NEELOFA dan adiknya, Mohamed Aqief bersama Ustaz Ismail Menk.
TIGA bulan lalu, pelakon dan pengacara jelita bernama Noor Neelofa
Mohd. Noor atau Neelofa, 25, menerima hadiah berupa cakera padat (CD)
ceramah Mufti Ismail Menk daripada pelakon, Natasha Hudson.
Segudang emosi meribut dalam jiwa Neelofa saat mendengar ceramah daripada penceramah terkenal dari Zimbabwe itu.
Saat itu pengacara berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mula membuka
pintu hatinya dengan seluas-luasnya untuk berubah menjadi Muslimah
sejati.
Neelofa kemudiannya mengambil keputusan berhijab sepenuhnya bermula 1 Julai lalu.
"Boleh dikatakan Mufti Ismail Menk antara individu yang mengubah
saya. Ceramah beliau memberi kesan yang mendalam pemikiran saya. Selama
tiga bulan saya memasang CD ceramah beliau tanpa henti sehingga mengubah
hati saya untuk berhijab penuh.
"Bagaimanapun, niat untuk berubah menjadi individu lebih baik itu
sudah lama. Sejak akhir tahun lepas lagi. Saya banyak bertanya kepada
kawan-kawan yang bukan dalam industri hiburan tentang ceramah agama
beliau
Sebaik mendapat tahu lokasi ia diadakan, saya dan adik-beradik serta
beberapa teman terus ke sana untuk mendengar ceramahnya," luah Neelofa
secara mendalam mengenai penghijrahannya ketika ditemui pada majlis
berbuka puasa anjurannya sendiri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin,
Putrajaya baru-baru ini.
Menjengah fasa awal Neelofa berhijab, tanpa berselindung, dia
mengakui pernah berasa ragu dan tidak selesa. Namun, perasaan itu segera
dibuang jauh.
Bimbang
Kebimbangan juga bersarang dalam diri Neelofa sebelum ini, andai
perubahan dirinya itu tidak akan diterima oleh penggiat industri hiburan
seperti penerbit rancangan Nona atau MeleTOP yang dihoskan olehnya.
"Alhamdulillah, pasukan MeleTOP dan Nona sangat menyokong dan
menerima perubahan saya ini. Mereka masih mengekalkan konsep rancangan
tersebut.
"Cuma, cara penyampaian saya mungkin sedikit berbeza dan perlu bersesuaian dengan status saya yang kini sudah bertudung.
"Saya juga akui memang masa mula-mula pakai tudung dulu ada perasaan tidak selesa. Lebih-lebih lagi, ketika makan.
"Rasa macam tudung makin ke depan setiap kali mengunyah. Namun,
sekarang semakin selesa," ujarnya yang menggayakan hijabnya sendiri
tanpa merujuk kepada mana-mana tutorial cara-cara memakai hijab yang
terdapat di laman YouTube.
Keinginan bertudung direalisasikan Neelofa atas niat yang tidak
berbelah bahagi, membuatkan Ramadan juara Dewi Remaja 2010 itu kali ini
juga cukup bermakna berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Tanpa berselindung, Neelofa mengakui, dia berasa kosong melalui musim
Ramadan sebelum ini. Namun, untuk tahun ini, Ramadan dihayati dengan
penuh rasa syukur dan istimewa.
"Tahun lepas, saya tidak begitu menitikberatkan tarawih, malah tidak menghayati keistimewaan solat sunat itu.
"Sejak saya belajar dan tahu mengenai pengertian Ramadan itu, saya
mula menitikberatkan solat sunat tarawih dan juga puasa," ujarnya yang
mula memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat atas dosa-dosa yang
dilakukan sebelum ini dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi
meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T.
Filem sebelum bertudung
Tinggal di Damansara tetapi sanggup ke Putrajaya semata-mata untuk
mendengar taskirah Mufti Ismail Menk, Neelofa mendedahkan, dia begitu
mengagumi penceramah tersebut dan mencari peluang untuk hadir setiap
hari ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mendengar ceramah
beliau.
Peluang yang ada itu juga digunakan Neelofa apabila dia turut
menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid tersebut untuk mengajak
peminat-peminat dan orang ramai hadir mendengar ceramah penceramah hebat
itu.
"Sebenarnya, selepas menang Pengacara TV Paling Popular di Anugerah
Bintang Popular (ABP) Mei lalu, saya ada berniat untuk anjurkan majlis
makan dengan peminat sempena kemenangan tersebut.
"Jadi, saya anjurkan serentak majlis makan, majlis buka puasa dan
majlis doa selamat untuk Gaza dan juga musibah yang menimpa MH17.
"Di samping itu, mereka juga dapat mendengar ceramah daripada Mufti
Ismail Menk," ulasnya yang begitu mesra melayan lebih 500 peminat yang
hadir pada hari itu.
Tiada kata yang dapat diungkapkan pelakon filem Lemak Kampung Santan
itu apabila dia turut berpeluang bertemu dan berbual dengan penceramah
idolanya tersebut sejurus selepas tazkirah solat tarawih.
Bakal muncul menerusi dua buah filem - Pilot Cafe di samping Fahrin
Ahmad dan Dollah Superstar bergandingan dengan Awie, ujar Neelofa,
filem-filem tersebut menonjolkan sisinya yang masih belum bertudung dan
berpakaian seksi.
Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi itu melibatkan banyak pihak.
"Perkara yang sudah lepas, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Kedua-dua filem yang menampilkan saya tidak bertudung dan berpakaian
seksi itu semuanya sudah selesai penggambaran.
Filem itu juga melibatkan banyak pihak. Saya cuma mengharapkan
peminat faham," luah pemilik rangkaian perniagaan seperti Bellavita
(suplemen kesihatan), Neelofar (jubah), Bokittahijab dan Lofalens (kanta
lekap).
sumber...