Polis tahan lelaki tampar juruwang kerana minyak masak
Lelaki yang disyaki menampar dan mengugut seorang juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas pada Selasa selepas berang tidak dapat membeli 3 paket minyak masak ditahan polis hari ini.Ketua Polis Barat Daya AA Anbalagan berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di tepi jalan di Sungai Ara, Bayan Lepas pada 2.00 petang.
“Lelaki yang merupakan seorang peniaga itu mengaku memaki hamun dan memukul juruwang wanita berusia 29 tahun berkenaan sebelum mengugut mangsa dalam kejadian tersebut kerana gagal mengawal marah,” katanya.
Katanya polis akan membawa lelaki itu ke mahkamah Balik Pulau esok untuk mendapatkan perintah reman bagi siasatan lanjut kes berkenaan.
Dalam kejadian 8.40 pagi itu, wanita berkenaan didatangi seorang pelanggan lelaki yang mahu memberi beberapa barangan termasuk 3 paket minyak masak namun mangsa memberitahu setiap pelanggan dihadkan untuk membeli 2 paket sahaja.
Bagaimanapun, lelaki itu berang dengan teguran itu dan mengamuk serta memaki hamun juruwang berkenaan sebelum bertindak menampar belakang kepala mangsa.
Suspek kemudiannya mengugut mangsa supaya berjaga-jaga sebelum beredar dari kedai berkenaan dan mangsa yang bimbang tentang keselamatannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Rakaman video berdurasi 16 saat mengenai kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam.
sumber...Bernama