Followers

Tuesday, January 29, 2019

Raya Demokrasi ?




Selepas sekian lama hidup dalam “kongkongan”, rakyat Malaysia akhirnya dapat menikmati hak-hak warga sebuah negara demokrasi apabila BN dikalahkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Kini, rakyat dapat berdemonstrasi secara aman tanpa sebarang gangguan seperti tahun lalu apabila parti pembangkang Umno dan PAS menganjurkan perhimpunan besar-besaran untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad kerana tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Media arus perdana tradisional dan platform atas talian bebas membuat liputan.

Lebih hebat lagi, walaupun sudah lebih enam bulan berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghalang parti pembangkang Umno menguasai syarikat media terbesar Media Prima.

TV3 bawah Media Prima yang mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan orang-orang Melayu luar bandar bebas membuat liputan “membelasah kerajaan” Pakatan Harapan (PH) setiap hari tanpa sebarang gangguan dan tekanan atau wartawan mereka dipenjarakan.

Tidak hairanlah keputusan pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari menunjukkan sokongan orang-orang Melayu luar bandar masih lagi kuat kepada Umno dan juga sekutu rapat mereka PAS.

Ini tidak mungkin atau tidak akan berlaku di zaman pemerintahan BN ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.

Di zaman Najib, membuat liputan berita sahaja boleh menyebabkan wartawan bermalam di dalam lokap.

Ketika skandal 1MDB berada di tahap kemuncak, permit penerbitan surat khabar digantung, portal atas talian disekat sehingga akhirnya terpaksa ditutup.

Semua ini tidak lagi berlaku pada zaman Malaysia baru pimpinan Dr Mahathir.

Kebebasan media suburkan naratif perkauman Umno-PAS 

Selain menguasai media arus perdana berpengaruh, parti pembangkang Umno dan PAS turut menguasai perang siber, sekali gus menyebarkan naratif perkauman yang menggambarkan PH tidak menjaga kepentingan Melayu-Islam.

Ini juga tidak menghairankan kerana kekuatan dana dikumpulkan selama lebih 60 tahun sudah pasti masih lagi banyak untuk menyara jentera-jentera siber mereka.

Sedangkan PH masih lagi bekerja keras “membiasakan diri” untuk menjadi kerajaan dan mungkin tidak sempat memikirkan bagaimana untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Untuk berlaku adil, kerajaan PH sedang dalam proses untuk membaiki “kerosakan negara” yang ditinggalkan Najib dan mencuci “tahi-tahi” ditinggalkan pemerintah terdahulu.

Akan tetapi ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerajaan PH untuk mengambil bahagian dalam ruang demokrasi dan menerangkan kepada rakyat gagasan Malaysia baru dibawa mereka.

Dalam ruang demokrasi yang terbuka luas ini, kerajaan PH perlu juga mengambil “kesempatan” untuk merayakannya. 

Bagi penduduk bandar yang mempunyai kemudahan Internet, mungkin tidak terlalu mendatangkan masalah kepada PH kerana media bebas atas talian masih memberikan laporan secara adil dan seimbang.

Kelemahan utama PH ialah bagaimana untuk menerangkan gagasan Malaysia baru mereka kepada penduduk luar bandar yang masih lagi bergantung kuat kepada TV3 dan akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian dikuasai Umno.

Perkara ini harus difikirkan PH jika tidak mahu terus tenggelam dalam naratif perkauman Umno-PAS.

Walaupun naratif perkauman Umno-PAS itu tidaklah sehebat mana dan menggambarkan seolah-olah “Islam tidak mengharamkan rasuah dan penyelewengan.

oleh: Amin Iskandar