Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Sunday, February 17, 2019
Rakyat Mesti Miliki Rumah Mampu Milik - Tun M
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Komuniti Negara sambil disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara yang diadakan di Padang Awam Taman Puchong Indah. - Foto Eizairi Shamsudin
Rakyat mesti berusaha memiliki rumah mampu milik kerana ia satu pelaburan baik dan amat bermanfaat untuk jangka masa panjang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu rakyat tinggal di kediaman yang lebih selesa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik dan harmoni.
“Apabila kita membeli rumah mampu milik kita sebenarnya melabur dalam harta yang akan meningkat nilainya pada satu hari nanti.
“Kemudian apabila pada masa yang panjang rumah mampu milik ini nilainya akan meningkat dan kita anggap harga yang ditawar sangatlah murah pada masa itu, walaupun ketika ini masih ada yang kata nilainya tidak begitu murah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara, berlangsung di Padang Awam Taman Puchong Indah di sini, pagi tadi.
Turut sama hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun sedikit sebanyak akan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri, dengan harga lebih murah.
“Rumah mampu milik bagi kita rumah yang selesa diduduki oleh rakyat walaupun harganya rendah, tetapi kemudahannya tidaklah terlalu kurang berbanding rumah yang lebih mewah.
“Inilah hasrat kita. Kerajaan mahu rakyat tinggal di tempat lebih selesa. Tidak ada makna duduk negara maju, tapi rakyat hidup menderita. Tidak hidup dalam keadaan keselesaan. Dapat lihat kemajuan negara tetapi tidak nikmati kemajuan itu,” katanya.
Dr Mahathir berkata, bagi membekalkan satu juta rumah mampu milik ini, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta.
“Akan lihat ada tempat kerajaan bangunkan rumah, ada tempat yang swasta akan bangunkan. Saya yakin pihak swasta prihatin akan keperluan ini dan sedia melabur bangunkan rumah ini untuk rakyat jelata.
“Dengan hasrat untuk bangunkan banyak rumah juga, ia beri peluang pengusaha melabur dalam teknologi pembangunan rumah. Sekarang sudah ada kilang keluarkan (bahan bina) rumah mampu milik dan dipasang dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata, pemilikan rumah saja tidak memadai sebaliknya rakyat yang tinggal di kediaman itu mesti mengukuhkan hubungan komuniti setempat supaya mereka sentiasa hidup dalam kemasyarakatan.
“Ini bermakna kawasan kampung dan perumahan kita perlu ada sistem dan cara hidup yang memberi kepentingan kepada semua penduduk di kawasan itu.
“Kita harap pemilik rumah di kampung-kampung atau kawasan perumahan yang akan diadakan perlu jalin kerjasama antara mereka seperti mengadakan satu kelab untuk satu kawasan atau kampung,” katanya.
Dr Mahathir juga yakin komuniti di kawasan perumahan dan kampung mempunyai banyak kemahiran dan cekap dalam bidang tertentu.
“Kaum wanita contohnya boleh buat masakan yang sedap untuk perkhidmatan katering di waktu kenduri atau mengadakan perjumpaan seperti yang ada pada hari ini.
“Sekarang ini kita sudah masuk zaman perniagaan dalam talian, mereka yang ada di kampung mungkin dapat keluarkan kuih muih yang boleh dipasarkan bukan saja di kampung itu tetapi seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat waktu ini bahawa kos hidup akan terus meningkat, namun kerajaan sentiasa memastikan serta mengawal kenaikan itu tidak terlalu tinggi sehingga membebankan mereka.
“Semasa saya masih kecil, saya pergi kedai di kampung dengan bawa satu sen untuk beli rempah ratus tetapi satu sen sekarang tidak boleh beli apa-apa sebab barang sudah meningkat cuma air saja tidak naik harga.
“Air yang kita jual ke Singapura masih tiga sen untuk seribu gelen kalau kita mahu beli. Kalau inilah nilainya, nasi lemak pun kita tidak boleh beli. Inilah contoh bila harga dan nilai (jual air ke Singapura) tidak ditingkatkan sedangkan harga (barang) semakin meningkat,” katanya.
oleh: Mohd Nasaruddin Parzi
Label:
Pakatan Harapan,
rakyat,
rumah,
Tun M