Followers

Friday, January 16, 2015

Dr Madey Bagi Lagi 1 Peluang Untuk Najib Kantoi ...


Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum berpuas hati dengan penjelasan 1MDB berhubung pengurusan dananya.

Dr Mahathir mahu tahu bank mana 1MDB simpan wang
 

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau masih tidak berpuas hati dengan penjelasan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir sebaliknya mendesak Putrajaya mendedahkan di mana wang 1MDB disimpan jika telus mengenai kontroversi syarikat pelaburan tersebut.

"Penjelasan tidak jelas kepada kita semua," kata Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama portal Sarawak Report hari ini.

"Saya mahu tahu di mana bank yang menyimpannya. Berbilion dollar, kamu mesti simpan di suatu tempat. Saya tidak tahu di mana wang tersebut – itu sebahagian daripada ketelusan."

Perkara tersebut diluahkan Dr Mahathir kepada pengarang laman tersebut selepas dijemput Yayasan Perdana di Putrajaya.

Malah Dr Mahathir juga enggan menerima penjelasan yang diberikan wakil 1MDB dalam satu perjumpaan baru-baru ini.

"Saya persoalkan penjelasan tersebut, ia suatu yang tidak boleh diterima.

"Ia agak samar... Saya persoalkan penubuhan 1MDB dan cara ia diuruskan. Mereka (pengurus) mereka jumpa saya, tapi mereka tidak dapat jelaskan bagaimana wang tersebut diuruskan dan mengapa loji janakuasa dibeli pada harga tinggi dan komisyen dibayar kepada Goldman Sachs," kata Dr Mahathir.

Pada Disember lalu, The Malaysian Insider mendedahkan pertemuan antara Najib dengan Dr Mahathir untuk berbincang mengenai 1MDB.

Perjumpaan itu diadakan selepas bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berulang kali membangkitkan persoalan mengenai hutang besar dan penggunaan dana di 1MDB menerusi tulisan di blognya dan merungut mengenai operasi 1MDB pada sidang medianya.

Pengkritik bercakap mengenai kurangnya ketelusan bagaimana wang itu diuruskan hingga ke Pulau Cayman dan dianggarkan sekurang-kurangnya RM18 bilion wang 1MDB disimpan di sana.

1MDB adalah dana wang kerajaan yang kedua selepas Khazanah Nasional Bhd.

Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa Perhimpunan Agung Umno yang diadakan pada November lalu gagal membincangkan isu kepentingan awam seperti 1MDB.

Pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan juga membuat laporan polis terhadap 1MDB berhubung aktiviti kewangannya yang meragukan dan pinjaman yang terlalu banyak.

Semalam, naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung 1MDB.

sumber...TMI