Followers

Showing posts with label jho low. Show all posts
Showing posts with label jho low. Show all posts

Saturday, September 7, 2019

Kes 1MDB: Bekas Pegawai Najib Londeh 10 Perkara




Kes 1MDB: 10 Perkara Didedah Bekas Pegawai Khas Najib

KES 1MDB | Lima hari pertama perbicaraan kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak setakat ini telah menyaksikan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin tampil sebagai saksi penting pendakwaan.

Amhari, 43, yang berkhidmat untuk Najib selama 10 tahun, memberi butiran mengenai kerja-kerja pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan urusan mereka dengan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Amhari memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia selepas tamat pengajian pada 1999, sebelum dipindahkan ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sebagai pegawai khas Effendi Norwawi, yang merupakan menteri yang bertanggungjawab memantau EPU di bawah PMO pada tahun 2006.

Dua tahun kemudian, Amhari kembali ke BNM sebagai pengurus Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia dan sempat berkhidmat selama dua bulan ketika ditawarkan untuk menjadi pegawai khas Najib.

Amhari kemudian ditugaskan untuk menguruskan media sosial dan komunikasi dalam talian untuk Najib, yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri. Tugas lain termasuk mempromosikan jenama 1Malaysia.

Amhari diletakkan di bawah pengawasan Azlin. Apabila Najib menjadi perdana menteri keenam pada April 2009, Azlin menjadi pengarah Bahagian Ekonomi PMO, dan Amhari telah ditugaskan menjadi pegawai khas kepada PM yang turut berada di jabatan yang sama.

Selepas kematian Azlin dalam nahas helikopter pada tahun 2015, Amhari kemudian diberikan tugas Azlin, termasuk urusan yang sangat sulit bagi mewakili pihak perdana menteri.

Pada 2016, Amhari dipindahkan dari Bank Negara ke Khazanah Nasional Bhd, dan menerima gaji bulanan sebanyak RM55,000. DIa memperoleh RM25,000 sebulan ketika berada di bawah BNM.
Menurut keterangannya di mahkamah, sejak pemindahannya ke Khazanah Nasional, Amhari memperoleh RM75,000 sebulan, termasuk RM20,000 lagi sebagai pengarah Orb Solutions Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2010 untuk membantu mempromosi Najib dalam talian.
Antara perkara penting dari keterangannya adalah seperti berikut:

1) Pegawai Najib mengadakan pertemuan rahsia dengan Jho Low

Amhari memberi keterangan mendakwa bahawa dian dan pegawai atasannya di PMO, Allahyarham Azlin Alias, telah bertemu Jho Low secara rahsia berhubung 1MDB tetapi hanya menyedari ia merupakan satu skandal apabila nama syarikat tersebut mula timbul dalam berita.
Menurutnya, ini kerana kerja-kerja mereka dibahagikan secara berasingan, dan hanya Najib dan Jho Low "mempunyai gambaran keseluruhan mengenai apa yang dirancang".

Amhari memberi keterangan bahawa pertemuan dengan Jho Low dilakukan pada waktu malam di Prince Hotel di Kuala Lumpur di mana projek dan keputusan utama dibincangkan.

2) Amhari mendakwa Jho Low berada dalam lingkungan keluarga Najib

Amhari pertama kali berjumpa dengan Jho Low pada tahun 2007 ketika menjadi pegawai khas kepada Mohd Effendi Norwawi, kemudian Menteri yang bertanggungjawab memantau EPU.
Menurutnya, sejak pertama kali bertemu dengan Jho Low, ahli perniagaan itu banyak bercakap tentang keluarga Najib seolah-olah dia berada di dalam keluarga keluarga timbalan perdana menteri itu.

Jho Low juga kemudian memberitahu Amhari bahawa dia rapat dengan Najib, dan Jho Low mengenali ahli parlimen Pekan itu melalui anak Najib, Riza Aziz memandangkan Jho Low sudah mengenali Riza sejak zaman remaja mereka.

"Banyak kali Jho bercakap tentang kekerapan pertemuannya dengan keluarga Najib dan kadang-kadang dia tahu lebih banyak mengenai rancangan yang telah dibuat oleh keluarga Najib walhal saya sendiri, sebagai pegawai khasnya, tidak tahu mengenainya," kata Amhari.

Amhari juga mendakwa bahawa isteri Najib, Rosmah Mansor sering menerima panggilan daripada Jho Low.

3) Jho Low tahu lebih banyak maklumat daripada pegawai Najib sendiri

Menurut Amhari, Najib sering berjumpa dengan Jho Low untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk hal-hal sulit.

Amhari yang menggambarkan Jho Low sebagai 'penasihat penting' kepada Najib berkata ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu telah mengenali Najib sebelum Amhari menjadi pegawai khasnya.

Amhari turut menggambarkan Jho Low 'sangat rapat’ dengan Najib dan isterinya, Rosmah.
Menurutnya, terdapat juga situasi ketika arahan khusus yang melibatkan perkara sulit diberikan kepadanya atau Azlin oleh Jho Low.

Dia percaya bahawa Najib telah meluluskan arahan ini kerana ketika mereka mengesahkan perkara tersebut dengan Najib, Najib mengetahuinya dan mengarahkan Amhari dan Azlin untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh Jho Low.

Amhari juga memberi keterangan bahawa dia percaya yang Jho Low adalah “pakar manipulasi”, yang dapat memperoleh perkara yang diinginkan.

"Sepanjang pengalaman saya berurusan dengan Jho Low, saya mendapati dia pandai dan manipulatif ketika berurusan dengan pegawai dari pelbagai peringkat dan pangkat, dari Malaysia atau luar negara, yang kebanyakannya diketahui Najib," katanya.

4) Jho Low menggunakan pembantu Najib untuk membuka akaun bank

Pada 2012, Amhari dan Azlin membuka akaun bank di luar negara atas arahan Jho Low, dan Jho Low mendakwa ia sebagai akaun ‘standby’ dan ‘just in case’ yang akan dikendalikan olehnya.

Walaupun kedua-dua mereka menyatakan kebimbangan, Amhari berkata mereka terpaksa mengikut perintah Jho Low kerana mereka takut sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka atau kerjaya mereka jika mereka memilih untuk melawannya.

Amhari kemudian mendapat tahu pada tahun 2016 bahawa akaunnya dengan BSI Switzerland mempunyai lebih dari AS$800,000 ketika dia menerima panggilan daripada bank. Bagaimanapun, akaun itu terpaksa ditutup atas arahan BSI dan dia terpaksa membuka akaun lain di Bangkok.

Dia mendakwa kedua-dua akaun itu berada di bawah kawalan Low dan tidak tahu apa yang berlaku kepada wang itu.

5) Jho Low mengarahkan pembantu Najib untuk hapuskan dokumen, tetapi Amhari tidak melupuskan kesemuanya

Amhari di mahkmah juga mendakwa bahawa Jho Low sentiasa mengingatkan dia dan Azlin untuk menghapuskan dokumen yang mereka miliki selepas setiap mesyuarat.

Selain dokumen, pegawai-pegawai juga dimaklumkan untuk memadamkan setiap e-mel dan mesej Blackberry Messenger yang Jho Low telah hantar kepada mereka.

Menurut Amhari, ketika menghapuskan dokumen dari perbincangan mereka, ada beberapa yang dia terlepas pandang.

Amhari bagaimanapun percaya bahawa Azlin mungkin telah menghapuskan semua dokumen dalam simpanannya kerana menurutnya Azlin merupakan seseorang yang pandai menyimpan rahsia.

6) Jho Low bertemu dengan Agong terdahulu mengenai 1MDB

Amhari pertama kali menyertai mesyuarat berhubung rancangan untuk menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), (nama sebelum ditukarkan kepada 1MDB), atas perintah Jho Low, yang mendakwa bahawa dia mendapat kelulusan Najib untuk meyakinkan Amhari.

Sekitar akhir 2008, pertemuan itu diadakan di Istana Terengganu di Kuala Lumpur, dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.


 Menurut Amhari, Jho Low telah membangkitkan rancangan untuk menubuhkan TIA kepada Agong ketika itu, tetapi Tuanku Mizan tidak memberikan sebarang keputusan.

Amhari berkata dia mula mengetahui tentang rancangan untuk menubuhkan TIA menerusi kutipan dana apabila Jho Low menjelaskan kepadanya tentang idea menggunakan papan putih di dapur rumah Jho Low di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa rancangan TIA mengambil model dana kekayaan Mubadala di Abu Dhabi, dan TIA adalah projek Najib.

Amhari juga memberi keterangan bahawa Jho Low terlibat dalam perancangan kerjasama 1MDB dengan IPIC dan Aabar. Bagaimanapun, Amhari berkata dia tidak mempunyai banyak maklumat kerana kebanyakan perbincangan telah dikendalikan oleh Azlin.

7) Jho Low arahkan naratif mengenai kawalan kerosakan 1MDB

Selepas skandal 1MDB mendapat tumpuan, PMO terutamanya Azlin yang merupakan ketua setiausaha sulit Najib perlu mendapatkan penyelesaian untuk melindungi imej Najib sebagai perdana menteri.

Amhari berkata, Jho Low telah memainkan peranan dalam usaha menangani kesan skandal 1MDB, dengan  beliau telah menyediakan kandungan ucapan dan pelan tindakan untuk PMO.

Ahli perniagaan tersebut juga telah memberikan soalan-soalan lazim (FAQ) kepada PMO untuk digunakan apabila menjawab soalan 1MDB.

Menurut keterangan Amhari, pada satu tahap, Jho Low juga menyediakan dokumen yang menyangkal dirinya sendiri mempunyai sebarang peranan dalam 1MDB.

Amhari berkata apabila pihak berkuasa Malaysia menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat isu 1MDB, Jho Low menyerahkan dokumen kepadanya dan Azlin untuk membuktikan, antara lain, tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Petrosaudi.

8) Pelan rasionalisasi 1MDB datang dari Jho Low

Antara lewat tahun 2014 dan awal 2015, Amhari menerima dokumen yang disediakan oleh Jho Low, yang memperinci rancangannya untuk menyelesaikan hutang 1MDB.

Menurut saksi, dokumen yang bertajuk '1MDB Rationalisation Plan Overview: Accompanying Notes' menerangkan pelan rasionalisasi untuk 1MDB.

"Dokumen ini adalah rancangan Jho Low untuk menyelesaikan hutang 1MDB. Nota ini adalah untuk menjelaskan pelan rasionalisasi untuk 1MDB. Pelan ini merupakan isu hangat ketika itu.

"Oleh kerana isu 1MDB tersebut tidak begitu baik, rancangannya adalah untuk menjual semua aset dan liabiliti 1MDB, dan untuk menutup 1MDB.

"Jho Low mahu menjual semua aset dan liabiliti 1MDB untuk menampung masalah hutang yang dihadapi oleh 1MDB."

9) Najib mengarahkan Amhari untuk berunding penyelesaian IPIC

Apabila Abu Dhabi berhasrat membawa Malaysia ke mahkamah antarabangsa berikutan hutang 1MDB kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) pada tahun 2016, Najib kemudian mengarahkan Amhari untuk mengadakan misi rundingan.

Dia diminta berunding dengan ketua pegawai eksekutif Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi.
"Najib menjelaskan jika Abu Dhabi mengheret Malaysia ke mahkamah antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin oleh IPIC, ia akan menjejaskan hubungan dua hala antara negara, dan juuga mencetuskan risiko politik dalam pilihan raya umum akan datang.
"Pada masa itu, isu 1MDB masih menjadi topik hangat di seluruh dunia," katanya.

Menurut Amhari, satu siri rundingan kemudiannya dijalankan, termasuk antara 1MDB dan IPIC dan peguam kedua-dua syarikat tersebut, sebelum perjanjian penyelesaian akhirnya ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada pertengahan 2017.

10) Tiga rundingan dengan China bertujuan untuk menyelamatkan 1MDB

Sekitar masa yang sama ketika rundingan dengan Abu Dhabi sedang berjalan untuk mencapai penyelesaian hutang 1MDB, Amhari juga telah dihantar untuk misi lain ke China - bagi membincangkan projek-projek yang akan menyelamatkan 1MDB.

Amhari berkata dia diarahkan oleh Najib untuk terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB.

"Seperti yang ditunjukkan oleh (ahli perniagaan itu) Low Taek Jho menerusi kandungan ucapan dan pelan tindakan kepada saya, perjanjian dan usaha (antara Malaysia dan China) bertujuan untuk menjadi pelaburan yang akan membantu membayar hutang 1MDB (bailout) seperti hutang kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

"Saya juga boleh mengesahkan bahawa lawatan saya ke China (pada tahun 2016) hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib," kata Amhari.

Projek-projek yang Amhari maksudkan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP).

Merujuk kepada dokumen yang bertajuk 'Action Point: China-Malaysia Economic Programme' yang dihantar melalui e-mel kepada Amhari oleh Jho Low, Amhari berkata e-mel itu bertujuan untuk memastikan Najib memberi Terence Geh, rakan sekutu Jho Low, peranan penyelaras untuk 1MDB dan program penyelesaian hutang SRC yang dikaitkan dengan rundingan pelaburan Malaysia-China.

Saksi itu berkata dokumen menyatakan cadangan projek yang boleh menyelamatkan 1MDB.

"Dokumen tersebut memiliki nota pada maklumat (talking points) untuk mengemas kini status projek itu dan juga susulan kerja kepada tiga projek iaitu TSGP, MPP dan ECRL," kata Amhari.
Pada Nov 2016, Najib mengunjungi China untuk membuat beberapa perjanjian dengan negara tersebut dan syarikat-syarikat di negara itu.

Menurut Amhari, perjanjian tersebut merupakan:

1. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan di antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd, dan CPP dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER)
2. Perjanjian pembiayaan penuh antara China Exim dan ECRL dan antara China Exim dan SSER.
3. Perjanjian penuh Bon Renminbi antara China dan ECRL, dan antara SSER dan pihak China.

sumber...mKini

Sunday, November 25, 2018

Madinah: Najib Juga Arah Sendiri Laporan Audit 1MDB dipinda



Selain bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho, pentadbiran BN turut mengarahkan beberapa lagi pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB, kata Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

Ia termasuklah perenggan berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi 2014 yang diarahkan sendiri oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah berkata, Najib membuat arahan itu dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas ketua setiausaha negara Dr Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri Shukry Salleh dan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

"Bekas perdana menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014, dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Pada 23 Februari (keesokannya), dalam mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara yang dihadiri Ali, Shukry dan Ambrin, pasukan audit 1MDB dimaklumkan kerajaan telah mengkategorikan laporan akhir itu sebagai satu krisis," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sejak mesyuarat 22 Februari itu, kata Madinah lagi, empat pindaan lagi dibuat termasuk bahagian yang menyebut kehadiran Jho Low dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
"...Atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar-belit pembangkang (pada masa itu)," katanya.

Selain bahagian berkenaan penyata kewangan 2014 dan Jho Low, Madinah bagaimanapun tidak menerangkan secara terperinci bahagian lain yang dipinda atau digugurkan daripada laporan itu.

Selepas lima pindaan itu, Madinah berkata barulah naskhah laporan dicetak ppada 3 Mac 2016 dan diserahkan kepada bekas setiausaha sulit kanan ketua setiausaha negara.

"Pada 4 dan 7 Mac 2016, bekas ketua audit negara membentangkan laporan akhir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

"Laporan akhir audit 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018," katanya lagi.

Pindaan terhadap laporan audit ini didedahkan oleh Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada 29 Oktober lalu. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci, sebaliknya hanya mengatakan "kandungan yang hilang itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu".

Keesokannya, Ambrin menafikan dakwaan itu dan berkata tidak tahu apa yang dimaksudkan Wong.

Dua hari lalu, laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber menamakan Najib sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan pindaan itu

Menurut laporan itu, sumebr itu mendakwa ia dibuat dalam mesyuarat di pejabat perdana menteri dan mengeluarkan maklumat berkenaan pembabitannya dan Jho Low dalam 1MDB.

sumber...mKini

Saturday, November 24, 2018

Utusan: Laporan Audit 1MDB Dipinda Atas Arahan Najib



Laporan ketua audit negara mengenai 1MDB pada 2016 telah "dipinda" atas arahan perdana menteri ketika itu Najib Razak, menurut Utusan Malaysia.

Memetik sumber, akhbar harian milik Umno itu melaporkan pindaan yang melibatkan mengeluarkan maklumat berkaitan Najib dan Jho Low.

"Menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.

"Pindaan itu, tambah sumber berkenaan, difahamkan dibuat dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

"Sumber tersebut memberitahu, laporan asal itu mendedahkan bahawa Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB," lapor akhbar itu.

Beberapa pegawai kanan kerajaan turut hadir sama pada mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri itu.

'Mungkin ditipu Jho Low'

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas dari pejabat Najib mengenai dakwaan ini.
Ketua Audit Negara Madinah Mohamad akan menyerahkan laporan audit "asal" mengenai 1MDB pada bulan depan, kata Utusan lagi.

Semalam, Najib memberitahu Sinar Harian dalam wawancara bahawa pentadbirannya mungkin telah ditipu oleh Low berdasarkan maklumat yang diketahui kini.

Pentadbiran Najib telah lama mempertahankan Low tidak ada kaitan dengan 1MDB, walaupun terdapat bukti yang dikemukakan pihak berkuasa negara lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Low didapati telah memainkan peranan utama dalam mendapatkan perkhidmatan bank Goldman Sachs untuk memudahkan pengeluaran bon pinjaman berjumlah berbilion ringgit untuk 1MDB.

Low berhadapan pertuduhan mengubah wang haram di Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib, yang juga bekas penasihat 1MDB dengan kuasa eksekutif, kini antara lainnya turut dikenakan pertuduhan pengubahan wang haram di Malaysia.

sumber...mKini

Tuesday, March 6, 2018

Equanimity: DOJ di Jakarta Untuk Tuntut Kapal Jho Low


Pasukan pendakwa Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) kini di Jakarta, Indonesia bagi menuntut kapal layar mewah -  The Equanimity -  milik ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Rebublik Indonesia Daniel Silitonga berkata pasukan itu sudah berada di negara itu sejak seminggu yang lalu.

"Ya (pasukan pendakwa sudah berada di Indonesia) sejak seminggu yang lalu.

"Dua persoalan yang sudah dilaporkan oleh AS secara rasmi mengenai siasatan kes berkenaan rasuah dan pengubahan wang haram.

"DOJ AS yang melakukan tuntutan itu kini berada di Indonesia untuk mengadakan penyelarasan undang-undang antara Indonesia dan Amerika," katanya kepada Malaysiakini.

Kapal layar Equanimity sebelum ini ditahan penguatkuasa Indonesia atas permintaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Pemfailan mahkamah oleh DOJ mendakwa kapal bernama The Equanimity itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Kapten matikan AIS

Dalam saman pelucuthakan sivil yang difailkan pada 16 Jun 2017, DOJ mendakwa wang itu dipindahkan ke sebuah akaun di Caledonian Bank di Kepulauan Cayman yang dipegang bawah nama "World View Ltd" dalam empat peringkat.

"Atas maklumat dan kepercayaan, dana yang dipindahkan ke dalam Akaun World View telah digunakan untuk memperoleh The Equanimity dan telah dihantar dengan cara yang bertujuan untuk menyembunyikan asal-usul, sumber, dan pemilikan hasil Jenayah [...]," dakwa DOJ.

Menurut pemfailan itu, The Equanimity berukuran 300 kaki (91.4 meter) yang dibina oleh Oceanco di Rotterdam, Belanda, pada tahun 2014, dan didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Ia boleh membawa 26 tetamu dan sehingga 33 anak kapal. Kemudahannya termasuk pad pendaratan helikopter, gimnasium, panggung wayang, sauna, bilik wap dan 'experimental shower' dan kolam mandi.

Kapal layar itu juga menjadi buruan pihak berkuasa AS sejak 2015 dan disyaki bersembunyi di Indonesia.

Bagaimanapun pada 21 Febuari lalu, kapal layar mewah itu berjaya ditahan di Benoa Bali.

Menurut polis Indonesia, kapten kapal, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika disyaki sengaja mematikan automated identification system (AIS) bagi mengelak pengawasan pihak berkuasa.

Serah kepada FBI

Khamis lalu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata kerajaan tidak akan membuat tuntutan terhadap Indonesia kerana kapal itu bukan dimiliki kerajaan.

"Kenapa kerajaan nak tuntut sesuatu yang bukan miliknya?" kata Apandi.

Sementara itu Silitonga turut ditanya adakah pihaknya menghentikan siasatan setelah menyerahkan kapal mewah itu kepada FBI, beliau berkata Indonesia hanya membantu siasatan dan akan menyerahkan bahan bukti kepada FBI.
 
"Indonesia tidak melakukan penyiasatan. Jadi kita akan serahkan semua bukti (kepada FBI) dan perkara-perkara yang kita dapat sepanjang kami lakukan siasatan di Indonesia," katanya.

Jho Low melalui jurucakap dilapor berkata rampasan itu tidak berasas dan bermotifkan politik.
 
Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada bukti yang menunjukkan Jho Low adalah pemilik Equanimity.
 
sumber...Anne Muhammad dan Alyaa al Hadjri mKini

Wednesday, February 4, 2015

Terbongkar Siapa Blogger Pro Jho Low ?


TERBONGKAR! Blogger pro-Jho Low di belakang serangan terhadap Dr M, Nazir dan pemilik The Edge 

Blogger tidak dikenali yang mengendalikan malaysianexpose.wordpress.com dan membuat serangan tidak berasas terhadap Datuk Tong Kooi Ong dan The Edge Media Group merupakan pihak yang sama di sebalik serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazir Razak.

Pada masa sama, siasatan menunjukkan, ia juga menulis blog lain yang mengandungi artikel memuji ahli perniagaan Jho Low.

Seperkara yang sama di sebalik serangan tersebut ialah The Edge banyak menulis pendedahan tentang syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sementara bekas perdana menteri itu juga terang-terangan mengkritik dana pelaburan negara tersebut, mengatakan ia tidak diperlukan dan patut ditutup.

Nazir, pengerusi CIMB Group, pernah dalam perbualan peribadinya melahirkan kebimbangan tentang hutang RM48 bilion 1MDB yang akan memberi risiko kepada sistem ekonomi dan perbankan sekiranya ia gagal.

Dalam satu temuramah bersama The Star pada Disember 2013, Nazir juga berkata beliau bimbang bagaimana 1MDB boleh membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) memandangkan sudah terdapat lebihan bekalan ruang pejabat sedia ada.

Blogger tersebut bukan sahaja menyerang Dr Mahathir, tetapi juga anaknya, ahli perniagaan Tan Sri Mokhzani dan Datuk Mirzan serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz.

Blogger tersebut juga menyerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang turut menyuarakan kebimbangannya mengenai 1MDB.

Dalam kes Nazir, isteri dan anak-anaknya juga terpalit dengan fitnah.


Snapshot cache Google blog kronismemahathir.wordpress.com seperti yang dilihat pada 16 Januari, 2015 yang menerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.


Snapshot cache Google blog kronismemahathir.wordpress.com seperti yang dilihat pada 16 Januari, 2015 yang menerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.

Sementara itu, Low Taek Jho, 30-an, yang berasal dari Pulau Pinang, juga dikenali sebagai Jho Low, terlibat dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (nama 1MDB sebelum ini).

Beliau masih lagi berpengaruh luas di 1MDB kerana hubungan rapatnya dengan pihak Abu Dhabi yang mempunyai urusan bernilai berbilion ringgit dengan syarikat kontroversi yang sarat menanggung hutang itu, yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Low yang sering dilihat di parti mewah dengan selebriti Hollywood seperti Paris Hilton dan Leonardo Di Caprio, mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB, termasuk tawaran £1 billion (RM5.6 bilion) untuk kumpulan hotel UK Coroin Ltd yang gagal pada 2011.

1MDB memberi surat sokongan kepada Kumpulan Wynton milik Low untuk membeli Coroin yang memiliki beberapa hotel, termasuk Claridge's.

Low membuat bidaan tersebut bersama rakannya Sheikh Mansour Zayed of Abu Dhabi, yang juga pemilik kelab English Premier League Manchester City.

Namun mereka gagal kerana sesetengah pemegang saham Coroin merasakan, perjanjian yang dicadangkan dengan hutang yang tinggi (seperti kebiasaan perjanjian dibuat 1MDB) tidak dapat berfungsi.

Namun Low dan Sheikh Mansour, yang membeli saham kecil dari Coroin sebelum cuba membeli semua sahamnya, dipercayai mengaut keuntungan besar selepas menjual saham mereka kepada pembeli berikutnya.

1MDB tidak pernah menjelaskan mengapa ia mengeluarkan surat sokongan tersebut, yang timbul semasa kes mahkamah di London melibatkan pemegang saham Coroin yang bertelagah, bagi membantu Low.

Tahun lepas, The Edge Media Group menyiarkan beberapa pendedahan tentang hal ehwal 1MDB, termasuk sokongan 1MDB bagi Low untuk membeli Coroin serta pembelian tanah RM1.38 bilion di Pulau Pinang seminggu sebelum Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13), daripada ahli perniagaan yang rapat dengan Low dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng.

The Edge melaporkan yang 1MDB terlebih bayar bagi bidang-bidang tanah yang bermasalah, dan ia akan kehilangan banyak wang untuk membina 9,999 perumahan mampu-milik, disebabkan kos tanah yang tinggi serta kos mengosongkan beberapa ribu rumah yang berada di sana sejak 1950-an.

Blogger yang tidak dikenali itu menggunakan nama 'ahrily90' dan menulis di blog berikut sejak pertengahan tahun 2014:

kronismemahathir.wordpress.com

politikukus.wordpress.com

Dua blog ini menyerang Dr Mahathir sejak Julai tahun lepas.

ahrily90 juga menulis 2 blog yang menyerang Nazir:

Snapshot cache Google blog kamibukanbodohtau.wordpress.com seperti yang dilihat pada 30 Januari, 2015. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.

Snapshot cache Google blog kamibukanbodohtau.wordpress.com seperti yang dilihat pada 30 Januari, 2015. – Gambar dari Google, 3 Februari, 2015.


kamibukanbodohtau.wordpress.com

corruptednazirrazak.wordpress.com

Serta 3 blog yang memuji 1MDB serta Jho Low:

bisnes2malaysia.wordpress.com

todayinbusiness.wordpress.com

worldofcorporate.wordpress.com

Kebanyakan artikel yang ditulis menggambarkan beliau sebagai pelabur global dan dermawan melalui firma Hong Kong miliknya Jynwel Capital Limited. Ini termasuk menghulurkan AS$20 juta bagi kemandirian kucing hutan dan AS$50 juta kepada pusat penyelidikan kanser universiti.

Beberapa artikel menyentuh tentang kejayaannya, termasuk dalam membantu Kuwait Finance House membeli apartmen mewah Oval di Kuala Lumpur, yang kemudiannya dijual dengan keuntungan AS$20 juta.

Dia juga dilaporkan membeli Hotel L'Ermitage Beverly Hills serta membuat tawaran membeli Reebok tahun lepas untuk AS$2.2 bilion.

Satu artikel bertajuk "Jynwel Capital: Rooted in the Past, Invested in the Future" dan satu lagi bertajuk "Entrepreneur and Philanthropist's Generosity Inspires at Children's Ball".

Blog todayinbusiness.wordpress.com dan worldofcorporate.wordpress.com ditutup minggu lepas, namun segala yang ditulis ahrily90 boleh dijumpai di cache Google blog tersebut.

ahrily90 menukar nama WordPressnya untuk blog-blog berbeza minggu lepas kepada  julijulipeh, Pen Jingga, saberarturia18, dan rahmanirwan74.

ahrily90 juga ada menulis artikel di laman lowtaekjho.wordpress.com, yang juga kini ditutup oleh penulisnya.

Pihak yang berada di sebalik blog-blog ini menyedari dirinya sudahpun terdedah, dan kini sedang cuba memadamkan jejaknya dengan menukar 'username' yang digunakan.

Dia juga sedang cuba memisahkan blog-blog tersebut.

Namun sesiapa yang menaip 'ahrily90' ke dalam carian Google akan mendapat bukti yang mengaitkan kesemuanya dan menunjukkan beliau sebagai pihak yang di sebalik serangan terhadap Dr Mahathir dan Nazir sejak pertengahan tahun 2014, dan terbaru, terhadap Tong dan The Edge Media Group serta The Malaysian Insider.

Dan semuanya berkaitan kritikan terhadap 1MDB.

Jadi, siapa yang mengupahnya melakukan semua ini?


oleh The EDGE