KES RM 90 JUTA: KEBENARAN PASTI TERSERLAH WALAU TERSEMBUNYI
(6 Februari 2019)
1. Keputusan Presiden PAS membuat penyelesaian di luar mahkamah terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown berhubung dakwaan portal itu mengatakan PAS menerima RM 90 juta adalah sesuatu yang menggemparkan. Bagi PAS, alasan utama mereka adalah kes ini melibatkan kos guaman yang jauh lebih besar daripada apa yang mereka tanggung selama ini. Setelah sebelum ini dilihat PAS beriya-iya mahu menyaman Editor Sarawak Report itu dengan mengatakan itu adalah fitnah, tetapi kini dengan mudah menarik balik saman itu.
2. Lebih menghairankan setelah baharu beberapa minggu lepas Naib Presiden PAS merayu sumbangan sebanyak RM 400,000.00 bagi menanggung kos guaman itu, menunjukkan seperti mereka tidak ada apa-apa masalah meneruskan kes tersebut. Situasi terkini ini pasti membuatkan ramai pihak kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh PAS. Dakwaan mengatakan PAS menerima dana RM 90 juta kekal menjadi kenyataan fakta yang tidak ditarik balik, tiada permohonan maaf dari Sarawak Report serta dokumen awam yang boleh diakses. Dikatakan juga pihak pembela telah berusaha mengumpulkan sejumlah dokumen sokongan bagi membuktikan dakwaan mereka dan telah sedia untuk dibawa ke mahkamah termasuk audio pengakuan dana yang diterima dari pemimpin UMNO.
3. Apa yang pasti hasrat ribuan ahli-ahli dan penyokong PAS serta rakyat yang mahu melihat kebenaran tertegak tidak kesampaian dan terhenti setakat itu sahaja. Dakwaan yang dikatakan fitnah itu tidak mampu ditepis kerana fakta penafian juga tidak diteruskan. Ahli dan penyokong sudah tentu ingin tahu apakah disebalik kes ini dan kesudahannya. Ramai yang merasa geram dan marah terhadap Sarawak Report itu, namun dengan keadaan ini dibimbangi kemarahan mereka berbalik pula kepada PAS.
4. Jika alasannya adalah kos guaman yang tinggi, mengapa sejak awal lagi PAS mahu meneruskan saman itu? Apakah barisan peguam PAS tidak membentangkan jumlah kos yang perlu dibayar sebelum kes ini dibawa? Apakah ia membenarkan sebuah fakta dan persepsi umum bahawa sememangnya PAS menerima dana RM 90 juta tersebut? Persoalan-perso
5. Justeru, wajarlah para pemimpin Pakatan Harapan serta individu membuat laporan polis menggesa agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan tersebut. Salah tetap salah, walau siapa pun pelakunya. Kebenaran dan keadilan tetap perlu diperjuangkan, walaupun menelan sebuah kepahitan.
6. Namun disebalik kes ini, apa yang lebih menggemparkan apabila seorang pimpinan pertengahan PAS, Dr Mohammad Atiullah Othman mendakwa menjadi saksi hidup suatu pengakuan daripada audio pada bulan Oktober 2016 yang dikatakan suara YB Nik Mohd Abduh bahawa PAS menerima duit daripada UMNO. Beliau mendakwa menjadi saksi dan hadir bersama Ustaz Zaharuddin Muhammad dalam peristiwa itu. Turut disebut adalah nama pemimpin kanan PAS seperti Ustaz Nasrudin Hassan dan YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Bahkan beliau menyebut seramai 40 orang saksi hidup dalam pengakuan YB Nik Mohd Abduh tersebut. Ironinya, ketika kes saman Sarawak Report sedang meledak ini, Dr Mohammad Atiullah pula berani berterus terang mengaku menjadi saksi kes ini. Mungkin beliau juga salah seorang dari pemimpin dan ahli PAS yang kecewa dengan sandiwara belakang tabir oleh segelintir pemimpin tertinggi PAS dan sedih apabila PAS dengan mudah ‘menutup lubang’ yang sedang terbuka itu dari pengetahuan umum.
7. Bagaimana YB Ustaz Nik Mohd Abduh pada awal lagi boleh menafikan audio itu milik suaranya sedangkan Dr Atiullah mengaku menjadi saksi di samping 40 orang lain yang hadir dalam majlis tersebut? Dalam hal ini, siapa yang berbohong, siapa yang karut dan siapa yang memfitnah? Bagaimana pula pengakuan seorang yang bernama Muhammad Hanafi Sulaiman yang turut mengesahkan audio tersebut adalah asli.
8. Apakah ini bermakna PAS sudah berani berbohong secara terang-terangan
9. Jika pengakuan Dr Atiullah boleh dijadikan sandaran penyelesaian luar mahkamah kes saman Sarawak Report, apakah suatu pembohongan sedang ditabur dan dijaja dengan menanam sentimen agar ahli dan penyokong PAS mempercayai bahawa mereka adalah mangsa fitnah dan propaganda pihak musuh politik? Sedangkan mereka sebenarnya menyembunyikan kebenaran sememangnya wujud saluran dana kepada pimpinan tertinggi PAS tanpa diketahui oleh ahli-ahli dan pimpinan PAS yang lain? Terlalu banyak persoalan untuk dilontarkan tetapi pokoknya, polemik ini baru bermula, dan akan berlarutan serta membuka satu lagi dimensi politik Parti Islam itu.
YB MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ahli Dewan Negeri Meru
Selangor Darul Ehsan