Followers

Tuesday, February 2, 2021

Ebit Lew Henti Bantuan di Semporna, Dakwa Dihalang ke Pulau


 

Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini memaklumkan dia terpaksa menghentikan segala bentuk bantuan kepada penduduk di pulau-pulau Semporna, Sabah.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit berkata ia termasuk ikhtiarnya untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka yang diIslamkannya semalam.

"Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

"Pagi ini, saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna minta diberhentikan bantuan di sekitar sini.

"Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya. 

Ebit semalam dilapor membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

Dalam catatan di Facebooknya, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan di Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.

Katanya, kesemua penduduk di kawasan tersebut tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.

Mengulas lanjut, Ebit berkata pihaknya telah menyediakan barang keperluan bagi pembinaan sekolah yang dijanjikan.

Namun, katanya ia tidak dapat diteruskan.

"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang.

"Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul tujuh orang guru. Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz dan ustazah semua," katanya.

Bagaimanapun, kata Ebit dia menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

"Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau.

"Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati, perjuangan diteruskan.

"Saya serahkan segala urusan kepada Allah SWT. Cukuplah kepada Allah SWT orang mukmin itu berserah," tambahnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Ebit untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pihak yang didakwa menghalangnya ke pulau-pulau berkenaan.

sumber...mKini

Monday, February 1, 2021

Isteri Ahli Politik Didakwa Edar 1.58kg, Tanam Ganja di Rumah


 

Isteri seorang ahli politik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumahnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa telah mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 1,580.4 gram dan mengedar cecair jenis dadah sama berisipadu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di Kuala Lumpur pada 7.30 malam, 20 Jan.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes. Tertuduh ditahan di Penjara Kajang.

Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.

Turut ditahan di dalam serbuan tersebut adalah, isteri serta pembantu rumah suspek.

sumber-  Bernama