Followers

Showing posts with label Rais Yatim. Show all posts
Showing posts with label Rais Yatim. Show all posts

Friday, August 10, 2012

Blogger SHARPSHOOTER Kena Jel 3 Bulan

  
Hina mahkamah, pemimpin muda PKR dipenjara 3 bulan

Blogger Amizudin Mamat hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof semasa menyampaikan keputusan itu berkata Amizudin telah melanggar perintah mahkamah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Rais dalam laman blognya.

"Ini satu kes penghinaan yang serius, mahkamah kenakan perintah custodial selama tiga bulan penjara, berkuatkuasa hari ini," katanya.

Beliau berkata jika dilihat keseluruhan kes itu, penghinaan yang dilakukan Amizudin bukan sekali berlaku, tetapi beberapa kali dan ia bukan satu perkataan yang boleh diterima.

"Saya nak baca perkataan itu pun, tidak tergamak," katanya.

Selepas Zabariah membacakan keputusannya, Amizudin yang berada di luar kandang tertuduh bangun dan berkata: "Saya mengaku saya silap, saya memohon maaf, saya tidak faham."

Zabariah berkata jika tidak faham mengenai perintah mahkamah, Amizudin sepatutnya bertanyakan kepada peguamnya terutama apabila membabitkan kes pelanggaran perintah mahkamah.

Selesai prosiding, Amizudin yang kelihatan sedikit terkejut dengan keputusan mahkamah itu memeluk peguamnya Ahmad Nizam Hamid dan dia kemudiannya dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah untuk urusan ke penjara.

Pada 21 November tahun lepas, Rais, 70, diberi kebenaran untuk memulakan prosiding pemenjaraan terhadap Amizudin berhubung dengan saman yang difailkan olehnya.

Pada 19 Julai tahun lepas, Rais memenangi saman beliau dan blogger itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada menteri itu.

Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan, 2011, terhadap Amizudin, 42, yang merupakan anggota jawatankuasa Pemuda PKR, bagi memfitnah berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis, 2010.

Terdahulu, Ahmad Nizam dalam rayuan bagi hukuman ringan memohon mahkamah supaya tidak mengenakan hukuman penjara ke atas anak guamnya dengan mengambil kira bahawa Amizudin telah memohon maaf atas kesalahannya.

Bagaimanapun peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais berhujah bahawa artikel yang dikeluarkan itu bukan sekali tetapi 11 kali.

"Kalau buat sekali, kita mungkin anggap dia tersilap, ini 11 kali, dalam membuat rencana penghinaan itu, contemnor (seseorang yang telah melakukan penghinaan mahkamah) juga telah tulis dengan jelas bahawa dia sedar ada perintah mahkamah yang melarang dia daripada tulis sedemikian."

Muhammad Shafee memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman penjara ke atas Amizudin sebagai pengajaran kepadanya dan juga kepada bakal pesalah yang lain.

Bernama

Tuesday, July 31, 2012

"Tak Patut" Rais Yatim Malukan Najib



Logo Merdeka: Rais malukan Najib

Alasan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menarik balik logo Hari Kemerdekaan Malaysia merupakan suatu tindakan yang amat memalukan kerajaan, khususnya mencemar integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Kata Rais,"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."

Sebagai pengerusi sambutan kemerdekaan, Rais tidak harus membohongi rakyat. Semua orang tahu perancangan untuk mengatur acara Hari Kebangsaan memerlukan masa, tenaga dan peruntukan besar. Maka sudah tentu ia bukan kerja ad-hoc.

Tiada rakyat yang boleh percaya bahawa jawatankuasa sambutan kemerdekaan sudah sampai ke tahap ini, sebulan sebelum Hari Merdeka, masih belum memutuskan logo dan temanya.

Hakikatnya, Rais dan seluruh anggota Kabinet sedar bahawa memang logo dan tema itulah yang diputuskan kerajaan untuk dijadikan moto utama Hari Kemerdekaan.

Jika tidak, mengapa Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan beriya-iya mempertahankan logo dan tema Hari Merdeka, selepas dikritik hebat rakyat.

Saban tahun, iaitu pada setiap 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 daripada penjajahan British.

Bagi rakyat Malaysia, yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, Hari Kemerdekaan merupakan suatu perayaan yang bukan sahaja membebaskan negara dari cengkaman penjajahan, malah ianya adalah pencetus nilai keharmonian dan permuafakatan.

Dalam erti kata lain, menyambut merdeka harus diasingkan dari kongkongan fahaman ideologi kepartian dan politik.

Tidak kira Melayu, Cina, India, Punjabi, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Orang Asal, semuanya adalah rakyat Malaysia, yang harus patriotik mencintai negara.

Tidak kira PAS, Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, semuanya bertanggungjawab menyuburkan semangat kemerdekaan, dengan hasrat untuk terus memelihara kemakmuran negara.

Kita harus bertegas, tiada kompromi dalam soal keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. Tiada sesiapa yang harus mencemarkan imej negara. Tiada sesiapa yang harus dibenar untuk menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini.

Dan, tidak harus bagi sesiapa pun yang boleh dibenarkan untuk mencemar kesucian kemerdekaan negara, dengan matlamat politik yang sempit.

Tidak harus sama sekali kerajaan Umno-Barisan Nasional, khususnya Perdana Menteri, mempergunakan semangat kemerdekaan, demi menggapai sokongan rakyat yang semakin tiris terhadap mereka.

Inilah peristiwa malang yang berlaku dalam negara kita. Malang apabila slogan 'Janji Ditepati', yang digunapakai sebagai slogan teras kempen Pengerusi BN dan Presiden Umno, dijadikan slogan menyambut Hari Kemerdekaan.

Slogan ini tidak harus diterima kerana ia tidak melambangkan permuafakatan rakyat. Ia tidak melambangkan cetusan untuk memupuk keharmonian kaum.

Ianya adalah slogan satu hala, semata-mata untuk menyemarakkan propaganda BN, kononnya 55 tahun pentadbiran mereka, segala janji sudah ditunaikan.

Jelas pada kita, sama ada mereka dari kalangan pemimpin Umno tidak tahu membezakan peranan parti dengan kerajaan, atau pun, selama ini mereka hanya menganggap kerajaan itu Umno, Umno itu kerajaan. Suka hati hendak buat apa.

Ternyata Umno-BN tidak sedar bahawa mereka kini berstatus pembangkang. Pilihan Raya Umum 2008 rakyat sudah meletakkan Umno-BN menjadi pembangkang di lima buah negeri.
Umno-BN tidak harus 'perasan' mereka akan duduk ditampuk kuasa kerajaan buat selama-lamanya.

Dengan meletakkan tema 'Janji Ditepati' sebagai slogan kemerdekaan, seolah-olah Umno-BN mahu menyatakan kepada rakyat bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik mereka. Mereka menghakmilikkan bendera negara macam bendera BN.

Sebab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak ramai kalangan rakyat yang mahu mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan atau premis milik mereka. Yang mengibarkan bendera negara hanya penyokong Umno-BN sahaja. Itu pun hanya dua tiga kerat.

Justeru, rakyat yang semakin sedia menolak Umno-BN, enggan menaikkan bendera Malaysia.

Rakyat takut, dengan mengibarkan Jalur Gemilang mereka dilabel penyokong Umno-BN.
Jelas pada kita bahawa, akibat daripada kerakusan dan ketamakan kuasa, Umno-BN sudah mencabut roh dan semangat patriotik rakyat terhadap negara.

Maka tiada jalan lain bagi kita untuk menyelamatkan negara, selain daripada usaha gigih kita, mencabut roh dan nyawa Umno, dari tampuk kuasa pada PRU ke-13 nanti.

 Sebelum roh dan nyawa Umno dicabut rakyat pada PRU depan, ruh dan semangat 'Janji Ditepati' yang dicanang Najib, sudah tercabut akibat kedangkalan Rais Yatim yang hendak 'mengampu tidak kena tempat.'

sumber...Harakahdaily

Wednesday, August 31, 2011

Betul ke Najib diterima majoriti rakyat?


Rais ; kajian Merdeka Center tak berasas ,Najib diterima majoriti rakyat

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau (gambar) menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais dipetik Bernama Online, meragui kajian Merdeka Research Centre dan menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

“Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya,” katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara.

sumber...TMI

p/s...apa hal BN merosot terlampau teruk dalam pilihanraya negeri Sarawak. fakta dari kaca mata penganalisa politik mengatakan 8 hingga 9 % itu amat merunsingkan kedudukan BN .