Followers

Showing posts with label astro. Show all posts
Showing posts with label astro. Show all posts

Friday, October 28, 2011

Nasir Bilal Khan Ajak Penonton Takutkan Dosa


Nasir Bilal Khan begitu selektif dengan setiap tawaran lakonannya. - Foto M AZHAR ARIF

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

PETALING JAYA: Pelakon berkarisma, Nasir Bilal Khan, 51, mengajak penonton agar takut daripada melakukan dosa menerusi drama Tanah Kubur yang kini memasuki musim kedua.

Menurutnya, drama kali ini lebih banyak mengajarnya tentang erti kehidupan selain mahu berkongsi dengan masyarakat bersama-sama.

“Saya merasai pengalaman yang menarik dan baru yang mengajar saya tentang kehidupan.

“Ini kerana semua orang pasti mempunyai satu matlamat iaitu mati. Jadi, saya akan cuba perbetulkan apa yang berlaku kepada alam ini,” katanya penuh mendalam.
Wajah Nasir jarang kali muncul di kaca televisyen mahupun di mana-mana acara seni. Memang benar, memandangkan dia menetap di Guar Cempedak, Kedah dan terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya menjalani penggambaran di sini.

Nasir mengusahakan perniagaan restoran milik ibu mertuanya yang diuruskan bersama-sama isterinya, Umi Kalsum.

“Saya selalu menerima tawaran satu drama sahaja setiap kali menjalani penggambaran. Tentang drama, biasanya saya pentingkan skrip dan pengarah serta menanamkan sikap jujur dan ikhlas untuk melakonkan sesuatu drama itu,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Tanah Kubur 2 arahan Rashid Sibir untuk Astro Oasis (saluran 106).

Nasir pernah bersara daripada dunia lakonan selama dua tahun dan kembali berlakon pada 2003 menerusi drama Penggali Kubur setelah dipujuk oleh rakan baiknya, pengarah Azman Yahya (Jinggo). Dia juga seronok bekerjasama di bawah arahan Ismail Yaakob.

Selain itu, pada waktu lapang dia gemar menghabiskan masa dengan bermain golf dan menyertai banyak pertandingan melibatkan sukan itu.

Hasil perkahwinannya dengan Umi Kalsum, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Nohd Naqib Nasirudinm Mohd Aqalil Aizudin dan Nur Alia Maisara.

Thursday, August 11, 2011

Astro: 'Ustazah Pilihan' Lebih Sukar Kerana Aurat

Barisan peneraju Ustazah Pilihan, mursyidah Zawiah Hassan dan Dr Muhaya Hj Hamad, mudirah Dr Robiah K Hamzah dan pengacara Siti Rohani Surani. - Foto oleh M. AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar mengakui penerbitan program pencarian terbaru Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan (UP) adalah lebih sukar dan mencabar berbanding Imam Muda (IM) sebelum ini.

Menurutnya, selain berdepan cabaran untuk menyenaraikan 10 peserta program itu, UPturut mencabar daripada aspek penerbitan kerana ia melibatkan isu aurat dan penampilan muslimah di televisyen.

"Saya akui penghasilan program UP ini jauh lebih mencabar dan rumit berbanding IM. Memandangkan ia melibatkan kaum wanita, secara tidak langsung kita juga perlu peka dengan isu aurat, penampilan dan kemunculan peserta di televisyen.

"Kita akan cuba elakkan paparan sepenuhnya tubuh para peserta atau mungkin paparan separuh badan bagi benar-benar menjaga kandungan dan pengisian program ini agar bersesuaian dengan syariat dan hukum.

"Namun saya percaya jika setiap benda yang mencabar dan sukar itu dapat dilaksanakan, ia akan memberikan impak yang besar," katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pengajar dan pengacara program berkenaan di Hilton KL Sentral, di sini, Isnin.

Pada majlis itu, pakar motivasi Dr Robiah K Hamzah diperkenalkan sebagai pengetua (mudirah) serta dibantu oleh dua pengajar (mursyidah) iaitu Dr Muhaya Hj Hamad dan Zawiah Hassan.

Ia diacarakan oleh pengacara wanita juga penyampai radio Ikim FM, Siti Rohani Surani.

Menjelaskan tentang pembabitan kaum wanita sepenuhnya dalam UP, Izelan berkata, keputusan tersebut adalah bertepatan atas pertimbangan hanya kaum wanita saja yang paling memahami dan dekat dengan wanita yang lain.

"Secara fitrahnya, hanya kaum wanita saja yang paling layak untuk memimpin para pesertaUP dalam usaha untuk membentuk seorang ikon muslimah berpotensi.

"Pemilihan tiga pendakwah wanita yang juga ibu dan ahli akademik ini adalah untuk membimbing pembentukan keperibadian dan ilmu para peserta nanti," katanya.

Sementara itu, pengetuanya (mudirah) Dr. Robiah K Hamzah pula menyifatkan pemilihan kaum wanita sebagai peneraju program tersebut adalah bertujuan untuk mencari barisan muslimah pelapis yang boleh menjadi ikon dan pendakwah yang dihormati kelak.

Malah, Robiah sama sekali tidak melihat pemilihan tersebut bakal mengaburi peranan kaum lelaki sebagai pemimpin.

"Kaum wanita adalah penyokong dalam segenap aspek kehidupan seorang lelaki. Sejak zaman nabi lagi, sudah banyak kisah dan contoh yang membuktikan kemampuan wanita untuk memimpin dan memberikan sumbangan.

"Saya tidak pernah berhajat untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab lelaki. Terus-terang, ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan untuk kita mencari pelapis muslimah," katanya sambil berharap agar pembabitan wanita dalam program itu tidak akan disalahertikan oleh mana-mana pihak.

Sepuluh peserta UP akan diumumkan dalam masa dua minggu lagi sebelum ia mula bersiaran pada awal Oktober depan di Astro Oasis (saluran 106).

sumber...Mstar