Followers

Showing posts with label Faiz Fadzil. Show all posts
Showing posts with label Faiz Fadzil. Show all posts

Friday, October 19, 2018

Tahniah Untuk Mazlan Aliman dan Faiz Fadzil



Mazlan dilantik Pengerusi LPP, Faiz Pengerusi LKIM

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman  secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.

Turut dilantik Ishak Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
LPP, LKIM dan  FAMA  adalah  antaran agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Watikah pelantikan  bagi tiga agensi itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini di ibu pejabat kementerian di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Menterinya  Sim Tze Tzin.

Semua tiga pelantikan hari ini akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 November sehingga 31 Oktober 2020 dalam tempoh dua tahun pelantikan pengerusi tiga agensi tersebut.

Pelantikan Mazlan, Faiz dan Ishak dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Salahuddin  beliau mengharapkan pelantikan tersebut akan membawa perubahan kepada tiga agensi di bawah kementerian itu.

Beliau turut ditanya mengenai pelantikan  Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu sebagai Pengerusi LPP dan LKIM.

“Kita mengambil ketetapan melantik atas keupayaan dan merit dalam agensi di bawah kementerian.  Pelantikan Mazlan dikenali sebagai orang politik tetapi  jasa dan perjuangannya kepada golongan peneroka, kita beri peluang untuk dibuktikan keupayaannya.

Faiz  seorang peguam, berbakat dan berkeupayaan dalam urustadbir untuk  menyumbang kepada LKIM. Walaupun mereka ( Mazlan dan Faiz)  dikenali sebagai ‘orang politik’ tetapi kita ambil kira kebolehan, pengalaman, keupayaan dan profesonalisma dalam bidang masing-masing,” ujar Salahuddin.

Salahuddin juga berkata kementerian  akan melantik tiga  lagi pengerusi baharu  iaitu agensi  Lembaga Pembangunan  Langkawi (LADA)  dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Muda (MADA)  serta Lembaga Perindustrian Nenas  yang kini masih menunggu kelulusan dan dijangka akan diumumkan pada minggu depan.

oleh Dalia Ismail

Wednesday, March 7, 2018

Pendapatan Graduan 2017 Terburuk Dalam 10 Tahun


Pahit untuk ditelan, apabila trend pendapatan bulanan graduan universiti bagi peringkat ijazah pertama pada 2017 semakin parah.

Ia mencatatkan kejatuhan ketara sebanyak 84.89 peratus bagi graduan berpendapatan RM3,000 dan ke atas.

Graduan yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah telah mengusai lebih separuh (55 peratus) kelas pendapatan bulanan graduan bagi ijazah pertama.

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, trend pendapatan bulanan graduan Malaysia pada tahun 2017 adalah lebih parah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ia juga paling teruk dalam tempoh 10 tahun.
Senario yang berlaku ini bukan sahaja parah pada segmen lepasan Ijazah pertama, malah berlaku pada segmen lepasan doktor falsafah (PhD).

Peratusan mereka yang berpendapatan RM3,000 dan ke atas telah jatuh dengan signifikan daripada 88.9 peratus kepada 43 peratus.

Bertentangan dengan itu, semakin ramai pula lepasan PhD yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah sebanyak 19.7 peratus berbanding 2.7 peratus pada tahun 2016 dan 0.5 peratus pada tahun 2008.

Bagi segmen lepasan sijil dan diploma, trend bagi dua segmen ini juga semakin parah apabila semakin ramai yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah, dan semakin besar mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke atas semakin mengecil.

Ironinya, tahun lepas Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan pengumuman 1.9 juta pekerjaan telah dicipta sejak 2010 sehingga 2016 di bawah Program Transformasi Nasional.

Malangnya, pengumuman tersebut dinafikan oleh Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 yang menunjukkan bahawa pengangguran anak muda adalah tertinggi dalam sejarah (10.7 peratus) lebih tiga kali ganda kadar purata pengangguran nasional (3.1 peratus).

Malah laporan Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa lebih separuh (61 peratus) pengangguran adalah di kalangan anak muda.

Jadi apa cerita ini tuan perdana menteri?

Cukup-cukuplah bersandiwara di mata rakyat dengan nombor penyedap telinga yang jauh tersasar pada realiti yang dihadapi rakyat.

Mungkin perdana menteri Malaysia tidak perasan, sebab makanan ruji beliau pun jauh lebih mahal dari rakyat jelata.

Cukup-cukuplah dengan berita yang mengusarkan rakyat apabila kerajaan Malaysia terus berdiam diri dengan kleptokrat yang bermaharajalela dengan kapal mewah berbillion ringgit, Equanimity yang didakwa dibeli menggunakan wang rakyat.

Akhirnya terpaksa juga, pihak berkuasa Indonesia dan FBI yang bertindak, di mana pihak berkuasa kita?

Generasi muda hari ini bukan sahaja akan terus tersepit dalam dilema format ekonomi buatan Najib Razak (Najibnomics), malah generasi muda terus dilema akan kelesuan pihak berkuasa untuk menangkap perompak wang rakyat terbesar yang kini terus bermaharajalela.


Oleh: FAIZ FADZIL naib ketua Pemuda Harapan.