Followers

Showing posts with label saman. Show all posts
Showing posts with label saman. Show all posts

Wednesday, March 20, 2019

Nurul Izzah Menang Saman Fitnah RM1 juta



Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini menang dalam kes saman fitnahnya terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung pertemuannya dengan 'puteri Sulu' Jacel Kiram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ismail dan Khalid masing-masing membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaluddin turut mengarahkan mereka membayar kos berjumlah RM80,000, dan membenarkan injunksi melarang mereka mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Faizah berkata, Khalid telah memfitnah Nurul Izzah ketika beliau dalam satu acara di masjid Bukit Aman pada 22 Mei 2015 memberitahu hadirin bahawa Nurul Izzah bertemu dengan musuh negara yang membunuh anggota keselamatan.

Bagi Ismail Sabri (gambar) pula, Faizah berkata beliau membuat fitnah pada hari sama dalam majlis berkhatan anjuran Umno Bahagian Bera. Ismail Sabri adalah ketua Umno Bahagian itu.

Dalam acara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sementara itu mendakwa Nurul Izzah telah mengkhianati negara dan mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan boleh dipenjara bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

"Kenyataan itu memberikan pandangan buruk terhadap plaintif dan menyebabkan beliau berdepan kebencian dan cemuhan," kata pesuruhjaya kehakiman itu.

Faizah berkata mahkamah tidak dapat menerima hujah Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub - yang mewakili Khalid dan Ismail Sabri - bahawa perkataan "saya kira" dan "saya anggap" yang digunakan Ismail Sabri telah merendahkan "tahap" fitnah yang diutarakan.

Beliau berkata Khalid (gambar) dan Ismail Sabri sepatutnya tahu Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan tiga hari sebelum itu, iaitu pada 19 Mei, yang menyatakan kekesalannya ekoran penyiaran gambarnya bersama Jacel di media.

Gambar itu diambil di sebuah forum di Filipina yang dihadirinya.

Gambar itu pertama kali dimuat naik oleh Jacel sendiri, dan mencetuskan kecaman orang ramai dan komen daripada Khalid dan Ismail Sabri.

Nurul Izzah kemudian menfailkan saman pada November 2015.

Perlindungan bersyarat

Khalid mendapat perlindungan bersayarat memandangkan beliau mengeluarkan kata-kata itu kepada pemberita atas kedudukannya sebagai ketua polis negara pada masa itu.

Namun, Faizah tidak membenarkan hujah pembelaan sama terhadap Ismail Sabri, kerana beliau hadir ke program di Bera - tempat beliau mengeluarkan kenyataannya - atas kapasiti sebagai pemimpin Umno dan bukannya menteri.

Faizah juga berkata kedua-duanya berniat jahat kerana tidak mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Wang untuk keluarga mangsa

Mengulas keputusan itu, Nurul Izzah berkata wang saman yang dimenanginya akan disalurkan kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

"Mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap saya (kononnya sebagai pengkhianat). Tetapi saya seorang patriot," katanya.

"Dalam kita memasuki PRU ke-14 ini adalah peringatan kepada kita untuk mengamalkan politik baru dan bersih. Mereka menyerang saya di Parlimen menggunakan media arus perdana," katanya lagi.

Peguam Nurul Izzah, Sivarasa Rasiah beri=kata keputusan itu adalah peringatan daripada mahkamah kepada mereka yang berkuasa, terutama IGP, untuk memastikan kenyataan mereka adil dan tidak bersifat fitnah.

[Baca berita asal]

Saturday, January 19, 2019

Pertama Dalam Sejarah, Putrajaya Saman Kelantan Demi Orang Asli

  

Sekumpulan Orang Asli di Pejabat Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas. Putrajaya hari ini mengumumkan saman terhadap kerajan Kelantan.

Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana pencerobohan penempatan-penempatan Orang Asli, yang pertama oleh kerajaan persekutuan melibatkan hak tanah pribumi.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah pribumi untuk menjalankan aktiviti komersial.

“Penerima manfaat dalam saman ini adalah Orang Asli. Litigasi ini adalah percuma,” kata Peguam Negara dalam kenyataan hari ini.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.
Thomas berkata tindakan kerajaan persekutuan memulakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli adalah yang pertama sejak Merdeka, tindakan yang dilihat seperti Putrajaya mengiktiraf kewajipannya melindungi masyarakat itu.

“Orang Asli mempunyai sejarah yang kaya dan kuno. Mereka menjalani kehidupan yang damai dan lestari di hutan-hutang Tanah Melayu sejak zaman dulu,” kata Thomas.

Beliau berkata ekonomi dan budaya Orang Asli sangat bergantung kepada tanah nenek moyang mereka.

“Sememangnya seluruh warisan, tradisi dan kehidupan mereka bergantung kepada tanah nenek moyang dan sumber-sumber berkaitan,” tambahnya.

Thomas berkata hak asasi masyarakat itu sudah terlalu lama tidak diendahkan.

Kerajaan Kelantan dan agensi-agensinya baru-baru ini menganugerahkan lesen pembalakan kepada syarikat-syarikat swasta untuk memasuki tanah-tanah pribumi Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, berdekatan Gua Musang.
Kawasan-kawasan hutan dilapor dibersihkan untuk membuka laluan kepada ladang-ladang durian dan getah.

Thomas berkata tindakan itu menyebabkan Orang Asli suku Temiar kehilangan tanah pribumi dan sumber, dan menyebabkan hakisan tanah, pencemaran dan kerosakan pada ekonomi dan lanskap Pos Simpor.

“Kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli suku Temiar sebelum menganugerahkan lesen-lesen pembalakan itu atau menawarkan sebarang pampasan atas kehilangan tanah pribumi dan sumber,” tambahnya.

Beliau berkata walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa berhubung tanah, perhutanan dan perlombongan, ia juga mempunyai kewajipan untuk melindungi dan memelihara kebajikan Orang Asli suku Temiar.

“Pembangunan komersial dan mencari keuntungan tidak boleh mengorbankan Orang Asli suku Temiar dan hak mereka ke atas tanah dan sumber yang secara tradisi dimiliki dan digunakan mereka,” katanya.

sumber...FMT
foto: FMT

Tuesday, October 9, 2018

Pemfitnah Khalid Samad Siap Badan Iaa...


 

Menteri saman aktivis atas dakwaan ‘anjur’ pesta gay

Khalid Samad menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Wan Asshima Kamaruddin.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad memfailkan saman terhadap seorang aktivis kumpulan hak asasi Islam yang mendakwa beliau “menganjurkan” pesta gay di ibu kota.
Saman itu difailkan walaupun Pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin sudah memadamkan kenyataan itu daripada video di Facebook dan memohon maaf kepada Khalid.

Khalid dalam saman fitnah bertarikh 13 September lalu mendakwa Asshima mengeluarkan kenyataan tanpa memeriksa faktanya.

“Dalam kenyataan Facebooknya pada 18 Ogos, beliau kata saya melanggar hak umat Islam apabila saya meluluskan pesta gay, serta ia secara tidak langsung kata saya mengakui hak LGBT di Malaysia.

“Kenyataannya dibuat dengan niat jahat dan menyebabkan orang ramai, khasnya komuniti Islam benci saya,” kata Khalid.

Sehubungan itu, beliau menuntut permohonan maaf dan ganti rugi daripada Asshima.

Asshima dalam video yang dipadamkan itu mendakwa Khalid meluluskan pesta gay pada Ogos lalu, di mana golongan LGBT “akan berhimpun untuk meraikan kemenangan” kerana pesta itu diluluskan kerajaan.

“YB (Khalid) mungkin bangga dengan kumpulan LGBT, tetapi bagi saya dan Gerakan Muslimah Islam Malaysia, kami akan teruskan perjuangan kami menentang mereka.”
Pegawai Tugas Khas Menteri Wilayah, Zulhazmi Shariff kemudiannya membuat laporan polis terhadap Asshima.

Khalid sebelum ini berkata, beliau akan meneruskan saman fitnah itu walaupun Asshima sudah memohon maaf, tetapi disifatkannya tidak ikhlas dan beliau tidak kesal.

sumber...FMT

Thursday, February 25, 2016

Semakin Panas: Tun Mahathir Tibai PM Najib Lagi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar menyaman The Wall Street Journal (WSJ) dan tidak memberikan sebarang alasan jika tuduhan yang dilemparkan tidak benar, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail AFP, 24 Februari, 2016.

 Najib tidak saman WSJ kerana takut kebenaran terbongkar, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman The Wall Street Journal (WSJ) kerana mengetahui dirinya bersalah dan takut kebenaran akan terbongkar.

Dr Mahathir berkata, Najib wajar menyaman WSJ dan tidak memberikan sebarang alasan jika tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.

"Najib patut saman WSJ, saman semua dan bukan WSJ sahaja.

"Sebab dia tidak saman, mungkin beliau ingat WSJ itu betul dan dia (Najib) salah.

"Kamu tidak akan saman kalau kamu rasa kamu yang bersalah," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas dirakam keterangan pihak polis berhubung artikel di blognya di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir juga berkata sudah tidak mampu lagi untuk menasihati Najib kerana tidak ada satu pun langkah yang diambil untuk menanganinya.

"Saya nasihat Najib, tapi tidak buat. Saya hantar surat kata tidak sokong lagi tapi dia tidak baca.

"Bukan saya seorang sahaja yang bimbang tapi ramai yang bimbang dengan kerajaan kerana budaya wang adalah raja (cash is king)," katanya.

Beliau juga menafikan kritikan yang dibuatnya menjadi punca kepada kejatuhan ekonomi negara tapi menyalahkan cara pentadbiran Najib sendiri.

"Tingkah laku kerajaan, polisi dan skandal pentadbiran Najib yang beri kesan kepada ekonomi negara," katanya.

Dr Mahathir pada sidang media hari ini juga sekali lagi mengulangi gesaan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali supaya bersumpah dengan Al-Quran bagi menegakkan kebenaran.

"Beliau (Apandi) perlu angkat sumpah dengan Al Quran.

"Dia tidak boleh bohong kepada Tuhan, kalau tipu dia akan masuk negara," katanya.

Julai lepas, WSJ melaporkan aliran tunai sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib melalui entiti berkaitan 1MDB, memetik dokumen hasil siasatan pasukan petugas khas lantikan Putrajaya.

Akhbar itu juga mengeluarkan rencana mengenai perkara itu.

Najib menafikan mengambil dana 1MDB bagi kegunaan peribadi tetapi masih belum bertanggungjawab ke atas wang tersebut.

Dana itu, sebahagian besar dimasukkan sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013, disifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai derma politik.

Najib mengeluarkan arahan menyaman WSJ awal Ogos tahun lepas, selepas SPRM memberitahu wang itu datangnya daripada penderma dan bukannya daripada 1MDB.

Penghujung Julai lepas, WSJ enggan memberikan maklum balas kepada permintaan peguam Najib yang meminta penjelasan sama ada laporan akhbar itu mengenai akaun Najib bermaksud mereka menuduh perdana menteri menyalahgunakan kuasa.

Akhbar itu sebaliknya mempertahankan laporan mereka bertarikh 2 Julai, dan rencana susulan menyentuh isu itu diterbitkan pada 6 Julai, yang mengatakan laporan itu jelas dan berasaskan kertas siasatan pasukan penyiasat Malaysia.

sumber...TMi

Saturday, February 20, 2016

Bila Lagi Mahu Saman WSJ, Tanya Muhyiddin



Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap kerajaan untuk tidak menyaman The Wall Street Journal (WSJ) selepas mengumumkan akan berbuat demikian menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Februari, 2016.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan undang-undang harus segera diambil terhadap The Wall Street Journal (WSJ) sekiranya kenyataan terbaru pengarang akhbar itu, yang menafikan sumber wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri datangnya daripada keluarga diraja Arab Saudi, adalah tidak benar.

Timbalan presiden Umno itu berkata, ketiadaan sebarang tindakan berhubung perkara itu menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai sama ada penafian itu benar atau tidak.

Ini kerana katanya, peguam negara sebelum ini mengumumkan yang wang dalam akaun Datuk Seri Najib Razak datang dari Saudi dan tidak melibatkan unsur rasuah.

"Baru-baru ini, seorang daripada editor utama WSJ menyatakan dia ada banyak bukti menunjukkan RM2.6 bilion itu datang daripada pelbagai sumber, dan ada kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Soalannya sekarang, siapa yang betul dan siapa yang salah? Kita hendak cari kebenaran. Tolong jawab.

"Dulu sudah kata hendak saman, tak saman. Apabila keluar berita tak betul, tak saman. Orang sana (WSJ) menunggu. Dia kata, bila awak mahu saman saya?

"Sekarang ini, kalau tak betul apa yang disebut Ken Brown, saman dia dan saman WSJ. Kenapa takut?" kata Muhyiddin merujuk kepada pengarang kewangan WSJ.

Muhyiddin tidak menyebut sebarang nama dalam ucapannya tetapi banyak pihak sebelum ini mengatakan Najib harus menyaman WSJ bagi membersihkan namanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipertikai beberapa pihak apabila WSJ menyangkal kenyataannya yang mendapati tiada bukti menyokong dakwaan Najib terlibat dalam salah laku berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia berkata, wang itu bukan daripada keluarga diraja Arab Saudi seperti diumumkan Apandi sebelum ini, sebaliknya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

"Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami belum pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan," katanya dalam wawancara pada 12 Februari lalu.

WSJ adalah penerbitan yang pertama sekali menyiarkan berita tentang kehadiran wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib pada awal Julai tahun lalu.

sumber...TMi

Saturday, January 2, 2016

SAMAN: Mungkinkah DAP Maksudkan Dr Zuhdi ?

DAP saman ahli politik dakwa wujud tawaran Israel, kata Kit Siang

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, dakwaan parti menawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson, menunjukkan ‘budaya terdesak politik di negara ini’. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Januari, 2016.

DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson, kata Ketua Parlimennya Lim Kit Siang.

Beliau tidak menamakan "pemimpin politik kanan" berkenaan tetapi berkata individu itu akan disaman kerana memfitnah.

"Menurut al-Quran, memfitnah adalah satu jenayah yang lebih buruk daripada membunuh. Saya menjangkakan peguam DAP akan memulakan prosiding undang-undang dalam satu atau 2 hari," kata Lim malam tadi ketika berucap pada majlis makan malam Parti Amanah Negara (Amanah) di Petaling Jaya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pembohongan tersebut menunjukkan "budaya terdesak politik di negara ini".

Ahli politik itu, yang menurutnya daripada sebuah parti politik lain, membuat "tuduhan melulu" mengenai hubungan DAP dengan Israel.

"Pemimpin politik kanan daripada parti lain yang berbohong tentang DAP, seperti seorang yang membuat dakwaan tidak munasabah mengatakan DAP ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson, perlu membayar harga yang tinggi kerana dakwaan tidak berasas dan melulu itu, di mahkamah," kata Lim.

"Semua pemimpin politik mesti diberi pengajaran yang mereka tidak boleh melepaskan diri selepas berdusta atau membuat dakwaan paling tidak munasabah, atau melindungi diri dari perbuatan jahat dan pengecut itu dengan mendakwa mereka hanya mengitar semula pembohongan."

DAP minggu lalu menjadi sasaran beberapa pemimpin PAS yang mengkritik Ketua Biro Ekonomi Perak DAP Chong Zhemin yang mengecam Kementerian Belia dan Sukan dalam kes atlet Israel yang dinafikan visa dan akhirnya tidak mengambil bahagian dalam acara sukan luncur antarabangsa di Langkawi.

Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Akmal Kamaruddin minggu lalu berkata kenyataan Chong menimbulkan persoalan sama ada DAP menyokong Israel.

Naib Ketua Pemuda Amanah Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar juga mengkritik Chong, mempertahankan keputusan kerajaan yang disifatkan wajar sebagai tanda bantahan terhadap Israel kerana menganiaya rakyat Palestin.

Chong bagaimanapun kemudiannya menarik balik kenyataannya dan DAP mengatakan ia pandangan peribadi beliau sementara parti itu tetap dengan pendiriannya tidak menyokong Israel.

Dakwaan DAP ditawarkan wang sebagai pertukaran dengan pangkalan tentera laut Israel itu bagaimanapun didakwa dibuat Pengarah Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, seperti dilaporkan pelbagai media. – 2 Januari, 2016.

sumber...TMi

Saturday, July 25, 2015

NAH: Rafizi Pulak Bagi Saman Najib Rosmah



Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata dia telahpun memfailkan saman balas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, saman balas itu bagi mendidik rakyat supaya tidak takut dengan ugutan dan tindakan saman yang menjadi senjata utama Najib.

Berikut ialah kandungan saman balas saya dan pembelaan terhadap saman Najib Razak dan DS Rosmah Mansor mengenai cincin, subsidi dan lain-lain. Sebarkan!

24 JULAI 2015

PEMBELAAN DAN TUNTUTAN BALAS KE ATAS SAMAN DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK DAN DATIN SERI ROSMAH MANSOR

Saya mengambil keputusan untuk menyiarkan dan mengedarkan Pembelaan dan Tuntutan balas yang telah saya failkan terhadap satu saman yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap saya.

Saya berpendapat memandangkan rakyat tidak pernah berhadapan dengan seorang Perdana Menteri yang menggunakan tindakan saman untuk menjawab kritikan pembangkang, rakyat juga perlu tahu bahawa hujah-hujah pembelaan dan tuntutan balas di mahkamah mempunyai asas yang kukuh dan bersifat kepentingan awam. Ini penting untuk mendidik rakyat supaya tidak takut dengan ugutan tindakan saman yang nampaknya kini menjadi senjata utama Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya sertakan salinan Pembelaan dan Tuntutan Balas dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang telah difailkan di mahkamah untuk dinilai oleh rakyat.

https://drive.google.com/…/0B2GRLI8QVQQgbThpZ0xPWVZpO…/view…
https://drive.google.com/…/0B2GRLI8QVQQgS2g3enJtYklvO…/view…

Merujuk kepada Pembelaan dan Tuntutan Balas, hujah-hujah penting Pembelaan saya adalah seperti berikut:

1. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Plaintif Pertama (Dato’ Seri Najib Tun Razak) telah dan adalah bertanggungjawab dalam pelaksanaan semua dasar yang melibatkan ekonomi dan perdagangan. Oleh itu, tindakan-tindakan, usaha-usaha dan dasar-dasar Kerajaan Malaysia yang dianggotai oleh Kabinet dan Plaintif Pertama adalah perkara yang bersifat amat berkepentingan awam dan terbuka kepada kritikan dan pendapat umum.

2. Plaintif Kedua (Datin Seri Rosmah Mansor) ialah isteri Perdana Menteri dan telah memperkenalkan diri atau diperkenalkan sebagai Wanita Pertama Malaysia (First Lady of Malaysia). Peranan Wanita Pertama Malaysia telah dipersembahkan sebagai satu komponen Jabatan Perdana Menteri lengkap dengan kakitangan kerajaan, pejabat dan laman web rasmi. Plaintif Kedua sebagai Wanita Pertama Malaysia telah banyak melibatkan diri dengan pelbagai usaha awam atau berkepentingan awam yang telah menerima dana atau sokongan daripada kerajaan Malaysia atau pegawai kerajaan Malaysia. Plaintif Kedua juga selalu hadir majlis kerajaan atau berkaitan kerajaan di dalam dan luar negara. Oleh itu, Plaintif Kedua sebagai Wanita Pertama Malaysia telah banyak menerima liputan rasmi dan sentiasa menjadi subjek berita dan ulasan awam.

3. Oleh kerana kedua-dua Plaintif Pertama dan Kedua adalah tokoh rasmi yang terlibat dalam perkara berkepentingan awam dan isu yang dibawa oleh saya (penarikan subsidi minyak oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak) adalah berkaitan kepentingan awam, perkataan-perkataan yang diaju adalah dilindungi oleh perlindungan mutlak (absolute privilege).

4. Merujuk kepada perkataan-perkataan yang diadu (terutamanya pembelian cincin), Plaintif Kedua (Datin Seri Rosmah Mansor) melalui kelakukan sendiri dan pengenalan beliau, telah menerima liputan meluas mengenai perbelanjaan beria-ia dan pembelian/penerimaan beg tangan berjenama dan barang kemas yang amat mahal. Ini termasuk dakwaan yang dibuat oleh Deepak Jaikishen mengenai pembelian barang kemas dan paparan skrin Sistem Maklumat Kastam mengenai sebentuk cincin berharga melebihi RM24 juta. Sehingga kini, barang kemas, beg tangan dan gaya hidup Plaintif Kedua yang mewah terus menjadi bahan perbualan orang ramai. Oleh yang demikian, telah timbul persepsi umum bahawa Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua menjalani gaya hidup mewah yang tidak sepadan dengan pendapatan mereka sebagai penjawat awam.

5. Penyataan yang diadu (termasuk pembelian cincin dan penghapusan subsidi) perlu difahami dalam konteks yang benar sebagai berseloroh dan sindiran mengambil kira perkara-perkara (1) hingga (4) di atas.

Kebelakangan ini, media-media Umno memainkan kononnya saya menafikan mengenai pembelian cincin kerana takut dengan tindakan saman yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Seperti yang difailkan di mahkamah, jelas bahawa saya menjelaskan konteks ucapan bila dibandingkan dengan persepsi umum mengenai barang kemas, beg tangan dan kehidupan mewah Perdana Menteri dan isterinya.

Saya menyeru supaya pimpinan politik, NGO dan orang ramai jangan ditakutkan dengan ugutan saman oleh penjawat awam terutamanya Perdana Menteri. Mereka perlu terus dikritik dan dipertanggungjawabkan kerana itu asas penting dalam sistem demokrasi yang sihat.

Oleh itu, saya telah menyaman kembali Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam Tuntutan Balas kerana tindakan saman yang dibawa terhadap saya itu adalah percubaan untuk menutup mulut saya daripada terus membawa isu rakyat yang tidak disengani oleh Perdana Menteri.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Monday, April 27, 2015

Oh Hamidah ! Kantoi Jua Akhirnya ...



 Khalid Samad menang saman terhadap Adun Perak, dapat gantirugi RM150,000.00

Pada 10 Disember 2013, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bagi mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau ke atas Exco Perak Datuk Hamidah Osman yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat.


Exco kerajaan negeri Perak Datuk Hamidah Osman diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membayar ganti rugi RM150,000 kepada Khalid Samad atas penerbitan artikel yang memfitnah Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Keputusan tersebut diberikan Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini di kamar beliau setelah mendengar hujah yang diberikan oleh peguam kedua-dua pihak.

Pada 10 Disember 2013, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Khalid bagi mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau ke atas Hamidah yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat.

Di dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan memutuskan hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan tiada bukti Hamidah menerbitkan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 di mana dalam artikel tersebut, Hamidah memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang Paderi.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Hamidah memadam posting beliau itu dan cuba menafikan menerbitkannya, namun Mahkamah Rayuan memutuskan memang beliau yang menerbitkan artikel berunsur fitnah tersebut.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan taksiran ganti rugi dibuat di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam yang kemudiannya memutuskan jumlah tersebut hari ini.

Khalid diwakili Azhana Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Hamidah diwakili Tetuan Hafarizam, Wan & Aisyah Mubarak.

sumber...TMI

Tuesday, November 4, 2014

Siap Badan: PAS Akan Saman Ku Nan



PAS sahkan akan saman Tengku Adnan

PAS memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilapor mendakwa PAS sebagai sebuah parti yang membawa ajaran sesat.

Keputusan tersebut disahkan oleh Pengerusi Biro Undang-undang PAS Hanipa Maidin yang juga anggota parlimen Sepang hari ini.

Beliau berkata satu surat tuntutan akan dihantar kepada Tengku Adnan minggu ini atau minggu depan, menuntut menteri Wilayah persekutuan itu memohon maaf atas kenyataan yang dibuat.

"Kami akan memberi masa selama 48 jam kepada beliau untuk menarik balik (kenyataan itu) dan memeohon maaf. Saya lihat ucapannya secara terperinci dan beliau sememangnya telah melemparkan tuduhan terhadap kamu," katanya.

Tengku Adnan dilapor membuat dakwaan itu ketika menyampaikan ucapan penutup Multaqa Kebangsaan, Biro Agama Umno di ibu negara, kelmarin dan mendakwa Umno merupakan parti Melayu yang dapat memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.




sumber...malaysiakini
[Baca berita asal]

Wednesday, November 27, 2013

Isu Larikan RM200,000, Bekas Pemandu Saman Zahida Rafik



Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik memfailkan saman fitnah terhadap aktres itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

 Noor Azman, 39, selaku plaintif mengemukakan saman tersebut selepas pelakon berkenaan gagal membuktikan tuduhan yang dia telah melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang didakwa milik Zahida pada tahun lalu.

Peguam kepada Noor Azman iaitu Latheefa Koya ketika ditemui berkata, pihaknya pada 4 April lalu telah menghantar satu surat tuntutan kepada Zahida supaya menarik semula laporan polis, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun dia gagal berbuat demikian.

Disebabkan kegagalan Zahida itu jelas Latheefa, pihak plaintif terpaksa memfailkan saman selain menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang Zahida daripada terus memfitnah plaintif secara lisan, menerusi media atau pun Internet.

"Selain itu kami turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan dan apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah terhadap defendan," katanya.

Bagaimanapun pihak plaintif tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap saman yang dikemukakan terhadap Zahida.

Nama Noor Azman sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia mendakwa Zahida mempunyai hubungan intim dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selama beberapa tahun.

 Noor Azman (tengah) sedang berbincang dengan peguamnya, Latheefa Koya (kiri) tentang saman fitnah yang dikemukakan terhadap aktres Zahida Rafik. Penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan turut hadir bagi memberi sokongan kepada anak saudaranya itu. - FOTO CHAN TAK KONG.

 Dia turut mendakwa telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu.

Noor Azman meletak jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari tahun lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida.

Dalam pada itu, Noor Azman berkata, ekoran fitnah berkenaan dia gagal mendapatkan pekerjaan baharu selepas dipecat oleh Zahida selain reputasinya tercalar.

Jelasnya, perbuatan Zahida yang sengaja mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya kepada pemberita disifatkan sebagai berniat jahat.

"Saya telah berulang kali dipanggil untuk temu duga kerja namun tidak berjaya kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya.

"Akibat daripada kejadian itu juga saya terpaksa menanggung malu kerana telah disoal siat polis dan ditahan reman dalam lokap polis selama empat hari," katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Noor Azman iaitu penyanyi Dayangku Intan yang turut menemani anak saudaranya itu berkata, dia dan keluarganya turut menanggung malu besar akibat kejadian tersebut.

Dayangku Intan yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata, nama Noor Azman perlu dibersihkan kerana dia berkenaan tidak bersalah dan fitnah itu telah memberi kesan kepada kehidupannya.

sumber...

Wednesday, July 17, 2013

Joint Weekend Party Pun Kena Jugak Ke ??







Luu orang Umno,Pas, PKR atau no parti..

Atau Luu hanya sertai parti Tupperware jer..
Atau pun Luu hanya joint weekend party jer...
Siap ler Luu punya badan ...
AES daa nak start bro...

 1079 kamera AES akan dipasang diseluruh negara

Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan, sebanyak 1,079 kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang seluruh negara.

Dalam jawapan bertulis daripada soalan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng di Dewan Rakyat, lokasinya belum dikenal pasti tetapi bakal ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

"Sebanyak 1,079 kamera AES masih belum dipasang di seluruh negara.

"MIROS sedang mengenal pasti lokasi kawasan kerap kemalangan berdasarkan kriteria lebih terperinci menguna pakai data kemalangan kebangsaan yang terkini," kata jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan.

Jawapan bertulis kementerian itu juga menyatakan kerajaan mengutip RM20 juta daripada 673,339 saman yang dikeluarkan sehingga 11 Jun 2013.

"Sehingga 11 Jun 2013, sebanyak 628,045 kesalahan memandu melebihi had laju dan 45,294 kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

"Jumlah kutipan kompaun yang diterima bagi tempoh sama ialah RM20,020,500," kata kementerian lagi.

Putrajaya, bagaimanapun enggan mendedahkan terma dan syarat perjanjian konsesi berikutan ia dokumen terperingkat/rahsia dan tidak dapat dinyatakan dalam Dewan Rakyat.

Projek swasta bernilai RM700 juta itu bermula dengan 14 kamera dalam fasa percubaan tetapi JPJ berikrar melancarkan lebih banyak kamera menjelang akhir 2013. - 17 Julai, 2013.

 Oleh Md Izwan

Tuesday, August 14, 2012

Hasan Ali 'Janganlah Gelabah BIAWAK'



Kes Anwar saman Utusan: Hasan Ali gelabah diasak peguam
(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 13 Ogos: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali tidak keruan selepas diasak peguam N Surendran berhubung tuduhan beliau kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalalkan homoseksual.
Dalam keadaan tertekan, Hasan tetap mempertahankan kenyataannya mendakwa Anwar menyokong homoseksual seperti yang disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia pada 17 Januari lalu bertajuk “Tolak Anwar – Hasan”.
Berikut adalah soalan yang diasak Surendran kepada Hasan:
Surendran: Anwar telah mengatakan “We Muslims and non-Muslims in Malaysia generally believe and committed to support the sanctity of marriage between men and women”. Berdasarkan pendapat anda, adakah ayat ini menunjukkan Anwar tidak menyokong homoseksual?
Hasan: Yang Arif saya membaca keseluruhan ayat. Ayat pertama dan ayat kedua (but we should not be seen to be punitive and consider the archaic law as relevant) tidak dapat berdiri dengan sendirinya dan ia tidak memberi maksud homoseksual tidak diterima.
Surendran: Kalau kita lihat ayat kedua, adakah anda setuju ‘archaic law’ adalah undang-undang lapuk?
Hasan: Saya tak setuju sebab kelapukan tidak pernah berlaku dalam undang-undang Islam.
Surendran: Adakah anda setuju tidak ada apa-apa rujukan undang-undang Islam dalam ayat itu?
Hasan: Undang-undang Islam tidak ada tetapi ayat ini merujuk kepada undang-undang Islam.
Surendran: Adakah anda setuju tidak ada rujukan undang-undang Islam?
Hasan: Ya, tidak ada.
Surendran: Berdasarkan kenyataan “We Muslims and non-Muslims in Malaysia generally believe and committed to support the sanctity of marriage between men and women” adakah Anwar menyokong institusi perkahwinan antara lelaki dan perempuan?
Hasan: Ya setuju.
Surendran: Dalam ayat ketiga “We need to review them. We do not promote homosexuality in public sphere and domain”. Adakah ayat itu menunjukkan Anwar menyokong homoseksual?
Hasan: Ya (disambut gelak tawa pemerhati di galeri awam kerana Hasan dilihat tetap mempertahankan pendiriannya).
Surendran: Anda pasti dengan jawapan itu?
Hasan: Ya!
Surendran: Saya cadangkan kepada anda ayat ini tidak sokong homoseksual tapi sokong perkahwinan.
Hasan: Saya tak setuju!
Dalam soal balas itu, Hasan turut ditanya peguam Latheefa Koya adakah sesuatu dosa itu akan menjadi jenayah apabila ia dilakukan di khalayak umum.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu menjawab, dalam hukum Islam dosa tetap dianggap satu jenayah tidak kira ia dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.
Latheefa:Adakah anda tahu perbezan antara dosa dengan jenayah.
Hasan: Saya tak pasti.
Latheefa: Saya cadangkan kepada anda sesuatu kegiatan yang dilakukan dalam Islam boleh dianggap sebagai dosa tetapi sekiranya tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai, ia tidak boleh dijadikan sebagai jenayah. Adakah anda setuju?
Hasan: Tidak setuju. Sama ada di tempat awam atau tertutup, kalau itu tidak dibolehkan (berdosa), maka ia tetap tidak dibolehkan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34519

Sunday, August 5, 2012

Fara Saman Blog Oh Bulan RM 1 Juta



Nama dan wajahnya dikenali ramai setelah bernikah dengan penyanyi, Datuk Hattan. Namun, jodoh mereka tidak panjang. Fara hanya bergelar isteri kepada penyanyi tersebut selama 62 hari.

Rentetan daripada perkahwinan itu, sebuah blog menyiarkan gambar peribadi Fara yang menurut Fara merupakan satu fitnah terhadap dirinya.

Jelas Fara, penyebaran gambar itu bermula sekitar tahun 2008 selepas akaun e-mel miliknya digodam. Penggodam berkenaan juga mencipta e-mel lain dan menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan reputasinya.

Sekali lagi pada tahun 2011, akaun Facebook Fara digodam oleh pihak lain sebelum memuat naik beberapa artikel palsu yang bertujuan mengaibkan dirinya.

Tegas dan mahu perkara ini diambil serius, Fara memfailkan saman terhadap pengendali blog Oh! Bulan.

Kenapa Fara mahu saman pemilik blog tersebut?

FARA (F): Tindakan ini bagi memberi pengajaran kepada blog tersebut selain membersihkan nama saya daripada isu fitnah. Saya dan pihak peguam juga sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa blog lain ke muka pengadilan berhubung kes yang sama.
Saya berasakan tindakan ini adalah wajar memandangkan reputasi dan bisnes saya terjejas dengan penyebaran cerita tersebut.

Adakah tuntutan ini setimpal dengan kesalahan blog tersebut?

F: Ini bukan soal duit. Saya lihat isu ini daripada sudut berbeza. Tak usah bercakap soal jumlah RM1 juta itu tetapi apa yang mereka telah lakukan pada saya lagi teruk. Orang mula curiga dengan saya malah ada yang percaya bulat-bulat berita yang disebarkan itu.
Terukkah kesan fitnah itu terhadap diri dan bisnes Fara?

F: Paling teruk ialah fitnah tersebut menjejaskan bisnes dan reputasi saya. Penyebaran fitnah seperti itu memang tidak boleh dimaafkan. Lebih malang, mereka langsung tidak memberi respons apabila peguam saya mengambil tindakan awal sebelum ini.
Adakah tindakan saman ini satu ancaman kepada blog hiburan tempatan yang lain?

F: Ini adalah pengajaran buat mereka. Saya bukan artis mahupun selebriti yang perlu mereka jadikan mangsa.

Harap-harap tindakan undang-undang ini mampu memberi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dengan apa juga penyebaran berita selepas ini. Kita perlu ada etika dalam kerja masing-masing.

Mungkin Amir selaku peguam boleh terangkan perkembangan kes ini?

AMIR (A): Kira-kira dua minggu lalu kami memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih menanti pernyataan pembelaan daripada blogger terbabit.

Bukan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan tetapi mereka hanya berdiam diri. Kita pernah hantar satu surat tuntutan pada Mac lalu. Kalau boleh kami mahu menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah.

Mereka (pihak terlibat) menulis tanpa mengambil kira kesahihan berita itu. Tidak ada yang menghubungi anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan atau bertanyakan tentang kebenaran bahan yang hendak disiarkan itu.

Sudahkah laporan polis atau aduan kepada pihak berkuasa lain dibuat?

A: Anak guam saya telah membuat banyak laporan polis berhubung dengan hal penggodaman iaitu sejak tahun 2008 lagi. Selain pihak polis, laporan juga dibuat kepada pihak Cyber999 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Berikutan dengan insiden penggodaman dan pemalsuan artikel berkenaan, beberapa blog dan laman web media tempatan telah menggunakan artikel palsu tersebut sebagai bahan untuk pembaca mereka termasuklah blog yang disaman oleh Fara.

Bagaimana dengan tindakan lanjutan daripada pihak SKMM?

A: Setakat ini tiada tindakan lanjut daripada pihak SKMM. Boleh dikatakan mereka gagal mengambil langkah yang efektif untuk menangani jenayah siber seperti penggodaman dan penyebaran berita palsu.

sumber...kosmo OL

Wednesday, December 14, 2011

Guan Eng Menang Saman Fitnah Ke Atas Utusan

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mendapati akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung berita yang bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng’ yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, Utusan diarahkan membayar pampasan RM200,000 kepada setiausaha agung DAP itu dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Utusan telah menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis’ dan ‘anti-Melayu’ dalam artikel yang disiarkan sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu berdasarkan ucapanya yang bertema 'A People's Government for the Real Malaysians' pada 19 Disember lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese semasa penghakimannya menggariskan tujuh para yang Utusan dikatakan telah memfitnah Lim.

Beliau juga sempat memberi ucapan ringkas mengenai "kewartawanan bertanggungjawab” dan mengingatkan pemberita supaya melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan mengesahkan kenyataan yang diterima jika tidak mahu dikenakan dakwaan memfitnah.

Pada sidang media di luar mahkamah, Lim berkata Utusan memang mahu memfitnah dirinya dan DAP.

Katanya, akhbar milik Umno itu mempersalahkan dirinya dan kerajaan negeri yang diterajui DAP kerana mengusir penduduk kampung dan merobohkan rumah mereka di Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Genting di Balik Pulau, sedangkan pertikaian sebenar adalah antara pemaju dan penduduk.

"Saya berpendapat jika Utusan adalah media yang bertanggungjawab, ia mesti bertaubat, tetapi saya tidak yakin mereka akan berbuat demikian,” kata Lim.

"Saya fikir mereka akan membanyar pampasan itu dan terus memfitnah saya dan DAP.”

sumber...malaysiaKini

Friday, December 9, 2011

Tengku Fakhry Saman IGP, Polis RM150 Juta

Tengku Muhammad Fakhry Petra Tengku Ismail memfailkan saman RM150 juta terhadap Ketua Polis Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain kerana mendakwa telah ditahan secara salah.

Tengku Fakhry menamakan Ismail, ASP Norazman Ismail, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

Beliau memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui firma undang-undang AS Dhaliwal and Co.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Fakhry berkata beliau
mengambil tindakan itu bukan bermotifkan wang tetapi demi keadilan.

"Saya rasa ini adalah kali pertama seorang anggota keluarga diraja telah menamakan ketua polis negerinya sendiri sebagai defendan," katanya.

Peguam AS Dhaliwal dan Harpal Singh turut hadir semasa saman difailkan.

Pada 4 Mei tahun lalu, Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra, raja perempuan serta Tengku Fakhry telah dihalang oleh Unit Tindakan Khas, kira-kira 50 meter dari pintu pagar istana semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang Kota Baru pada jam 7.30 malam.

Mereka mahu menghantar Tuanku Ismail kembali ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan tetapi telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Tengku Fakhry juga ditahan selama kira-kira empat jam manakala Tengku Anis mendakwa terpaksa tidur di atas lantai di HUSM untuk mengelak ditangkap polis.

sumber...malaysiaKini

Wednesday, September 21, 2011

Mat Sabu VS British: Memang kelakar Sejarah diselesaikan di Mahakamah

Abang Mat Sabu sudah pecah world record...kah kah kah

ada ke patut soal atau perihal sejarah diselesaikan di mahkamah?..tok hakim jenuh ler nak bukak balik buku sejarah.
kena pula tok hakim silap silap masa exam dulu fail sejarah..
mampoih dibuatnyer...jenuh ler berdebat lagi prof kongkang disekelian Malaya...kah kah kah

Mat Sabu mengaku tak bersalah
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

azlanBeliau mengaku tidak bersalah, sebentar tadi.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan pemimpin PAS itu dengan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Kelakar tetapi seronok

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.

Ketika diminta mengulas, Mat Sabu berkata beliau telah menjangkakan tindakan mahkamah itu.

"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia adalah kes mahkamah, kita akan berdepan dengannya,” katanya.

Menurut Mat Sabu, kerajaan mula kehilangan sokongan rakyat, khususnya golongan muda dan terpaksa menggunakan kekerasan dan undang-undang bagi mengurangkan pengaruhnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah adalah sesuatu yang kelakar.

"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.

Kumpul wang

Beliau juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas kepentingan Umno.

Sementara itu, ratusan penyokong pemimpin PAS berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

NONEMereka kemudiannya secara sukarela mengumpul wang dan menderma bagi mengikat jamin Mat Sabu.

Utusan Malaysia pada 27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti Islam itu dalam ceramahnya di Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera wira sebenar dalam tragedi itu dan bukannya "polis British".

Ucapan itu mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak, terutamanya pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara dan sama ada negara ini pernah dijajah.

sumber...malaysiaKini