Followers

Wednesday, February 27, 2019

Kemeriahan Suara Zaman Kerajaan PH


Hampir 10 bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan menghadapi pelbagai kritikan bukan saja dari pembangkang yang sudah tentu perkara itu pasti berlaku, tetapi lebih penting ialah suara tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka sendiri.

Dalam keadaan ini, ada 4 reaksi yang timbul dalam kalangan penyokong PH. Pertama, mereka yang terus kecewa dengan kerajaan PH dan berazam untuk mengundi menolak gabungan itu, pada pilihan raya umum ke-15.

Kedua, mereka yang kecewa dan mengkritik kerajaan PH, tetapi kekal mendokongnya dengan harapan pemimpinnya akan memperoleh jalan untuk mengatasi segala kritikan yang mereka hadapi.
Ketiga, pendokong PH yang bukan saja teguh mendokong gabungan parti itu, tetapi lebih penting ialah memahami masalah kerajaan PH dalam mentadbir negara. Mereka percaya pada keseluruhannya negara berada dalam keadaan lebih baik.
Keempat, golongan yang kecewa bukan saja pada PH dan pembangkang tetapi keseluruhan keadaan negara ini. Dengan mengambil kira sikap rakyat yang kurang dalam pada gaya pemikirannya, mereka tidak mengharapkan sebarang pembaikan pada negara ini. Mereka pesimis dan percaya tidak ada pembaharuan yang boleh dilakukan oleh sesiapapun, sama ada PH atau pihak lain. Ini kerana keadaan rakyat negara ini yang berminda sebegitu rupa.

Dalam keadaan ini bagaimanapun, terdapat 3 realiti yang berlaku selepas PRU14. Realiti yang kurang disebutkan atau terfikir oleh penyokong PH, termasuk golongan kecewa itu.

Tiga realiti itu ialah, pertama perjalanan negara, termasuk pentadbiran kerajaan, walaupun menghadapi pelbagai cabaran tetapi tetap berjalan lancar. Negara berada dalam keadaan aman dan selamat. Undang-undang bukan saja terus berkuatkuasa tetapi pelaksanaannya ditingkatkan apabila banyak daripada mereka yang disyaki melakukan penyelewengan dibawa ke mahkamah. Rakyat masih boleh meneruskan kehidupan seharian, bekerja, belajar, berniaga dan mengamalkan anutan agama masing-masing.

Ia bererti walaupun kerajaan berubah, perjalanan negara tidak terjejas. Sistem politik Malaysia diuji dan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berfungsi dengan baik. Enam puluh tahun lebih pemerintahan Umno melalui Perikatan dan Barisan Nasional tidak berakhir dengan kacau-bilau. Rakyat negara ini boleh hidup tanpa Umno. Ini merupakan realiti utama.

Realiti kedua, perbezaan polisi antara PH dan BN. Selepas 10 bulan, perbezaan adalah jelas tetapi ia tidak dipandang sedemikian oleh banyak warganegara. Ungkapan seperti “PH dan BN sama saja” menyembunyikan realiti ini. Mereka yang berfikiran sedemikian menggambarkan pemikiran keupayaan ahli politik PH dan BN adalah serupa. Maknanya kerajaan PH tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara yang gagal ditangani oleh BN. Maknanya BN dan PH adalah serupa saja. Tidak ada kelebihan ketokohan pemimpin PH, berbanding BN. Maknanya segala perubahan kerajaan yang berlaku pada 9 Mei tahun lalu adalah sia-sia. Ia hanya penggantian kepimpinan.

Tetapi realitinya tidak demikian. Walaupun kerajaan PH belum dapat melaksanakan semua janji pilihan rayanya. Tetapi dari hari pertama, ia melunaskan sebahagian manifestonya. Sementara yang lain pula sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk mengenai tol. Tetapi sikap dan usaha ini tidak dihargai oleh penyokong pembangkang termasuk golongan kecewa PH. Malah mereka turut menyertai laskar maya Umno memperli usaha kerajaan. Mereka sudah mencapai tahap kebencian pada PH hingga enggan untuk mendengar penjelasan dengan kepala dingin.
Polisi PH dan BN mepunyai asas berbeza. Pemahaman mengenai demokrasi menjadikan keduanya berbeza. Tetapi rakyat umum kurang tertarik pada soal demokrasi. Keutamaan pada rakyat umum adalah kebajikan yang mereka mahu nikmati. Demokrasi hanya dilihat sebagai alat supaya mereka dapat menikmati kemakmuran hidup.

Selain kemakmuran, apa yang mereka kehendaki ialah maruah bagi kaum dan agama mereka. Pembangkang akan membesar-besarkan sentimen kaum dan agama. Apabila rakyat lebih mengutamakan soal maruah daripada idealisme demokrasi, maka PH dirasakan gagal. Sedangkan maruah kaum dan agama dalam konteks kemanusiaan adalah lebih baik dapat dicapai melalui idealisme demokrasi. Rakyat yang tidak faham dan tidak menghargai demokrasi sukar untuk melihat perkara.

Realiti ketiga ialah kebebasan bersuara dan ekspresi dalam zaman PH. Minggu lalu terdapat acara mengenai Yaman di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC). Minggu sebelum itu ada Festival Demokrasi di Publika. Beberapa hari sebelum itu, ada simposium pendidikan yang mana Menteri Pendidikan, Maszlee Malek menghadapi soalan dan kritikan daripada peserta.

Sejak 10 bulan lalu, pelbagai acara perbincangan dan perbahasan diadakan secara terbuka di universiti. Bukan itu saja, banyak juga kegiatan seni diadakan termasuk pameran lukisan rancak diadakan. Tempat yang dahulunya disekat daripada menganjurkan acara yang dianggap mencabar pihak berkuasa tidak dapat diadakan.

Suasana bebas ekspresi ini memeriahkan ruang bicara negara ini. Walaupun pada masa BN, banyak perkara juga bebas dilakukan, tetapi pihak yang memegang kuasa ke atas sesuatu tempat melakukan halangan kerana bimbang kedudukan mereka terjejas. Tetapi lebih penting lagi, pada zaman PH, orang berasa bebas untuk bersuara bukan saja di media sosial tetapi melalui perbualan dalam masyarakat.

Mereka tidak berasa gentar. Kalau dulu, acara perbincangan juga ada. Tetapi suasana politik di bawah BN menyebabkan orang bimbang untuk bersuara dan berekspresi. Maka keadaan ini digunakan oleh pembangkang hinggakan banyak orang yang belum biasa dengan suasana keterbukaan ini mudah terpengaruh.

Malah ada kalangan penyokong PH sendiri menuntut supaya kawalan bersuara seperti yang berlaku pada zaman BN dikembalikan, dengan tujuan menyelamatkan kerajaan PH daripada kritikan dan fitnah. Tetapi kerajaan PH tetap berpegang kepada kebebasan media walaupun menyedari banyak media arus perdana, baik dalam bentuk cetak mahupun elektronik masih di bawah pengaruh BN.

Inilah realiti paling penting bagi pemerintahan kerajaan PH. Ia juga menampilkan apa yang membuatkan PH berbeza daripada BN. Banyak kalangangan rakyat negara ini tentunya menganggap kebebasan bersuara ini tidak penting, iaitu kalau dibandingkan dengan soal ekonomi dan kebajikan.
Tetapi apabila dilihat kesan daripada kritikan dan tekanan oleh masyarakat terhadap kerajaan PH, maka ternyata kebebasan bersuara dan berekspresi ini mendatangkan hasil. Ia memperbaiki pentadbiran kerajaan. Ia bermakna sistem demokrasi dengan kebebasan bersuara di negara ini adalah berkesan.

Namun, rakyat pula perlu meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan kebebasan bersuara ini. Ia perlu digunakan untuk kebaikan masyarakat, dan bukannya menyebarkan pembohongan dan kebencian. Apatah lagi untuk melemahkan kerajaan dalam kerjanya untuk rakyat.

Maknanya, apabila mengetahui fakta yang negatif daripada kerajaan, kritikan yang harus diutarakan wajar untuk membaiki keadaan, bukannya menimbulkan rasa kebencian dalam masyarakat, bukan saja antara parti tetapi juga kaum dan agama.

Walaupun apa sentimen seseorang rakyat Malaysia, hakikatnya negara ini adalah milik semua warga negara tanpa mengira kaum dan agama. Dari situ semuanya perlu mencari jalan untuk hidup secara harmoni. Dalam kalangan manusia, tentu ada orang jahat dan tamak. Tetapi ia bukanlah atas asas kaum atau agama.

oleh: Zin Mahmud