Followers

Showing posts with label SKMM. Show all posts
Showing posts with label SKMM. Show all posts

Saturday, March 9, 2019

Ini Habuan Menanti Untuk Penghina Islam dan Rasul SAW



Penjara 10 tahun dan 10 bulan akan dikenakan

Orang ramai digalakkan membuat Lapotan Polis dan aduan terus kepada SKMM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menfailkan pertuduhan terhadap empat pemilik akaun media sosial kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad, dengan seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pertuduhan terhadap empat individu terbabit yang dibuat semalam kerana memuat naik komen-komen berbentuk penghinaan itu adalah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Pemilik akaun Facebook AYEA YEA dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM.

"Tertuduh mengaku salah terhadap 10 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun 10 bulan penjara, yang berjalan secara berasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya turut difailkan pertuduhan ialah pemilik akaun Twitter @ ALVINCHOW333 yang dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 298A KK, Seksyen 505(c) KK dah Seksyen 233 AKMM.

“Tertuduh tidak mengaku salah bagi lapan pertuduhan yang dibaca. Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya.

Beliau berkata pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Seksyen 298A KK dan Seksyen 233 AKMM serta mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April.

Dalam pada itu, katanya pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ yang dituduh di mahkamah sama mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac ini.

Seksyen 298A KK merupakan kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) KK pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain manakala Seksyen 233 AKMM melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Fuzi berkata orang ramai dinasihat agar tidak menyalahgunakan media sosial atau rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. 

sumber...Bernama

Tuesday, September 24, 2013

Promosi Alat Seks Di Petaling Jaya




Iklan haram: Promosi alat seks

 BUKAN setakat pinjaman wang segera, peralatan seks turut dipromosi dalam iklan haram dan disebarkan di merata-rata tempat.

Bagi membanteras gejala ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan operasi penyamaran bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pemilik iklan haram perniagaan peralatan seks itu.

Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, anggota penguatkuasa bertindak untuk menyamar sebagai pelanggan dengan menghubungi nombor yang terpampang pada iklan penjualan barangan seks yang diletakkan di tepi jalan.

Menurut Zainun, langkah berkenaan adalah bagi membolehkan pihaknya mendapatkan kesahihan berhubung iklan penjualan barangan  haram terbabit sebelum mengambil tindakan.

“Anggota penguatkuasa akan menghubungi nombor yang terdapat pada iklan  peralatan  seks itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zainun, pihaknya terpaksa berdepan dengan beberapa cabaran memandangkan kebanyakan nombor telefon yang dihubungi merupakan nombor ejen jualan.

"Penguatkuasa kononnya mahu membeli peralatan seks yang diiklankan. Helah itu menjadi dan ejen jualan terbabit berjaya diberkas dan diserahkan kepada polis ketika mahu menghantar barang yang dipesan kepada anggota penguatkuasa yang melakukan penyamaran," katanya.

Tambah Zainun, keadaan berkenaan menyukarkan tindakan diambil ke atas pemilik sebenar dan mereka akan meneruskan operasi ini selepas ini.

“Ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil MBPJ walaupun terpaksa berdepan dengan beberapa risiko bahaya dan mengancam nyawa,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Zainun memaklumkan pihaknya telah membuat penyamaran sebanyak 50 kes tahun lalu.

Zainun berkata, dari jumlah berkenaan, pihaknya juga turut menjalankan sitaan peralatan seks berkenaan menerusi operasi yang dijalankan sebelum ini.

Selain itu, Zainun turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menghantar sebanyak 70 nombor talian telefon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu penjualan barangan seks tersebut.

Jelasnya, langkah berkenaan adalah bagi membolehkan SKMM menjalankan siasatan terperinci berhubung nombor yang digunakan oleh pihak terbabit.

“Kita tidak sekadar menyamar, malah pasukan penguatkuasa turut memanjangkan hal ini kepada SKMM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Menurut Zainun, kerjasama yang ditunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat membantu dalam mengatasi masalah penjualan barang seks di sekitar kawasan ini.

sumber...s.harian