Anggota Polis kejutkan Najib 'Terlena'
Bukan tidur - itu kata yang ditegaskan Najib Razak apabila ditanya berhubung insiden beliau kelihatan terlelap semasa di mahkamah pagi tadi.
Ditemui media di lobi parlimen hari ini bekas perdana menteri itu juga kelihatan tidak senang apabila soalan mengenai kejadian itu ditanyakan.
"Tak, tadi saya cuma tutup mata," katanya ringkas.
Ditanya lebih lanjut, anggota parlimen Pekan yang kini semakin dikenali dengan kata pikat "Malu apa bossku" itu kemudian meminta kejadian itu tidak dipanjangkan.
"Jangan jadikan ia satu isu," katanya.
Beliau kemudian berlalu meninggalkan wartawan dan enggan menjawab soalan lanjut.
The Edge pagi tadi melaporkan seorang anggota polis mengejutkan Najib yang terlena ketika kesnya didengar di depan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Sentuh bahu Najib
Najib sebelum ini mengemukakan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan tehadap media dan orang ramai daripada membincangkan serta menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International Sdn Bhd.
Najib juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan beberapa dokumen mengenai kes itu, rayuan terhadap pelantikan Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindahan kes daripada mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi oleh pendakwaan.
Laporan menyebut Najib terlelap ketika peguamnya Havinderjit Singh membalas hujah Thomas.
Najib yang duduk di depan kandang tertuduh terlelap dan ia menarik perhatian anggota polis yang bertugas.
Petugas keselamatan itu yang duduk di bahagian kanan mahkamah kemudian berjalan ke arah Najib, menyentuh bahu beliau dan membisikkan sesuatu kepadanya.
[Baca berita penuh]