Followers

Sunday, December 30, 2018

Saya Akan Dituduh Rasis, Tetapi... - Tun M




Jika berlaku perpisahan etnik yang terlalu jauh antara yang miskin dan kaya, sejarah melaporkan rusuhan dan perang saudara tercetus, sekali gus membawa kepada kehancuran negara.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini akan membawa malapetaka kepada semua rakyat di negara ini.

Apatah lagi, katanya, jika perpisahan antara miskin dan kaya ini ditambah dengan perpisahan antara kaum, di mana sesuatu kaum itu lebih miskin daripada kaum lain.

Tambah beliau, walaupun rusuhan mungkin tidak berlaku, namun kemungkinan ia terjadi tidak boleh diketepikan.
"Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.

"Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.

"Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita," katanya katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

 Kata Perdana Menteri, walaupun kaum tidak dapat ditukar, namun jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan atau dihapuskan.

Dr Mahathir berkata, kesalahan yang dilakukan pemimpin UMNO tidak bermakna semua orang Melayu turut dipersalahkan.

“Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?,” katanya.

Mengulas mengenai kemasukan bekas pemimpin UMNO ke Bersatu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan partinya tidak akan mudah menerima mereka.

Mengulangi pendiriannya, Dr Mahathir berkata bekas pemimpin UMNO perlu menjadi bebas dan seterusnya menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan secara ikhlas.

“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas UMNO. Mereka hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod mereka akan dikaji dengan teliti,” tambahnya.

sumber... Arfa Yunus, Hilal Azmi, Rahimah Abdullah dan Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Diterbitkan padaDisember 29,