Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan sepakat untuk meminta ahli-ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersuara berhubung isu lantikan pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan yang diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas biro politik Amanah Kelantan yang berlangsung di Kota Bharu, malam tadi.
Katanya, Amanah Kelantan berharap keputusan melantik Mohamed Azmin sebagai pengerusi MTNg dikaji semula.
"Kesimpulannya kita minta dikaji semula lantikan pengerusi MTNg Kelantan dan Terengganu supaya diberikan kepada menteri daripada Amanah.
"Ia sekali gus bertepatan dengan persetujuan asal Majlis Presiden PH bahawa Kelantan, Terengganu dan juga Melaka diterajui Amanah, " katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.
Awal hari ini, Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan Amanah Kelantan mengadakan perbincangan khas berhubung perkara itu.
Namun sumber itu berkata, perbincangan tersebut tidak mencapai kata sepakat sama ada untuk membantah atau menerima lantikan tersebut.
Hazmi berkata, laporan tersebut kurang tepat dan Amanah Kelantan membuat keputusan agar lantikan Azmin dikaji semula.
"Ia demi kesepakatan antara parti-parti dalam PH, diharapkan satu keputusan boleh dibuat agar konsensus yang dicapai sebelum ini yang meletakkan Amanah menerajui Kelantan.
"Konsensus bahawa Amanah menerajui Kelantan, Terengganu dan Melaka yang dicapai melalui Majlis Presiden PH dan diharap ia dapat kekal dihormati untuk kestabilan PH," jelasnya.
Tambahnya, kebijaksanaan pimpinan diharapkan dapat membuat keputusan sewajarnya demi kestabilan PH dikekalkan.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pejabat Azmin berkaitan bantahan itu.
oleh: N Faizal Ghazali mKini