Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan tetap bersuara dan mengkritik kerajaan - walaupun Pakatan Harapan (PH) - dan meminta orang ramai menilainya berdasarkan fakta.
Kata Rafizi hal itu kerana pembongkaran dan kritikan sama pernah dibuatnya semasa BN masih berkuasa.
Malah katanya dia juga sudah didakwa, dibicarakan dan dihukum penjara atas pendedahan yang dibuatnya sebelum ini.
"Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini (kerana) bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, isya-Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut bekas anggota parlimen Pandan itu pada masa sama dia berharap rakyat lebih terbuka untuk mendengar dan meneliti apa yang didedahkan berdasarkan fakta.
"Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti (sama ada PH, Umno atau PAS) lebih terbuka meneliti setiap fakta," katanya.
Rafizi berkata demikian selepas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuat aduan polis ke atas beberapa bekas pegawai kanan badan itu, termasuk pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Abdul Azeez Abdul Rahim, serta bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ismee Ismail.
Bersekongkol beramai-ramai
Pendedahan Rafizi mengenai Tabung Haji dibuat sejak beberapa tahun lalu dan dia dikecam pelbagai pihak kerana didakwa memfitnah agensi yang sensitif kepada orang Islam di negara ini.
Antara pihak yang mengkritik Rafizi pada ketika itu ialah Jamil Khir Baharom yang menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pada era BN memerintah.
Pada 8 April 2016 mengaku tidak bersalah menyiarkan tulisan di akaun Facebooknya - bertarikh 9
Feb 2016 - kerana didakwa mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji dan boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur pada 18 Feb 2016.
Rafizi didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 25 Sept lalu mahkamah majistret di Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi membela diri terhadap tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji, dua tahun lalu.
Kata Rafizi orang ramai mesti memastikan apa yang berlaku pada Tabung Haji tidak diulangi pada masa depan.
Menurutnya penyelewengan dana Tabung Haji itu berlaku apabila ada pihak beramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran.
Katanya walaupun fakta yang dikemukakan jelas ia tidak diterima ramai hanya disebabkan ia dibawa oleh seseorang yang berada di pihak lawan.
"Jangan kerana pembongkaran itu datang daripada seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ni semuda fitnah.
"Saya akan terus meneliti setiap kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya.
"Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang iaitu Umno dan PAS, saya akan tetap meneliti dan bersuara," katanya.
sumber...mKini