Followers

Showing posts with label PH. Show all posts
Showing posts with label PH. Show all posts

Sunday, January 31, 2021

Pendedahan Terbaru: Agong Pernah Cadangkan Wan Azizah Jadi PM Tapi...

 


Agong pernah cadangkan Wan Azizah jadi PM tapi Dr M tak setuju - Thomas

Dr Mahathir Mohamad didakwa campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, kata Tommy Thomas.

Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness, bekas peguam negara itu turut menyifatkan Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, perdana menteri Mahathir. Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini," tulis Thomas.

Dia juga menganggap sokongan yang diberikan pelbagai lapisan masyarakat kepada ahli parlimen Langkawi pada peringkat awal kerajaan PH juga sebagai luar biasa.

Selain itu, Thomas mendedahkan tindakan Mahathir menggalakkan anggota parlimen Umno meninggalkan parti itu untuk melompat ke Bersatu juga membimbangkan.

Pada masa sama katanya tindakan Mahathir meminggirkan Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang dipersetujui bersama untuk dilantik sebagai perdana menteri kemudiannya - juga tidak disenangi.

“Yang memburukkan lagi keraguan (Anwar) untuk jadi perdana menteri jelas pada tahun pertama pentadbiran PH, ketika hubungan perdana menteri dengan musuh utama Anwar dalam PKR, Azmin Ali.

“Tindak balas PH yang disifatkan tidak aktif dan lambat berhubung isu perkauman dan agama juga membuahkan keputusan pelik dari perdana menteri. 

“Selain mempertahankan rakan sekutunya - yang turut berjuang dalam pilihan raya umum (PRU14) - Tun (Mahathir) malah mempelawa ahli parlimen Umno dan menyambut mereka dengan tangan terbuka.

“(Berlaku) Dua atau tiga gelombang 'katak' dari Umno menyebabkan 18 daripada mereka beralih parti ke Bersatu,” kata Thomas.

Ketika Azmin berpaling tadah dengan meninggalkan PKR dan menyertai Muhyiddin yang membawa Bersatu keluar dari PH, Mahathir meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri.

Namun dakwa Thomas, Mahathir segera mencalonkan namanya kembali untuk jawatan perdana menteri ketika berlaku ketidaktentuan politik dalam negara.

Ini bukan satu kebiasaan dalam politik moden. Perdana menteri yang selesa berkuasa, mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri.

“Bertegas dengan keputusan itu, dia sepatutnya meninggalkan dunia politik selepas memegang jawatan penting dalam negara,” katanya.

Jelas Thomas, keputusan untuk melantik Dr Wan Azizah - yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Mahathir - pasti menjadi keputusan perlembagaan yang betul.

Dia turut mengkritik keputusan Mahathir membubarkan kabinet selepas peletakan jawatannya dengan berkata, barisan pentadbiran itu sepatutnya perlu dikekalkan.

“Perlu diingatkan peletakan jawatan Tun bersifat peribadi, hanya sebagai perdana menteri.

"Jawatan itu tidak dibincangkan dalam pejabat mahupun seluruh kerajaan," katanya lagi.

sumber...mKini

Thursday, December 17, 2020

Grand Coalition: Siapakah Yang Beruntung ?

 

 

Grand Coalition - Siapakah Yang Beruntung?

 
Bagaimana jika aku katakan pembentukan Grand Coalition (GC) ini umpama berikan kerusi secara percuma kepada 'parti-parti comel' ini?
 
Pejuang dan Muda adalah parti yang kecil. Sebab itu aku gelarkan comel. Tetapi bukan sebarang comel. Ini comel yang kejam. Sama macam watak 'Chucky' dalam filem. Namun itu bukanlah halangan untuk bentuk kerjasama.
 
Yang jadi masalahnya ialah, parti-parti ini tak punya akar umbi pun. Mereka ini bagaikan kiambang. Zahirnya nampak berkembangan tetapi akar tak jejak di dasaran.
 
Sebab itu mereka mahu bentuk GC ini kerana mereka perlukan akar umbi PH untuk lakukan kerja bagi pihak mereka dalam PRU15 nanti.
 
Bayangkan kalau mereka masuk ke PRU15 tanpa PH. Siapa nak pasang poster dan bendera? Siapa nak uruskan semua keperluan untuk ceramah? Kempen PRU bukan kecil anak punya kerja!
Kenapa tak masuk PH sahaja?
 
Itu lagi satu masalah. Kalau mereka masuk PH, mereka terpaksa ikut ketetapan PH. Dan PH telah membuat ketetapan DS Anwar akan mengetuai PH.
 
Dan itulah yang paling mereka tidak mahu!
 
Nampak tak jahatnya permainan mereka? Mereka hendakkan kerusi. Mereka hendakkan tenaga kerja PH. Tetapi enggan ikut ketetapan PH. Bahkan mereka mahu jadi kepala!
 
Yang peliknya ada pula pemimpin PH yang setuju. Entah kenapa kontot sangat akalnya sehingga tak terfikir GC ini lebih banyak buruk dari baiknya.
 
Dengan GC, PH hanya akan dipergunakan. Senang cerita, PH akan jadi balaci mereka. Buat semua kerja, tetapi kerusi mereka yang dapat.
 
Itu belum diambil kira lagi sifat tamak ketika pembahagian kerusi nanti. Dah lupa bagaimana tamaknya Bersatu ketika PRU14 dahulu?
 
Waktu itu Amanah banyak mengalah sehingga ada ahli yang tak puas hati. Itu pengorbanan Amanah untuk jayakan PH. Tetapi takkan kali ini nak jadikan Amanah korban lagi?
 
Tengok pula bagaimana Bersatu pergunakan BN dan Pas dalam PN. Mereka tiada akar umbi tapi tanpa malu umum hendak tanding banyak kerusi.
 
Di Terengganu misalnya, kalau ikut kaedah PN, memang BN takkan dapat bertanding langsung walau satu kerusi pun dalam PRU15 nanti.
 
Jika PH terima pembentukan GC ini, maka nasib PH akan jadi sama seperti BN. Dipergunakan untuk kesenangan parti-parti yang comel ini.
 
Itu belum cerita kalau dah menang nanti mereka lompat dan ikut PN. Kita dah terkena dengan Bersatu. Takkan tak serik-serik lagi?
 
Tiada beza antara Pejuang/Muda dan Bersatu. Itu juga acuannya. Dari segi ego, busuk hati dan sifat tamak mereka, memang saling tak tumpah.
 
Sebab itu aku harap PH tak akan layan langsung GC ini. Sebab tubuhkan GC sama seperti beri kerusi secara percuma kepada parti-parti ini.
 
PH takkan rugi tanpa mereka. Sebaliknya mereka yang akan mati tanpa PH. Beritahu mereka secara jelas, jika betul mahu perjuangkan rakyat, masuk sahaja mana-mana parti dalam PH.
 
Atau paling tidak, bawa terus parti mereka masuk PH dan ikut konsensus yang telah dipersetujui. Tak perlu nak tubuh koalisi baru demi untuk jadi ketua.
 
Tapi baik tak payah. Ada banyak parti tapi tiada akar umbi pun tak ada guna. Tak percaya cuba tengok nanti. Dalam 4 orang MP Pejuang dan juga Syed Sadiq dari Muda, siapa antara mereka yang boleh menang tanpa bantuan PH?
 
Aku berani kata paling banyak pun dua kerusi. Itupun kalau nasib baik. Silap-silap satu kerusi pun takkan dapat. Gigit jari sajalah.
 
Kalau PH nak ambil sangat parti kecil, baiklah ambil PSM. Kalau dengan PSM, serah kerusi percuma pun tak mengapa. Sebab PSM memang serius berkerja untuk rakyat.
 
Pejuang & Muda? Cuma perjuangan peribadi.
 
oleh: - R a j a G e l a p -

Sunday, November 29, 2020

Bajet 2021: Pusingan Pertama Pembangkang Sudah Menang

 


Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kompromi yang dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 adalah kemenangan untuk rakyat dan pembangkang.

Anwar mempertahankan langkah PH yang tidak meminta pengundian belah bahagi untuk Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat khamis lalu.

"Seminggu sebelum (pengundian), saya keluarkan kenyataan. Jika cadangan kami tidak dipenuhi, kami akan tolak Belanjawan 2021 secara keseluruhan. Apa yang berlaku ialah menteri kewangan membuat kompromi besar," katanya dalam wawancara bersama portal The Vibes yang diterbitkan hari ini.

"Jika kompromi dibuat membantu mereka yang menyimpan wang di bank, nelayan, petani, penjawat awam, pegutas barisan depan yang melawan Covid-19, mengapa kita perlu tolak (belanjawan)?

"Bagaimana kita akan jelaskan kepada orang ramai? Ini yang mereka mahu. Tengku Zafrul akur (kepada desakan PH). Adakah kita masih tolak? Atas dasar apa?" katanya.

Antara perubahan yang dibuat adalah meluaskan progran pengeluaran akaun 1 KWSP i-Sinar untuk merangkumi semua pencarum yang terjejas pendapatan, dengan peningkatan had keluar kepada RM10,000, serta moratorium pinjaman bank secara automatik kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Secara (undi) suara kita menolak tetapi tidak menggesa belah bahagi untuk memberi laluan kepada perbahasan di peringkat jawatankuasa. Keputusan besar adalah pada 15 Disember, untuk menerima atau menolak belanjawan. Itu pusingan terakhir," katanya lagi.

Menurut Anwar, penolakan di peringkat jawatankuasa masih memberi kesan sama dengan penolakan di peringkat dasar.

Di peringkat dasar, Anwar berkata pembangkang dari satu segi telah memang kerana banyak cadangan mereka diterima.

"Bagi saya, kita boleh dikatakan menang kerana banyak permintaan kita, termasuk yang dibuat ahli Parlimen kerajaan, telah diterima. Walaupun tidak sema, tetapi sebahagiannya," katanya.

Katanya lagi, kompromi yang dibuat juga menunjukkan kerajaan tidak bersedia berdepan Parlimen dengan belanjawan asal.

Dalam kenyataannya selepas sidang 26 Nov lalu, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen PH, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) atas sebab beberapa isu utama yang tidak dijawab, seperti perbelanjaan "tidak realistik".

sumber...mKini

Saturday, November 21, 2020

Betul Ke PH Gagal Ambil Alih Kerajaan Sebab Tolak Mahathir ?

 

 

Terima kasih Tun M atas celoteh panjang di pagi Sabtu ini. Entah kenapa sejak kebelakangan ini Tun M begitu bersungguh memberikan gambaran bahawa Anwar adalah punca kenapa mandat rakyat tidak dapat diambil semula. 

 
Saya fikir fakta dan interpretasi terhadap fakta adalah berbeza. Manakala fakta kekal, interpretasi boleh berbeza. Maka, saya berbeza pandangan dengan Tun M. 
 
Kata Tun dalam Para 3-6 berkisar tentang peristiwa sebelum mesyuarat pada 21 Februari 2020 tentang bisikan Azmin dan Muhyiddin agar Tun M tidak tunduk kepada desakan peralihan kuasa. Umum sudah dapat mendengar kandungan mesyuarat pada malam itu yang tersebar kemudian. 
 
Para 7-9 pula tentang peristiwa pada 23 Februari 2020 - mesyuarat tergempar MPT Bersatu. Pada petang itulah pemimpin UMNO, PAS, GPS, Bersatu, Warisan dan Azmin datang ke rumah Tun. Malam itu ada makan malam di Sheraton tapi Tun tak hadir. 
 
Para 10-13 Tun cerita hal yang mendorong beliau letak jawatan. 
Di sini kita perlu sedar, Tun dakwa Anwar nak ambil balik mandat tak libatkan dia. Dia tak sebut kerajaan yang dia ketuai jatuh sebab dia letak jawatan tak bincang dengan pimpinan parti komponen. Mungkin sebab beliau anggap itu kerajaan Mahathir, bukan kerajaan PH+. 
PH pernah ajak Tun kembalikan mandat rakyat dan komited dgn manifesto. Tetapi Tun enggan. PH namakan Anwar kerana tidak bersetuju dgn idea Tun untuk jadi PM kerajaan perpaduan.
 
Saya setuju dengan Para 15. Dan Tun tulis jelas Anwar dapat 92 sokongan, beliau 66. Masa tu baru tahu ada blok yang cadangkan nama Muhyiddin. Ini tidak didedahkan tetapi masa awal itu Tuan Ibrahim Tuan Man telah tersebut kepada media. Lepas tu Takiyuddin betulkan dan beritahu media bahawa kenyataan rasmi PAS hanya akan datang daripada Presiden PAS dan beliau selaku SUA PAS.
Yang menariknya ialah Para 18, Tun kata:
“18. Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.
 
19. Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.”
 
Tun tak tulis pula jika dia pengaruhi 65 lagi untuk sama-sama sokong Anwar yang pada masa itu dapat sokongan tertinggi, maka sokongan boleh juga jadi 158. Kot mana pun Anwar nak disalahkannya. Dia menang sentiasa. 
 
Dalam Para 20-22 Tun cerita pasal PH nak sokong dia semula. 
Di sini kita perlu tahu bahawa ketika Anwar ada 92, Tun ada 66; Tun tak hubungi Anwar. Tetapi Anwar yang pergi cadangkan kepada Tun supaya mandat rakyat boleh dikembalikan. Tun hanya fikir dia nak jadi PM, bukan nak bolehkan mandat rakyat dikembalikan. 
 
Bayangkan Anwar tawar sokongan PH dan untuk redakan tuduhan Tun tahu tentang Langkah Sheraton dan ikhlas mahu serah kepada Anwar, maka lantik Anwar jadi TPM, tapi Tun enggan. Adakah kita tidak boleh mengagak sikap beliau dalam hal ganti jadi PM? 
 
Saya pernah cerita Anwar kejut kami MP2 Keadilan pukul 2 pagi untuk sampaikan keputusan dan kesediaan beliau berkorban lagi. Dinihari itu juga Yusof Qaradhawi buat panggilan dan Anwar minta beliau doakan Malaysia - dibuka loud speaker untuk kami sama-sama aminkan doa tersebut. 
 
Apa berlaku selepas itu? Ini penting disebut. Tun kata jika PH 92 campur dia 66, maka jadi 158. Tapi masa kumpul Kenyataan Bersumpah, PH intact 92 orang, Tun gagal yakinkan 66 yang disebutnya. Itu pun masih salah Anwar!
 
Dalam Para 23 Tun sebut Muhyiddin dapat persetujuan dilantik jadi PM. Saya bahas di Dewan Rakyat, berasaskan keyakinan saya, pada 1 Mac itu, jika mengambil kira undian 112-109 (Maximus Ongkili tidak hadir seingat saya kerana isu kesihatan) penolakan Speaker TS Ariff, paling banyak pun Muhyiddin hanya ada sokongan 111 undi kerana Serian dan Lubok Antu telah menandatangani Kenyataan Bersumpah sokong Tun. Mereka hanya sokong Muhyiddin beberapa minggu selepas pengumuman pelantikan PM. 
 
Para 24-30 cerita pasal usaha dapatkan balik mandat. Semua orang tahu Tun tidak mahu cadang nama Anwar malah sanggup umum nama Shafie Apdal. Mungkin begitu cara beliau mengharapkan KEADILAN untuk terus mempercayainya. 
 
Apa yang Tun tidak cerita ialah KEADILAN telah usulkan 107 intact (dengan mengambil kira PSB belum mewujudkan blok khusus yang komited sebagai pembangkang), dan mana-mana pemimpin yang boleh membawa sokongan untuk mendapat semula mandat maka mereka berhak diangkat menjadi PM. Tapi ini pun ditolak oleh blok Tun kerana mahu Tun sahaja dicalonkan sebagai PM.
 
Para 31-34 Tun bercakap tentang pengumuman Anwar tentang sokongan untuk menjadi PM. Tun mengeluh kerana Anwar tidak libatkan beliau dan kumpulannya. Tun sepatutnya bertanya bilakah selepas Langkah Sheraton Tun pernah memberi isyarat untuk menyokong Anwar? Adakah Tun hendak beritahu jika Anwar datang meminta sokongan beliau maka sokongan itu akan diberikan? Tidak. Dan Tun tidak perlukan sokongan ini diminta. Tun sebagai orang lama dalam politik boleh memberi isyarat terbuka untuk memberi sokongan. 
 
Sama ada Anwar akan berjaya atau tidak, itu telah dijawab olehnya: Bertawakal kepada Allah s.w.t. selepas usaha telah dibuat. 
 
Tapi yang jelas ramai semakin melihat Tun mahukan ia gagal. Dan ramai meyakini kesimpulan tersebut kerana alasan Tun tidak dapat menjadi PM semula dan sikap pendendam Tun kepada Anwar.

oleh: Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar.

Sunday, January 29, 2017

Islam: Penang Jawab Tohmahan Presiden Pas !

 

Exco jawab Hadi: Syiar Islam subur di P Pinang

Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim menafikan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri itu.

"Hakikatnya selepas kerajaan Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada Mac 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.

"Bajet hal ehwal agama, misalnya pernah mencecah sehingga 300 peratus melebihi bajet agama sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh Gerakan iaitu rakan politik Umno.

"Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN," kata Abdul Malik dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam presiden PAS itu dilapor menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan mengatakan parti itu menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang.

Menjawab kenyataan Hadi, Abdul Malik berkata perkembangan pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat, KAFA dan Maahad Tahfiz terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri.

Katanya, selain bajet tahunan untuk hal ehwal agama, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk institusi pendidikan Islam di negeri itu.

"Bahkan guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini.

"Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang ketara berbanding kerajaan terdahulu," kata Malik.

Hospital Islam, mahkamah syariah

Bahkan katanya, kerajaan negeri juga akan membina Hospital Islam setinggi 14 tingkat pertama di negeri ini, dengan projek pembinaan akan dimulakan pada Mac depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi 7 tingkat di Jalan Scotland.

"Ini adalah sebahagian usaha untuk memartabatkan Melayu dan Islam di negeri ini," katanya.

sumber...mKini

Wednesday, January 25, 2017

PAS Ada Atau Tidak, BERSATU Mahu Pakatan Rasmi


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencadangkan semua parti pembangkang membentuk pakatan secara rasmi bagi membolehkan mereka mencabar BN menggunakan logo sama.
Mengenai kedudukan PAS yang dilihat berkeras enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan secara rasmi itu tetap perlu diwujudkan.

Kata pengerusi BERSATU itu, melalui suatu gabungan rasmi, parti pembangkang boleh menggunakan logo, manifesto dan nama sama, sekaligus mencerminkan perpaduan di kalangan mereka.

"Kami berpendapat, sama ada PAS menyertai (gabungan ini) atau tidak, kemasukan BERSATU dengan parti pembangkang lain perlu dilakukan secara rasmi, dan kami akan berunding isu-isu berkaitan pilihan raya, pembahagian kerusi, dan sebagainya," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Mahathir, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pagi tadi.

Ketika ini BERSATU masih belum menyertai HARAPAN secara rasmi walaupun sudah menyatakan kesediaan bersama-sama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.


PRU perlu diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Bagaimanapun kedudukan PAS masih belum jelas kerana parti itu menyatakan dengan tegas keengganan mereka bekerjasama dengan DAP serta AMANAH.

[Baca berita penuh]

Mujahid Jawab Iskandar Menjelang PRU14


Menjelang PRU14 elok sangat dah PH/PPBM membuat kenyataan rasmi.

Kalu pas tak sudi biar jer lah.

Rakyat da boleh nampak permainan pas.

Pas yang dulu bukan ler yang sekarang.


Dedak dan balak beb umpama aur dan tebing.....kikiki


Kata kata Iskandar tidak membantu

Semalam PAS mencadangkan Parti Amanah Negara (AMANAH) dibubar dan pemimpin serta ahlinya bergabung dengan DAP.

Hari ini Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof mengingatkan bekas rakan separtinya, Iskandar Abdul Samad, bahawa sekarang bukanlah masa untuk seseorang melepaskan dendam sesama pembangkang.

Sebaliknya, kata anggota parlimen Parit Buntar itu, Iskandar sepatutnya menunjukkan beliau memiliki jiwa yang besar untuk mengenal pasti siapakah sebenarnya musuh mereka dan seterusnya menyelamatkan Malaysia.

"Malang untuk kita melihat kenyataan sebegitu muncul ketika rakyat mahu melihat pembangkang bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

 Semalam Malaysiakini melaporkan, Iskandar berpendapat AMANAH wajar dibubarkan dan anggotanya menyertai DAP.

“Oleh itu, memang tepat saranan agar AMANAH bergabung dengan parti lain, tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan.

“Saya mencadangkan agar AMANAH bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.

“Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin AMANAH boleh diperuntukkan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah,” kata Iskandar yang juga naib presiden PAS.
Mujahid berkata kenyataan Iskandar jelas menunjukkan PAS tida mahu sebarang hubungan dengan AMANAH dan DAP, tetapi bersedia bekerjasama dengan PKR serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya jika PAS benar-benar serius mahu melawan Umno, parti itu perlu bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Isu teknikal bagaimana langkah itu boleh berjaya, kata Mujahid, boleh diikhtiarkan.

"PAS mesti bersedia menerima pembangkang dan bergandingan dengan kami melawan Umno. Atau adakah ia mahu menjadi kingmaker (parti penentu) selepas pilihan raya?" katanya.

 Mujahid juga berkata, beliau lebih bimbang terhadap kemampuan parti pembangkang - termasuk PAS - menunjukkan contoh kepada pengundi bahawa mereka boleh bersatu dan memenangi pilihan raya.

"Jelas kenyataan Iskandar tidak membantu sama sekali, tetapi pada saya, pintu rundingan sentiasa trbuka dan marilah berunding untuk membentuk pakatan pembangkang yang kuat melawan BN," katanya.

[Baca berita asal]

sumber...mKini

p/s ...pas nak jadi king maker atau King Joker?