Followers

Showing posts with label harapan baru. Show all posts
Showing posts with label harapan baru. Show all posts

Thursday, August 6, 2015

BOCOR: Siapakah Dalang Gerakan Harapan Baru ?


Siapakah dalang sebenar di sebalik penubuhan Gerakan Harapan Baru?

Julai 2015 merupakan detik yang bersejarah bagi generasi yang lahir lewat 80-an hingga pertengahan 90-an.

Jika selama ini, setiap kali musim perayaan, kami hanya mendengar cerita daripada atuk-atuk serta ayah-ayah kami, kali ini kami berpeluang merasa sendiri pengalaman melalui sebuah perubahan lanskap politik negara secara besar-besaran.

Jika selama ini, mereka bercerita tentang British dan Jepun yang menjajah Tanah Melayu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang perbezaan idealisme kemerdekaan antara Melayu-Raya dengan negara bangsa barasaskan sempadan geografi, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengunduran Tun Hussein Onn dari Umno disebabkan cubaan membentuk parti tanpa sempadan bangsa, kami hanya mampu dengar sahaja.

Jika selama ini mereka bercerita tentang pengasasan gerakan-gerakan Islam seperti IRC, Abim, Jim, Haluan, PAS, parti ini berpecah dengan parti itu, liciknya pemimpin ini, teruknya dizalimi pemimpin itu, kami hanya mampu dengar sahaja.

Kini tidak lagi. Gerakan Harapan Baru (GHB) yang terbentuk kali ini benar-benar berada di depan mata kami. Kami merasainya sendiri, mengkajinya sendiri, melihatnya sendiri. Inilah detik bersejarah yang bakal kami ceritakan kepada anak cucu kami kelak dengan penuh keyakinan, jika dibandingkan dengan cerita-cerita sebelah pihak daripada nenek dan ibu-ibu kami yang kami sendiri tidak dapat pastikan sejauh mana keabsahannya.

Kami lihat bagaimana berlakunya perubahan pendirian dalam kalangan senior kami yang dulunya sangat pesimis terhadap satu pihak, kini mula beransur terbuka. Bahkan kini kami masih melihat kelompok itu wujud nyata dalam generasi kami, paranoia tidak tentu hala, menunggu masa untuk bersikap lebih terbuka.

GHB yang ada di depan kami ini kami ikuti perkembangannya sejak dari mula. Hujahan pihak-pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju kami dengar melalui rantaian maklumat premier. Sebahagian kami mendapat maklumat awal, sebahagian lagi masih terkejar-kejar dengan perkembangan yang berlaku. Sebahagian generasi kami sudah begitu yakin dengan pendirian mereka, sebahagian lagi masih bersikap "tunggu dan lihat".

Walau di pihak manapun kami sebelahi, kami adalah generasi yang hidup pada era ledakan maklumat. Kami mampu capai dan analisis lebih daripada sepuluh artikel berbeza pandangan dalam masa sehari. Kami lihat bagaimana sempitnya hidup beragama hinggakan kain hijau dan merah menjadi isu berat, songkok dan kopiah tidak boleh bertemu, janggut dan misai tidak pernah sehaluan, bukan Islam adalah najis, imam bendera merah menjadikan solat tidak sah, dan longgokan ayat-ayat Al-Quran yang dimanipulasi demi kepentingan politik.

Kami adalah generasi yang hidup pada zaman Dr. Asri Zainal Abidin menyedarkan kami beza antara hidup beragama dengan hidup bertuhan. Kami adalah generasi yang Dr. Zakir Naik menjadikan kami berani membuka helaian-helaian Bible tanpa merosakkan aqidah.

Kami adalah generasi yang Dr. Arifi sedarkan kami mengenai pertembungan global akhir zaman berdasarkan hadis-hadis fitan. Kami adalah generasi yang Rafizi Ramli sedarkan tentang kesan dan kepentingan kestabilan ekonomi negara. Kami adalah generasi yang Prof. Ahmad Ibrahim ajarkan bagaimana cara mendaulatkan syariah dalam sebuah negara berpelembagaan.

Kami adalah generasi yang Dr. Maszlee Malik kenalkan kami dengan formula politik tasarruf al-imam ‘ala ra’iyyah manutun bi al-maslahah, iaitu pentadbiran pemerintah mestilah berlandaskan kebaikan bagi masyarakat. Kami adalah generasi yang Ustaz Hasrizal Jamil sedarkan kami perbezaan berjuang untuk Islam dengan berjuang untuk parti dan Jemaah.

Kami adalah generasi yang ketika pemimpin tertinggi kami bertelagah, kami di bawah cuba merapatkan ukhuwwah. Kami adalah generasi ketika mana pemimpin nasional kami memutuskan hubungan diplomatik antara organisasi dan parti, kami pula bekerjasama menjayakan program-program di universiti.

Kami adalah generasi yang apabila kami melakukan program kesedaran beragama secara besar-besaran, kami jemput pelbagai gerakan Islam untuk santuni mad’u-mad’u ini agar diberikan tarbiyyah berasaskan usrah walaupun kami dari gerakan lain dan mereka dari gerakan lain. Kami adalah generasi yang berani mengkritik organisasi sendiri dan menerima kritikan orang luar terhadap organisasi kami.

Bukan itu sahaja, bahkan kami melihat generasi adik-adik kami lebih gemilang. Sesekali kami disoal mereka, adakah boleh mereka berkawan dengan pihak ini dan itu, gerakan ini dan itu. Kami kaku. Kaku memikirkan kisah-kisah buruk yang diceritakan senior-senior kami, dalam masa yang sama berat hati untuk menghasut mereka agar tidak bergaul setelah melihat kilauan mata mereka yang penuh dengan harapan. Harapan yang disebaliknya menyelubungi sekeping hati yang amat ingin hidup secara harmoni, berbeza pendapat secara sihat, dan tidak terikat dengan mainan persepsi.

Inilah generasi kami. Generasi yang sentiasa berharap dan akan terus berharap bagi generasi selepas kami. Kewujudan GHB ini hanyalah ‘kebetulan’ yang selari dengan harapan kami yang inginkan pembawakan Islam yang lebih inklusif dan progresif.

"Kebetulan" ini kami anggap sebagai peluang. Peluang untuk kami corakkan gerakan yang secocok dengan zaman kami. Kami tidak dibayar penentang GHB untuk melakukan kritikan murahan berbentuk serangan peribadi dan mainan persepsi sejarah yang tiada nilainya dalam dunia akademik.

Kami juga tidak ditaja GHB untuk mempromosi gerakan ini hanya semata-mata ingin taqlid kepada pimpinan pengasas GHB yang hebat-hebat. Tidak, kami tidak mahu buang masa untuk sesuatu yang tidak pasti. Tapi kami mahu habiskan masa kami untuk memastikan harapan baru ini membawa suara kami.

As-Siyadah lisy-Sya’ab : Ketuanan dipulangkan kepada masyarakat. Jika ini yang digalas GHB, maka kami selaku masyarakat yang amat mustahil bersepakat atas perkara-perkara yang mafsadat, akan memberi ruang kepada GHB untuk buktikan idealisme mereka.

Akan tetapi, sebaik sahaja GHB berubah haluan, menyimpang daripada perjuangan asal penubuhan, seperti mana penyakit yang menghinggapi banyak pemimpin-pemimpin parti veteran yang tidak celik sejarah, maka kami tidak teragak-agak untuk menarik kembali sokongan kami terhadap GHB.

GHB, kami rela jadi dalang penubuhan kalian. GHB, selamat maju jaya, tapi jangan lupa untuk berhati-hati menjaga hati kami.

oleh: Syahir Nujaba

Thursday, July 16, 2015

Nazir Adik PM Najib Akan Masuk Team 'Harapan Baru' ?



Gerakan Harapan Baru Sedia 'Lamar' Nazir Razak

Pengerusi Jawatankuasa Interim Gerakan Harapan Baru (GHB) Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhasrat menemui Datuk Seri Nazir Razak bagi membincangkan sama ada beliau berminat menyertai pergerakan itu.

Beliau bercadang berjumpa pengerusi Kumpulan CIMB itu selepas Hari Raya ini dan membayangkan penyertaan Nazir akan memberi faedah kepada perjuangan gerakan itu.

Katanya pihaknya ada berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini yang turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Siapa tahu apabila berjumpa Nazir, mungkin beliau berkata daripada menubuhkan NGO baharu, lebih baik bekerjasama ... ia pasti memberikan kami manfaat," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan barisan jawatankuasa GHB Pulau Pinang, di sini, Khamis.

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan keanggotaan dalam PAS ekoran penglibatannya dalam GHB, Mujahid berkata beliau masih lagi anggota PAS kerana ia bukan satu kesalahan untuk menganggotai mana-mana NGO.

Tegasnya keanggotaan hanya akan gugur secara automatik apabila seseorang anggota PAS memiliki satu lagi keanggotaan dalam parti lain dan setakat ini GHB masih belum didaftar sebagai parti politik.

Menurutnya, permohonan pendaftaran bagi GHB telah diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan dan menunggu kelulusan yang dijangka bulan depan atau selewat-lewatnya akhir tahun.

Mujahid turut menafikan tuduhan GHB sesat daripada ajaran Islam dengan pemikiran Muslim Progresif seperti Jaringan Islam Liberal di Indonesia dan American Islam.

"Semua tuduhan bahawa kita adalah progresif Amerika, dikaitkan dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ... semua itu tidak benar.

Perjuangan kita pada Islam adalah merangkumi semua bangsa dan agama," tegasnya.

Mujahid berkata ceramah pelancaran GHB akan diadakan pada 8 Ogos di Pulau Pinang dan akan diteruskan di Perlis, Kelantan dan juga di Sabah dan Sarawak supaya orang ramai mengetahui kewujudannya.

Isnin lepas, penubuhan GBH diumumkan dan ia dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

sumber...Mstar