Followers

Showing posts with label rakyat. Show all posts
Showing posts with label rakyat. Show all posts

Wednesday, February 27, 2019

Kemeriahan Suara Zaman Kerajaan PH


Hampir 10 bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan menghadapi pelbagai kritikan bukan saja dari pembangkang yang sudah tentu perkara itu pasti berlaku, tetapi lebih penting ialah suara tidak puas hati dalam kalangan penyokong mereka sendiri.

Dalam keadaan ini, ada 4 reaksi yang timbul dalam kalangan penyokong PH. Pertama, mereka yang terus kecewa dengan kerajaan PH dan berazam untuk mengundi menolak gabungan itu, pada pilihan raya umum ke-15.

Kedua, mereka yang kecewa dan mengkritik kerajaan PH, tetapi kekal mendokongnya dengan harapan pemimpinnya akan memperoleh jalan untuk mengatasi segala kritikan yang mereka hadapi.
Ketiga, pendokong PH yang bukan saja teguh mendokong gabungan parti itu, tetapi lebih penting ialah memahami masalah kerajaan PH dalam mentadbir negara. Mereka percaya pada keseluruhannya negara berada dalam keadaan lebih baik.
Keempat, golongan yang kecewa bukan saja pada PH dan pembangkang tetapi keseluruhan keadaan negara ini. Dengan mengambil kira sikap rakyat yang kurang dalam pada gaya pemikirannya, mereka tidak mengharapkan sebarang pembaikan pada negara ini. Mereka pesimis dan percaya tidak ada pembaharuan yang boleh dilakukan oleh sesiapapun, sama ada PH atau pihak lain. Ini kerana keadaan rakyat negara ini yang berminda sebegitu rupa.

Dalam keadaan ini bagaimanapun, terdapat 3 realiti yang berlaku selepas PRU14. Realiti yang kurang disebutkan atau terfikir oleh penyokong PH, termasuk golongan kecewa itu.

Tiga realiti itu ialah, pertama perjalanan negara, termasuk pentadbiran kerajaan, walaupun menghadapi pelbagai cabaran tetapi tetap berjalan lancar. Negara berada dalam keadaan aman dan selamat. Undang-undang bukan saja terus berkuatkuasa tetapi pelaksanaannya ditingkatkan apabila banyak daripada mereka yang disyaki melakukan penyelewengan dibawa ke mahkamah. Rakyat masih boleh meneruskan kehidupan seharian, bekerja, belajar, berniaga dan mengamalkan anutan agama masing-masing.

Ia bererti walaupun kerajaan berubah, perjalanan negara tidak terjejas. Sistem politik Malaysia diuji dan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berfungsi dengan baik. Enam puluh tahun lebih pemerintahan Umno melalui Perikatan dan Barisan Nasional tidak berakhir dengan kacau-bilau. Rakyat negara ini boleh hidup tanpa Umno. Ini merupakan realiti utama.

Realiti kedua, perbezaan polisi antara PH dan BN. Selepas 10 bulan, perbezaan adalah jelas tetapi ia tidak dipandang sedemikian oleh banyak warganegara. Ungkapan seperti “PH dan BN sama saja” menyembunyikan realiti ini. Mereka yang berfikiran sedemikian menggambarkan pemikiran keupayaan ahli politik PH dan BN adalah serupa. Maknanya kerajaan PH tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara yang gagal ditangani oleh BN. Maknanya BN dan PH adalah serupa saja. Tidak ada kelebihan ketokohan pemimpin PH, berbanding BN. Maknanya segala perubahan kerajaan yang berlaku pada 9 Mei tahun lalu adalah sia-sia. Ia hanya penggantian kepimpinan.

Tetapi realitinya tidak demikian. Walaupun kerajaan PH belum dapat melaksanakan semua janji pilihan rayanya. Tetapi dari hari pertama, ia melunaskan sebahagian manifestonya. Sementara yang lain pula sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk mengenai tol. Tetapi sikap dan usaha ini tidak dihargai oleh penyokong pembangkang termasuk golongan kecewa PH. Malah mereka turut menyertai laskar maya Umno memperli usaha kerajaan. Mereka sudah mencapai tahap kebencian pada PH hingga enggan untuk mendengar penjelasan dengan kepala dingin.
Polisi PH dan BN mepunyai asas berbeza. Pemahaman mengenai demokrasi menjadikan keduanya berbeza. Tetapi rakyat umum kurang tertarik pada soal demokrasi. Keutamaan pada rakyat umum adalah kebajikan yang mereka mahu nikmati. Demokrasi hanya dilihat sebagai alat supaya mereka dapat menikmati kemakmuran hidup.

Selain kemakmuran, apa yang mereka kehendaki ialah maruah bagi kaum dan agama mereka. Pembangkang akan membesar-besarkan sentimen kaum dan agama. Apabila rakyat lebih mengutamakan soal maruah daripada idealisme demokrasi, maka PH dirasakan gagal. Sedangkan maruah kaum dan agama dalam konteks kemanusiaan adalah lebih baik dapat dicapai melalui idealisme demokrasi. Rakyat yang tidak faham dan tidak menghargai demokrasi sukar untuk melihat perkara.

Realiti ketiga ialah kebebasan bersuara dan ekspresi dalam zaman PH. Minggu lalu terdapat acara mengenai Yaman di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC). Minggu sebelum itu ada Festival Demokrasi di Publika. Beberapa hari sebelum itu, ada simposium pendidikan yang mana Menteri Pendidikan, Maszlee Malek menghadapi soalan dan kritikan daripada peserta.

Sejak 10 bulan lalu, pelbagai acara perbincangan dan perbahasan diadakan secara terbuka di universiti. Bukan itu saja, banyak juga kegiatan seni diadakan termasuk pameran lukisan rancak diadakan. Tempat yang dahulunya disekat daripada menganjurkan acara yang dianggap mencabar pihak berkuasa tidak dapat diadakan.

Suasana bebas ekspresi ini memeriahkan ruang bicara negara ini. Walaupun pada masa BN, banyak perkara juga bebas dilakukan, tetapi pihak yang memegang kuasa ke atas sesuatu tempat melakukan halangan kerana bimbang kedudukan mereka terjejas. Tetapi lebih penting lagi, pada zaman PH, orang berasa bebas untuk bersuara bukan saja di media sosial tetapi melalui perbualan dalam masyarakat.

Mereka tidak berasa gentar. Kalau dulu, acara perbincangan juga ada. Tetapi suasana politik di bawah BN menyebabkan orang bimbang untuk bersuara dan berekspresi. Maka keadaan ini digunakan oleh pembangkang hinggakan banyak orang yang belum biasa dengan suasana keterbukaan ini mudah terpengaruh.

Malah ada kalangan penyokong PH sendiri menuntut supaya kawalan bersuara seperti yang berlaku pada zaman BN dikembalikan, dengan tujuan menyelamatkan kerajaan PH daripada kritikan dan fitnah. Tetapi kerajaan PH tetap berpegang kepada kebebasan media walaupun menyedari banyak media arus perdana, baik dalam bentuk cetak mahupun elektronik masih di bawah pengaruh BN.

Inilah realiti paling penting bagi pemerintahan kerajaan PH. Ia juga menampilkan apa yang membuatkan PH berbeza daripada BN. Banyak kalangangan rakyat negara ini tentunya menganggap kebebasan bersuara ini tidak penting, iaitu kalau dibandingkan dengan soal ekonomi dan kebajikan.
Tetapi apabila dilihat kesan daripada kritikan dan tekanan oleh masyarakat terhadap kerajaan PH, maka ternyata kebebasan bersuara dan berekspresi ini mendatangkan hasil. Ia memperbaiki pentadbiran kerajaan. Ia bermakna sistem demokrasi dengan kebebasan bersuara di negara ini adalah berkesan.

Namun, rakyat pula perlu meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan kebebasan bersuara ini. Ia perlu digunakan untuk kebaikan masyarakat, dan bukannya menyebarkan pembohongan dan kebencian. Apatah lagi untuk melemahkan kerajaan dalam kerjanya untuk rakyat.

Maknanya, apabila mengetahui fakta yang negatif daripada kerajaan, kritikan yang harus diutarakan wajar untuk membaiki keadaan, bukannya menimbulkan rasa kebencian dalam masyarakat, bukan saja antara parti tetapi juga kaum dan agama.

Walaupun apa sentimen seseorang rakyat Malaysia, hakikatnya negara ini adalah milik semua warga negara tanpa mengira kaum dan agama. Dari situ semuanya perlu mencari jalan untuk hidup secara harmoni. Dalam kalangan manusia, tentu ada orang jahat dan tamak. Tetapi ia bukanlah atas asas kaum atau agama.

oleh: Zin Mahmud

Sunday, February 17, 2019

Rakyat Mesti Miliki Rumah Mampu Milik - Tun M


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Komuniti Negara sambil disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara yang diadakan di Padang Awam Taman Puchong Indah. - Foto Eizairi Shamsudin

Rakyat mesti berusaha memiliki rumah mampu milik kerana ia satu pelaburan baik dan amat bermanfaat untuk jangka masa panjang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu rakyat tinggal di kediaman yang lebih selesa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik dan harmoni.

“Apabila kita membeli rumah mampu milik kita sebenarnya melabur dalam harta yang akan meningkat nilainya pada satu hari nanti.

“Kemudian apabila pada masa yang panjang rumah mampu milik ini nilainya akan meningkat dan kita anggap harga yang ditawar sangatlah murah pada masa itu, walaupun ketika ini masih ada yang kata nilainya tidak begitu murah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara, berlangsung di Padang Awam Taman Puchong Indah di sini, pagi tadi.

Turut sama hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun sedikit sebanyak akan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, dengan harga lebih murah.

“Rumah mampu milik bagi kita rumah yang selesa diduduki oleh rakyat walaupun harganya rendah, tetapi kemudahannya tidaklah terlalu kurang berbanding rumah yang lebih mewah.

“Inilah hasrat kita. Kerajaan mahu rakyat tinggal di tempat lebih selesa. Tidak ada makna duduk negara maju, tapi rakyat hidup menderita. Tidak hidup dalam keadaan keselesaan. Dapat lihat kemajuan negara tetapi tidak nikmati kemajuan itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi membekalkan satu juta rumah mampu milik ini, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta.

“Akan lihat ada tempat kerajaan bangunkan rumah, ada tempat yang swasta akan bangunkan. Saya yakin pihak swasta prihatin akan keperluan ini dan sedia melabur bangunkan rumah ini untuk rakyat jelata.

“Dengan hasrat untuk bangunkan banyak rumah juga, ia beri peluang pengusaha melabur dalam teknologi pembangunan rumah. Sekarang sudah ada kilang keluarkan (bahan bina) rumah mampu milik dan dipasang dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, pemilikan rumah saja tidak memadai sebaliknya rakyat yang tinggal di kediaman itu mesti mengukuhkan hubungan komuniti setempat supaya mereka sentiasa hidup dalam kemasyarakatan.

“Ini bermakna kawasan kampung dan perumahan kita perlu ada sistem dan cara hidup yang memberi kepentingan kepada semua penduduk di kawasan itu.

“Kita harap pemilik rumah di kampung-kampung atau kawasan perumahan yang akan diadakan perlu jalin kerjasama antara mereka seperti mengadakan satu kelab untuk satu kawasan atau kampung,” katanya.

Dr Mahathir juga yakin komuniti di kawasan perumahan dan kampung mempunyai banyak kemahiran dan cekap dalam bidang tertentu.

“Kaum wanita contohnya boleh buat masakan yang sedap untuk perkhidmatan katering di waktu kenduri atau mengadakan perjumpaan seperti yang ada pada hari ini.

“Sekarang ini kita sudah masuk zaman perniagaan dalam talian, mereka yang ada di kampung mungkin dapat keluarkan kuih muih yang boleh dipasarkan bukan saja di kampung itu tetapi seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat waktu ini bahawa kos hidup akan terus meningkat, namun kerajaan sentiasa memastikan serta mengawal kenaikan itu tidak terlalu tinggi sehingga membebankan mereka.

“Semasa saya masih kecil, saya pergi kedai di kampung dengan bawa satu sen untuk beli rempah ratus tetapi satu sen sekarang tidak boleh beli apa-apa sebab barang sudah meningkat cuma air saja tidak naik harga.

“Air yang kita jual ke Singapura masih tiga sen untuk seribu gelen kalau kita mahu beli. Kalau inilah nilainya, nasi lemak pun kita tidak boleh beli. Inilah contoh bila harga dan nilai (jual air ke Singapura) tidak ditingkatkan sedangkan harga (barang) semakin meningkat,” katanya.

oleh:  Mohd Nasaruddin Parzi

Sunday, June 28, 2015

Syeikh Omar Dedahkan Kenapa Menyertai DAP


Sheikh Omar Ali berkata semangat perjuangan demokrasi yang dibawa DAP selari dengan semangat yang dianjurkan Islam, dan berbanding PAS, parti tersebut tampak lebih serius tentang memperjuangkan isu membabitkan rakyat. 

 Kecewa dengan sikap sebahagian pemimpin PAS yang lebih gemar menjadikan parti Islam itu "eksklusif" dan berterusan dengan polemik lama yang sering dikitar semula, serta "pembersihan etnik" pada pemilihan parti awal bulan ini, Sheikh Omar Ali mengambil pendirian keluar parti dan menyertai DAP.

Bekas penuntut jurusan Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu berpendapat, keputusan pemilihan PAS yang menyaksikan kelebihan dimiliki kumpulan konservatif dari kalangan pro ulama juga menyaksikan parti itu semakin ketinggalan 30 tahun ke belakang.

Keadaan ini berbanding DAP, yang pada pandangan bekas ahli PAS berusia 30 tahun ini, nampak lebih serius dalam memperjuangkan isu yang membabitkan rakyat.


"Agak lama saya berada dalam PAS, namun sikap sesetengah pimpinan parti Islam tersebut yang terus-menerus mengulangi polemik serta titik bengik konflik dalamannya yang terlalu panjang, menyebabkan PAS menjadi begitu ekslusif dan seolah-olah tidak mahu bergerak ke hadapan mendepani isu rakyat.

"Bukan tidak ada figura progresif, namun pasca muktamar lalu seolah-olah menyaksikan satu proses 'ethnic cleansing' yang akhirnya akan membawa semula PAS 30 tahun ke belakang," katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider, merujuk Muktamar Tahunan ke-61 yang diadakan di Kuala Selangor itu.

Bekas penuntut sekolah menengah kebangsaan agama di selatan tanah air itu juga yakin, DAP bukan sebuah parti yang berteraskan jalur perkauman seperti dibangkitkan beberapa pihak yang mendakwa DAP merupakan parti cauvinis.

Sebaliknya, Sheikh Omar berkata, beliau melihat semangat perjuangan demokrasi yang dibawa DAP juga selari dengan semangat yang dianjurkan Islam.

"Saya tidak khuatir dengan 'backfire' yang mungkin diterima dek kerana seorang anak muda Melayu, berlatar belakangkan pengajian agama, menyertai DAP – sebuah parti yang berteraskan semangat demokrasi, yang hakikatnya tiada percanggahan dengan semangat Islam.

"Asalkan sahaja dasarnya tidak berubah, DAP adalah untuk semua rakyat yang bercita-cita melihat perubahan iklim politik kepada yang lebih sihat dan demokratik, tanpa mengira warna kulit," katanya.

Hubungan DAP dan PAS kini semakin keruh, lebih-lebih lagi apabila Muktamar Dewan Ulama mengusulkan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan parti sekular itu dan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas di muktamar penuh.

Susulan daripada perkembangan itu, DAP kemudiannya mengambil pendirian dan mengumumkan tamatnya riwayat gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Ia kemudiannya menyebabkan sekumpulan ahli Parlimen dan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan, terutamanya mereka daripada kumpulan progresif, menubuhkan G18, juga dikenali sebagai 'Gerakan Harapan Baru'.

Ia sekali gus mencetuskan ura-ura akan wujudnya parti baharu yang akan menjadi alternatif kepada PAS dalam PR.

"Saya memilih DAP kerana saya melihat ada ruang untuk saya mainkan peranan ke arah perubahan di Malaysia," kata Sheikh Omar ketika diajukan pertanyaan sama ada akan menyertai parti baharu itu sekiranya ia ditubuhkan.

"Sekiranya terbentuk parti baharu oleh golongan profesional PAS, saya harap ia benar-benar dapat menjadi elemen penguat ke arah menyatukan barisan pembangkang, termasuklah DAP dan PKR, dalam satu pakatan untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN)."

Sheikh Omar turut berkata, meskipun berlatarbelakangkan pendidikan agama, 'penjenamaan Islam' dalam DAP bukan isu pokok yang menjadi matlamatnya menyertai DAP.

"Bagi saya, Islam adalah pada intipati, ruh, semangat, penghayatan dan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan sistem serta nilai kehidupan.

"Natijah akhirnya ialah kesejahteraan kepada rakyat dalam bernegara. 'Baldatun toyyibatun, wa robbun ghafur' – negara yang baik sejahtera dan Tuhan maha pengampun," katanya.

Sayap Islamis, atau apa sahaja 'penjenamaan Islam' dalam parti demokratik itu, katanya, bukan isunya.

"Komitmen DAP untuk melawan rasuah, pengagihan kekayaan negara yang berat sebelah, ketirisan, perkauman sempit dan sebagainya adalah intipatinya, walaupun tanpa 'sayap Islamis' atau 'Dewan Ulama'," katanya.

Bekas exco pemuda PAS Johor itu menyertai DAP secara rasmi minggu lepas apabila menyerahkan borang keahlian kepada Penasihat DAP, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada satu majlis berbuka puasa di Kluang.

Sheikh Omar turut berkata, selain ibu bapa, isterinya turut menyokong tindakannya itu.

"Keluarga saya tiada masalah dengan keputusan ini. Lebih-lebih lagi ibu dan bapa saya. Merekalah sumber kekuatan bagi diri saya untuk berpencak di lapangan politik.

"Rakan-rakan umumnya, serta kenalan dalam PAS, memberikan pandangan yang berbeza-beza.

Namun semuanya saya anggap sebagai motivasi, dorongan serta nasihat tanda 'peduli' mereka dalam mengikuti perkembangan karier politik saya," katanya, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Putrajaya.

oleh: Mohamad Farhan

Sunday, April 15, 2012

"Keganasan UMNO" Perlu Ditamatkan Dengan Segera




Pada hari ini ramai di antara kita telahpun memerhati bagaimana beberapa buah negara Eropah yang telah tumbang dan terus menjadi bankrap akibat daripada krisis matawang Euro yang sedang berlaku.

 Sepanyol, Itali, Greece adalah di antara negara di benua itu yang paling awal mengalami kebankrapan akibat krisis matawang tersebut, sementara kerajaan di beberapa buah negara lagi mulai goyah akibat tidak dapat bertahan dengan kejatuhan teruk matawang itu dan juga ekonomi masing-masing yang tidak dapat dipulihkan lagi.

Selain daripada itu, keadaan yang serupa turut mempengaruhi Amerika Syarikat yang mana defisit belanjawannya telahpun mencecah begitu tinggi sehingga menyebabkan ekonomi kiasa besar itu turut terancam dengan ditambah lagi dengan kadar inflasi yang semakin runcing.

Bagaimana perbendaharaan kerajaan itu diuruskan akan dijadikan penentu yang mutlak sama ada sesebuah kerajaan itu cekap, berhemah dan akan dapat bertahan di dalam suasana dan krisis ekonomi yang sedemikian.

Malaysia tidak terkecuali di dalam menghadapi situasi tersebut. Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Seri Idris Jala pernah memberi amaran pada tahun 2010 yang lalu bahawa negara ini akan mengalami kebankrapan jika sekiranya subsidi-subsidi di luar sana tidak ditarik balik dengan segera.

Walaupun terdapat beberapa percanggahan pada angka yang dibentangkan, namun ramai di antara kita yang akan menyetujui defisit belanjawan negara ini perlulah dikurangkan dengan segera dan bukan sebaliknya. Sama ada ianya akan dapat dicapai, itu yang menjadi persoalan sekarang berdasarkan kedudukan defisit kerajaan BN yang telahpun berrlarutan selama 14 tahun lamanya yang tidak pernah dikurangkan.

Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak pada tahun lalu telah menyaksikan defisit yang semakin meningkat. Apakah yang sedang berlaku? Jikalau defisit belanjawan negara ini makin naik dan dengan mendadak sekali pada setiap tahun, sudah pasti terdapat sesuatu yang tidak kena sedang atau telah berlaku selama ini dan begitu juga dengan cara BN menguruskan perbendaharaan negara.

Belanjawan Pulau Pinang dan Selangor

Setelah kita melihat bertapa peritnya belanjawan kerajaan persekutuan BN yang terus mengalami defisit selama 14 tahun berturut-turut, mari kita melihat pula bagaimana belanjawan di negeri Pulau Pinang dan Selangor diuruskan sejak daripada bulan Mac 2008 yang lalu sehinggalah kini.
Pembentangan belanjawan pada setiap tahun adalah merupakan masa yang tepat untuk menilai prestasi sesebuah kerajaan dalam pengurusan kewangan sama ada ianya dilakukan dengan cekap, amanah dan telus atau sebaliknya.

Di dalam ucapan pembentangan belanjawan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberikan tema “perbelanjaan berhemah”, “penggurangan beban hutang negeri”, “meningkatkan pendapatan kerajaan”, dan “pengurusan kewangan berasaskan konsep CAT (Cekap, Akauntabel, Telus)”, sementara Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula menawarkan tema “pendapatan negeri untuk faedah rakyat” dan “pengurusan kewangan yang cekap”.

Ya, sememangnya tema-tema yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Tan Sri Khalid bagi belanjawan negeri masing-masing bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja kerana kedua-dua kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya membuktikan kebolehan mereka dalam pengurusan tadbir yang jauh lebih baik daripada BN ataupun Umno.

Di Pulau Pinang, umpamanya, kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan defisit negeri daripada RM630.2 juta pada tahun 2008 (sebelum Mac) kepada RM29.7 juta pada tahun 2011. Ia menunjukkan kadar penurunan defisit negeri sebanyak 95.3% dalam masa tiga tahun sahaja, iaitu suatu pencapaian yang begitu memberangsangkan dari segi pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Perkara yang sama juga telah dibuktikan di negeri Selangor apabila kerajaan negeri telah mencatatkan kenaikan simpanan tunainya yang paling tinggi sekali dalam 28 tahun, jumlah RM1.2 bilion yang merangkumi RM946.7 juta dalam bentuk tunai sementara bakinya terletak di dalam tabung amanah negeri. Data yang diperolehi daripada perbendaharaan negeri Selangor telah menunjukkan pencapaian negeri Selangor yang begitu memberangsangkan selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih teraju pemerintahan negeri pada tahun 2008 yang lalu.

Peningkatan rizab tunai kerajaan negeri Selangor juga membuktikan pengurusan kewangan yang lebih efisien serta pengurusan sumber-sumber negeri yang lain, pungutan hasil yang tertunggak dan pengurusan aset negeri yang lebih teratur dan profesional.

Kedua-dua kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah membuktikan komitmen mereka dengan sumber kewangan negeri yang ada bagi membantu proses pendemokrasian dengan menggalakkan penyertaan dan perdebatan masyarakat, memastikan agar ketelusan dan akauntabiliti terjamin sepanjang masa.

Di Pulau Pinang contohnya, kerajaan negeri telah membentuk sebuah Perbadanan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bagi memajukan kaum hawa dengan pelbagai program, latihan dan pembangunan. Indeks akauntabiliti turut diperkenalkan kepada semua kakitangan kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan petadbiran dan pengurusan.

Kerajaan negeri Selangor pula telah memperkenalkan “Geran Selangorku” di mana pelbagai peruntukan akan disalurkan bagi membantu kaum wanita, latihan untuk para peniaga kecil, pengukuhan demokrasi, sumbangan kepada aktiviti kebudayaan dan masyarakat.

Dalam pada itu, kedua-dua belanjawan negeri juga turut memperuntukan jumpah yang berpatutan untuk keselamatan sosial dan juga bantuan untuk keluarga-keluarga yang miskin dalam negeri-negeri tersebut.

Kedua-dua kerajaan negeri tersebut sememangnya patut diberikan kepujian kerana langkah-langkah yang telah diambilnya itu jelas memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat jelata.

Adakah rakyat menikmati keindahan sedemikian sewaktu pemerintahan BN dan Umno?
Pembentangan belanjawan negeri yang berdasarkan tumpuan yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan ekonomi dan rakyat di negeri masing-masing sambil memberikan penekanan kepada pencapaian dan mutu perkhidmatan serta pengurusan kewangan yang lebih efisien, teratur dan profesional.

Dengki Umno makin mendalam terhadap kejayaan Pakatan Rakyat

Dengan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang semakin mengecapi kejayaan demi kejayaan di dalam pentadbirannya baik dari segi pengurusan kewangan, mahupun kebajikan rakyat, Umno pula mula merasakan yang kedudukan mereka yang semakin goyah.

Ini adalah kerana, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperbetulkan berbagai-bagai bentuk kesilapan dan penyelewengan lampau sehinggalah bulan Mac 2008 yang lalu dan dibongkarkan pula dengan pelbagai salahguna kuasa, rasuah dan penawaran tender-tender serta projek yang tidak mengikut peraturan dan melanggar undang-undang yang telah lama dilakukan oleh Umno.

Dan oleh kerana Umno telah tidak dapat bertahan dengan pembongkaran mengenai pelbagai bentuk salahlaku dan perbuatan jahatnya sebelum ini, para pemimpin Umno mula beralih pula kepada taktik bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada dosa-dosa lampau Umno dengan membangkit isu-isu perkauman dan agama.

Dari Pulau Pinang sehinggalah ke Selangor gertakan perkauman Umno semakin ganas dan mengancam dengan pelbagai bentuk dakwaan dan tuduhan kononnya kedua-dua kerajaan negeri tersebut telah meminggirkan masyarakat Melayu, orang-orang Melayu diseksa, tanah orang Melayu dirampas, para peniaga dan penjaja Melayu dihalau, surau-surau diroboh, tanah masjid dijual kepada pemaju Cina dan macam-macam lagi yang bertujuan untuk membangkitkan api kemarahan dan kebencian masyarakat Melayu terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Dengan tindakan sedemikian rupa, Umno berharap akan dapat memperoleh semula sokongan orang-orang Melayu terhadapnya dan pada masa yang sama dapat mengalihkan tumpuan masyarakat Melayu terhadap kejayaan urus tadbir kewangan, ekonomi dan kebajikan di kedua-dua negeri oleh Pakatan Rakyat dan juga segala dosa-dosa serta pengkhianatan yang telah Umno lakukan selama ini terhadap orang-orang Melayu.

Umno sememangnya telah kehabisan modal untuk terus memerintah dan oleh itu, mereka akan terus menyemarakkan lagi sentimen perkauman, keganasan, dengki dan kebencian terhadap mana pihak yang cuba membongkar rahsia jahatnya.

sumber...Malaysia Chronicle