Followers

Showing posts with label Kementerian Pertanian. Show all posts
Showing posts with label Kementerian Pertanian. Show all posts

Thursday, December 6, 2018

Salahuddin Ayub Diugut Bunuh

 

Lembu punya isu, Salahuddin diugut bunuh

 Anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini berkumpul di lobi parlimen mengecam tindakan pihak yang didakwa mengugut dan mengancam nyawa Menteri Pertanian Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.


Dalam sidang media hari ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata, ugutan seumpama itu tidak seharusnya wujud.

Ini kerana, katanya, pentadbiran baru PH sangat terbuka dan sedia berbincang.

"Kalau tak puas hati pentadbiran atau tugas oleh kami semua, datang berjumpa, tapi jika lembu mati kemalangan nak disalahkan menteri pertanian, ia sesuatu yang tidak wajarlah.

"Kalau lihat macam ini, lembu mati kemalangan, takkanlah lembu mati kemalangan dia nak marah menteri pertanian, serah kepada polis untuk ambil tindakan," katanya.

Semalam, Salahuddin menerima bangkai lembu berserta nota ugutan bunuh di hadapan pusat khidmat masyarakat DUN Simpang Jeram di Johor.

Nota tersebut bertulis; "kepada YB Salahuddin, lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak."

Susulan itu, polis dilaporkan menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan bangkai lembu di hadapan pusat khidmat Salahuddin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dipetik Harian Metro sebagai berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan perincian lanjut kerana kes masih sedang disiasat. Suspek direman sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, timbalan menteri pertanian, Sim Tze Tzin yang turut mengecam ugutan terhadap Salahuddin itu berkata, anggota parlimen PH tidak akan rasa gentar dengan taktik jenayah.

"Hari ini kami ahli-ahli parlimen berkumpul untuk mengecam tindakan sesetengah pihak atau kumpulan yang ugut nyawa seorang menteri kabinet.

"Kes ini serius sebab mengancam keselamatan seorang menteri, jika pihak tidak bertanggungjawab ingin guna ugutan nyawa untuk menakut-nakutkan pegawai, mereka silap besar.

"Kami ahli parlimen dan kerajaan PH ingin hantar satu mesej jelas kepada rakyat bahawa kita tak rasa gentar pun dengan taktik jenayah dan kami akan terus menjalankan tugas secara jujur dan profesional," katanya.

Oleh: Yasmin Ramlan mKini

Saturday, October 20, 2018

Mazlan Aliman Harapan Baru Petani dan Peladang

 

Mazlan berhasrat tingkatkan pendapatan petani, peladang

 Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) baharu dilantik Mazlan Aliman mahu memastikan pengalamannya selama tiga dekad memperjuangkan nasib peneroka Felda akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan nasib golongan petani dan peladang dapat dipertingkatkan di negara ini.

 “Sedikit sebanyak pengalaman di Felda akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani dan peladang,”ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pelantikannya sebagai Pengerusi LPP yang baharu akan berkuatkuasa pada 1 November depan.

Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub di kementerian hari ini.

Ditanya mengenai hasrat beliau selepas dilantik, Mazlan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor berkata, akan mengadakan kunjungan dan lawatan ke Pertubuhan Peladang seluruh negeri.

“Peringkat awal, saya berhasrat untuk berkunjung ke semua Pertubuhan Peladang Negeri untuk mendapatkan lebih banyak input dari bawah.

“Barulah nanti ide dan pendekatan baharu akan saya fikirkan agar dapat dikemukakan kepada agensi ini,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih atas kepercayaan Menteri Pertanian serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikannya peluang untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan memberikan khidmat dalam agensi di bawah kementerian itu.

Pelantikan beliau itu turut disaksikan isterinya  Hatijah Mohamaed Jani dan anaknya Burhanuddin Al-Helmi Mazlan.

Selain Mazlan turut diberikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pengarah Urusan IM Global Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

oleh Dalia Ismail

Friday, October 19, 2018

Tahniah Untuk Mazlan Aliman dan Faiz Fadzil



Mazlan dilantik Pengerusi LPP, Faiz Pengerusi LKIM

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman  secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.

Turut dilantik Ishak Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
LPP, LKIM dan  FAMA  adalah  antaran agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Watikah pelantikan  bagi tiga agensi itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini di ibu pejabat kementerian di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Menterinya  Sim Tze Tzin.

Semua tiga pelantikan hari ini akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 November sehingga 31 Oktober 2020 dalam tempoh dua tahun pelantikan pengerusi tiga agensi tersebut.

Pelantikan Mazlan, Faiz dan Ishak dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Salahuddin  beliau mengharapkan pelantikan tersebut akan membawa perubahan kepada tiga agensi di bawah kementerian itu.

Beliau turut ditanya mengenai pelantikan  Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu sebagai Pengerusi LPP dan LKIM.

“Kita mengambil ketetapan melantik atas keupayaan dan merit dalam agensi di bawah kementerian.  Pelantikan Mazlan dikenali sebagai orang politik tetapi  jasa dan perjuangannya kepada golongan peneroka, kita beri peluang untuk dibuktikan keupayaannya.

Faiz  seorang peguam, berbakat dan berkeupayaan dalam urustadbir untuk  menyumbang kepada LKIM. Walaupun mereka ( Mazlan dan Faiz)  dikenali sebagai ‘orang politik’ tetapi kita ambil kira kebolehan, pengalaman, keupayaan dan profesonalisma dalam bidang masing-masing,” ujar Salahuddin.

Salahuddin juga berkata kementerian  akan melantik tiga  lagi pengerusi baharu  iaitu agensi  Lembaga Pembangunan  Langkawi (LADA)  dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Muda (MADA)  serta Lembaga Perindustrian Nenas  yang kini masih menunggu kelulusan dan dijangka akan diumumkan pada minggu depan.

oleh Dalia Ismail

Bajet 2019: Kementerian Pertanian dapat dikekalkan RM6.54bilion, kata Salahuddin


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berharap peruntukan Bajet 2019 bagi kementerian itu akan dikekalkan pada RM6.5 bilion.

Menurutnya ini penting kerana aspek jaminan serta keselamatan makanan juga sama pentingnya dengan keselamatan negara.
“Jika Kementerian Pertahanan diberi peruntukan besar tanpa sebarang masalah, maka aspek keselamatan makanan juga sewajarnya mendapat perhatian serupa,” katanya selepas menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahanan (MoU) antara Bioalpha Holdings Bhd dan firma China, Jinrui Fortune Group Holdings Group (Jinrui) di sini, hari ini.

Selain itu, mengulas usaha bagi melonjakkan pasaran industri herba, Salahudin berkata kementerian itu dan Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama untuk mengemukakan satu pelan pembangunan strategik industri herba negara menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, Bioalpha International Sdn Bhd yang juga anak syarikat Bioalpha Holdings, menandatangani MoU itu bagi meninjau peluang untuk melonjakkan pertumbuhan syarikat itu dalam perniagaan herba.

Pengerusi kumpulan itu, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata kerjasama itu membabitkan tiga projek utama iaitu membawa masuk produk Bioalpha ke China menerusi usaha Jinrui membangunkan platform perkhidmatan perubatan (tradisional) bersepadu dikenali sebagai ‘Thousand Medicine Hall.’

Jinrui juga akan berkongsi pengetauannya dalam perubatan dan produk herba tradisional China dengan Bioalpha.

Kumpulan itu juga akan menyertai projek Jinrui bagi membangunkan pelancongan ekokesihatan di Chenzhou, wilayah Hunan di China.

Eksport kita ke China kini menyumbang lebih 20 peratus daripada jumlah perolehan kumpulan pada 2017. Kerjasama dengan Jinrui diharapkan dapat mendedahkan produk makanan tambahan kesihatan yang dihasilkan daripada herba asli tempatan,” katanya.

Selain itu, Pengarah Urusan kumpulan, William Ho berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan kumpulan itu dan menjangkakan sumbangan hasil itu dapat diterima mulai suku pertama 2019.

“Pada masa ini, Jinrui sedang dalam usaha meninjau operasi dan kemudahan kami dan pesanan pertama dijangka mula diterima menjelang akhir tahun ini,” katanya.

sumber...malaysia dateline