dekat kenderaan pemimpin Kelantan.

"Kos juga tidak besar kerana cuma guna kereta rasmi barisan exco negeri yang sudah pun dibeli. Cuma mungkin perlu ditambah dengan perhiasan tertentu.

"Ia juga dapat mengubati kekecewaan ribuan pengunjung yang hadir pada malam pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 itu," katanya.

0leh:  N Faizal Ghazali

Usul Sokong PM Akan Gagal




Usul sokong PM akan gagal - Anwar

Usul sokongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan usaha untuk memecahkan Pakatan Harapan (PH). 

Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usul undi percaya kepada Dr. Mahathir yang akan dibawa Pas pada sesi Parlimen bulan hadapan.

Biasalah usul Pas, kita tak anggap itu satu perkara yang serius, usaha untuk nak pecah belahkah PH, ia (usul undi percaya Pas kepada PM) akan gagal,” katanya selepas menghadiri Majlis Sepetang Alumni Yayasan Anda Akademik di D’Saji Tasik Titiwangsa.

Pada Sabtu lalu, Pas menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa membabitkan Dr. Mahathir, yang dikatakan akan ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’.

Keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang ‘menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati’ terhadap kepimpinan Perdana Menteri, namun sehingga kini tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan itu boleh disifatkan sebagai strategi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan menggesa agar PH tidak tertipu dengan dakyah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Dalam PRU (PRU15), jadi ini strategi mereka (Pas) dan kita percaya kita tidak akan tertipu,” jelasnya.

Ditanya adakah isu Pas mahu membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat wajar dibincangkan pada Majlis Presiden PH, Anwar berpendapat ia tidak wajar dibincangkan.

Tiada asas. Tidak pernah berlaku dalam sejarah (pembangkang bawa usul) tetapi inilah Pas.

Dia (Pas) boleh hamun cerca orang secara maksimum, sekarang dia beri sokongan maksimum. Bukan canggung sikit tetapi tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi,” katanya.

Langkah itu dilihat mustahil dilaksanakan apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berkata perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan pimpinan parti.

Malah menurut Mohamad Hasan, pendirian mengenainya akan dibuat bila tiba masanya.

“Tak timbul pasal sokong tak sokong, kita ambil maklum, usul belum dibawa lagi, sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku,” katanya semalam.

sumber...MalaysiaGazette

Monday, February 10, 2020

Dr Mahathir Tidak Faham Mengapa Pas Mahu Bawa Usul Undi Percaya


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas Sesi Dialog Seminaire de Reflexion 2020 anjuran The Chamber of Commmerce & Industri France Malaysia (CCIFM) di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya. foto AFIQ RAZALI, 10 FEBRUARI 2020.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak memahami mengapa Pas merancang untuk membawa usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau ke Dewan Rakyat bulan depan.

“Saya tidak faham apa yang mereka cuba lakukan. Saya sudah pun menjadi Perdana Menteri.

“Jika mereka memberi sokongan kepada saya, terima kasihlah,” katanya sambil tersenyum ketika ditanya media mengenai isu tersebut.

Terdahulu, Dr. Mahathir menghadiri sesi dialog bersama Dewan Perdagangan dan Industri Perancis (CCFIM) di sini hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PAS akan membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Mahathir semasa persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Usul tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.

Ia bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara kerana masih terdapat banyak isu yang belum selesai.

Dalam pada itu, UMNO sebagai rakan Muafakat Nasional tidak menolak kemungkinan untuk menyokong usul yang dibawa PAS itu sekiranya ia boleh memberi manfaat kepada rakyat.

sumber...MalaysiaGazette

Sunday, February 9, 2020

CoV: Kilang Kereta Terbesar Dunia Gantung Operasi



KOMPLEKS di Ulsan, Korea Selatan. - Foto AFP

SEOUL: Kilang pengeluaran kenderaan paling produktif di dunia lengang selepas Hyundai menghentikan operasi di kompleks Ulsan, Korea Selatan disebabkan kekurangan komponen dari China ekoran penularan coronavirus yang melumpuhkan pengeluaran industri.

Lima rangkaian kilang di kompleks berkenaan mampu menghasilkan 1.4 juta kenderaan setahun, selain menjadi lokasi import dan eksport kereta di seluruh dunia.

Namun, rantaian bekalan penting yang saling berkaitan di seluruh dunia itu terjejas selepas penularan coronavirus di China yang menyaksikan banyak kilang di beberapa kawasan yang terbabit dengan wabak maut itu ditutup.

Lantaran itu, Hyundai juga syarikat sekutu Kia yang menjadi pengeluar automotif kelima terbesar dunia, kehabisan komponen pengangkut kabel yang menghubungkan komponen elektronik kompleks kenderaan.

Ia menghentikan pengeluaran di kilangnya di seluruh Korea Selatan, yang mana 25,000 pekerja terpaksa bercuti dan menerima sebahagian gaji.

“Ini adalah sesuatu yang memalukan kerana saya tidak dapat bekerja dan perlu menerima hakikat gaji dipotong,” kata kakitangan pengeluaran di Ulsan yang dikenali sebagai Park.
“Ini perasaan yang sangat tidak menyenangkan.”

Penutupan kilang pengeluaran akan menjadi contoh pertama disebabkan fenomena wabak yang menular di seluruh dunia, kata penganalisis.

Penganalisis menjangkakan penutupan selama lima hari kilang milik Hyundai akan membabitkan kerugian sekurang-kurangnya 600 bilion won (RM2.07 bilion).

Hyundai bukan satu-satunya syarikat korporat terjejas kerana Kia juga akan menggantung operasi tiga kilang sehari pada Isnin, manakala unit pengeluar kereta dari Perancis, Renault sedang mempertimbang untuk menghentikan operasi kilangnya di Busan minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fiat Chrysler, Mike Manley memberitahu FT bahawa firmanya itu terpaksa menghentikan operasi di satu daripada kilangnya di Eropah.

Penganalisis memberi amaran bahawa masalah itu akan bertambah rumit jika Beijing melanjutkan cuti Tahun Baru Cina lebih panjang susulan coronavirus, dengan data rasmi menunjukkan wabak itu menjejaskan lebih 31,000 orang dan membunuh 636 nyawa.

“Masalah utama adalah kita tidak tahu bagaimana wabak ini akan berakhir,” kata profesor ekonomi di Inha University Korea, Cheong In-kyo.

“Syarikat Korea Selatan bergantung sepenuhnya kepada bahagian dan komponen dari China. masalahnya, jika satu bahagian tiada, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.”


sumber...AFP

'Untuk Apa Nak Buat Pakatan Nasional?' - Anwar

 
KETUA Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pejabat Penerangan PKR Negeri Sembilan di Taman Kemuning Senawang, petang tadi. - Foto Mohd Amin Jalil

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan tujuan sebenar UMNO yang didakwa mahu menubuhkan pakatan nasional yang merangkumi gabungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata walaupun tidak menghalang mana-mana pihak menubuhkan apa juga pakatan, tujuan pakatan itu wajar dipersoalkan.

“Saya tiada halangan untuk orang buat pakatan, tapi masalahnya ialah untuk apa dan ada dakwaan ia ditaja oleh beberapa orang dengan tujuan untuk selamatkan orang Melayu.

“Mereka (UMNO) sudah 62 tahun memerintah. Mereka pun (pemimpin UMNO) sedang menghadapi kes-kes serius di mahkamah berkaitan soal rasuah.

“Sepatutnya dia hadapi yang itu dululah (kes mahkamah). Jangan anggap kalau nampak baik, hal ini (rasuah) ditutup dan diselesaikan begitu sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Reformis ‘98 dan perasmian pejabat Penerangan PKR Negeri Sembilan di Taman Kemuning Senawang di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta kepemimpinan PH negeri.

Anwar turut menafikan ada dalam kalangan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR bakal menyertai pakatan berkenaan.

Beliau berkata, dakwaan beberapa pemimpin PH akan bersama dalam pakatan itu adalah tidak benar dan disifatkan sebagai propaganda pembangkang.

“Ada dakwaan enam dari AMANAH dan 15 daripada PKR, kita dah semak ia tidak benar dan perkiraan itu meleset.

“Malah, mereka (pembangkang) juga ada kaitkan dengan BERSATU dan (Pengerusi PH) Tun Dr Mahathir Mohamad, sedangkan perkara ini tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat PH,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menyatakan PH adalah pakatan yang memperjuangkan semua kaum di negara.

“Agenda kita jelas dan yakin kerjasama ini akan membela nasib Melayu, Cina, India, Kadazan dan seluruhnya,” katanya.

oleh:  Mohd Amin Jalil

Friday, February 7, 2020

Pakatan Nasional Kena Bungkus Ikat Tepi ?



 Pakatan Nasional hanya Spekulasi - Annuar

Cakap-cakap mengenai penubuhan pakatan baharu politik yang digelar ‘Pakatan Nasional’ adalah spekulasi dan bersifat pra-matang, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menegaskan pembentukan kerajaan lain selain Pakatan Harapan (PH) disifatkan tidak berasas atau tiada keperluan melainkan PH gagal sebagai satu gabungan.

“Selagi mana PH kekal sebagai satu gabungan yang berjaya membentuk kerajaan berikutan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selama itulah teori Pakatan Nasional hanya satu teka-teki dan polemik politik,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau mengulas desar-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional membabitkan parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama UMNO dan PAS.

Annuar turut melahirkan rasa hairan bagaimana spekulasi ini muncul.

“Besar kemungkinan polemik ini berpunca daripada beberapa perbincangan tertutup dalam kalangan UMNO khususnya menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi esok (hari ini),” katanya.

Namun beliau mengakui, perbincangan mengenai penubuhan pakatan baharu itu pernah diadakan tetapi sebagai satu persiapan untuk menghadapi kebarangkalian PH gagal sebagai satu gabungan.
Katanya, perbincangan itu juga mengambil tempat dengan andaian Dr Mahathir sudah berpatah arang dengan pemimpin dalam PH.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional boleh membuat ketetapan untuk mewujudkan pakatan baharu politik dengan BERSATU jika keadaan benar-benar memerlukan.

“UMNO dan PAS sudah beberapa kali berbincang perkara ini. Bagi kita Muafakat Nasional itu amat penting dan sangat diharapkan oleh rakyat.

“Walaupun Ahli Parlimen PAS sudah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir mengekalkan tugasnya sehingga tamat penggal, UMNO belum memuktamadkan pendiriannya sehingga wujud keadaan memerlukan UMNO/Barisan Nasional (BN) membuat keputusan,” katanya.

Dalam hal ini, Annuar menjelaskan yang pendirian UMNO ialah tidak akan menyokong atau bekerjasama dengan mana-mana parti jika ada DAP dalam kerjasama itu serta keputusan itu dibuat secara ‘En Bloc’.

“Sekiranya tiada DAP, baharulah UMNO akan mengkaji, itu pun mestilah cermat, berhati-hati dan tertakluk kepada syarat dan terma tertentu. Tiada ‘cek kosong’ dari UMNO,” katanya.

Beliau berkata, jika gabungan baharu itu sesuai dengan aspirasi BN dan Muafakat Nasional, maka sebuah kerajaan baharu dapat ditubuhkan tanpa menerusi pintu belakang, tetapi ‘pintu depan rumah baharu’.

“Perkara inilah yang sememangnya boleh dan sedang dibincangkan,” katanya.

sumber...

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Thursday, February 6, 2020

Sanggupkah Tun Mahathir Khianati Pakatan Harapan ?




SIMPANG SIUR POLITIK TANAHAIR

Antara keinginan PAS dan UMNO adalah menghuharakan pengaruh Pakatan Harapan dengan apa cara sekali pun. Pakatan Harapwn mesti digambarkan LEMAH dimata rakyat.

Serangan yang digunakan pada peringkat awal adalah menggunakan isu manifesto Pakatan Harapan. Setelah satu demi satu manisfesto ditunaikan pihak kerajaan,walaun dan machai Umno terkasima bilamana mereka diserang dimaya dengan kenyataan yang manifesto PAS 95% masih belum ditunaikan di Terengganu dan Kelantan.

Setelah berbagai cara serangan ditalakan kepada Pakatan Harapan khasnya DAP dan Tun Dr Mahathir menampakkan hasil yang negatif kecuali sesetengah WALAUN masih menggunakan hujah perkauman.

Terkini,diviralkan kononnya PAS terlalu penting kepada Dr Mahathir,kononnya UMNO yang diketuai Zahid juga berhasrat untuk "berpeluk" dengan Dr Mahathir dan mengenepikan DAP dalam pakatan baru ini,dinamakan PAKATAN NASIONAL.

Amatlah diharap lontaran isu sebegini akan disahut oleh Anwar Ibrahim dengan mengutuk "perbuatan" Mahathir ini. Malang sekali,kecerdikkan Anwar Ibrahim dengan tidak menjadikan ianya isu penting.Dibiarkan HJ HADI meroyan dengan awak-awaknya.

Pelakon utama memainkan watak dari pihak Umno adalah Lokman Adam dan Zahid.Manakala dari pihak PAS adalah Takiyuddin,Hadi dan Mat Amar.

Lokman Adam,wataknya sebagai pembela dalaman bagi Umno.Digambarkan Zahid seorang pengkhianat kepada Umno atas sebab ingin membawa Umno kedalam pakatan bersama BERSATU.

Dipihak PAS mula digambarkan yang Hj Hadi kerap bertemu Tun Dr Mahathir seolah-olah Tun yang terhegeh-hegeh nakkan PAS dengan cara Takiyuddin tukang nafi adanya pakatan yang diusahakan oleh Hj Hadi. Bagi Mat Amar pula berperanan menyakinkan golongan PAS yang nyata diketahui umum terlalu amat mudah diperbodohkan oleh pimpinan mereka,bahawa sebarang tindakan oleh pimpinan mereka adalah BETUL BELAKA.

Berbalik kepada teori yang telah berjaya dilontarkan KONONNYA PAS dan Umno akan bergabung membentuk kerajaan dengan mengenepikan DAP.

Mari kita kaji dan kita fikirkan logiknya.

1. Telah 5 PRK berjaya dikuasai pembangkang setakat ini,adakah suasana ini masih tidak menyakinkan pengikut Mufakat Nasional yang pakatan mereka kuat?

2.Gambaran yang dibawa dan dikemukakan kepada rakyat seolah-olah Tun Dr Mahathir terlalu desprate sangat sehinggakan perlu sokongan PAS untuk kekal sebagai PERDANA MENTERI.Adakah Dr Mahathir begitu sikapnya dan sampai tahap itu tamaknya dia?

3.PAS dan Umno fikir Tun Dr Mahathir seorang sahaja yang berkuasa dan boleh membuat membuat keputusan untuk menerima PAS dan Umno sebagai rakan sekutunya?

4.Majlis Presiden akan digugurkan kefungsianya demi untuk memenuhi kehendak PAS dan Umno,anda rasa sampai "segila itu Dr Mahathir akan bertindak?

5. Apakah logik Dr Mahathir akan membawa keluar BERSATU untuk bersama UMNO dan PAS membentuk kerajaan dalam keadaan kerajaan yang sedia ada difitnah dan diburukkan saban waktu?

6. Sanggupkah BERSATU menjadi parti yang minoriti dan menyerahkan kepada Umno dan PAS mendominan pakatan baharu mereka?

7. Apakah Mahathir atau lebih khusus adakah BERSATU dengan gabungan baru tidak memerlukan undi Cina di PRU 15 atau Tun Dr Mahathir percaya dewan penyokong-penyokong PAS dan MCA boleh menarik undi bukan melayu?

8. Apakah Mahathir seorang yang rakus sehingga sanggup sekali lagi diratib sebagai MAHAFIRAUN dan melacurkan ketegasan beliau tentang rasuah dengan meletakkan diri sebaris dengan Najib ,Zahid dan Hj Hadi dengan membebaskan mereka dari kes yang sedang dihadapi serta sebarang pendakwaan?

9. Apakah menjadi hasrat Tun Dr Mahathir menghabiskan kegemilangan kerjaya politiknya sebagai seorang yang MUNAFIK POLITIK setelah mungkir janji untuk menyerahkan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

10.Anda fikir Tun Dr Mahathir cukup kuat untuk menghadapi gelombang rakyat setelah mengesahkan beliau adalah MAHAFIRAUN EPISOD 2????
Orang bijak berpolitik adalah orang yang memahami sepak terajang dan tidak mudah gelabah menghadapi sistuasi berkaitan.

POLITIK ADALAH SEJAUH MANA ANDA BERJAYA MENGGUNAKAN SEPENUHNYA TEKTIK.

Nyamuk Menggigit
5 Feb 2020