Followers

Showing posts with label kes cerai. Show all posts
Showing posts with label kes cerai. Show all posts

Thursday, November 8, 2018

AWAS: Suami Culas Bayar Nafkah


Suami culas bayar nafkah mungkin kena sekatan bank

Kerajaan bercadang untuk mengetatkan lagi peraturan berkaitan nafkah bagi mengekang lelaki atau suami yang culas melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah mengenakan sekatan bank ke atas lelaki yang tidak membayar nafkah buat anak-anak atau bekas isteri mereka.

Menurut Mujahid, perbincangan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri sudah diadakan bagi melaksanakan tindakan tersebut.

"Perkara ini telah dibincangkan diperingkat JKSN, juga diperingkat kami (kementerian) dan saya harap penguatkuasaan itu akan dipertingkatkan termasuk melibatkan isu sekatan bank.

“Kita perlukan sedikit penguatkuasaan ke atas suami-suami yang liat membayar nafkah untuk bekas isteri,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Terdahulu anggota parlimen Parit Buntar itu menghadiri sesi pertemuan Tadbir Urus Maqasid Syariah di Putrajaya, hari ini.

Kata Mujahid ramai kalangan wanita yang tidak diberi keadilan dari sudut nafkah walaupun sudah diputuskan oleh mahkamah syariah.

"Kebanyakan bekas isteri tiada tempat untuk mengadu dan terdapat kelemahan dari segi penguatkuasaan.

"Oleh itu saya harap penguatkuasaan juga mesti ditumpukan kepada soal keluarga yang mana wanita-wanita yang diceraikan banyak sekali tidak mendapat hak mereka bila bekas suami ini berasa mereka tidak dikuatkuasakan tanggungjawab mereka untuk memberi nafkah," katanya.

sumber...mKini

Wednesday, July 15, 2015

Semua Kerusi PAS di Pantai Barat Tidak Selamat



Akar umbi bimbang masa depan PAS selepas putus dengan DAP

PAS perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam selepas putus hubungan dengan DAP, kata ahli dan aktivis.

Semua kerusi pantai barat tidak lagi selamat buat PAS, kata ahli akar umbi dan aktivis selepas parti Islam itu memutuskan hubungan rasminya dengan DAP.

Walaupun hubungan tidak rasmi masih wujud di antara ahli PAS dan DAP tetapi keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan sekali gus memberi isyarat mereka perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam.

Ia merupakan sokongan komuniti pemimpin akar umbi seperti kata Dr Sheikh Ibrahim Salleh yang merupakan orang penting dalam kemenangan PAS di pantai barat dari Kedah ke Johor.

Ahli akar umbi lain dari Kuala Lumpur pula menyifatkan:“Sokongan bukan Islam kepada PAS di luar jangka ketika mengadakan hubungan bersama DAP. Jadi, bila hubungan PAS-DAP berakhir maka begitulah juga sokongannya.”

Pantai barat tidak selamat lagi

Bagi sesetengah pemimpin akar umbi, penurunan sokongan bukan Islam dapat dilihat sejak sebelum muktamar bulan lalu yang meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ia berikutan keputusan DAP pada April untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Resolusi itu mengeruhkan lagi keadaan. Dr Sheikh Ibrahim berkata, bukan Islam meminggirkan PAS sejak krisis menteri besar Selangor pada pertengahan 2014.

Dalam krisis itu, Hadi tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat PKR dan DAP untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Imej PAS merosot sejak itu. Rakan bukan Islam kita mohon maaf berkata mereka tidak lagi menyokong PAS,” kata Sheikh Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong.

Sokongan kepada PAS akan sangat berkurang dalam PRU akan datang.”

Beliau berkata PAS melakukan yang terbaik di Johor dan kebanyakan tempat di pantai barat dalam pertandingan kerusi campuran di mana nisbah Islam dan bukan Islam ialah 60% kepada 40%.

“Apabila majoriti Melayu lebih daripada 60%, PAS lebih sukar untuk menang. Jadi semua kerusi yang dipegang PAS di Johor tidak selamat kerana kita kehilangan sokongan bukan Islam.

“Perkara sama berlaku kepada tempat di Kedah, Perak malah di Selangor,” katanya.

Majlis Syura Ulama (MSU) secara rasmi memberi lampu hijau untuk memutuskan hubungan dengan DAP, selepas lebih sebulan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas.

Mereka berkata keputusan itu diambil ekoran tindakan provokasi berterusan DAP dan sikap suka campur tangan dalam urusan PAS.

Keputusan yang diluluskan itu akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa PAS Pusat selepas MSU bertindak sebagai badan tertinggi yang menetapkan hala tuju dan dasar parti.

Menyalakan semula api lama

Hubungan PAS dan bekas rakan pakatannya, PKR dan DAP menyukarkan ahli biasa bagi mendapat sokongan penyokong yang lebih ramai, kata pemimpin akar umbi Selangor Shazni Munir.

Selepas mengadakan program bersama di bawah satu payung Pakatan Rakyat (PR) sejak 7 tahun lalu, ahli dan aktivis di peringkat akar umbi enggan menjemput DAP ke acara rasmi kerana bimbang dimarahi pimpinan atasan parti.

Keakraban ikatan yang dibayangkan pengundi Malaysia dan diidamkan ahli PAS yang sanggup bekerja tanpa bayaran, kini tiada lagi, kata Shazni.

Sukar memenangi kembali hati pengundi bukan Islam yang sedekad lalu tidak pernah bermimpi mengundi PAS.

Amat menyedihkan apabila kita berbicara dengan pakcik Cina dan mereka bertanya mengapa PAS tidak menjaga hati orang bukan Islam. Adakah PAS tidak menghargai sokongan mereka?,” kata Shazni yang merupakan timbalan ketua kawasan Sijangkang.

“Pada ketika kita masih susah memenangi undi Melayu kawasan pedalaman, kita sangat menghargai sokongan bukan Islam.”

Ahli PAS Titiwangsa berkata dapat dilihat penurunan kehadiran bukan Islam dalam program PAS tahun ini.

Pengundi Cina dan India mewakili 30% populasi di kawasan Parlimen Titiwangsa yang biasa ditandingi PAS dan kekalahan ini pastinya akan dirasai dalam PRU akan datang.

Walaupun semangat mereka masih lemah, pemimpin DAP Anthony Loke berharap akan ada perubahan.

Hubungan rakyat di peringkat akar umbi masih utuh, katanya dan di sesetengah kawasan, ahli kedua-dua parti masih menjalankan program bersama.

“Kawasan saya di Jelebu, hubungan dengan akar umbi PAS masih utuh. Kami masih menghadiri sesi buka puasa dengan ahli PAS di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Baru,” katanya.

Antara yang dapat dilihat ialah majlis buka puasa bersama personaliti PAS bersama pimpinan tertinggi PKR dan DAP di Kuala Lumpur pada 23 Jun.

Pada majlis itulah, timbul ura-ura satu parti Islam baru akan ditubuhkan ahli PAS yang disingkirkan dengan kerjasama DAP dan PKR.

Biasanya, pemimpin PAS dan mereka yang wala’ akan cepat mengulas mengenai penubuhan parti baru seperti bekas setiausaha agung Datuk Mustafa Ali yang menjangkakan parti baharu akan dilihat proksi DAP dan tidak kekal lama.

Di sebalik dakwaan itu, ahli biasa PAS dan DAP masih menanti sama ada parti baharu ini mampu menghidupkan kembali semangat lama PR yang membantu mereka menghampiri Putrajaya.

sumber...TMI

Friday, December 19, 2014

Fadilah Mansor Tidak Lapor Cerai Ke Mahkamah Kerana Sangka Kekal Menjanda

 Fadilah dan Mat London berbual selepas status perceraian mereka disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis. Foto KAMARUL ARIFFIN.

Biarpun telah bercerai selama dua tahun dengan penerbit dan pengarah Mat London namun dramatis Fadilah Mansor mempunyai alasan tersendiri tidak melaporkan kejadian tersebut di mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan.

Fadilah, 56, berkata, dia tidak segera berbuat demikian kerana tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan penyanyi 60-an, Datuk A Rahman Hassan selepas berkenalan sejak setahun lalu.

"Saya tidak segera membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan kerana tidak menyangka akan bertemu jodoh sekali lagi kerana saya yakin akan hidup menjanda sehingga akhir hayat.

"Tetapi kuasa Allah mempertemukan saya dengan Datuk A Rahman Hassan dan sebab itulah baru kini saya mahu mendapatkan pengesahan supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari," katanya kepada mStar Online.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis mengesahkan lafaz cerai yang dibuat Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim terhadap Fadilah pada 28 September 2012 selepas berpuas hati dengan keterangan diberikan mereka kepada mahkamah.

 Pasangan itu berkahwin di Narathiwat, Thailand pada 18 Oktober 1989 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alia Farhani, 23, dan Faeesal Aswad, 20.

Terdahulu Hakim Syarie, Ab Malek Awang turut mengesahkan pernikahan pasangan itu di luar negara sah mengikut hukum syarak.

Fadilah bakal bernikah dengan A Rahman Hassan pada 25 Disember ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Fadilah menjelaskan bakal suaminya itu mengetahui tentang perkara tersebut dan sentiasa memberikan sokongan dan doa supaya segala-galanya selesai dengan baik.

Malah kata Fadilah, dia tidak pernah menyorokkan sebarang cerita tentang kisah silamnya termasuk kisah rumah tangga dan perceraiannya dengan Mat London.

"Dia (A Rahman) tahu tentang segala-galanya dan sentiasa memberi semangat kepada saya dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Fadilah turut memberitahu persiapan perkahwinannya dengan A Rahman berjalan lancar dan berharap majlis itu nanti akan berlangsung seperti dirancang.

"Alhamdulillah semuanya hampir siap dan doakan majlis itu nanti berjalan lancar," katanya ringkas.


sumber...Mstar
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI

Tuesday, November 18, 2014

Shima 'Jual Mahal' Pulak ?



Shima mahu hidup sendirian tanpa perlu memikirkan hendak bernikah lagi. Foto RAFIQ RAHMAN

Shima Enggan Fikir Soal Lelaki Selepas 4 Kali Cerai

Penyanyi popular 1990-an, Shima mendedahkan dia sudah kembali solo sejak dua tahun lalu selepas bercerai dengan rakyat Kanada yang dikahwininya pada tahun 2003.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 45, berkata, ia merupakan perceraiannya buat kali keempat dan dia tidak mahu lagi memikirkan tentang pasangan hidup.

"Empat kali berkahwin, empat kali juga bercerai. Ingatkan yang terakhir sebelum ini dapat bertahan lama, tetapi jodoh kami tidak panjang.

"Kerana itu kami bercerai dua tahun lalu dan sekarang saya kembali solo. Cukuplah dengan alam berumahtangga. Bukannya serik, tetapi saya rasa hidup sendirian seperti sekarang lebih membahagiakan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Shima, bagaimanapun dia tidak akan menolak sekiranya ditakdirkan bertemu dengan jodoh lain kerana ia adalah ketentuan Ilahi.

Selain dengan rakyat Kanada itu, Shima pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain keyboard kumpulan The Boys iaitu Satiman pada tahun 1990 dan bercerai pada tahun 1994.

Dia  juga pernah berkahwin dengan seorang guru bernama Khairun Lamb pada tahun 1996, namun mereka bercerai pada 1998. Bagaimanapun Shima enggan berkongsi identiti individu ketiga yang dikahwininya.
Sementara itu, Shima juga tidak pernah berasa sunyi tanpa teman kerana aktiviti hariannya sentiasa terisi dengan pelbagai kerja-kerja nyanyian selain meluangkan masa bersama lima ekor kucing kesayangan.

"Dulu masa awal-awal bercerai, memanglah rasa sunyi, tetapi lama-lama rasa itu hilang lebih-lebih lagi apabila hari-hari kita diisi dengan pelbagai aktiviti.

"Sekarang ini saya rancang mahu kembali aktif dalam industri seni muzik tempatan. Lagipun saya dah lama tak keluar album. InsyaAllah pada tahun hadapan saya akan muncul dengan single lagu baharu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shima kini terlibat dengan pertandingan nyanyian Gegar Vaganza, yang menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah popular sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya ditawarkan menyertai pertandingan ini selepas setahun menamatkan kontrak menyanyi di sebuah hotel.

"Bagi saya, ini satu cabaran baik untuk saya memantapkan diri semula sebelum muncul dengan single lagu baru," tuturnya.

Antara penyanyi lain yang turut terlibat termasuklah Mamat (Exist), Rahmat (Mega), Hasnol, Fazli Zainal, Sam (Innuendo), Ayai (Ilusi), Haleeda, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Gegar Vaganza bersiaran bermula 16 November 2014 setiap Ahad, pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Shima sebelum ini pernah popular menerusi lagu Di Sebalik Sejuta Wajah, Setelah Aku Kau Miliki  dan Teringin.

sumber...
 Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Wednesday, November 12, 2014

Raja Azmi Dedahkan Punca Perceraian Dengan Eddie


Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan teguran suaminya, Mohd Eddie Ghazali antara penyebab dia memohon untuk bercerai selepas 13 bulan berumahtangga.

 Raja Azmi, 55 berkata, walaupun mengakui kesilapannya kerana keluar rumah tanpa izin, namun cara teguran suaminya itu membuatkan hatinya benar-benar terluka dan sukar untuk diubati semula.

"Apabila dimarahi, hati saya terluka kerana saya terasa dengan tegurannya itu. Rasa sedih sangat-sangat. Dia (Eddie) telah pun memohon maaf dan memujuk, tetapi luka saya itu tidak terubat.

"Bagi saya, jika tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara seperti ini, saya akan berterusan menjadi isteri yang derhaka. Lebih baik kami berpisah.

"Dia ada berusaha untuk mengekalkan rumah tangga ini, cuma mungkin saya yang langsung tidak berusaha," katanya kepada mStar Online.

Raja Azmi ditemui selepas di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada petang Selasa selepas Mohd Eddie, 46, melakukan lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.05 petang.

Mohd Eddie menceraikan Raja Azmi dengan talak satu dan wanita itu diperintahkan untuk melalui tiga bulan tempoh edah atau tiga kali suci.


Dalam pada itu, Raja Azmi turut mengakui, sejak berkahwin pada 13 Oktober 2013, dia mendapati pelbagai percanggahan pendapat antaranya dengan Eddie terutamanya mengenai kehidupan.


"Kami kerap bergaduh hanya kerana percanggahan pendapat masing-masing. Dan perkara ini membuatkan perhubungan kami semakin sukar untuk diteruskan.

"Tetapi apabila tidak sebumbung, kami boleh pula berkomunikasi macam biasa. Apa yang saya nampak, mungkin kami lebih sesuai berhubung sebagai sahabat," ujarnya.

Sementara itu, Eddie pula berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila terpaksa melalui dugaan bercerai dan perkara itu membuatkan dirinya sedikit sebak.

Bagaimanapun, kata Eddie, masalah perkahwinannya dengan Raja Azmi dijadikan sebagai pengajaran agar lebih berdiplomasi dalam menegur seorang isteri.

"Kesilapan saya adalah daripada segi teguran yang kasar sehingga mengundang sebelah pihak terasa hati. Tetapi nak buat macam mana, ia sudah pun berlaku dan hidup mesti diteruskan seperti biasa," tuturnya.

Eddie yang popular dalam kumpulan CRK dengan lagu Cinta Dan Air Mata (tahun 1990-an) bernikah dengan Raja Azmi pada 13 Oktober 2013 dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah dilakukan di Laman Beringin, Istana Budaya dekat sini.

Raja Azmi sebelum ini pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 30, Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21.

sumber...

 Oleh: FERIDE HIKMET ATAK

Tuesday, October 28, 2014

Raja Ahmad Shahrir Enggan Ceraikan Nurul Izzah



Suami kepada Nurul Izzah Anwar enggan menceraikan isterinya yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai kerana masih menyayanginya dan ingin menyelamatkan perkahwinan mereka.


Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas kesnya disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini, Ab Malek Awang.

"Saya tidak bersetuju menceraikan isteri kerana masih sayangkannya dan anak-anak," katanya yang kelihatan sugul selepas prosiding itu.

Prosiding kes itu yang berlangsung dalam masa 40 minit turut dihadiri isterinya, Nurul Izzah.

Terdahulu, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir memaklumkan, Hakim Syarie Ab Malek hari ini mensabitkan wujudnya 'Shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu berdasarkan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Azmi berkata mahkamah juga menasihatkan defendan (Raja Ahmad Shahir) untuk melafazkan cerai, namun anak guamnya itu tidak bersetuju dan memasukkan bantahan terhadap laporan JKP tersebut hari ini atas alasan laporan berkenaan ringkas dan tidak lengkap.

"Laporan daripada pengerusi JKP tidak menyatakan secara terperinci masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan itu," katanya.

Peguam syarie itu berkata pihaknya juga memohon supaya diadakan satu lagi perbincangan JKP yang baharu tetapi ia dibantah oleh peguam Nor Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.


Azmi berkata mahkamah kemudiannya menerima bantahan daripada pihak plaintif (Nurul Izzah) dan menetapkan 8 Disember depan untuk lantikan 'Hakam'.

'Hakam' adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan maka 'Hakam' tersebut akan melafazkan talak bagi pihak suami.

Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari.

Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.

Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Nurul Izzah yang enggan mengulas mengenai kemelut rumah tangganya hanya berkata: "Terima kasih kerana menghormati privasi saya".

sumber...Mstar OL