Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, January 9, 2019
Rusia, Yang Hilang di Kota Bharu
Dalam tahun 1892-94 seorang pengembara Rusia, mungkin juga seorang askar upahan (siapa tahu adalah perisik) bernama Vasily Mamalyga, telah membantu Lombok menentang askar Belanda.
Lombok kalah, dan Mamalyga (juga kadang kala dieja sebagai Memelige dan WP Mamalyga) dipenjarakan selama empat tahun di dalam penjara Belanda.
Beliau dibebaskan kemudiannya dan diminta ke Moldavia dalam tahun 1899. Dua tahun kemudian, anehnya, Mamalyga kembali ke alam Melayu kali ini sebagai tukang masak di atas sebuah kapal wap Rusia. Kapal ini berlabuh di Singapura pada tahun 1901. Ia sepatutnya belayar ke Jawa tetapi Mamalyga tidak dapat meneruskan perjalanan kerana rekodnya yang masih buruk dalam tangan Belanda.
Di Singapura, gerak geri Mamalyga diawasi oleh Baron Kister, Konsul Rusia di pejabat Konsulat Rusia Tsar, sekurang-kurangnya dalam dua insiden iaitu pada bulan Ogos 1901, dan Oktober 1902. Keberadaan Mamalyga di alam Melayu ini pernah menjadi tumpuan Elizaveta lvanovna Gnevusheva, seorang pensyarah di Universiti Moscow dalam tahun 1965, yang kemudian menarik pula perhatian sejarawan Anthony Reid dalam tahun 1966, yang ketika itu sedang berkhidmat di Universiti Malaya.
Harus dinyatakan di sini pada waktu itu Kelantan sudah pun bebas (walaupun tidak sepenuhnya) dari pengaruh Siam. Pun tradisi menghantar Bunga Mas ke istana Siam masih berjalan. Penjajah British berminat untuk menguasai penuh Kelantan dan Terengganu (juga Kedah) tetapi sangat berhati-hati untuk tidak memprovokasi Siam yang mana mempunyai hubungan yang erat dengan Perancis. Tambahan pula Inggeris baru sahaja mencampuri urusan Perak yang berperang dengan Kesultanan Reman (yang berpusat di Gerik, Perak hari ini).
Tidak ramai yang tahu mengenai Kesultanan Reman yang mahu memerdekakan diri dari Patani pada tahun 1810 iaitu apabila Tuan Tok Nik Tok Leh menolak dari menjadi sebahagian jajahan Patani. Reman turut berperang dengan Perak kemudiannya. Pada tahun 1899, ekoran perang yang panjang, Reman dan Patani menjadi lemah kedua-duanya dan Siam mengambil peluang meluaskan pengaruh. British mengiktiraf kedudukan istimewa Siam tersebut.
Jadi apa yang berlaku di Kelantan? Apa pula yang dilakukan seorang Rusia di Kota Baharu?
Semuanya kerana kuasa Siam semakin mencekam kembali. Ini terjadi apabila Siam melantik Phya Sukhom sebagai gabenor Songkhla dalam tahun 1897. Phya tidak menggunakan gaya lama untuk menggasak Kelantan dan Patani. Kaedah Phya jauh lebih sofistikated dan sistematik iaitu dengan memperkenalkan antara tahun-tahun 1897 sehingga 1901, antara lain komisioner, pejabat pos, bot kawalan perang dan penjaga sempadan yang diupah dari Denmark. Ini menyebabkan kehadiran Siam jauh lebih dirasai.
Kerabat diraja Kelantan dan Patani mulai resah kerana Raja Senik (yang nampaknya memilih menggunakan nama dan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920), kurang berbuat apa-apa dan tampak tidak berdaya dalam menangani pemerintahan seharian. Kelemahan ini gara-gara dirinya sendiri iaitu kerana kegagalan baginda menyelesaikan pertikaian sesama kerabat baginda yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III (bapa Raja Senik) dan Sultan Mansur sehingga memberi ruang pada kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan. Malah, di satu peringkat, Raja Senik ikut meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur.
Bantuan penjajah tiba
Agar tidak dihambat Siam, dan takhtanya pula tidak direbut oleh kerabat lain, Raja Senik, atau seperti yang baginda suka - Sultan Muhammad IV - perlu meminta bantuan asing. Maka Inggeris pun dihampiri. Ketakutan Sultan Muhammad IV kian besar apabila Siam menahan pemerintah Patani, Raja Abdul Kadir pada bulan Februari, 1902. Isteri Raja Abdul Kadir Patani, adalah ibu saudara Sultan Muhammad IV.
Bantuan penjajah tiba. Sultan Muhammad IV lega sementara. Inggeris akhirnya berjaya menundukkan Siam agar menerima seorang Inggeris sebagai Residen Siam di Kelantan di bawah Perjanjian Siam-Kelantan pada bulan Oktober 1902.
Pun pada bulan Mei 1902, Sultan Muhammad IV melawat Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham bagi pihak British menentang Siam. Swettenham ingin meminimumkan perang, sementara Melayu ingin berperang.
Untuk menenangkan sultan Kelantan yang begitu goyang itu, Swettenham menghantar 100 orang Sikh terlatih untuk mengiringi baginda pulang ke Kota Baharu. Pada bulan Ogos, ke semua mereka berlayar pulang dengan SS Flevo untuk mengawal takhta Sultan Muhammad IV dari Siam dan sebarang perbalahan dalaman, khusus yang mungkin dibangkitkan oleh Raja Ismail dari Selangor.
Siapa pula Raja Ismail ini? Apa pula kaitannya dengan seorang Rusia yang licik?
Raja Ismail bin Raja Abdullah sudah pun dikenal melalui Perang Saudara di Selangor antara tahun 1866-74. Ayahandanya Raja Abdullah, telah disingkirkan sebagai penguasa Kelang oleh Raja Mahdi dan Raja Ismail bangkit bergabung tenaga dengan Tengku Kudin untuk merebut posisi. Inggeris bagaimanapun mengiktiraf Tengku Kudin dan bukan Raja Ismail pada tahun 1874. Tentu lah Raja Ismail berduka lantas merayu agar diberi tempat dalam pentadbiran Selangor. Inggeris tidak mengendahkannya.
Raja Ismail membawa rajuk dan mulai membawa diri menempel kepada Sultan Abu Bakar di Johor. Raja Ismail (Selangor) dan Sultan Abu Bakar (Johor) nampaknya kurang senang dengan pilihan Kelantan untuk mendekatkan diri dengan Inggeris.
Raja Ismail telah mendapatkan bantuan Mamalyga, sang Rusia misterius di Singapura ini dalam tahun 1902. Bersama-sama 100 orang, Mamalyga berangkat ke Kelantan sebagai kuasa bebas. Beliau membawa sama surat daripada Raja Ismail untuk memujuk Sultan Muhammad IV agar menerima bantuannya. Raja Ismail berharap Sultan Kelantan waktu itu akan tertarik dengan orang Rusia.
Baron Kister, konsulat Rusia di Singapura dengan segera pula menghubungi Raja Ismail dan cuba memberitahu agar tidak mempercayai Mamalyga. Rusia pada waktu itu berhasrat menghindar diri dari terlibat dalam pertikaian yang sudah cukup rusuh di rantau Melayu antara kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol.
Raja Ismail menolak permintaan Baron Kister dan membalas bahawa Mamalyga adalah seorang Rusia yang budiman dan orang Melayu mempercayainya. Usaha mencegah Mamalygin ke Kelantan dengan kapal Flevo pada Ogos 1902 gagal.
Terpukau akan Inggeris
Mungkin sahaja Mamalyga tiba di Kelantan serentak dengan Sultan Muhammad IV bersama-sama 100 orang Sikh bekalan Frank Swettenham. Mujur mereka tidak bertempur, jika tidak lebih banyak nyawa rakyat terkorban demi mempertahankan kuasa.
Kesimpulannya, Sultan Muhammad IV Kelantan pada tahun 1902 tidak terpesona dengan seorang Rusia. Baginda lebih terpukau akan Inggeris.
Kehadiran 100 orang askar Sikh sebagai wakil British itu berjaya menakutkan Siam dan mungkin Raja Ismail sendiri. Tiada yang tahu apa yang terjadi kepada Mamalyga si Rusia yang diupah Raja Ismail apabila ia tiba di Kelantan. Nama Mamalyga hilang begitu sahaja dari sejarah. Mungkin Mamalyga berkahwin dengan mana-mana mek di Tumpat, atau menyamar belajar fikah masuk pondok di Pulau Melaka. Tiada rekod dari Konsulat Rusia Tsar di Singapura mengenai Mamalyga sehingga setakat ini.
Beberapa tahun kemudian termeterailah Perjanjian Inggeris-Siam 1909, empat negeri di bawah naungan Siam diserahkan kepada Inggeris. Bertakhtalah Sultan Muhammad di Kota Bharu bahagianya dan dengan selamat.
Apakah pelajaran untuk kita hari ini?
Hari ini, segelintir generasi kita sering mengkhayalkan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya gemilang. Malangnya mereka mengabaikan sejarah mengenai perang demi perang saudara, percaturan politik raja-raja Melayu yang salah pada waktu dahulu dan juga campur tangan kuasa asing di rantau ini.
Mereka tergila-gilakan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya berteraskan raja dan ulama yang saling akrab memadu kasih. Perangai meromantikkan episod sejarah dahulu kala ini harus dibanteras di akar.
Tidak, pemerintahan Melayu-Islam dahulu kala bukanlah sama sekali model untuk kita hari ini. Malah seperti yang diperlihatkan di atas, keadaan pada waktu itu amatlah celaru sehingga nyaris seorang Rusia pun ikut masuk dalam istana kita. Jelas sekali mereka, orang dahulu kala mempunyai masalah dan pergolakan sendiri yang kompleks. Mereka punya ketakutan yang khusus sehingga kadang membuat pilihan nanar. Tidak ada sebab kita harus menjadi seperti mereka.
Hari ini kita juga punya masalah yang haru. Sehingga tahun 2018, telor masing-masing umat Melayu masih di hujung tanduk ditentukan oleh kancah demi kancah perangai peribadi serta bidak niaga dan kuasa. Mujurlah ada sebahagian Melayu mengenal demokrasi pada 9 Mei 2018. Bolehlah kita berpijak di bumi nyata dan belajar untuk menguruskan negeri menurut realiti hari ini.
oleh: FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Label:
raja raja melayu,
rusia,
sejarah