Followers

Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Wednesday, January 9, 2019

Rusia, Yang Hilang di Kota Bharu



Dalam tahun 1892-94 seorang pengembara Rusia, mungkin juga seorang askar upahan (siapa tahu adalah perisik) bernama Vasily Mamalyga, telah membantu Lombok menentang askar Belanda.

Lombok kalah, dan Mamalyga (juga kadang kala dieja sebagai Memelige dan WP Mamalyga) dipenjarakan selama empat tahun di dalam penjara Belanda.

Beliau dibebaskan kemudiannya dan diminta ke Moldavia dalam tahun 1899. Dua tahun kemudian, anehnya, Mamalyga kembali ke alam Melayu kali ini sebagai tukang masak di atas sebuah kapal wap Rusia. Kapal ini berlabuh di Singapura pada tahun 1901. Ia sepatutnya belayar ke Jawa tetapi Mamalyga tidak dapat meneruskan perjalanan kerana rekodnya yang masih buruk dalam tangan Belanda.

Di Singapura, gerak geri Mamalyga diawasi oleh Baron Kister, Konsul Rusia di pejabat Konsulat Rusia Tsar, sekurang-kurangnya dalam dua insiden iaitu pada bulan Ogos 1901, dan Oktober 1902. Keberadaan Mamalyga di alam Melayu ini pernah menjadi tumpuan Elizaveta lvanovna Gnevusheva, seorang pensyarah di Universiti Moscow dalam tahun 1965, yang kemudian menarik pula perhatian sejarawan Anthony Reid dalam tahun 1966, yang ketika itu sedang berkhidmat di Universiti Malaya.

Harus dinyatakan di sini pada waktu itu Kelantan sudah pun bebas (walaupun tidak sepenuhnya) dari pengaruh Siam. Pun tradisi menghantar Bunga Mas ke istana Siam masih berjalan. Penjajah British berminat untuk menguasai penuh Kelantan dan Terengganu (juga Kedah) tetapi sangat berhati-hati untuk tidak memprovokasi Siam yang mana mempunyai hubungan yang erat dengan Perancis. Tambahan pula Inggeris baru sahaja mencampuri urusan Perak yang berperang dengan Kesultanan Reman (yang berpusat di Gerik, Perak hari ini).

Tidak ramai yang tahu mengenai Kesultanan Reman yang mahu memerdekakan diri dari Patani pada tahun 1810 iaitu apabila Tuan Tok Nik Tok Leh menolak dari menjadi sebahagian jajahan Patani. Reman turut berperang dengan Perak kemudiannya. Pada tahun 1899, ekoran perang yang panjang, Reman dan Patani menjadi lemah kedua-duanya dan Siam mengambil peluang meluaskan pengaruh. British mengiktiraf kedudukan istimewa Siam tersebut.

Jadi apa yang berlaku di Kelantan? Apa pula yang dilakukan seorang Rusia di Kota Baharu?
Semuanya kerana kuasa Siam semakin mencekam kembali. Ini terjadi apabila Siam melantik Phya Sukhom sebagai gabenor Songkhla dalam tahun 1897. Phya tidak menggunakan gaya lama untuk menggasak Kelantan dan Patani. Kaedah Phya jauh lebih sofistikated dan sistematik iaitu dengan memperkenalkan antara tahun-tahun 1897 sehingga 1901, antara lain komisioner, pejabat pos, bot kawalan perang dan penjaga sempadan yang diupah dari Denmark. Ini menyebabkan kehadiran Siam jauh lebih dirasai.

Kerabat diraja Kelantan dan Patani mulai resah kerana Raja Senik (yang nampaknya memilih menggunakan nama dan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920), kurang berbuat apa-apa dan tampak tidak berdaya dalam menangani pemerintahan seharian. Kelemahan ini gara-gara dirinya sendiri iaitu kerana kegagalan baginda menyelesaikan pertikaian sesama kerabat baginda yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III (bapa Raja Senik) dan Sultan Mansur sehingga memberi ruang pada kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan. Malah, di satu peringkat, Raja Senik ikut meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur.

Bantuan penjajah tiba

Agar tidak dihambat Siam, dan takhtanya pula tidak direbut oleh kerabat lain, Raja Senik, atau seperti yang baginda suka - Sultan Muhammad IV - perlu meminta bantuan asing. Maka Inggeris pun dihampiri. Ketakutan Sultan Muhammad IV kian besar apabila Siam menahan pemerintah Patani, Raja Abdul Kadir pada bulan Februari, 1902. Isteri Raja Abdul Kadir Patani, adalah ibu saudara Sultan Muhammad IV.

Bantuan penjajah tiba. Sultan Muhammad IV lega sementara. Inggeris akhirnya berjaya menundukkan Siam agar menerima seorang Inggeris sebagai Residen Siam di Kelantan di bawah Perjanjian Siam-Kelantan pada bulan Oktober 1902.

Pun pada bulan Mei 1902, Sultan Muhammad IV melawat Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham bagi pihak British menentang Siam. Swettenham ingin meminimumkan perang, sementara Melayu ingin berperang.

Untuk menenangkan sultan Kelantan yang begitu goyang itu, Swettenham menghantar 100 orang Sikh terlatih untuk mengiringi baginda pulang ke Kota Baharu. Pada bulan Ogos, ke semua mereka berlayar pulang dengan SS Flevo untuk mengawal takhta Sultan Muhammad IV dari Siam dan sebarang perbalahan dalaman, khusus yang mungkin dibangkitkan oleh Raja Ismail dari Selangor.

Siapa pula Raja Ismail ini? Apa pula kaitannya dengan seorang Rusia yang licik?
Raja Ismail bin Raja Abdullah sudah pun dikenal melalui Perang Saudara di Selangor antara tahun 1866-74. Ayahandanya Raja Abdullah, telah disingkirkan sebagai penguasa Kelang oleh Raja Mahdi dan Raja Ismail bangkit bergabung tenaga dengan Tengku Kudin untuk merebut posisi. Inggeris bagaimanapun mengiktiraf Tengku Kudin dan bukan Raja Ismail pada tahun 1874. Tentu lah Raja Ismail berduka lantas merayu agar diberi tempat dalam pentadbiran Selangor. Inggeris tidak mengendahkannya.

Raja Ismail membawa rajuk dan mulai membawa diri menempel kepada Sultan Abu Bakar di Johor. Raja Ismail (Selangor) dan Sultan Abu Bakar (Johor) nampaknya kurang senang dengan pilihan Kelantan untuk mendekatkan diri dengan Inggeris.

Raja Ismail telah mendapatkan bantuan Mamalyga, sang Rusia misterius di Singapura ini dalam tahun 1902. Bersama-sama 100 orang, Mamalyga berangkat ke Kelantan sebagai kuasa bebas. Beliau membawa sama surat daripada Raja Ismail untuk memujuk Sultan Muhammad IV agar menerima bantuannya. Raja Ismail berharap Sultan Kelantan waktu itu akan tertarik dengan orang Rusia.
Baron Kister, konsulat Rusia di Singapura dengan segera pula menghubungi Raja Ismail dan cuba memberitahu agar tidak mempercayai Mamalyga. Rusia pada waktu itu berhasrat menghindar diri dari terlibat dalam pertikaian yang sudah cukup rusuh di rantau Melayu antara kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol.

Raja Ismail menolak permintaan Baron Kister dan membalas bahawa Mamalyga adalah seorang Rusia yang budiman dan orang Melayu mempercayainya. Usaha mencegah Mamalygin ke Kelantan dengan kapal Flevo pada Ogos 1902 gagal.

Terpukau akan Inggeris

Mungkin sahaja Mamalyga tiba di Kelantan serentak dengan Sultan Muhammad IV bersama-sama 100 orang Sikh bekalan Frank Swettenham. Mujur mereka tidak bertempur, jika tidak lebih banyak nyawa rakyat terkorban demi mempertahankan kuasa.

Kesimpulannya, Sultan Muhammad IV Kelantan pada tahun 1902 tidak terpesona dengan seorang Rusia. Baginda lebih terpukau akan Inggeris.

Kehadiran 100 orang askar Sikh sebagai wakil British itu berjaya menakutkan Siam dan mungkin Raja Ismail sendiri. Tiada yang tahu apa yang terjadi kepada Mamalyga si Rusia yang diupah Raja Ismail apabila ia tiba di Kelantan. Nama Mamalyga hilang begitu sahaja dari sejarah. Mungkin Mamalyga berkahwin dengan mana-mana mek di Tumpat, atau menyamar belajar fikah masuk pondok di Pulau Melaka. Tiada rekod dari Konsulat Rusia Tsar di Singapura mengenai Mamalyga sehingga setakat ini.

Beberapa tahun kemudian termeterailah Perjanjian Inggeris-Siam 1909, empat negeri di bawah naungan Siam diserahkan kepada Inggeris. Bertakhtalah Sultan Muhammad di Kota Bharu bahagianya dan dengan selamat.

Apakah pelajaran untuk kita hari ini?

Hari ini, segelintir generasi kita sering mengkhayalkan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya gemilang. Malangnya mereka mengabaikan sejarah mengenai perang demi perang saudara, percaturan politik raja-raja Melayu yang salah pada waktu dahulu dan juga campur tangan kuasa asing di rantau ini.

Mereka tergila-gilakan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya berteraskan raja dan ulama yang saling akrab memadu kasih. Perangai meromantikkan episod sejarah dahulu kala ini harus dibanteras di akar.

Tidak, pemerintahan Melayu-Islam dahulu kala bukanlah sama sekali model untuk kita hari ini. Malah seperti yang diperlihatkan di atas, keadaan pada waktu itu amatlah celaru sehingga nyaris seorang Rusia pun ikut masuk dalam istana kita. Jelas sekali mereka, orang dahulu kala mempunyai masalah dan pergolakan sendiri yang kompleks. Mereka punya ketakutan yang khusus sehingga kadang membuat pilihan nanar. Tidak ada sebab kita harus menjadi seperti mereka.

Hari ini kita juga punya masalah yang haru. Sehingga tahun 2018, telor masing-masing umat Melayu masih di hujung tanduk ditentukan oleh kancah demi kancah perangai peribadi serta bidak niaga dan kuasa. Mujurlah ada sebahagian Melayu mengenal demokrasi pada 9 Mei 2018. Bolehlah kita berpijak di bumi nyata dan belajar untuk menguruskan negeri menurut realiti hari ini.


oleh: FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Wednesday, September 21, 2011

Mat Sabu VS British: Memang kelakar Sejarah diselesaikan di Mahakamah

Abang Mat Sabu sudah pecah world record...kah kah kah

ada ke patut soal atau perihal sejarah diselesaikan di mahkamah?..tok hakim jenuh ler nak bukak balik buku sejarah.
kena pula tok hakim silap silap masa exam dulu fail sejarah..
mampoih dibuatnyer...jenuh ler berdebat lagi prof kongkang disekelian Malaya...kah kah kah

Mat Sabu mengaku tak bersalah
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

azlanBeliau mengaku tidak bersalah, sebentar tadi.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan pemimpin PAS itu dengan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Kelakar tetapi seronok

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.

Ketika diminta mengulas, Mat Sabu berkata beliau telah menjangkakan tindakan mahkamah itu.

"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia adalah kes mahkamah, kita akan berdepan dengannya,” katanya.

Menurut Mat Sabu, kerajaan mula kehilangan sokongan rakyat, khususnya golongan muda dan terpaksa menggunakan kekerasan dan undang-undang bagi mengurangkan pengaruhnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah adalah sesuatu yang kelakar.

"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.

Kumpul wang

Beliau juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas kepentingan Umno.

Sementara itu, ratusan penyokong pemimpin PAS berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

NONEMereka kemudiannya secara sukarela mengumpul wang dan menderma bagi mengikat jamin Mat Sabu.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

sumber...malaysiaKini

Friday, September 2, 2011

Umno palsukan sejarah demi propaganda politik

oleh Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mempersoal usaha sistematik kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) selama berdekad-dekad bagi ‘memalsukan’ sejarah dengan menukarnya sebagai propaganda mereka.

“Kami mengkritik usaha sistematik berdekad-dekad lamanya untuk ‘memalsukan’ sejarah Malaysia agar hanya sumbangan Umno dan sekutu mereka diiktiraf manakala sumbangan dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan lain dipadam.

“Apa sudah jadi kepada tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?” kata satu kenyataan media bersama Sekretariat Pakatan iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Dr Dzulkefly Ahmad dan Liew Chin Tong, hari ini.

Pakatan Rakyat juga mempersoal jasa pejuang seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang menerajui aktivisme politik Melayu kelihatan ‘hambar’ dalam sejarah.

“Kita juga ada Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA),” kata kenyataan itu yang mendapati, ia tidak ditonjolkan.

Mengikut kenyataan itu, Pakatan Rakyat membidas tindakan Umno yang seolah-olah menonjolkan perjuangan kemerdekaan usaha Perikatan semata-mata dengan menulis sejarah versi Umno.

“Jika kita baca sejarah Dr Burhanuddin, Boestamam dan Pak Sako, kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, anti-kolonialisme dan ketakutan institusi dan penindasan tetapi mereka ditangkap kerajaan Perikatan (nama lama BN) setelah difitnah antara lain, menjadi tali barut komunis.

“Buku sejarah bukan sahaja kehilangan satu, dua bab tetapi satu sejarah dipadamkan daripada rekod rasmi negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Umno mempunyai kepentingan politik untuk mengekalkan versi mereka untuk dijadikan asas bagi menutup tipu helah mereka yang menindas pihak lawan.

sumber...Keadilandaily