Followers

Showing posts with label Alam Semesta. Show all posts
Showing posts with label Alam Semesta. Show all posts

Sunday, July 31, 2011

Artik tiada ais menjelang 2030

Cuaca semakin panas di Kutub Utara

COLORADO: Lautan ais di Artik dilaporkan cair pada kelajuan tertinggi pada tahun ini, menunjukkan kenaikan suhu di Kutub Utara semakin meningkat menyebabkan sebahagian besar kawasan Artik diramalkan tiada lagi ais 30 tahun lagi.
Menurut pemantauan satelit Pusat Data Ais dan Salji Kebangsaan Amerika Syarikat (NSIDC), hanya 15 peratus kawasan Artik diselaputi ais baru-baru ini, iaitu seluas 8.5 kilometer persegi, kadar paling rendah berbanding rekod sebelumnya yang dibuat pada 2007.
Selain itu, data terbaru Pusat Sains Pola Universiti Washington menunjukkan ketebalan ais kawasan Artik tahun ini juga adalah yang paling nipis.
Pengarah NSIDC, Mark Serreze, berkata sejak dua minggu lalu laut Artik kehilangan 150,000 kilometer persegi kawasan berais sehari.

“Kadar ais yang menutupi kawasan semakin berkurangan dan pada masa sama semakin menipis. Keadaan cuaca yang sebelum ini mencairkan ais menyebabkannya cair lebih pantas.

“Keadaan boleh berubah tetapi proses itu akan berterusan sehingga tiada lagi ais di Artik menjelang 2030. Kecairan ais akan berterusan,” kata Serreze.
Pemanasan global mencairkan ais Artik sejak 30 tahun lalu pada kadar tiga peratus setiap dekad secara purata. Tetapi dua data baru menunjukkan bahawa Artik yang bebas ais boleh menjadi kenyataan dalam masa 30 tahun, jika ia berterusan.

Ia adalah 40 tahun lebih awal daripada yang dijangkakan dalam penilaian laporan terakhir Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Lautan ais yang berada pada tahap maksimum pada Mac dan paling rendah dalam September setiap tahun disifatkan ‘keadaan yang membimbangkan’ bagi perubahan iklim kerana cuaca kutub semakin panas lebih cepat berbanding tempat lain di Bumi.

Berdasarkan NSIDC, suhu udara bagi Jun 2011 adalah antara 1 dan 4 darjah Celsius lebih tinggi kepanasannya berbanding kebanyakan tempat lain di Artik.

Keputusan itu menyokong kajian dalam jurnal sains baru-baru ini yang mengatakan bahawa aliran air dari Atlantik ke laut Artik adalah lebih panas hari ini berbanding 2,000 tahun dan boleh menjadi satu penerangan kepada kecairan lautan ais besar-besaran sekarang yang dipantau.

Simulasi komputer oleh NASA menunjukkan bahawa kecairan ais Laut Artik tidak akan berterusan secara tetap. Berbanding dengan 1950-an, lebih separuh ais Laut Artik sudah hilang.

Pengasas halaman web pemantauan iklim Weather Underground, Jeff Masters, berkata satu sistem tekanan tinggi berpusat di utara Alaska menyebabkan langit cerah dan sinaran matahari mencairkan ais Artik.

“Gabungan tindakan udara mengikut aliran jam di sekitar kawasan tinggi tinggi dan melawan arah jam di seluruh sistem tekanan rendah berhampiran pantai barat Siberia menyebabkan panas, angin selatan ke Artik yang mendesak ais jauh dari pantai Siberia, menggalakkan pencairan,” katanya.

sumber... Agensi



Sunday, June 12, 2011

Gerhana bulan paling gelap dijangka khamis ini

Kejadian dijangka Khamis ini

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku Khamis ini iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.
Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.
Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.
Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.

sumber...bh

Thursday, May 26, 2011

Petir bunuh 40 rakyat Bangladesh


Angka korban terbesar seluruh negara berikutan ribut dalam tempoh sehari

DHAKA: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh disambar petir manakala 150 lagi cedera selepas Bangladesh dilanda cuaca buruk ketika kebanyakan mangsa sedang menuai di sawah padi atau memancing ikan, kata jurucakap polis dan pegawai pihak berkuasa tempatan semalam.
Angka korban itu adalah yang terbesar akibat dipanah petir dalam tempoh sehari dalam kejadian yang berlaku kelmarin.

Ribut yang berlaku sebelum musim hujan mulai Mei atau Jun sering menyebabkan penduduk menjadi mangsa disambar petir selain merosakkan tanaman.

Antara yang maut termasuk lapan petani yang berada di sawah untuk menuai padi. Angka korban itu direkod di 11 daerah di seluruh Bangladesh setakat ini. Kawasan paling teruk mencatat bilangan mangsa akibat ribut petir ialah di rantau barat laut negara itu.

Kebanyakan mangsa disambar petir antara jam 6.30 pagi dan 10 pagi waktu tempatan ketika penduduk sedang mengutip buah-buahan atau bekerja di ladang tanaman. Hujan lebat berterusan sepanjang waktu pagi.

Daerah yang terjejas adalah Chapainawabganj, Pabna, Joypurhat, Rajshahi, Gaibandha, Kurigram, Naogaon, Manikganj, Gopalganj, Khulna dan Khagrachharhi. Angka kematian besar berlaku di Chapainawabganj.
Sepuluh orang maut di daerah barat laut Chapainawabganj manakala 10 lagi terbunuh dan seorang cedera apabila disambar kilat di kawasan Shibganj, Nachol dan Gomastapur, daerah Chapainawabganj.

Di daerah Sardar, dua pelajar disambar kilat ketika mengutip buah mangga, seorang daripadanya maut.

Anggota polis kawasan Shibaloy memaklumkan, enam orang terkorban di beberapa daerah pedalaman dan dua lagi maut di kejiranan Gomastapur. Di Faridpur, kilat menyambar dua orang dan menyebabkan 16 orang cedera.

Anggota keselamatan di balai polis Puthia di daerah Rajshahi pula memaklumkan bahawa empat orang termasuk seorang budak lelaki 10 tahun terbunuh di kawasan itu manakala di Sundarganj, Gaibandha, seorang budak lelaki enam tahun terbunuh dan lapan lagi cedera.

Di Pabna, dua maut manakala 17 lagi cedera di perkampungan Paspungali. Ribut turut merosakkan beratus rumah di Natore dan Singra. Sebagai tambahan, gangguan bekalan elektrik terganggu dan infrastruktur bandar itu turut rosak.

Anggota penyelamat sudah menemui semua mangsa manakala orang yang cedera dimasukkan ke hospital, kebanyakannya tidak parah, kata pegawai.

Reuters/Agensi