Followers

Showing posts with label roslin hashim. Show all posts
Showing posts with label roslin hashim. Show all posts

Thursday, August 25, 2011

Raja Azmi akan heret tiga individu ke mahkamah



Penerbit filem mahu bersih nama daripada tuduhan khalwat bersama Roslin

KUALA LUMPUR: Bekas isteri Roslin Hashim, Norhayati Othman, 39, adalah antara tiga individu yang akan diheret ke mahkamah oleh penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, bagi membersihkan namanya daripada tuduhan khalwat yang dibuat ke atasnya dan bekas jaguh badminton negara itu pada 7 Ogos 2010.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti mengaitkan ketiga-tiga individu terbabit termasuk saudara terdekat dan seorang kenalan suaminya, Jalani Sidek, bersekongkol merancang konspirasi memfitnahnya dengan Roslin.
“Saya perlu mengambil tindakan undang-undang demi maruah keluarga terutama anak dan cucu saya memandangkan kisah khalwat yang sengaja diada-adakan ini sudah tersebar luas di laman sosial.
“Saya tidak mahu satu hari nanti cucu saya membuka internet dan mendapati neneknya pernah ditangkap khalwat, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“ Selepas mengemukakan saman, saya akan mendapatkan perintah mahkamah supaya artikel isu khalwat saya dengan Roslin dipadamkan di internet,” katanya pada sidang media khas dan majlis doa selamat di Hotel Concorde yang turut dihadiri Jalani, Roslin dan peguam mereka, Roslizam Rahim, di sini, semalam.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Raja Azmi, 52, dituduh berkhalwat dengan Roslin, 36, ketika serbuan dilakukan Norhayati bersama dua adik dan ibunya serta Jalani pada jam 8.30 malam di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Dakwaan khalwat dikemukakan Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 18 Ogos 2010, tetapi selepas setahun proses siasatan berlangsung, mereka dibebaskan daripada tuduhan itu Isnin lalu.
Raja Azmi yang juga ibu tiga anak hasil perkahwinan 29 tahun dengan Jalani mendakwa, pada asalnya enggan memanjangkan isu itu tetapi tohmahan tanpa henti berserta bukti menunjukkan pihak berkaitan cuba menghancurkan keluarganya.

sumber...BH

Thursday, July 21, 2011

Kes Khalwat Tangguh Lagi, Raja Azmi Terus Kecewa

Setelah beberapa kali mahkamah tangguhkan kes

KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi ... Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman pada Rabu, memberitahu bahawa hidupnya tidak akan tenteram selagi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak menyelesaikan siasatan kes khalwat dirinya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim dengan segera.

Isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek itu juga menambah, dirinya akan bergelumang dengan rasa malu selagi kes itu yang telah berjalan selama empat bulan tidak diputuskan oleh pihak berkuasa terbabit selepas beberapa kali tertangguh.

"Saya benar-benar berharap keputusan mengenai perkara ini berjalan dengan secepat mungkin, sama ada kami akan dituduh berkhalwat atau tidak.

"Hidup saya memang diselubungi dengan pelbagai perkara sensasi, tetapi saya tidak boleh menerima apabila diri saya diaibkan," katanya semasa ditemui di luar pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jawi, di sini.

Wanita berkulit cerah itu hadir pada pukul 8 pagi dengan memakai baju kurung berbunga merah dan ditemani oleh Jailani.

Raja Azmi sekali lagi tidak dapat menahan esakan apabila menerima berita bahawa keputusan siasatan tersebut akan ditangguhkan kepada 22 Ogos ini ekoran pegawai pengendali kes menghadiri majlis tilawah Al-Quran.

Roslin yang hadir selang beberapa minit selepas Raja Azmi juga meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa, pegawai yang mengendalikan kes itu akan mempunyai urusan lain setiap kali mereka hadir ke pejabat tersebut.

"Kesabaran saya juga ada hadnya. Sampai bila kami harus menunggu? Kenapa setiap kali tarikh yang ditetapkan, pegawai terbabit tiada?

"Kakitangan bahagian tersebut juga memberitahu bahawa dia tidak boleh melakukan apa-apa kerana hanya mengikut arahan," kata Roslin yang berada di pejabat berkenaan selama hampir sejam.

Sebelum ini Raja Azmi, Roslin dan Jailani dipanggil memberi keterangan di hadapan pegawai penyiasat bertugas berhubung laporan kesalahan berkhalwat tanpa tangkapan mengikut Seksyen 58 sub seksyen 1 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Selepas memberi keterangan, Raja Azmi dan Roslin kini menunggu kata putus daripada Jawi untuk mengetahui sama ada mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah atas tuduhan tersebut.

Sekiranya berlaku pendakwaan, Raja Azmi dan Roslin boleh didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh bekas isteri Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira jam 8.30 malam.

Norhayati membuat laporan kepada pihak Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat. Dakwaan khalwat itu juga dinyatakan oleh Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada 18 Ogos 2010.

sumber...Mstar