Followers

Monday, December 17, 2018

Mujahid: Jangan Sampai Muncul BN 2.0, Umno 3.0



Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tidak terganggu dengan perkembangan semasa yang menyaksikan ramai pemimpin Umno meninggalkan parti masing-masing untuk bersama kerajaan.Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof berkata pemimpin dan anggota parti yang bergabung dalam PH harus memberi fokus kepada rancangan asal, iaitu membawa wajah baru buat Malaysia.

Perlu mengelak panik, Mujahid berkata, langkah terbabit itu wajar disambut dengan 'pelantar' Malaysia Baru untuk dijadikan asas mereka bertapak.

"Apa yang harus dibimbangi PH ialah sekiranya penghijrahan secara berjemaah orang Umno itu bukan di atas pelantar kita, tetapi membawa bersama pelantar mereka yang sudah reput lantas membahayakan Malaysia Baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata apa yang dilakukan PH sekarang ialah membawa naratif baru untuk negara ini.

Secara berkias, Mujahid berkata apa yang berlaku sekarang seperti ular bersalin kulit.
"Ular - apabila ia bersalin kulit - dikatakan menanggung kesakitan yang amat sangat, namun ia dilakukan untuk haiwan itu mendapat kulit baru.

"Demikianlah perumpamaan bagi negara kita semasa proses menukar wajahnya. Ia akan melalui sedikit keperitan demi memunculkan citra baru selepas PRU ke-14," katanya.

Baru saja bermula
 
Justeru kata Mujahid semasa proses berkenaan berlangsung pemimpin PH harus menanganinya sebagai langkah membina harapan rakyat kepada kemunculan Malaysia Baru dan sepatutnya menjadi tarikan penghijrahan Umno secara jemaah.

"Hanya dengan semangat Malaysia Baru, kemasukan mereka dapat memperkukuhkan PH.
"Jika tanpa faktor tarikan ini, PH perlu berhati-hati terutama dengan kemungkinan munculnya BN 2.0 dan Umno 3.0," katanya.

Selepas menjadi pembangkang buat kali pertama dalam sejarah lebih 61 tahun kedudukan Umno dilihat terancam apabila satu demi satu pemimpinnya meninggalkan parti berkenaan.
Di Sabah misalnya pada 12 Dis lalu sekurang-kurangnya lima anggota parlimen, sembilan anggota dewan undangan negeri dan dua senator mengumumkan keluar dari Umno.

Seramai 22 ketua bahagian turut mengambil langkah sama. Antara mereka termasuk tokoh yang selama ini menjadi penyokong tegar Najib Razak.

Ia kemudian merebak ke semenanjung apabila enam anggota parlimen menjadi wakil rakyat bebas. Pada masa sama anggota Umno memberi tekanan kepada Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan presiden.

Apa yang berlaku itu tidak disenangi sebahagian pemimpin dan penyokong PH, termasuk beberapa menteri yang berpendapat penerimaan bekas pemimpin Umno itu akan menjejaskan sokongan terhadap kerajaan.

Mujahid berkata pada masa sama PH mesti kekal memberikan tumpuan kepada proses membawa pembaharuan selepas lebih enam dekad berada di bawah BN.

Katanya penghijrahan bekas pemimpin Umno itu tidak boleh mencemarkan alasan mengapa PH diterima rakyat semasa PRU lalu.

"Kita jangan hilang arah. Kerja untuk PH belum selesai, malah baru sahaja bermula," katanya.

sumber...mKini