Followers

Sunday, August 5, 2012

Fara Saman Blog Oh Bulan RM 1 Juta



Nama dan wajahnya dikenali ramai setelah bernikah dengan penyanyi, Datuk Hattan. Namun, jodoh mereka tidak panjang. Fara hanya bergelar isteri kepada penyanyi tersebut selama 62 hari.

Rentetan daripada perkahwinan itu, sebuah blog menyiarkan gambar peribadi Fara yang menurut Fara merupakan satu fitnah terhadap dirinya.

Jelas Fara, penyebaran gambar itu bermula sekitar tahun 2008 selepas akaun e-mel miliknya digodam. Penggodam berkenaan juga mencipta e-mel lain dan menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan reputasinya.

Sekali lagi pada tahun 2011, akaun Facebook Fara digodam oleh pihak lain sebelum memuat naik beberapa artikel palsu yang bertujuan mengaibkan dirinya.

Tegas dan mahu perkara ini diambil serius, Fara memfailkan saman terhadap pengendali blog Oh! Bulan.

Kenapa Fara mahu saman pemilik blog tersebut?

FARA (F): Tindakan ini bagi memberi pengajaran kepada blog tersebut selain membersihkan nama saya daripada isu fitnah. Saya dan pihak peguam juga sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa blog lain ke muka pengadilan berhubung kes yang sama.
Saya berasakan tindakan ini adalah wajar memandangkan reputasi dan bisnes saya terjejas dengan penyebaran cerita tersebut.

Adakah tuntutan ini setimpal dengan kesalahan blog tersebut?

F: Ini bukan soal duit. Saya lihat isu ini daripada sudut berbeza. Tak usah bercakap soal jumlah RM1 juta itu tetapi apa yang mereka telah lakukan pada saya lagi teruk. Orang mula curiga dengan saya malah ada yang percaya bulat-bulat berita yang disebarkan itu.
Terukkah kesan fitnah itu terhadap diri dan bisnes Fara?

F: Paling teruk ialah fitnah tersebut menjejaskan bisnes dan reputasi saya. Penyebaran fitnah seperti itu memang tidak boleh dimaafkan. Lebih malang, mereka langsung tidak memberi respons apabila peguam saya mengambil tindakan awal sebelum ini.
Adakah tindakan saman ini satu ancaman kepada blog hiburan tempatan yang lain?

F: Ini adalah pengajaran buat mereka. Saya bukan artis mahupun selebriti yang perlu mereka jadikan mangsa.

Harap-harap tindakan undang-undang ini mampu memberi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dengan apa juga penyebaran berita selepas ini. Kita perlu ada etika dalam kerja masing-masing.

Mungkin Amir selaku peguam boleh terangkan perkembangan kes ini?

AMIR (A): Kira-kira dua minggu lalu kami memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih menanti pernyataan pembelaan daripada blogger terbabit.

Bukan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan tetapi mereka hanya berdiam diri. Kita pernah hantar satu surat tuntutan pada Mac lalu. Kalau boleh kami mahu menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah.

Mereka (pihak terlibat) menulis tanpa mengambil kira kesahihan berita itu. Tidak ada yang menghubungi anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan atau bertanyakan tentang kebenaran bahan yang hendak disiarkan itu.

Sudahkah laporan polis atau aduan kepada pihak berkuasa lain dibuat?

A: Anak guam saya telah membuat banyak laporan polis berhubung dengan hal penggodaman iaitu sejak tahun 2008 lagi. Selain pihak polis, laporan juga dibuat kepada pihak Cyber999 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Berikutan dengan insiden penggodaman dan pemalsuan artikel berkenaan, beberapa blog dan laman web media tempatan telah menggunakan artikel palsu tersebut sebagai bahan untuk pembaca mereka termasuklah blog yang disaman oleh Fara.

Bagaimana dengan tindakan lanjutan daripada pihak SKMM?

A: Setakat ini tiada tindakan lanjut daripada pihak SKMM. Boleh dikatakan mereka gagal mengambil langkah yang efektif untuk menangani jenayah siber seperti penggodaman dan penyebaran berita palsu.

sumber...kosmo OL