Followers

Thursday, January 1, 2015

Ribut Tropika JangMi Akan Tibai 90% Kawasan Malaysia ?



MKN Nafi Ribut Tropika Jangmi Landa 90 Peratus Kawasan Malaysia 3 Januari 

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menafikan dakwaan kononnya ribut tropika 'Jangmi' akan melanda 90 peratus kawasan di Malaysia pada 3 Januari ini.

Beliau berkata, mesej yang tersebar secara meluas di laman sosial pada Rabu berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

Mohamed Thajudeen menjelaskan bahawa ribut tropika Jangmi yang kini berada di kawasan perairan Filipina dijangka akan menjadi lemah di kawasan Laut Sulu.

"Cuma yang akan berlaku nanti ialah laut akan bergelora, dan berlaku hujan di beberapa kawasan khususnya di sebelah timur Malaysia.

"Kita telah semak dengan Jabatan Meteorologi dan mereka nyatakan ribut tropika itu memang berada di kawasan Filipina. Tetapi tidaklah sampai akan melanda 90 peratus kawasan Malaysia. Ia akan menjadi lemah di Laut Sulu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

MKN menyifatkan penyebaran berita tidak benar sebagai perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab, kata Mohamed Thajudeen.

Beliau menasihatkan agar perbuatan itu dihentikan, memandangkan rakyat Malaysia baru hendak pulih daripada bencana banjir dan mahu memulakan hidup baharu.

"Janganlah buat perbuatan khianat ini kepada rakyat. Cerita-cerita begini mewujudkan suasana panik, cemas dan mengecewakan rakyat. Perbuatan ini tidak baik dan boleh dianggap mengkhianati rakyat Malaysia," katanya.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, ribut Jangmi dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora hanya di perairan Sabah, Labuan, dan Miri serta Bintulu di Sarawak dalam tempoh 31 Disember hingga 2 Januari.

Penduduk di kawasan perairan Sabah (Kudat, pantai barat, Sandakan dan pedalaman) dinasihatkan mengelak daripada sebarang aktiviti marin terutamanya pada 1 Januari 2015, kerana ribut tropika itu dijangka akan menyebabkan cuaca buruk di kawasan-kawasan berkenaan.

Che Gayah berkata, ramalan dari Joint Typhoon Warning Centre (JTWC) menyebut bahawa ribut itu berada 665km dari Timur Laut Sandakan dan sedang bergerak ke arah Barat dengan kelajuan 15km sejam.

"Ribut itu boleh menyebabkan angin kencang selaju 50 hingga 60kmsj yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," kata Che Gayah.
Beliau berkata, ia boleh mengakibatkan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter serta hujan lebat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam makluman terbaharunya menyatakan ribut tropika Jangmi telah menjadi lemah kepada Lekukan Tropika pada 12 tengah hari Rabu.

Lekukan Tropika itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Sabah (Sandakan, Kudat, pantai barat dan pendalaman), Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak.

"Mengikut cerapan pada jam 12 tengah hari tadi, Lekukan Tropika ini berada pada kedudukan latitud 8.9 darjah Utara dan longitud 121.7 darjah Timur. Jarak paling hampir dengan bandar di Malaysia ialah 527 km ke Timur Laut Sandakan.

"Ia sedang bergerak ke arah selatan dengan kelajuan 12kmsj," menurut kenyataan jabatan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan laman sosial MetMalaysia di facebook https://www.facebook.com/malaysiamet atau twitter https://twitter.com/malaysiamet.