Followers

Sunday, January 20, 2019

Apa Cerita Peguam Negara,Ketua Hakim Negara dan Menteri Undang Undang Menari ?

 

Haniff: Gelagat AG, ketua hakim gugat prinsip pengasingan kuasa


Ketika beberapa pihak mempertahankan tindakan personaliti perundangan dan kehakiman menari bersama di sebuah acara rasmi, peguam Haniff Khatri Abdulla tetap menganggap perkara itu boleh menimbulkan "persepsi negatif" dalam kalangan masyarakat yang menggugat prinsip pengasingan kuasa.

"Tidak boleh dinafikan bahawa tularan tingkah laku tersebut yang dipaparkan dalam video-video berkenaan semestinya akan menimbulkan persepsi seolah-olah kedaulatan undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa di antara bidang kehakiman (ketua hakim negara dan peguam negara) dengan eksekutif (menteri undang-undang) boleh dan telah digugat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Haniff berkata demikian sebagai menafikan tanggapan yang menuduh beliau sengaja berdiam diri daripada mengulas klip video yang memaparkan Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menari bersama dalam program Legal Year Gala Dinner 2019 anjuran Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) di Kota Kinabalu, semalam.

Untuk rekod, pada 2016, Haniff membuat kritikan terhadap Mohamed Apandi Ali yang merupakan peguam negara ketika itu susulan tularan klip video memaparkannya menari bersama beberapa menteri BN.

Dalam kritikannya itu, Haniff menggesa Mohamed Apandi menjelaskan tindakannya dan menggesa meletakkan jawatan sekiranya gagal berbuat demikian.

Ketika itu, pandangan Haniff turut dikongsi pemimpin Amanah Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah yang berkata Mohamed Apandi sebagai peguam negara tidak seharusnya dilihat terlalu rapat dengan pemerintah.


Empat alasan


Sementara itu, mengulas lanjut video yang tular hari ini, Haniff memberikan empat alasan bagi menyokong pendiriannya.

"Sebahagian besar daripada masyarakat am Malaysia, tidak langsung mempunyai pengetahuan berkaitan kewujudan majlis sosial seperti itu, dan semestinyalah akan terkejut dengan gelagat dan tingkah laku pihak-pihak berkenaan seperti yang terpapar dalam video-video berkenaan.

"Secara langsung, gelagat dan tingkah laku pihak-pihak berkenaan juga, boleh menampilkan kekhuatiran tentang keakraban kesemua pihak berkenaan yang boleh menggugat dan mencalarkan akan kewibawaan bidang kehakiman dan perundangan kerana kesemua pertikaian perundangan yang dibicarakan oleh sistem kehakiman akan sering menemukan kesemua pihak yang sama dari semasa ke semasa.



"Kesemua pihak yang berkenaan dalam bidang kehakiman dan perundangan juga seharusnya lebih peka dengan harapan kesemua lapisan masyarakat dari setiap perspektif, adat dan keturunan bahawa peradaban dan tatasusila pihak-pihak berkenaan semestinya dijaga dan dikekalkan di tahap tertinggi, yang mana boleh dikatakan adalah di luar daripada apa yang dipaparkan dalam video-video itu.

"Bebas daripada hak setiap individu terbabit untuk menjalani corak hidup sendiri secara peribadi, mereka juga wajib peka bahawa pada era sistem teknologi terkini yang melibatkan kemudahan untuk mengambil rakaman video atau gambar yang dapat diedarkan ke khalayak ramai dalam sekelip mata, maka gelagat dan tingkah laku kesemua pihak berkenaan yang boleh tampilkan persepsi negatif terhadap sistem kehakiman dan perundangan hendaklah dielakkan sepenuhnya," katanya.

Haniff juga memohon ketua hakim negara, peguam negara dan menteri undang-undang bertanyakan pada diri masing-masing secara jujur sama ada tindakan mereka menampilkan persepsi negatif.


Terdahulu, susulan penularan video berkenaan, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan ia sebagai memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara.


Anggota Parlimen PKR Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengungkit kritikan Haniff pada Mohamed Apandi pada 2016, dan menggesa agar tokoh kehakiman dan eksekutif menjaga imej kebebasan dan integriti.

Sementara peguam Siti Kasim yang turut dipaparkan dalam video berkenaan mempertahankan tindakan peguam negara dan ketua hakim negara serta mengecam pihak yang mengkritik perkara itu.
Peguam hak asasi Eric Paulsen dalam Twitternya pula berkata individu yang menghadiri majlis berkenaan semestinya akan bergaul dan menari jika mahu.

sumber...mKini