Coretan politik,sosial,ekonomi,agama dan lain lain lagi di Malaysia dan seluruh dunia. Sumber dari semua capaian internet. email greenblacks8@gmail.com
Followers
Wednesday, March 7, 2018
Pendapatan Graduan 2017 Terburuk Dalam 10 Tahun
Pahit untuk ditelan, apabila trend pendapatan bulanan graduan universiti bagi peringkat ijazah pertama pada 2017 semakin parah.
Ia mencatatkan kejatuhan ketara sebanyak 84.89 peratus bagi graduan berpendapatan RM3,000 dan ke atas.
Graduan yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah telah mengusai lebih separuh (55 peratus) kelas pendapatan bulanan graduan bagi ijazah pertama.
Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, trend pendapatan bulanan graduan Malaysia pada tahun 2017 adalah lebih parah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ia juga paling teruk dalam tempoh 10 tahun.
Senario yang berlaku ini bukan sahaja parah pada segmen lepasan Ijazah pertama, malah berlaku pada segmen lepasan doktor falsafah (PhD).
Peratusan mereka yang berpendapatan RM3,000 dan ke atas telah jatuh dengan signifikan daripada 88.9 peratus kepada 43 peratus.
Bertentangan dengan itu, semakin ramai pula lepasan PhD yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah sebanyak 19.7 peratus berbanding 2.7 peratus pada tahun 2016 dan 0.5 peratus pada tahun 2008.
Bagi segmen lepasan sijil dan diploma, trend bagi dua segmen ini juga semakin parah apabila semakin ramai yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah, dan semakin besar mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke atas semakin mengecil.
Ironinya, tahun lepas Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan pengumuman 1.9 juta pekerjaan telah dicipta sejak 2010 sehingga 2016 di bawah Program Transformasi Nasional.
Malangnya, pengumuman tersebut dinafikan oleh Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 yang menunjukkan bahawa pengangguran anak muda adalah tertinggi dalam sejarah (10.7 peratus) lebih tiga kali ganda kadar purata pengangguran nasional (3.1 peratus).
Malah laporan Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa lebih separuh (61 peratus) pengangguran adalah di kalangan anak muda.
Jadi apa cerita ini tuan perdana menteri?
Cukup-cukuplah bersandiwara di mata rakyat dengan nombor penyedap telinga yang jauh tersasar pada realiti yang dihadapi rakyat.
Mungkin perdana menteri Malaysia tidak perasan, sebab makanan ruji beliau pun jauh lebih mahal dari rakyat jelata.
Cukup-cukuplah dengan berita yang mengusarkan rakyat apabila kerajaan Malaysia terus berdiam diri dengan kleptokrat yang bermaharajalela dengan kapal mewah berbillion ringgit, Equanimity yang didakwa dibeli menggunakan wang rakyat.
Akhirnya terpaksa juga, pihak berkuasa Indonesia dan FBI yang bertindak, di mana pihak berkuasa kita?
Generasi muda hari ini bukan sahaja akan terus tersepit dalam dilema format ekonomi buatan Najib Razak (Najibnomics), malah generasi muda terus dilema akan kelesuan pihak berkuasa untuk menangkap perompak wang rakyat terbesar yang kini terus bermaharajalela.
Oleh: FAIZ FADZIL naib ketua Pemuda Harapan.
Label:
BN,
Faiz Fadzil,
graduan,
mahasiswa,
najib razak,
umno