Followers

Sunday, December 16, 2018

Kes Rogol di Kelantan Membimbangkan

 


Kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur. Gambar hiasan

Kadar jenayah di Kelantan pada amnya masih terkawal namun jenayah rogol dilihat pada agak membimbangkan, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Katanya, bagaimanapun kebanyakan kes rogol terbabit ialah "mahu sama mahu" yang melibatkan remaja bawah umur.

Walaupun berlaku atas kerelaan, polis terpaksa melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol melibatkan remaja bawah umur, katanya kepada pemberita selepas Majlis Townhall "Jenayah Di Kelantan, Adakah Serius?" anjuran bersama Penjara Negeri Kelantan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan di sini hari ini.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga November lalu sebanyak 92 kes rogol dilaporkan berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
 
"Meskipun berkurangan sebanyak 14.8 peratus namun ia tetap dilihat membimbangkan," katanya.

Dalam pada itu katanya  jenayah samun berkawan tanpa senjata api menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 130 kes dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 126 kes pada 2017.

"Keseluruhan jenayah menunjukkan penurunan iaitu daripada 559 kes tahun lalu kepada 470 kes dalam tempoh Januari hingga November iaitu penurunan sebanyak 15.9 peratus," katanya.

Hasanuddin juga berkata, kebanyakan kes jenayah berpunca daripada dadah termasuk yang paling banyak berlaku iaitu pecah rumah.

sumber...Bernama