Lembu punya isu, Salahuddin diugut bunuh
Anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini berkumpul di lobi parlimen mengecam tindakan pihak yang didakwa mengugut dan mengancam nyawa Menteri Pertanian Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Dalam sidang media hari ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata, ugutan seumpama itu tidak seharusnya wujud.
Ini kerana, katanya, pentadbiran baru PH sangat terbuka dan sedia berbincang.
"Kalau tak puas hati pentadbiran atau tugas oleh kami semua, datang berjumpa, tapi jika lembu mati kemalangan nak disalahkan menteri pertanian, ia sesuatu yang tidak wajarlah.
"Kalau lihat macam ini, lembu mati kemalangan, takkanlah lembu mati kemalangan dia nak marah menteri pertanian, serah kepada polis untuk ambil tindakan," katanya.
Semalam, Salahuddin menerima bangkai lembu berserta nota ugutan bunuh di hadapan pusat khidmat masyarakat DUN Simpang Jeram di Johor.
Nota tersebut bertulis; "kepada YB Salahuddin, lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak."
Susulan itu, polis dilaporkan menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan bangkai lembu di hadapan pusat khidmat Salahuddin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dipetik Harian Metro sebagai berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan perincian lanjut kerana kes masih sedang disiasat. Suspek direman sehingga Jumaat ini.
Sementara itu, timbalan menteri pertanian, Sim Tze Tzin yang turut mengecam ugutan terhadap Salahuddin itu berkata, anggota parlimen PH tidak akan rasa gentar dengan taktik jenayah.
"Hari ini kami ahli-ahli parlimen berkumpul untuk mengecam tindakan sesetengah pihak atau kumpulan yang ugut nyawa seorang menteri kabinet.
"Kes ini serius sebab mengancam keselamatan seorang menteri, jika pihak tidak bertanggungjawab ingin guna ugutan nyawa untuk menakut-nakutkan pegawai, mereka silap besar.
"Kami ahli parlimen dan kerajaan PH ingin hantar satu mesej jelas kepada rakyat bahawa kita tak rasa gentar pun dengan taktik jenayah dan kami akan terus menjalankan tugas secara jujur dan profesional," katanya.
Oleh: Yasmin Ramlan mKini