Followers

Wednesday, January 16, 2019

Iqram Dinzly diisytihar Muflis




PELAKON Iqram Dinzly diisytihar muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas gagal membayar cukai pendapatan RM77,000.

Iqram, 38, atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin mendedahkan perkara itu di Instagram semalam.

Keputusan itu disampaikan peguam LHDN kepada Iqram di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
“Saya sampai lambat, jadi peguam LHDN hanya serahkan keputusan mahkamah. Saya tak tahu nak cakap apa. Mahkamah sudah putuskan, jadi saya kena terima.

“Lagi pula saya memang tak mampu nak bayar dan tak boleh nak buat apa-apa. Cuma sekarang, saya kena cari jalan macam mana nak selamatkan aset yang ada seperti rumah dan kereta. Ini saja yang tinggal.

“Diakui apa yang berlaku atas silap sendiri, tetapi jujur saya katakan selama ini memang tidak tahu prosedur pembayaran. Saya hanya tahu kumpul resit saja,” katanya kepada Harian Metro.

Iqram berkata, notis pemberitahuan mengenai bayaran cukai pendapatan itu diterima sejak tiga tahun lalu yang pada asalnya berjumlah hampir RM200,000.

Jumlah itu dikira sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam bidang lakonan.

“Selepas dapat notis saya terus disenarai hitam. Ketika itu, saya melantik ejen untuk berurusan dengan pihak LHDN. Dapatlah kurangkan hingga RM67,000.

“Namun, saya diperintahkan ke Mahkamah Majistret Ipoh tahun lalu dan diarahkan membayar jumlah itu dalam tempoh tiga bulan.

“Dua minggu lalu, saya pergi ke pejabat LHDN di Jalan Duta bagi berbincang sekali lagi. Hasil perbincangan negatif. Mereka cakap saya tiada inisiatif untuk membayar.

“Disebabkan itu, jumlah meningkat semula kepada RM77,000 dan saya diberi tempoh 10 hari untuk menjelaskannya. Jika gagal, saya diisytihar muflis,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali berlakon untuk menjana pendapatan bagi membayar hutang itu, Iqram tegas dengan pendirian tidak sama sekali.

“Saya takkan kembali berlakon. Disebabkan saya menjadi selebriti saya diisytihar bankrap,” katanya.

sumber...Hmetro