Followers

Sunday, January 29, 2017

Islam: Penang Jawab Tohmahan Presiden Pas !

 

Exco jawab Hadi: Syiar Islam subur di P Pinang

Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim menafikan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri itu.

"Hakikatnya selepas kerajaan Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada Mac 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.

"Bajet hal ehwal agama, misalnya pernah mencecah sehingga 300 peratus melebihi bajet agama sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh Gerakan iaitu rakan politik Umno.

"Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN," kata Abdul Malik dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam presiden PAS itu dilapor menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan mengatakan parti itu menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang.

Menjawab kenyataan Hadi, Abdul Malik berkata perkembangan pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat, KAFA dan Maahad Tahfiz terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri.

Katanya, selain bajet tahunan untuk hal ehwal agama, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk institusi pendidikan Islam di negeri itu.

"Bahkan guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini.

"Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang ketara berbanding kerajaan terdahulu," kata Malik.

Hospital Islam, mahkamah syariah

Bahkan katanya, kerajaan negeri juga akan membina Hospital Islam setinggi 14 tingkat pertama di negeri ini, dengan projek pembinaan akan dimulakan pada Mac depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi 7 tingkat di Jalan Scotland.

"Ini adalah sebahagian usaha untuk memartabatkan Melayu dan Islam di negeri ini," katanya.

sumber...mKini