Followers

Friday, July 12, 2019

Naratif Baru Politik Malaysia




Pandangan supaya semua parti politik Melayu bergabung dan menyertai Bersatu yang dilontarkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad perlu dilihat secara serius.

Ianya perlu difikirkan dengan masak-masak oleh bukan sahaja pemimpin Melayu, bahkan India, Cina dan lain-lain. Hal ini kerana dinamika politik Melayu merupakan faktor penentu dalam haluan politik negara.

Namun, adakah ia bermakna Malaysia akan kembali kepada wacana hegemoni politik etnik Melayu yang dijuarai oleh Umno? Saya tidak fikir begitu.

Pertama, kejayaan PKR - kini parti terbesar di parlimen - sebagai sebuah parti pelbagai kaum membuktikan adanya aliran politik inklusif yang kuat dalam kalangan orang Melayu.

Kedua, hegemoni etnik akan membawa politik Malaysia mundur dan bertentangan dengan arus nasional setelah 9 Mei 2018.

Namun begitu, politik identiti dan naratif politik etnik tidak akan hilang. Setiap kaum punya kebimbangan tersendiri dan memerlukan juara dan jurucakapnya.

Justeru, parti-parti besar adalah berteraskan etnik tertentu meskipun ada yang mengungkapkan dasar pelbagai kaum. Satu-satunya pengecualian adalah PKR, sebuah parti politik yang ditubuhkan sebagai parti berbilang kaum dan mempunyai struktur dan tapak sokongan akar umbi pelbagai kaum.

Punya kedudukan kuat

Gandingan kebijaksanaan Anwar Ibrahim dan kepimpinan Azmin Ali jelas membawa kejayaan besar buat PKR dalam PRU yang lalu.

Sebagai seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia, saya dapat menyelami psikologi dalam benak masyarakat Melayu berpendidikan dan profesional tentang kepimpinan nasional.

Mereka yang memahami sejarah Malaysia sebelum merdeka dapat menghargai peranan institusi raja-raja Melayu sebagai pengasas kerajaan dan pemerintahan sebelum kedatangan penjajah Barat.
Setelah dijajah masyarakat Melayu memainkan peranan utama dalam gerakan nasionalisme sehingga tercapainya kemerdekaan.

Faktor utama dalam politik adalah demografi. Parti politik yang ingin melawan aspek demografi ibarat sampan yang cuba melawan arus deras.

Dari segi demografi, politik mempunyai kedudukan yang kuat. Tetapi potensi kekuatan tersebut dihakis oleh perpecahan. Pada pandangan saya di sinilah letaknya asas gagasan perpaduan politik Melayu yang dilontar oleh Mahathir yang juga pengerusi PH.

Beliau bukan sekadar pemimpin Malaysia tetapi seorang grand strategist. Ini dapat kita saksikan menerusi pendirian beliau dalam isu perang perdagangan, persaingan teknologi dan kemunculan kuasa-kuasa besar baru: China, Rusia dan India.

Untuk Malaysia berperanan dalam perang dingin baru dan penjajaran semula kuasa-kuasa besar, politik dalaman perlu stabil.

Untuk mengemudi politik dalam negara, Mahathir adalah seorang realist. Demi kestabilan, PH perlu berpijak kepada realiti demografi dalam negara. Justeru, pemimpin PH bukan Melayu dan penyokong-penyokong PH tidak perlu bimbang terhadap seruan perdana menteri.

Dasar pertama sosioekonomi yang dikemukakan dalam tempoh empat bulan pertama pemerintahan PH - iaitu Kajian Separuh Penggal RMK-11 - bersifat sangat progresif.

Dokumen tersebut bukan saja mengandungi inisiatif reformasi institusi, malah melibatkan komitmen terhadap keadilan sosial yang merangkumi pembenterasan peminggiran dan jurang ekonomi antara kelas sosial dan wilayah.

Abaikan kaum minoriti

Masyarakat minoriti yang sebahagian besarnya mendukung PH pada PRU ke-14 perlu segera memahami idea perkongsian kemakmuran (shared prosperity) yang pertama kali disebut oleh perdana menteri semasa pembentangan kajian separuh penggal, dan dikembangkan lebih lanjut dalam ucapan beliau di majlis sambutan setahun kerajaan PH.

Meskipun media kini lebih banyak memberikan sensasi tentang kerjasama Umno-PAS, hubungan tersebut sebenarnya tercabut dari realiti Malaysia. Masyarakat Malaysia bukan sahaja majmuk dan bersifat sederhana, bahkan juga propembangunan dan kemajuan.

Rakyat Malaysia bukan sekadar mahukan ekonomi terus tumbuh dengan dinamik, mereka juga mahukan ekonomi yang adil dan kekayaan dibahagi dengan saksama kepada semua kaum dan kelas.

Sebaliknya gabungan Umno-PAS bersifat eksklusif satu untuk kumpulan etnik. Ramai kalangan rakyat bukan Melayu melihat kerjasama tersebut mengabaikan terus kaum minoriti.

Ramai juga yang menganggap sudah tiada apa yang Melayu dapat harapkan lagi daripada Umno yang bergelumang dengan skandal rasuah 1MDB dan salah guna kuasa.

Besar kemungkinan ramai pimpinan parti itu - jika didapati bersalah nanti - akan merengkok dalam penjara tidak lama lagi.

Ada juga sekumpulan besar orang Melayu tertanya-tanya: apa yang dapat diharapkan daripada PAS? Negeri yang diperintah parti itu terus mundur dan rakyatnya terpaksa ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

Pada Umno pula, rakyat hanya menyaksikan gelagat sebuah parti politik yang dahulunya kuat - tapi sombong - kini menagih pertolongan daripada parti yang pernah mereka musuhi dan keji siang malam.

Kemenangan Umno dalam dalam tiga pilihan raya kecil berturut-turut tidak bermakna pengundi pengundi Melayu akan kembali kepada Umno. Lagi pun ianya bukanlah kayu pengukur yang baik dan tepat untuk menentukan sokongan orang Melayu kepada kerjasama Umno-PAS.

Ianya hanya sekadar peringatan orang Melayu kepada pemimpin Melayu dalam PH supaya jangan lupa dari mana mereka datang dan jangan abaikan tanggungjawab mereka.

Pada masyarakat minoriti pula, mereka hanya mahukan suasana politik yang stabil dan sistem ekonomi yang adil dengan mereka turut mendapat peluang untuk turut serta dalam usaha untuk memajukan negara.

Mereka tidak mahu kesetiaan mereka kepada negara ini dipersoalkan. Meskipun berbangsa India, Cina atau etnik-etnik lain, mereka akan tetap berbangga memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, sebuah negara demokrasi dan bukan kleptokrasi.

oleh: Dr R Santhara Kumar MP Segamat