Followers

Friday, February 7, 2020

Pakatan Nasional Kena Bungkus Ikat Tepi ?



 Pakatan Nasional hanya Spekulasi - Annuar

Cakap-cakap mengenai penubuhan pakatan baharu politik yang digelar ‘Pakatan Nasional’ adalah spekulasi dan bersifat pra-matang, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau menegaskan pembentukan kerajaan lain selain Pakatan Harapan (PH) disifatkan tidak berasas atau tiada keperluan melainkan PH gagal sebagai satu gabungan.

“Selagi mana PH kekal sebagai satu gabungan yang berjaya membentuk kerajaan berikutan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), selama itulah teori Pakatan Nasional hanya satu teka-teki dan polemik politik,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau mengulas desar-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional membabitkan parti pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama UMNO dan PAS.

Annuar turut melahirkan rasa hairan bagaimana spekulasi ini muncul.

“Besar kemungkinan polemik ini berpunca daripada beberapa perbincangan tertutup dalam kalangan UMNO khususnya menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi esok (hari ini),” katanya.

Namun beliau mengakui, perbincangan mengenai penubuhan pakatan baharu itu pernah diadakan tetapi sebagai satu persiapan untuk menghadapi kebarangkalian PH gagal sebagai satu gabungan.
Katanya, perbincangan itu juga mengambil tempat dengan andaian Dr Mahathir sudah berpatah arang dengan pemimpin dalam PH.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional boleh membuat ketetapan untuk mewujudkan pakatan baharu politik dengan BERSATU jika keadaan benar-benar memerlukan.

“UMNO dan PAS sudah beberapa kali berbincang perkara ini. Bagi kita Muafakat Nasional itu amat penting dan sangat diharapkan oleh rakyat.

“Walaupun Ahli Parlimen PAS sudah menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir mengekalkan tugasnya sehingga tamat penggal, UMNO belum memuktamadkan pendiriannya sehingga wujud keadaan memerlukan UMNO/Barisan Nasional (BN) membuat keputusan,” katanya.

Dalam hal ini, Annuar menjelaskan yang pendirian UMNO ialah tidak akan menyokong atau bekerjasama dengan mana-mana parti jika ada DAP dalam kerjasama itu serta keputusan itu dibuat secara ‘En Bloc’.

“Sekiranya tiada DAP, baharulah UMNO akan mengkaji, itu pun mestilah cermat, berhati-hati dan tertakluk kepada syarat dan terma tertentu. Tiada ‘cek kosong’ dari UMNO,” katanya.

Beliau berkata, jika gabungan baharu itu sesuai dengan aspirasi BN dan Muafakat Nasional, maka sebuah kerajaan baharu dapat ditubuhkan tanpa menerusi pintu belakang, tetapi ‘pintu depan rumah baharu’.

“Perkara inilah yang sememangnya boleh dan sedang dibincangkan,” katanya.

sumber...

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman