Followers

Monday, July 15, 2019

Audit: Rumah Mampu Milik Kelantan Tak Capai Objektif



Jabatan Audit Negara menegur tiga agensi kerajaan di Kelantan membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang menguruskan Program Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan (Pengurusan Skim Bantuan Am Al-Musa'adah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sawit Sdn Bhd).

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 mendapati secara keseluruhan mendapati RMMK tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana sasaran bagi menyedia dan menawarkan 5,000 unit RMMK dalam tempoh 2014 hingga 2018 tidak tercapai.

"Didapati prestasi program dari segi pencapaian output fizikal dan pencapaian 'outcome' hanya 160 unit (3.2 peratus) RMMK yang dapat disedia dan ditawarkan," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut antara kelemahan yang dikena lpasti adalah peruntukan kewangan RMMK tidak dibelanjakan secara optimum, terma dalam Dasar RMMK iaitu syarat kuota dan levi bagi projek perumahan/ bercampur tidak dimasukkan dalam syarat kelulusan kebenaran merancang, syarat sekatan/ moratorium tidak dikenakan dan projek yang sudah siap tidak dapat dijual kerana masih belum mendapat Certificate of Completion and Compliance (CCC).

Justeru, laporan itu mengemukakan beberapa syor antaranya kuota RMMK bagi projek swasta perlu dilaksanakan bagi membantu mencapai sasaran 'output' dan 'outcome' program dan penilaian semula tahap keberkesanan dan sasaran RMMK perlu dilakukan bagi memastikan objektif program dapat dicapai.

"Selain itu, pengurusan program RMMK perlu dilaksanakan dengan cekap di mana peruntukan kewangan untuk RMMK digunakan secara optimum bagi memastikan lebih banyak RMMK dapat dibina, pelaksanaan kuota dan levi perlu diberi pendedahan kepada agensi pelaksana dan syarat moratorium perlu dilaksanakan sebagaimana dasar," menurut laporan itu.

Sementara itu, laporan itu turut menegur Pengurusan Skim Bantuan (SBA) Am Al-Musa'adah belum mencapai tahap kecekapan yang optimum kerana berlaku kelewatan penamatan bayaran kepada penerima bantuan yang telah meninggal dunia walaupun prestasi SBA Al-Musa’adah telah mencapai objektif ditetapkan untuk membantu individu yang tidak berkemampuan mendapatkan keperluan asas mereka.

Laporan itu menyebut JKM Kelantan mengagihkan bantuan kepada penerima bantuan masing-masing seramai 7,529 orang pada 2016, 7,641 orang (2017) dan 7,911 orang (2018). Bantuan yang diagihkan ini telah mencapai 82.2 peratus hingga 101.7 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.
Bagaimanapun penemuan utama Audit yang perlu diberikan perhatian oleh JKM Kelantan adalah 167 (45.6 peratus) kes bayaran SBA Al-Musa’adah lewat diberhentikan antara satu hingga tujuh bulan dari tarikh kematian menyebabkan berlakunya lebihan bayaran berjumlah RM26,640.

"Selain itu, semakan turut menemui 50 penerima bantuan yang ditukar skim, 22 penerima bantuan (44.0 peratus) telah diberi kelulusan skim baharu dan bayaran dibuat sebaik sahaja SBA Al-Musa’adah ditamatkan. Bagaimanapun, 12 penerima bantuan (24.0 peratus) tidak diberikan kelulusan skim baharu secara serentak selepas SBA Al-Musa’adah ditamatkan.

"Sementara itu, 16 penerima bantuan (32.0 peratus) masih belum diberi bantuan skim baharu walaupun telah ditamatkan bantuan menyebabkan 28 penerima bantuan (56.0 peratus) tidak mendapat sebarang bantuan dalam tempoh satu bulan hingga 35 bulan," menurut laporan itu.

Antara syor bagi penambahbaikan yang dikemukakan ialah kerjasama antara jabatan dan agensi perlu ditingkatkan dalam menyediakan program atau suntikan modal untuk membantu penerima bantuan.

"Bagi penerima bantuan SBA Al-Musa’adah yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk berdikari, program atau suntikan modal hendaklah diperuntukkan bagi membantu penerima bantuan meningkatkan sumber pendapatan dan seterusnya mampu berdikari," menurut laporan itu.

Dalam perkembangan sama, laporan menegur amalan tadbir urus PMBK Sawit Sdn Bhd (PMBKSSB) yang kurang memuaskan kerana terdapat keperluan penambahbaikan berkaitan peranan dan fungsi Lembaga Pengarah, Setiausaha Syarikat, Pengurus Besar, Jawatankuasa Audit dan Audit Dalaman, pelaksanaan Rancangan Korporat/Pelan Strategik, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Selain itu, kedudukan kewangan PMBKSSB adalah lemah. PMBKSSB mengalami kerugian berterusan sejak 2012 dan kerugian bersih sejumlah RM5.66 juta pada 2015, RM3.24 juta (2016) dan RM5.52 juta (2017) dan sehingga 31 Dis 2017, kerugian terkumpul syarikat berjumlah RM21.30 juta.

"Tahap kecairan aset semasa berbanding liabiliti semasa pada kadar 0.04:1 menunjukkan syarikat tidak berupaya menampung obligasi jangka pendek menggunakan sumber dalaman. Pada akhir 2017, baki tunai dan kesetaraan tunai PMBKSSB adalah defisit berjumlah RM1.45 juta. Analisis yang dijalankan juga menunjukkan wujudnya risiko 'going concern'," menurut laporan itu.

Justeru, laporan mengesyorkan PMBKSSB meningkatkan tadbir urus syarikat selaras dengan amalan terbaik dengan menentukan aspek peranan dan tanggungjawab Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Audit bermesyuarat mengikut keperluan dan SOP yang disediakan mendapat kelulusan.

"Ini termasuk memastikan keputusan Lembaga Pengarah dipantau dan diletakkan tempoh pelaksanaan supaya ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, menilai semula kedudukan syarikat dan membuat keputusan berhubung hala tuju syarikat dengan mengambil kira keupayaan menjana keuntungan pada masa hadapan kerana wujudnya risiko 'going concern'," menurut laporan itu.

sumber...Bernama