'Khairuddin perisik hebat sebab dapat hidu gerakan guling Dr M'
Pemimpin PKR Johari Abdul secara sinis menyifatkan Khairuddin Abu Hassan sebagai spy (perisik) hebat kerana berjaya menghidu gerakan menggulingkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Saya amat terpegun dengan kebolehan beliau (Khairuddin) kerana tahu ada gerakan untuk menjatuhkan perdana menteri. Dia seorang spy yang hebat, mana dia dapat latihan pun saya tak tahu.
"Untuk orang yang tahu ada cubaan jatuhkan Mahathir dia semestinya seorang yang hebat.
"Ini bukan cubaan menjatuhkan ketua kampung, tetapi jatuhkan perdana menteri. Dia (Khairuddin) boleh tahu bermakna dia seorang yang hebat," katanya kepada Malaysiakini.
Johari yang merupakan anggota parlimen Sungai Petani juga menyifatkan Khairuddin sebagai individu yang penuh dengan kejutan.
"Khairuddin orang yang suka buat kejutan. Saya ucap tahniah pada dia kerana berjaya menghidup gerakan menjatuhkan perdana menteri," katanya.
Semalam, Khairuddin yang juga Anggota Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) mendakwa beliau menghidu "gerakan biadab" yang cuba menjatuhkan Mahathir.
"Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa tidak dapat jawatan yang sedang berusaha untuk menjatuhkan Mahathir selaku perdana menteri.
"Namun, puak-puak 'tahi kucing' ini terlalu kerdil bagi saya. Bukan niat saya untuk bersikap angkuh tetapi kalangan ini boleh dilipat-lipat masuk dalam kocek seluar saja.
"Mereka ini 'pot tin' kosong yang pandai bercakap tapi tak boleh bekerja," kata Khairuddin.
Meskipun tidak menyebut secara spesifik, kenyataan Khairuddin itu dipercayai sebagai mengulas kenyataan Johari terhadap kepimpinan Mahathir.
Johari sebelum ini mendakwa Mahathir seperti tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara selepas PH memenangi pilihan raya umum (PRU) lalu.
oleh: Haspaizi Zain mKini