Followers

Monday, December 17, 2018

Mufti Puji Khalid Samad Minta Maaf




Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin memuji tindakan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad yang memohon maaf berhubung kenyataan beliau berkaitan manifesto dengan menyandarkannya kepada Nabi Muhammad.

“Tahniah kerana berjiwa besar. Setiap kita membuat kesilapan ataupun tersasul, namun yang penting kita akur, memohon keampunan dan membetulkannya.

“Orang politik sukar mengakui kesilapan atas kepentingan sokongan. Justeru, jika ada yang mudah mengakui kesilapan bila terbukti maka kita patut hormati sikap yang baik itu.

“Elakkan memaki hamun dan mencerca orang lain. Itu bukan ajaran Islam. Itu amalan golongan politik yang mempergunakan Islam,” kata Asri di Facebooknya, hari ini.

Semalam Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memohon maaf berhubung salah faham berkaitan kenyataan yang dibuat.

Katanya, beliau tidak berniat menyandarkan kelemahan Pakatan Harapan (PH) kepada peribadi Rasulullah atau menuduh baginda mungkir janji.

Jelasnya, apa yang ingin disampaikan adalah manusia hanya mampu berusaha, namun bukan semua yang diusahakan akan dapat terlaksana sepenuhnya.

“Saya menerima segala teguran yang dibuat dengan hati terbuka dan terima kasih.
“Jika ada yang faham begitu (seolah Rasulullah mungkir janji), saya memohon maaf dan memohon ampun kepada Allah SWT dan Rasulnya,” kata Khalid.

Asri melalui kenyataan awalnya tanpa menamakan sesiapa menggesa pihak yang tersilap atau tersasul untuk membetulkan kenyataan tersebut.

Menurut Asri, ketika tahun perjanjian Hudaibiyah, tiada sebarang janji Nabi Muhammad dalam peristiwa itu yang tidak tertunai.

“Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

“Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada Muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan Muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat,” katanya.

sumber...mKini