Followers

Friday, March 8, 2019

Era PH: Petronas Mampu Bayar Dividen Khas RM30b Kepada Kerajaan



Petronas yakin mampu membayar dividen RM54 bilion kepada kerajaan termasuk dividen khas RM30 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata sebab syarikat minyak negara bersetuju dengan bayaran itu kerana mereka mampu melakukannya.

"Kita ada simpanan tunai yang agak besar, hasil daripada pengurusan yang cermat selama ini.

"Ini membenarkan Petronas untuk mengisytiharkan dividen khas RM30 bilion kepada pemegang saham, seperti yang diumum tahun lalu.

"Kami akan mengagihkannya secara berperingkat sepanjang 2019," katanya dalam ucapan ketika mengumumkan prestasi kewangan Petronas di KLCC hari ini.

Dividen khas RM30 bilion itu merupakan sebahagian daripada RM54 bilion yang diminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membantunya melunaskan pembayaran semula GST.

Wan Zulkiflee berkata pembayaran telah bermula Januari lalu dan Petronas yakin mampu memenuhi komitmen itu, selain pembayaran dividen biasa berjumlah RM24 bilion.

"Dividen berjumlah RM24 bilion. RM30 bilion adalah dividen khas dan RM24 bilion dividen biasa kita.

"Ya kami yakin...Kerana sebelum kami menyatakan komitmen dan isytiharkan angka ini, kami yakin untuk membuat pembayaran," katanya lagi.

Pad 2017, Petronas membayar dividen sebanyak RM16 bilion kepada kerajaan.

Keuntungan selepas cukai (PAT) Petronas untuk suku keempat 2018 merosot kepada RM14.3 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya (RM18.2 bilion).

Untuk keseluruhan tahun, PAT 2018 meningkat 22 peratus kepada RM55.3 bilion berbanding RM45.5 bilion pada 2017.

Untuk 2019, Wan Zulkiflee berkata harga minyak dijangka terus tidak stabil namun menegaskan struktur perniagaan integrasi Petronas dan portfolio yang semakin pelbagai akan membolehkan syarikat itu menempuhi sebarang ketidaktentuan.

oleh: Annabelle Lee mKini