Followers

Showing posts with label orang asli. Show all posts
Showing posts with label orang asli. Show all posts

Saturday, January 19, 2019

Pertama Dalam Sejarah, Putrajaya Saman Kelantan Demi Orang Asli

  

Sekumpulan Orang Asli di Pejabat Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas. Putrajaya hari ini mengumumkan saman terhadap kerajan Kelantan.

Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana pencerobohan penempatan-penempatan Orang Asli, yang pertama oleh kerajaan persekutuan melibatkan hak tanah pribumi.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah pribumi untuk menjalankan aktiviti komersial.

“Penerima manfaat dalam saman ini adalah Orang Asli. Litigasi ini adalah percuma,” kata Peguam Negara dalam kenyataan hari ini.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.
Thomas berkata tindakan kerajaan persekutuan memulakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli adalah yang pertama sejak Merdeka, tindakan yang dilihat seperti Putrajaya mengiktiraf kewajipannya melindungi masyarakat itu.

“Orang Asli mempunyai sejarah yang kaya dan kuno. Mereka menjalani kehidupan yang damai dan lestari di hutan-hutang Tanah Melayu sejak zaman dulu,” kata Thomas.

Beliau berkata ekonomi dan budaya Orang Asli sangat bergantung kepada tanah nenek moyang mereka.

“Sememangnya seluruh warisan, tradisi dan kehidupan mereka bergantung kepada tanah nenek moyang dan sumber-sumber berkaitan,” tambahnya.

Thomas berkata hak asasi masyarakat itu sudah terlalu lama tidak diendahkan.

Kerajaan Kelantan dan agensi-agensinya baru-baru ini menganugerahkan lesen pembalakan kepada syarikat-syarikat swasta untuk memasuki tanah-tanah pribumi Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, berdekatan Gua Musang.
Kawasan-kawasan hutan dilapor dibersihkan untuk membuka laluan kepada ladang-ladang durian dan getah.

Thomas berkata tindakan itu menyebabkan Orang Asli suku Temiar kehilangan tanah pribumi dan sumber, dan menyebabkan hakisan tanah, pencemaran dan kerosakan pada ekonomi dan lanskap Pos Simpor.

“Kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli suku Temiar sebelum menganugerahkan lesen-lesen pembalakan itu atau menawarkan sebarang pampasan atas kehilangan tanah pribumi dan sumber,” tambahnya.

Beliau berkata walaupun kerajaan Kelantan mempunyai bidang kuasa berhubung tanah, perhutanan dan perlombongan, ia juga mempunyai kewajipan untuk melindungi dan memelihara kebajikan Orang Asli suku Temiar.

“Pembangunan komersial dan mencari keuntungan tidak boleh mengorbankan Orang Asli suku Temiar dan hak mereka ke atas tanah dan sumber yang secara tradisi dimiliki dan digunakan mereka,” katanya.

sumber...FMT
foto: FMT

Wednesday, November 16, 2011

Demo Orang Asli Depan SUK N.Sembilan

300 Orang Asli bantah depan SUK NS

"Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan," kata jurucakap Ezuli Langkap.

SEREMBAN: Lebih 300 Orang Asli dari seluruh Negeri Sembilan hari ini menyuarakan bantahan selama tiga jam di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli.

Sejurus selepas itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar baru itu.

Jurucakap ‘Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan’ (JKKOANS), Ezuli Langkap berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan sekeras-kerasnya sepertimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 22 September lalu.

“Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan.“Setiap keputusan yang dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan kami. Beliau langsung tidak sensitif kepada masyarakat kami.
Sebaliknya beliau telah memperlekehkan masyarakat kami yang merupakan masyarakat asal Negeri Sembilan dan Malaysia”, kata Ezuli.

Tanah adat

Mengikut Ezuli, pelaksanaan Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli nanti akan menyebabkan mereka kehilangan hak turun-temurun ke atas tanah adat mereka.
“Semua tanah adat kami akan diambil alih kerajaan. Seterusnya kerajaan akan beri dua ekar tanah yang akan dimajukan samada oleh Felcra atau Risda.“Selepas itu kami tak perlu lakukan apa-apa dan bayaran sebanyak RM1,500.00 dalam bentuk saham lot akan diberikan setiap bulan.

“Kami membantah langkah ini kerana dengan ini kami akan kehilangan hak ke atas tanah adat resam kami yang kami usahakan sejak zaman nenek moyang kami.“Malah kami mampu mencari pendapatan melebihi dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya ketika ini ramai di antara kami menoreh getah, menjual petai dan akar kayu,” jelas Ezuli.

Ezuli mendesak kerajaan negeri agar membatalkan dasar pemberimilikan tanah yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.

Beliau menggesa supaya keseluruhan wilayah tanah adat mereka diiktiraf mengikut Artikel 26 dalam Undang-Undang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) berkenaan dengan hak Orang Asal.

sumber...FMT