Sebaik sahaja runtuhnya tembok Berlin pada 9 November 1989, Francis
Fukuyama telah mengisytiharkan The End of History , merujuk kepada
pertembungan di antara sosialisme komunisme dengan demokrasi kapitalis.
Bagi Fukuyama runtuhnya tembok Berlin adalah kejayaan mutlak demokrasi kapitalisme. Jadi dengan itu berakhirlah sejarah.
Bagaimana pun tarikh 9 Mei 2018, bukanlah pengakhir kepada sejarah
politik Malaysia, tidak juga boleh dikatakan sebagai permulaan kepada
satu sejarah yang baru, meski pun pada tarikh tersebut Umno telah
tercabut akar kuasa dalam sistem pemerintahan negara.
Pakatan Harapan memancakkan paksi kuasa serta memperkukuhkan tunjang cengkamannya.
Bermakna sejarah politik baru, merupakan dimensi politik yang
berlangsung di atas real politik yang sama sebelum 9 Mei 2018, apa yang
bertukar adalah kuasa baru dalam politik pemerintahan.
Pakatan
Harapan (PH) telah berjaya menakluk pusat kuasa dengan menyingkirkan
UMNO-Barisan Nasional (Umno-BN). Watak politik yang menguasai pentas
politik adalah kelompok yang sama, apa yang berbeza adalah baju politik.
Pemikiran politik serta ideologi politik juga adalah sama, atomisme
politik masih tetap berlegar sekitar isu-isu agama dan bangsa, jelasnya
politik perkauman dan sektorian agama masih tetap mendominasi
persekitaran politik Malaysia.
Bagaimana pun, satu fenomena baru
yang wujud dalam konteks Malaysia mutakhir ini, adalah begitu
menonjolnya apa yang boleh diklaskan sebagai real politik “
pemikiran
orang kalah.”
Dalam konteks pemikiran Stephen Covey dinamakan
minda kekurangan. Menyorot novel yang dihasilkan Rohani Deraman,
dijudulkan sebagai Jogho Yang Tewas .
Apa pun konsepsi yang
digunakan, maka rujukannya adalah terhadap pemikiran orang kalah, boleh
juga diistilahkan sebagai minda orang kalah.
Minda orang kalah,
merupakan konteks pemikiran yang sentiasa menafikan hakikat bahawa
mereka sebenarnya kalah, sebaliknya sentiasa meletakkan dirinya sebagai
orang yang menang.
Maka daripada sudut inilah akan timbulnya
istilah “kemenangan yang tertangguh.” Sering kali dipopularkan oleh para
pemimpin Pas.
Golongan ini akan sentiasa meletakkan diri mereka
sebagai pejuang, pembela dan akan sentiasa menafikan apa sahaja
tindakan-tindakan atau dasar-dasar konstruktif yang berteraskan faedah
bersama, terutamanya apabila dasar atau tindakan perubahan sosial,
politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan.Apa pun realitinya
golongan ini akan patuh melutut kepada ketua mereka, meski pun wujud
salah laku serta penyelewengan moral.
Pemikiran orang kalah akan
mengkesampingkan fakta, sebaliknya akan memperbesarkan aspek manipulasi
situasi, berdasarkan kepada andaian serta kepercayaan yang dibina atas
realiti bayangan atau pun unverified assumptions .
Berdasar
unverified assumptions inilah mereka akan membina rantaian isu untuk
memperlihat bahawa mereka mengetahui segala-galanya sehingga
ada yang
mengaku begitu rapat dengan agen CIA.
Beberapa isu yang dicipta
dalam konteks prinsip andaian, seumpama Islam terancam, lebih bercorak
kepada motif mengecilkan pengaruh positif, sebaliknya memperbesarkan
pengaruh negatif, bagi membolehkan matlamat untuk membina keserabutan
dalam kalangan masyarakat dapat digerakkan.
Bagi golongan yang terperangkap dengan pemikiran orang kalah, ini dianggap peluang sebagai pejuang.
Islam terancam, hakikatnya penceritaan yang dihidupkan untuk membina sokongan masyarakat Melayu Islam khususnya, terhadap PAS.
PAS pada setiap ketika akan menjadikan Islam sebagai umpan untuk
memancing dan menambat masyarakat Melayu Islam terhadap perjuangannya,
jadi adalah tidak menghairankan apabila ada dalam kalangan pemimpin dan
ahli PAS mendakwa keluar daripada Pas adalah haram.
Ini
sebenarnya konteks pemikiran orang kalah yang sentiasa menekankan kepada
ugutan dan ancaman dalam konteks untuk mengekalkan sokongan.
Islam terancam juga merupakan satu metos yang dicipta untuk dijadikan
detterant , bagi menghalang masyarakat Melayu Islam menjarakkan diri
daripada PAS.
Para pemimpin Pas sering kali mendakwa bahawa
perjuangan Pas adalah perjuangan Islam. Perjuangan PAS adalah jihad,
kesannya peristiwa Memali menjadi taruhan.
Setelah gagal untuk
berhujah secara berfakta dalam usaha memperkukuh ideologi bagi membina
keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan para pengikutnya. Maka naratif
Islam terancam adalah perangkap yang boleh menjerat masyarakat Melayu
Islam untuk terus menyokong PAS.
Hakikatnya Amanat Banggol Peradong itu,
merupakan amanat yang lahir daripada pemikiran orang kalah.
Detik 9 Mei 2018, memperlihatkan politik PAS dan UMNO berusaha untuk
kembali memperkukuh kedudukan. Ekoran daripada situasi inilah PAS dan
UMNO terperangkap dalam konteks pemikiran orang kalah, amat ketara
tindakan-tindakan serta pemikiran tidak produktif telah diketengahkan
yang memberikan kesan kepada kestabilan sosial.
Kempen boikot
barangan bukan Islam (kemudian ditukarkan kepada mengutamakan produk
muslim), merupakan unsur yang menjurus kepada usaha membina kelompok
terasing (sub-set) daripada kelompok yang besar, iaitu menafikan
kekuatan hubungan sinergistik, satu ciri utama dalam konteks pemikiran
orang kalah.
Secara analitikalnya, timbul persoalan bagaimana
proses dan prosedur yang digunakan untuk menentukan kemutlakan produk
muslim, bagaimana kaedahnya bagi menentukan unsur-unsur komposit dalam
mendefinisikan produk muslim.
Dalam kedua-dua unsur teras ini,
hakikatnya perlu diberikan pembuktian yang boleh ditentusahkan Umdan
mempunyai standard kalibrasi.
Hakikatnya ini adalah jelas
menggambarkan wujudnya unsur pemikiran orang kalah dalam isu berkait
dengan pemboikotan produk non muslim, kerana jelas memperlihatkan
wujudnya tingkah laku reaktif yang berteraskan pemikiran prejudis.
Pemikiran orang kalah, umumnya menjurus kepada tingkah laku serta pemikiran bercorak reaktif dan spekulatif.
Kekalahan Umno 9 Mei 2018 dan dalam usaha untuk menghidupkan sisa-sisa
nafasnya, maka diputarkan pelbagai isu non-produktif bagi
menimbulkan
kecelaruan emosi serta pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu.
Naratifnya; hak Melayu tergugat, kedudukan keistimewaan Melayu sudah
terhakis, kedaulatan Raja-raja Melayu sedang terancam dan Cina sudah
menguasai Malaysia; walhal pada masa yang sama institusi-institusi
Melayu dan Islam masih kukuh dan teguh, tidak terusik catatannya dalam
Perlembagaan negara serta masih tetap utuh operasinya.
Kitaran
isu-isu ini, hakikatnya wujud hasil daripada kemusnahan intelektualiti,
menjadikan hilangnya konteks pemikiran dalam skala gambaran luas,
wujudnya pembonsaian perspektif.
Realiti inilah yang menjadikan
Pas dan Umno gagal untuk memahami isu disebalik kes Najib Razak dalam
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.
Pas dan Umno
daripada awal isu ini diperkatakan, menyimpulkan sebagai wujudnya usaha
untuk menfitnah Najib Razak dan mereka dengan mudah, tanpa analytical
view menganggap IMDB tidak ada pelanggaran integriti dan akauntabiliti,
pelan rasionalisasi adalah betul dan tepat.
Hakikatnya pemikiran
orang kalah begitu kuat mendominasi pemikiran, tingkah laku dan
perspektif pemimpin Pas dan Umno, mengakibatkan hilangnya sifat
nasionaliti, sebaliknya membataskan tindak tanduk dalam persekitaran
lokaliti kedaerahan.
Pada masa yang sama lebih cenderung kepada
penyebaran sentimen provokatif yang menyisihkan, apa yang diistilahkan
oleh Stephen Covey sebagai the judgement of smart trust .
oleh: Dr Kamarudin Musa UPSI