Kebelakangan ini beberapa pemimpin Umno di peringkat nasional dan
negeri telah membuat kenyataan mengenai Bersatu, dan kerjasama politik
antara Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional.
Saya percaya ramai
ahli-ahli Bersatu dan Umno telah membaca kenyataan-kenyataan itu, serta
kenyataan balas yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Bersatu dan PH
dari peringkat negeri.
Jelas daripada pendirian yang dinyatakan
oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad bin Hasan, Naib Presiden Mohamed
Khaled Nordin dan beberapa orang lagi, Perikatan Nasional (PN)
sebenarnya tidak wujud. Tidak ada sebarang perjanjian antara Umno, PAS
dan BN bersama Bersatu untuk bergabung secara rasmi bagi menubuhkan
kerajaan PN.
Angkuh dan sombong - itulah yang boleh dirumuskan
mengenai sikap pemimpin Umno terhadap Bersatu yang tidak menggambarkan
kesepakatan yang telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan PH dan penubuhan
kerajaan baru yang digelar PN di peringkat persekutuan dan juga beberapa
negeri.
Sebaliknya
semasa kerajaan dikuasai PH, kerjasama yang terjalin antara Bersatu
dengan parti-parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah bersama Parti
Warisan Sabah dizahirkan dari keakraban sewaktu berganding bahu melawan
Kerajaan kleptokrasi BN. Dan Kerajaan BN itu sudah lebih 60 tahun
bertapak.
Pengalaman bekerja secara rapat dalam keadaan yang
sangat mencabar sebelum dan semasa kempen PRU14 melahirkan hubungan
silaturahim yang seikhlasnya erat di kalangan anggota PH dan Warisan
ketika itu.
Saya terpanggil untuk mengajukan beberapa soalan
kepada kepimpinan Umno. Soalan-soalan ini juga saya tujukan kepada
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sekaligus memberikan peluang kepada
Tan Sri untuk menjelaskan kenapa
begitu banyak janji beliau kepada
Bersatu tidak menjadi kenyataan.
Janji-janji yang dimaksudkan adalah yang telah beliau kemukakan
kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli-ahli Parlimen Bersatu
sebagai asas kenapa Bersatu perlu segera tinggalkan PH dan menyertai
perikatan baru dengan Umno dan PAS yang bergabung menerusi Muafakat
Nasional.
Soalan-soalan ini juga berlegar dalam benak fikiran
setiap ahli Bersatu. Jika tidak dijawab, ia akan menyebabkan kekeliruan
dan kesangsian yang amat memilukan.
Ramai
ahli-ahli Bersatu ingin tahu adakah benar kerjasama politik yang wujud
antara Muafakat Nasional dan Bersatu hanya dapat bertahan sehingga Dewan
Rakyat dibubar? Tidakkah Bersatu berhak untuk berunding agihan kerusi
dengan Umno dan PAS menjelang PRU15 nanti?
Memandangkan kerajaan
sekarang dianggotai oleh ketiga-tiga parti politik ini, tidakkah pelik
bahawa MN akan berlawan dengan Bersatu pada pilihan raya nanti?
Semua
sedia maklum bahawa ketiga-tiga parti politik ini mewakili masyarakat
Melayu dan Islam. Justeru tapak politik mereka adalah sama - iaitu orang
Melayu khususnya di luar bandar.
Maka sudah tentu Bersatu, Umno
dan PAS berhasrat untuk bertanding di kawasan demografi tersebut.
Sememangnya tiga parti ini telah bertembung di kawasan-kawasan sama pada
PRU14.
Oleh itu, apakah peluang Bersatu untuk menang
kerusi-kerusi yang ditandingi jika ia akan berdepan dengan Umno atau PAS
dalam keadaan tiada kesepakatan antara mereka? Jika Bersatu sebenarnya
tidak bersama MN dan tidak juga bersama PH, apa logiknya Bersatu boleh
menang di mana-mana kawasan sekalipun? Adakah Bersatu berupaya
mempertahankan semua kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang dimenanginya
pada PRU lalu?
Dalam jemaah menteri lantikan perdana menteri
sekarang, memang ada wakil-wakil dari Bersatu.
Ada juga yang dilantik
sebagai menteri kanan dan juga barisan timbalan Menteri. Apakah nasib
mereka setelah bubarnya Dewan Rakyat? Adakah mereka akan bertanding di
kawasan masing-masing sambil terpaksa berlawan dengan MN?
Contohnya di Parlimen Ketereh, ahli Parlimennya dari Umno dan
dilantik menjadi menteri manakala Ketua Bahagian Bersatu yang kalah
kepada menteri Umno itu pada PRU14 dilantik menjadi senator ketika
pentadbiran PH dan kini menjadi menteri kanan.
Siapakah yang akan
dipilih sebagai calon di kerusi itu pada pilihan raya nanti? Atau mereka
berdua harus berentap merebut kerusi sama walhal pada ketika ini
kedua-duanya menganggotai Kerajaan PN?
Usahkan menteri, bagaimana
dengan nasib Tan Sri Muhyiddin sendiri?
Adakah beliau akan masih dipilih
sebagai perdana menteri selepas PRU15? Semestinya ada satu bentuk
perjanjian antara parti-parti yang kini menjalinkan kerjasama politik
untuk menguasai kerajaan.
Kalau tiada, apa makna kerjasama politik ini?
Sekadar “marriage of convenience” yang bersifat sementara sahaja, untuk
tempoh tiga tahun atau selagi Dewan tidak dibubarkan?
Kerajaan PN
ini terbentuk pada Mac 2020. Jika Dewan dibubarkan dalam tahun ini juga,
adakah Bersatu akan terpaksa berhadapan dengan 'rakan politik' Umno dan
PAS di setiap kerusi termasuk Pagoh, Tambun, Alor Gajah dan Titiwangsa?
Adakah situasi tidak menentu ini baik untuk rakyat dan negara?
Apakah
yang menyebabkan Bersatu sanggup bersama dengan MN walhal keberadaan
kita dengan mereka umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?
Benar
presiden Bersatu adalah perdana menteri. Tapi perlu diingatkan bahawa
perdana menteri sebelum ini pun dari Bersatu juga. Kata timbalan
presiden UMNO, untuk menaikkan Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri
kelapan, satu krisis dalaman telah dicetuskan dalam PH oleh pihak
tertentu.
Siapa pihak yang dimaksudkan?
Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama PH? Beberapa kenyataan
oleh pemimpin PH menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu
kembali. Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah
Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan negara.
Agihan
kerusi boleh saja dirunding seperti dulu supaya kita semua berkongsi
kekuatan untuk menawan hati rakyat. Sekurang-kurangnya kita dapat
mempertahankan kepentingan Bersatu bersama PH, berbanding dengan
ketidaktentuan, risiko dan kerugian jika bersama Umno dan PAS.
Pada
hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama
PH. Pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah kerajaan Perikatan
Nasional yang tidak wujud itu
sangat pahit bagi Bersatu hingga ke akar
umbi.
Ahli Majlis dan MPKK yang dianggotai Bersatu telah
digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.
Cukup-cukuplah dengan
menang sorak kampung tergadai. Kami tidak mahu lagi Bersatu diperkudakan
dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.
Saya sangat yakin
bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang
melanda negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh
sebuah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Tun Mahathir Mohamad.
Jika
ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya
ini,
sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan. Itulah
sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan
untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu. Saya
doakan Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada anda semua.
oleh: Mukhriz Mahathir MB Kedah dan Timbalan Persiden BERSATU